Pembangunan bahasa Melayu menjelang 2020

RADIN AZHAR AHMAD
_________________

ABAD ke-21 adalah abad yang mencabar kesinambungan, kewujudan dan kegemilangan sesebuah peradaban bangsa-bangsa dunia. Asakan gelombang globalisasi, liberalisasi dan pengaruh pasca modenisme sering kali dikaitkan dengan kukuh atau lenyap lupusnya sesuatu bahasa, tradisi persuratan dan budayanya.

Pembangunan bahasa Melayu menjelang 2020 jelas Dato’ A. Azizi Deraman menuntut pembetulan falsafah dan perspektif yang benar, yakni dengan meyakini bahawa pengembangan dan kemajuan ilmu untuk membina peradaban hendaklah dilakukan dalam bahasa sendiri.

Bahasa Melayu katanya berhadapan dengan cabaran strategik, iaitu, pertama, kehilangan konsistensinya untuk melaksanakan program perekayasaan dan penjanaan citra bahasa Melayu sebagai sebuah bahasa dunia. Strategi baru perlu dirangka bagi pengembangannya yang berkesan.

Kedua, keseriusan negara-negara berbahasa Melayu yakini Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam yang diharapkan dapat berpadu tenaga untuk menjadi peneraju dan pemacu utama kemajuan bahasa Melayu.

“… lebih-lebih lagi dalam konteks merealisasikan hasrat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi Asia Tenggara atau suatu ketika mencapai status bahasa rasmi ASEAN.”

Cabaran strategik ketiga ialah, kelunturan rasa bangga dan ‘megah bahasa’ dalam konteks penyatuan bangsa dan bahasa serumpun antara bahasa Melayu dan bahasa Indonesia, setelah ratusan ribu istilah telah diseragamkan melalui kerjasama dalam MABBIM.

Katanya, “Pengisian barunya akan terbantut sekiranya ada perubahan dasar penggunaan bahasa yang tidak tegas atau tidak jelas di mana-mana negara serumpun berbahasa Melayu itu.”

Seterusnya, keempat, kepustakaan ilmu dalam bahasa Melayu khususnya penulisan dan penerbitan buku-buku ilmu dalam bidang sains dan teknologi tidak bergerak sejajar dengan perkembangan ilmu dan pembangunan negara.

“Akibatnya bertambah buruk apabila kerap berubahnya dasar bahasa dalam sistem pendidikan. Institusi-institusi pengajian tinggi mula meminggirkan bahasa Melayu dalam kerja-kerja ilmu sebagai bahasa pengantar kuliah, syarahan, penelitian atau penyelidikan dan penerbitan. Jumlah penulisan dan penerbitan buku dalam bahasa Melayu akan kian mengecil.”

Kelima, gerakan promosi bahasa dan eksport kebudayaan melalui kesalingan kerja melalui program pertukaran lebih banyak program televisyen yang berbudaya atau berbahasa Melayu; mempermudah dan memperbanyakkan aliran buku dan maklumat dalam bahasa Melayu; dan memanfaatkan internet dan multimedia semaksium mungkin di kalangan negara seratnau adalah masih berada di tahap rendah dan penyebaran ke seluruh dunia hendaklah dijadikan agenda serantau dan berpanjangan.

Bahasa jelasnya, adalah asas pembinaan tamadun bangsa dengan kesedaran tanoa diketepikan keperluan umat Melayu dan bangsa Malaysia menguasai bahasa-bahasa utama dunia yang lain.

“Tumpuan perancangan strategik memerlukan tumpuan pemerkasaan ke peringkat antarabangsa dengan suatu daya juang dan komitmen politik ke arah merealisasikan bahasa Melayu berperanan bagi maksud luar negara.

“Gerakan ke arah menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa komunikasi Asia Tenggara; sebagai salah satu bahasa perdagangan rantau; salah satu bahasa komunikasi atau bahasa perdagangan Asia Timur; bahasa Melayu menjadi salah satu bahasa sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersat (PBB) dan terus diperkembang sebagai bahasa pengajian tamadun Melayu di institusi pengajian asing di luar negara seharusnya tidak dilihat sebelah mata.”

Pada hematnya, A. Aziz Deraman menjelaskan, abad ke-21 Dunia melayu haruslah dijadikan abad gerakan bersama mengangkat peradaban serantau dengan keutamaan meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa penting dunia.

“Untuk memastikan kejayaannya, maka beberapa tindakan positif yang sudah atau yang sedang diambil atau akan diambil itu hendaklah diberikan tunjangan langsung oleh kerajaan dan dengan kerjasama yang kukuh oleh pelbagai pihak.”

(Utusan Sarawak, Khamis, 14 Februari 2008)





No comments: