Bicara Buku: Penerapan pendekatan, pandangan peneliti

BENTANG... Dari kiri Hazami Jahari, Dahiri Saini, Nurhidayah Bujang (pemudah cara) Hajijah Mainol, Pharo Abdul Hakim dan Taufiq Firdausi pada sesi pertama pembentangan kertas kerja pada Majlis Diskusi Buku 2008.

RADIN AZHAR AHMAD


MAJLIS Bicara Buku sekali lagi berjaya dilaksanakan. Jika dahulu, hanya Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak menganjurkannya, kini telah disertai oleh Persatuan Karyawan Sastera Sarawak. Jumlah buku yang dibincangkan juga bertambah. Kali ini, sebanyak 10 kertas kerja dibentangkan kepada audiens.

Dilihat bukan sebagai bentuk kritikan, penerapan pelbagai pendekatan dan pandangan peneliti berkaliber (pembentang kertas kerja) tentang nilai sesebuah buku telah menjadikan majlis bicara buku ini satu medan untuk membincangkan ilmu secara lebih mudah dan berfokus.


Abang Haliman Abang Julai
yang mengetengahkan (Suara Dari Rimba Zahirkan Suara Hati Kaum Penan: Analisis Studi Budaya) menjelaskan melalui novel Suara Dari Rimba, penulisnya, Jong Chian Lai berjaya menyampaikan mesej dengan lembut dan lincah kerana permainan bahasa dan pelukisan wataknya bersepadu dengan baik.

“Menelusuri perjalanan watak-watak mengharungi kerancuan hidup masyarakat rimba seperti menyaksikan paparan aksi yang hidup pada skrin. Sosiobudaya kaum Penan diangkat dengan baik sekali di samping mengetengahkan suara mereka yang inginkan kedamaian dan kebebasan.


“Kekuatan penceritaannya menyeluruhi aksi dan latar dengan mempertentangkan golongan subaltern dan superior ini membawa pembaca ke dalam belantara yang mungkin tidak pernah dikunjunginya,” katanya.

Oleh itu jelasnya, perjalanan imaginasi yang ditawarkan dalam novel itu merupakan satu pengalaman mental yang mengasyikkan. Penceritaannya tambah meyakinkan ndengan data dan fakta yang sebenar, bersumberkan bahan di luar teks yang dapat dikesan dan dipastikan kebenarannya.


Katanya, “Hasil daripada penggabungan seluruh unsur tersebut memberikan kepuasan emosi, intelektual dan imaginsi kepada pembaca..”

Sementara Hajijah Mainol yang mentengahkan (Citra Wanita Dalam Naluri Hidayah) berpendapat, novel itu berjaya membawa nilai sebuah pemikiran yang kritis di samping mengangkat martabat seorang wanita dalam memperjuangkan masa depan bangsanya agar tidak terus tertindas.

Pengarang (Allahyarham Sarimah Alit) katanya, berjaya dalam usahanya untuk mengikis imej “lemah dan air mata” yang sering ditonjolkan oleh kebanyakan penulis terutamanya penulis lelaki dalam kebanyakan karya-karya mereka.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita (penulis wanita) untuk menampilkan persoalan dan watak wnaita yang lebih dinamik, proaktif, cekal dan paling penting ‘mengurangkan’ sikap kebergantungan terhadap kaum lelaki.”

Membicarakan (Kias dan Ibarat Dalam Bunga Yang Menangis), Hazami Jahari menjelaskan, gagasan kias dan ibarat yang diterapkan dalam kumpulan puisi Ja’afar Hamdan ini pada peringkat awal dapat dikatakan berhasil.

“Walau bagaimanapun, penelitian lanjut berkaitan kemantapan gagasan ini masih perlu dijalankan. Dalam proses memantapkan gagasan ini, saya berharap ada pihak yang sedia memberi kritikan, teguran dan pandangan yang membina.”

Beliau merumuskan, penghasilan dan penciptaan karya sastera Melayu sangat banyak mementingkan perasaan dan pemikiran disampaikan dengan cara halus dan indah, selain banyak menggunakan unsur perbandingan dan perlambangan yang dikutip dari alam dan sifat serta perlakuan manusia.


Sajak-sajak dalam kumpulan ini kata Hazami, banyak menggunakan unsur perbandingan dan perlambangan yang memerlukan pentafsiran untuk mendapat maknya. Di samping itu, berjaya menggunakan unsur perbandingan dan perlambangan dengan berkesan dan dapat meningkat keindahan kekuatan sajak.


Taufiq Firdausi
yang (Membaca Rosani Hiplee, Membaca Sari Rasa Diri, Pemikiran dan Perasaan) berkata, “…karya Rosani tidak sukar untuk difahami, begitu juga bahasanya. Iamudah sahaja kalau sekadar dibaca begitu. Namun kalau direnungi secara lebih peribadi, banyak yang perlu kita fahami, kita gali dan rebungkan bersama.”

“Saya fikir kerana itulah dia (Rosani) mengungkap sesuatu dalam puisinya yang berjudul Sari Rahsia Terindah. Dalam diri penulisnya, ada banyak rahsia yang ingin kita temui seperti mahu mencari makna dalam novel Da Vinci Code yang memperkatakan sesuatu dalam susur galur keluarga Maryam yang terkandung dalam novel itu.”

Sebagai pemerhati, Taufiq yakin Rosani akan lebih teliti dan halus dalam mencipta puisi barunya kerana sebagai penulis yang sudah mula memiliki jati diri dan gaya tersendiri dalam menulis, Rosani mula bergerak ke arah itu.

“Dia tidak harus lagi dibuai oleh bahasa liuk-lintuk… tetapi wajar dekat sebagai penulis yang mempertimbangkan pemikiran dan gagasan yang lebih kemas dalam karyanya,” katanya.

Pharo Abdul Hakim
yang mengutarakan (Risau Jais Terhadap Lantera Kemanusiaan Yang Kian Balam) melalui antologi puisi Bertandanglah Ke Dalam Hati, berkata, antologi itu dihasilkan dengan penuh keinsafan tentang nasib segelintir masyarakat yang tidak begitu bernasib baik.

“Golongan yang daif tetapi mempunyai keinginan kental perlu mendapat pembelaan sewajarnya oleh semua pihak yang mendukung nilai-nilai kemanusiaan. Antologi puisi ini bukan sekadar puisi mengungkap masalah kemanusiaan, penerbitannya adalah suatu langkah kemanusiaan yang patut diberi penghormatan dan dokongan sewajarnya oleh setiap insani.”

Melalui (Antologi Lok Cinta: Transisi Penyair Dalam Imun Cinta),
Dahiri Saini memberitahu, Antologi Lok Cinta yang mengandungi 80 puisi hasil 24 penyair ini membawa tema yang pelbagai, namun persoalan yang tercerna lebih kepada soal sari madu cinta kepada Tuhan, negara, bangsa, manusia dan kedamaian.

Menurutnya, lontaran dan antonasi gemanya begitu luhur mengakrabi diri penyair, meskipun dalam antoologi ini hanya sebahagian saja puisi ahli Persatuan Karyawan Sastera Sarawak dapat dikumpul, lalu dibukukan menjadi bahan rujukan.

Sementara,
Rosani Hiplee yang membincangkan (Cantiknya Wanita Dalam Novel Tirani, Citra Feminisme Yang Tegar) berkata, membaca naskhah Tirani (karya Beb Sabariah) persis menaakul ke dunia psikologi wanita yang mahu mencapai kecantikan (kesempurnaan) menyeluruh dalam hidupnya.

“Wanita yang sentiasa gigih menongkah arus modenisasi dan futuristik. Malah, tetap bertekad memelihara dan melingungi segala peradaban dan susila budaya bangsanya walau berada di mana sahaja. Pengarang mengaspirasikan suatu nilai yang cukup murni dan berjiwa dalam Tirani, khusus kepada kaum wanita masa kini.”

Beb Sabariah katanya, telah meletakkan diri dan karyanya tidak hanya bergelut pada masalah wanita saja, tetapi turut berhubung dengan erti kecantikan sebenar, juga citra feminisme yang tepat bagi seorang wanita yang sempurna.


Zaini Oje pula membentangkan kertas kerjanya (Kalau Saya Mementaskan Drama Jeda Nur Iman: Interpretasi Pertama). Katanya, “Jeda Nur Iman merupakan drama yang sukar difahami. Saya selaku pengarah sukar hendak memahaminya,, apatah lagi khalayak nanti. Jadi, sebelum mementaskannya saya hendak memastikan bahawa penonton faham akan cerita itu dan dapat mengikutnya, barulah ada kesannya.”

Penonton kini katanya, kritis dan mempunyai nilai seni yang tersendiri, kerana pendidikan mereka; didedahkan kepada saluran dan bentuk seni yang banyak. “Jadi, saya juga hendak memastikan bahawa penonton bukan sahaja faham akan cerita tetapi suka pada persembahan drama berkenaan.”


Zaini turut menyatakan bahawa, “… saya kira Dahiri Saini (pengarang Jeda Nur Iman) sudah merujuk pada tiga agama utama yang diperkatakanya; Islam, Kristian dan Budha. Hal agama ini berat, dan penulis berani memperkatakannya.”


Menyamakan peristiwa diri dengan peristiwa Mariam dan Isa katanya, walaupun berbeza zaman dan keadaan atau cara, bukanlah mudah, malah tanggungjawab besar. “Untuk memasukkan simulasi Father juga bukan perkara yang mudah. Jadi, sesiapa yang mementaskan drama ini harus berjiwa penulis: berani dan bertanggungjawab. Dia perlu berusaha dan banyak membuat rujukan.”


Dalam kertas kerja (Bacaan Studi Budaya Dalam Anak Ruma’ Kadang), Ja’afar Hamdan menjelaskan, Anak Ruma’ Kadang karya Mohd Faizal Jamil ini secara umumnya merupakan novel penuh citra budaya masyarakat Lun Bawang.

Novel ini katanya, menjadi cukup bermakna dalam arus sastera Sarawak kerana, novel ini yang pertama mengemukakan masyarakat Lun Bawang, selaku masyarakat minoriti.

“Walaupun sudut pandangan dalam novel ini dariapda seoerang pengarang Melayu, namun pegangan Mohd Faizal iaitu buku Masyarakat Lun Bawang telah mampu memberi nilai makna yang sebenar tentang budaya masyarakat Lun Bawang.


“Penelitian ini sekadar melihat asas budaya yang mampu mengisi tuntutan teori studi budaya. Namun, novel ini mempunyai dimensi yang berbeza sekiranya diteliti melalui sudut teori yang lain. Sememangnya, pembicaraan buku ini hanya mengambil kira beberapa hal tentang budaya masyarakat Lun Bawang. Sedangkan 70 peratus novel ini ini amat berjaya memaparkan panorama serta keunikan masyarakat dari kaca mata sastera.”

Abdul Rassid Haji Subet pula mengetengahkan (Menghayati Sebaginda Bujang dan Anak Cuik Keramat Melalui Pendekatan Moral).

(Utusan Sarawak, 29 Mei 2008)

Wrongsang dipentas 10 Mei ini

WRONGSANG mengisahkan tentang watak Indong Mutiara dan perhubungannya dengan manusia lain untuk memajukan dirinya.

Persekitaran Indong Mutiara dipenuhi watak-watak yang masing-masing mempunyai agenda tersendiri untuk maju dengan menumpang usaha Indong Mutiara.

Dalam kancah perhubungan watak-watak yang berbaur dalam alam Indong Mutiara ini sebagai wanita yang bijak dan licik, Indong Mutiara berjaya membuktikan betapa ketabahan dan kecelakaan untuk menghadapi karenah manusia, alam sekeliling dan ketentuan takdir memainkan peranan penting mencorak kemanusiaan seseorang.

Ini antara cerita yang akan dipersembahkan oleh kumpulan teater Kias Kasturi yang akan mementaskan teater Wrongsang pada 10 Mei ini (Sabtu), jam 8.00 malam di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak.

Skrip tersebut merupakan tulisan Zakaria Hassan yang sekali gus bertindah sebagai sutradara teater tersebut.

Watak Indong Mutiara dilakonkan oleh Hartini Adurahman yang turut bertindak sebagai Penolong Sutradara. Kemudian, watak Tet dilakonkan oleh Mohd Khaidier Khaldin, watak Bara (Joanna Gilbert), watak Miss Violet (Robson Jelian Jatan, watak Rio (Iwanmulya Esmanto) dan watak Jati (Mohd. Awet Mohd Lukman).

Sementara Pengurus Produksi ialah Mohamad Helmi Isa, Nuralizacaliph Osmina (Pengurus Pentas), dan Mohd Asri Ibrahim (Pengarah Teknik).

Pementasan teater tersebut merupakan salah satu program di bawah Pementasan Teater Berkala 2008 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Sarawak.

Objektif pementasan teater berkala ialah,
i. Bidang teater diangkat untuk merakyatkan seni budaya bangsa Malaysia;
ii. Sebagai melahirkan pelapis penggerak teater generasi baru;
iii. Untuk menjalinkan kerjasama dan semangat muhibah antara ahli kumpulan;
iv. Menambahkan bilangan penglibatan penganjuran egensi kerajaan, badan berkanun, kerajaan tempatan dan pihak korporat; dan,
v. Mengangkat bidang teater sebagai elemen media hiburan, kritikan sosial, pembelajaran dan pembentukan disiplin.

Program itu merupakan program kesinambungan Pementasan Teater Berkala 2007.

(Utusan Sarawak, 8 Mei 2008)

Kapit bahagian terakhir tubuh Kelab Penggiat Sastera


SECARA umumnya, bahagian Kapit merupakan bahagian yang agak ketinggalan dalam aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan. Bahkan, Kapit merupakan bahagian yang terakhir menubuhkan Kelab Penggiat Sastera menerusi Jawatankuasa Kerjasama Bahasa dan Sastera Bahagian.

Pertemuan yang pertama pada 23 Februari 2008 dengan seorang penulis yang bertugas sebagai guru di Kapit telah menjadi jalan rintis ke arah memeriahkan kegiatan sastera di Kapit. Pertemuan itu juga membuka ruang dan peluang bagi Dewan Bahasa dan Pustaka mendapat gambaran tentang kehendak dan keadaan penulis di Kapit.

Justeru, program Bengkel Penulisan Kreatif dirasakan sebagai satu alternatif yang amat wajar serta sesuai menjadi wahana ke arah pembentukan golongan sasaran ini. Perbincangan bersama Pengerusi Kelab Penggiat Sastera Kapit, Helen telah membuahkan idea untuk mengadakan bengkel penulisan pada 4 hingga 6 April 2008.

Bengkel Penulisan Kreatif yang diadakan di Sekolah Menengah Kerajaan Selirik itu telah menarik sekitar 40 orang penulis daripada kalangan guru dan pelajar. Bengkel yang diadakan selama dua hari tu telah dikendalikan oleh Ja’afar Haji Hamdan, yang merupakan kakitangan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak.

Apa yang menarik pada hari pertama bengkel ini adalah, penubuhan Kelab Penulis Muda Kapit, dengan singkatan PEMUKA yang terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selirik. Penubuhan kelab itu dilihat dapat menyediakan ruang ahli berbincang tentang hal-hal penulisan dan merangka keperluan yang berkaitan dengan penulisan.

PEMUKA secara automatiknya bernaung di bawah Kelab Penggiat Sastera Bahagian Kapit. Penubuhan PEMUKA sebagai medan ahli bergiat, telah merencana beberapa kegiatan bagi tahun 2008.

Dalam ucapan alu-aluan, Helen selaku Pengerusi Kelab Penggiat Sastera Bahagian Kapit, menjelaskan bahawa perlu ada usaha untuk mempergiatkan kegiatan bahasa dan sastera di Kapit agar Kapit tidak tertinggal dalam bidang tersebut.

Ucapan sambutan oleh Ja’afar Hamdan juga menjelaskan bahawa sekumpulan penulis harus bergerak bagi menjamin keakraban di kalangan yang berminat dalam sastera, kerana tegasnya, menulis kerja sendiri-sendiri tetapi perkembangan idea dan pemikiran memerlukan orang lain dalam menilai penulisan.

Justeru, tambahnya, menulis bukan sahaja kerja yang lahir daripada minat tetapi juga menjadi tanggungjawab untuk memastikan masyarakat mempunyai bahan bacaan yang baik dan bermutu.

Bengkel penulisan kreatif itu bermatlamatkan untuk membina dan mengembang bakat berkarya secara lebih menyeluruh dari segi mutu terutamanya dalam penulisan cerpen dan puisi di samping membina dan memupuk bakat penulisan yang bermutu di kalangan penulis baru yang sedia ada dan akhirnya melahirkan karya yang juga bermutu, khususnya di Kapit dan sebagai kegiatan Kelab Penggiat Sastera Kapit.

Pada hari kedua bengkel, peserta diberikan peluang untuk menghasilkan karya yang kemudiannya dibincangkan secara kumpulan. Hasil perbincangan menjadi cukup menarik dengan pendapat dan andaian peserta masing-masing. Tugasan secara perbincangan kumpulan banyak menyedarkan peserta tentang keperluan memahami aspek penulisan dan ilmu penulisan.

Tentu sahaja, perbincangan mereka kemudiannya diulas dan diberi komen oleh pembimbing bengkel. Pada hari terakhir, peserta juga menilai dan meneliti karya rakan-rakan mereka. Melalui kaedah ini, secara tidak langsung peserta mengenali dan memahami kelemahan dan kekuatan karya yang dihasilkan oleh mereka dan rakan-rakan mereka.

Sememangnya, pertemuan dua hari itu tidak mencukupi untuk peserta mampu menghasilkan cerpen dan puisi dengan bermutu, tetapi pertemuan itu telah membuka lembaran baru buat penulis muda di Kapit, khususnya peserta daripada SMK Selirik, bahawa minta dan bakat mereka terasah bagi menghasilkan karya kreatif. – ZAIHIDDIN SEMAWI (Utusan Sarawak, 8 Mei 2008)