Lokasi khas untuk pementasan teater


PENUH KELUCUAN… Teater Sebelum Zuhur yang dipentaskan oleh Kumpulan Sanggar Teater Akar merupakan teater pertama yang dipentaskan sempena Program Pementasan Teater Berkala 2008 di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak.

RADIN AZHAR AHMAD

BAGI menjadikan setiap pementasan teater di negeri ini berprestij dan berkelas dunia, kerajaan negeri akan mencadangkan dan menyedikan lokasi khas yang akan diumumkan kelas untuk digunakan oleh penggiat seni mempersembahkan karya mereka.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datin Hajah Fatimah Abdullah berkata, pun demikian, untuk menjadikan teater negeri ini bertaraf dunia, ia tetap memerlukan komitmen yang tinggi daripada pelbagai pihak.

“Selain itu, karya yang hendak dipentaskan mestilah bermutu tinggi. Sementara mesej pula mestialh jelas. Semua ini akan menarik lebih ramai penonton. Kehadiran penonton dan pengkritik profesional penting untuk mencapai taraf prestij,” katanya.

Berucap pada Majlis Pelancaran Pementasan Teater Berkala 2008, Fatimah menjelaskan, pementasan teater mampu menyumbang kepada pewujudan bandar raya yang berbudaya, selain memberi peluang kepada penggiat teater untuk terus berkarya dan mementaskan ilham masing-masing.

Semua itu katanya juga terangkum dalam hasrat kerajaan untuk melihat pembangunan yang seimbang dari segi fizikal dan sosial; ia harus seimbang dengan pembangunan kebudayaan seni dan warisan budaya masyarakatnya.

“Dengan mengambil kira aspek ini, ia secara langsung berhubung kait dengan aspek rohaniah bandar raya itu sendiri,” katanya.

Untuk itu, bagi memasrikan teater Sarawak mampu berkembang, beliau menyarankan penggiat teater terus berkarya.

Disokong oleh semua faktor ini, dan penglibatan para profesional dalam bidang teater beliau yakin aktiviti teater di Kuching mampu mencapai taraf kelas dunia.

Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Sarawak, Tuah Matnor menjelaskan, Pementasan Teater Berkala 2008 merupakan rentetan kepada kejayaan pementasan yang sama pada 2007.

Objektif pementasan teater berkala katanya ialah bidang teater diangkat untuk merakyatkan seni budaya bangsa Malaysia; sebagai melahirkan pelapis penggerak teater generasi baru; untuk menjalinkan kerjasama dan semangat muhibah antara ahli kumpulan.

Selain itu, menambahkan bilangan penglibatan penganjuran egensi kerajaan, badan berkanun, kerajaan tempatan dan pihak korporat; dan, mengangkat bidang teater sebagai elemen media hiburan, kritikan sosial, pembelajaran dan pembentukan disiplin.

Katanya, setiap kumpulan yang membuat pementasan mesti berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan atau di bawah Akta Pengajian Tinggi.

“Tempoh pementasan mestilah tidak kurang satu jam, dan mesti mengetengahkan empat watak utama, bukannya monolog. Selain itu menggunakan sepenuhnya ahli kumpulan yang asal. Mereka boleh melantik tenaga luar untuk membantu tetapi tidak boleh melebihi 50 peratus daripada jumlah ahli yang asal.”

Presiden Medan Teater Sarawak (Mantera), Datu Haji Adi Badiozaman Tuah dan Mantan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, Zaini Oje turut hadir.

(Utusan Sarawak, 20 Mac 2008)


Jadual Pementasan Teater Berkala 2008

Sanggar Teater Akar
15 Mac 2008 (Sabtu)
Sebelum Zohor

Persatuan Seni Persembahan Sifar
12 April 2008 (Sabtu)
Tukang Ensera

Pertubuhan Kias Kasturi
10 Mei 2008 (Sabtu)

Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa)
14 Jun 2008 (Sabtu)

Sanggar Creative Production
12 Julai 2008 (Sabtu)

Saramart Sdn. Bhd.
9 Ogos 2008 (Sabtu)

Kuching Bhuddist Society
11 Oktober 2008 (Sabtu)

Grup Teater Ngoncong
8 November 2008 (Sabtu)

Persatuan Teater Sedar
13 Disember 2008 (Sabtu)

(Semua Pementasan akan diadakan di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, jam 8.00 malam)

Ends…

Sebelum Zohor penuh humor

RADIN AZHAR AHMAD

PEMENTASAN Teater Berkala anjuran Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Sarawak kembali. Satu berita yang begitu dinanti-nantikan oleh khalayak teater Sarawak, khususnya sekitar bandar raya Kuching. Untuk itu, pada 15 Mac ini, gabungan artis lama dan baru melalui Kumpulan Sanggar Teater Akar akan membuka gelanggang pementasan dengan mementaskan ‘Sebelum Zohor’.

Satu tajuk dengan penuh keagamaan, tetapi memaparkan banyak unsur humor dalam setiap gerak-geri lakonan. Menurut Pengarahnya, Ali Mohamad, drama pentas yang diadaptasikan daripada skrip ‘Kasanova’ karya Kalam Hamidi ini dari awal pementasan hingga akhir akan memaparkan latar belakang padang pasir.

“Walaupun berlatarbelakangkan padang pasir, namun drama pentas ini begitu dekat dengan kehidupan di sekeliling kita. Suasana ini diolah sesuai dengan kehidupan kita. Banyak konflik yang wujud.

“Teater ini tidak mengetengahkan kesan khas dan sebagainya. Sebaliknya, abang melihat teater ini sebagai drama pentas yang lebih berbentuk hiburan. Jadi, audiens yang hadir nanti pasti akan terhibur dengan gerak lakon di atas pentas kelak,” katanya.

Sehubungan itu, Ali mengharapkan setiap ahli produksi melaksanakan tugas (mementaskan teater) Sebelum Zohor dengan niat yang murni, dan tidak mengambil kesempatan untuk menonjolkan diri.

“Ini bukan sahaja kepada ahli produksi teater ini. Sebaliknya kepada mereka yang terlibat dalam dunia teater. Teater adalah bidang yang kita minati dan dilaksanakan secara sukarela. Apabila kita suka, maka kita akan rela melakukannya.”

Ali mengharapkan kerjasama yang sebaik mungkin daripada penggiat teater agar menjayakan Pementasan Teater Berkala dengan sempurna. “Berjayanya pementasan bukan kerana hero, sebaliknya adalah disebabkan kerjasama semua.”

Sebelum Zohor akan dipentaskan di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, 15 Mac ini, jam 8.00 malam. Semua penggemar teater dijemput hadir. Kemasukan adalah percuma.

Melihat kepada sinopsi, cerita rekaan ini berbentuk komedi yang mengisahkan seorang guru agama yang fanatik. Mempunyai seorang anak bernama Zulkifli yang mendapat pendidikan di Sekolah agama di Mesir. Zulkifli baru sebulan bekerja sebagai Ustaz di salah sebuah sekolah agama di bandar raya Kuching.

Pun demikian, kerana minat dan berbakat, Zulkifli telah melibatkan diri dalam kumpulan teater dan terpilih sebagai pelakon utama dalam teater berjudul Kasanova.

Ketika gambar Zulkifli tersiar dalam akhbar dan majalah untuk publisiti, dia menggemparkan penduduk kampungnya terutama keluarganya dan keluarga tunangnya.

Untuk mengatasi masalah iaitu bagi mengelakkan Zulkifli jatuh hati kepada heroin teater yang bernama Siti Norbaya seperti tersiar dalam akhbar, maka keluarga kedua-dua belah pihak bersetuju memanggil Zulkifli pulang segera. Alasan yang diketengahkan ialah ayahnya “meninggal dunia” melalui panggilan telefon daripada ibunya sendiri, Mak Busu.

Apabila Zulkifli pulang, mereka merancang menangkap dan memaksa dia dinikahkan dengan tunangnya, Siti Maryam.

Namun rancangan “kawin tangkap” itu digagalkan oleh sahabat karib Zulkifli bernama Lebai Kidam. Dia terlebih dahulu menghubungi Zulkifli tanpa pengetahuan ayah dan ibunya.

Ketika Zulkifli pulang dengan Siti Borbaya semua terperanjat besar. Lebih-lebih lagi Zulkifli mengisytiharkan “Siti Norbaya” itu isterinya dan meminta Siti Maryam dimadukan. Majlis menjadi gempar. Siti Maryam dan keluarganya lari meninggalkan majlis. Ayah Zulkifli diserang sakit jantung lalu meninggal dunia.

Pelakon drama pentas ini ialah Ali Mohamad, Wezan Saili, Sarina Ibrahim, Dayang Rejemah.

(Utusan Sarawak, 13 Mac 2008)

Peraduan Menulis Esei Bahasa

BERSEMPENA sambutan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak akan menganjurkan Peraduan Menulis Esei Bahasa bermula sekarang hingga 1 Ogos depan.

Pemangku Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Jiso Rutan berkata, peraudn tersebut bermatlamat untuk mencungkil dan menggalakkan perkembangan bakat penulisan, khususnya yang berbentuk ilmiah dalam kalangan penulis tempatan.

Menurutnya, matlamat kedua ialah untuk memberi kesedaran dan menanamkan semangat tentang kepentingan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, bahasa intelektual dan bahasa perpaduan.

Ketiga katanya, untuk memperkayakan khazanah ilmu khususnya yang berkaitan isu-isu bahasa dalam bahasa kebangsaan di negeri ini.

Sementara, matlamat keempat ialah untuk memupuk dan mengembangkan upaya kreativiti dan daya fikir kritis penulis dalam mengupas isu-isu bahasa.

Esei katanya, adalah penulisan dalam bentuk prosa yang biasanya ringkas, mengenai sesuatu tajuk.

“Pada umumnya, esei dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu esei formal dan tidak formal. Semua lisan yang disebut esei dapat dikenal melalui bentuknya yang ringkas dan mengenai satu tajuk tertentu sahaja.

“Penulisan yang tergolong sebagai esei formal memperkembangkan persoalannya secara logik. Sementara, penulisan bersifat tidka formal dikaitkan dengan pendapat penulis secara beas, selalunya berdasarkan sentimen dan imaginasi sahaja,” katanya.

Peraduan ini terbuka kepada rakyat Malaysia yang bermastautin di Sarawak serta penduduk asal negeri ini yang beradai di luar negeri/negara.

Esei mestilah bergbentuk esei formal yang berkisar tentang isu dan perkembangan bahsa kebangsaan di Sarawak khasnya dan juga di Malaysia amnya.

Esei hendaklah sesuai untuk bacaan umum dan tidak menyentuh perkara-perkara yang boleh dianggap sensitif dan boleh menyinggung perasaan mana-mana kaum, kepercayaan dan budaya di negeri ini.

Esei sebaik-baiknya hendaklah bertaip jarak dua langkay dengan menggunakan bahasa Melayu dan panjangnya hendaklah tidak kurang daripada 4,000 patah perkataan atau 15 halaman kertas A4.

Setiap peserta boleh menghantar tidak lebih daripada dua esei. Esei yang dihantar untuk peraduan ini tidak akan dikembalikan.

Nama peserta jangan ditulis pada halaman esei tetapi hendaklah ditulis dalam borang penyertaan sahaja.

Penganjur berhak untuk menerbitkan atau menyiarkan penyertaan (esei) yang dipilih, dan dalam berbuat demikian, berhak penyuntingan atau pindaan yang difikirkan perlu ke atas esei berkenaan.

Esi yang telah dihantar menyertai peraduan ini tidak boleh dihantar kepada penerbit atau pihak lain tanpa mendapat persetujuan penganjur peraduan ini terlebih dahulu.

Esei hendaklah karya asli peserta, bukan diciplak daripada karya orang lain dan belum pernah disiarkan di mana-mana. Peserta mesti bersedia untuk memperakukan keaslian esei yang dihantar itu.

Semua penyertaan mesti dalam bentuk salinan pertama, bukan salinan foto atau salinan karbonnya.

Semua penyertaan yang menepati syarat peraduan ini akan dihakimi oleh panel hakim bebas yang akan dilantik oleh penganjur. Keputusan panel hakim adalah muktamad.

Pemenang pertama akan menerima RM2,500, kedua (RM2,000), ketiga (RM1,500), dan tiga penerima hadiah sagu hati masing-masing akan menerima RM350.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Haji Shantrol Abdullah atau Marriya Yusup di talian 082-444711.

(Utusan Sarawak, 13 Mac 2008)


Kota budaya, citra sejagat: Kota bernama Malaysia

Sambungan minggu lepas

“… jika kita lihat aspek sejarah di Malaysia pula, latar belakang masyarakat majmuk kita dipengaruhi oleh elemen-elemen penjajahan dan pengalaman keperitan hidup masyarakat Tanah Melayu menjadi asas pegangan dan perpaduan di Malaysia,” kata Mohd Azri Ibrahim.

Katanya, pengalaman dijajah oleh Portugis, Bugis, Jepun dan British telah mengajar untuk bangkit dan bersatu-padu menuntut kemerdekaan dan seterusnya berusaha memajukan negara Malaysia.

“Perjuangan menentang penjajah dan permuafakatan politik antara kaum di Tanah Melayu adalah kunci kejayaan masyarakat majmuk di Malaysia dalam membentuk sebuah negara yang maju dan nilai-nilai hidup serta budaya yang dikongsi bersama serta dapat diterima oleh nasyarakat luar.”

Menurutnya, tidak salah jika dikatakan negara bangsa di Malaysia masih belum wujud dan masih dalam proses pembinaan.

“Jika Wawasan 2020 menjadi kenyataan, maka Malaysia masih ada masa untuk menyaksikan kewujudan negara bangsa (negara maju yang didokong oleh penerimaan masyarakat majmuk dan amalan budaya yang pelbagai) di Malaysia.

“Namun dalam pembinaan ini, kita sudah lihat kejayaan-kejayaannya seperti dalam aspek politik. Malaysia adalah antara negara yang paling berjaya dalam mengamalkan permuafakatan politik.”

Aspek Budaya

Jika dilihat dalam aspek sosial dan budaya, pelbagai program yang berbentuk nasional telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan program-program ini mendapat sambutan yang menyeluruh daripada semua kaum dan lapisan masyarakat di Malaysia.

“… rumah terbuka yang menjadi amalan setiap perayaan di Malaysia; setiap perayaan yang berasaskan kaum sedia menerima kunjungan tetamu yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaan.

“Ini menunjukkan bahawa walaupun masyarakat Malaysia mempunyai pelbagai kaum dan kepercayaan, namun perasaan kecintaan terhadap Malaysai cukup mendalam,” jelasnya.

Daripada huraian itu, Mohd Azli Ibrahim menjelaskan, jelas bahawa negara Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum, budaya dan kepercayaan tetapi pada masa yang sama mempunyai banyak persamaan yang dapat dikongsi bersama oleh anggota masyarakat majmuk di negara ini.

“Penerimaan ini bermakna, nilai-nilai dan budaya hidup masyarakat di Malaysia telah dapat diterima oleh keseluruhan masyarakat di dunia; dalam semua aspek seperti politik, sejarah, budaya, sastera dan sebagainya.

“Oleh itu, aspek-aspek inilah yang menjadi asas kepada penyatuan masyarakat di Malaysia dan ditambah dengan membudayakan nilai-nilai dan cara hidup berdasarkan kepada kepelbagaian etnik di Malaysia.

“… dan ini diharapkan akan dapat menjadi pegangan setiap masyarakat di Malaysia tanpa mengira kaum bagi memastikan pembentukan negara bangsa dan kota Malaysia yang sempurna menjadi kenyataan.”

Pada masa yang sama katanya, peranan Malaysia dan masyarakat Malaysia juga dapat memainkan peranan yang penting di pentas global.

Ini kerana nilai-nilai dan budaya majmuk yang diamalkan di Malaysia boleh diterima pakai untuk masyarakat tempatan dan juga untuk masyarakat antarabangsa.

“… penerimaan ini boleh dianggap berbentuk sejagat tanpa mengira sempadan negara, bangsa, kepercayaan dan keturunan.

“Ini kerana yang lebih penting ialah budaya dan cara hidup masyarakat kota di Malaysia dapat menyumbang kepada kebaikan negara Malaysia dan negara-negara luar,” jelasnya.

(Utusan Sarawak, 6 Mac 2008)

DBP anjur pelbagai peraduan

DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak akan menganjurkan Peraduan Menulis/ Mengisahkan Semula Cerita Rakyat, Peraduan Menulis Esei Bahasa bersempena Bulan Bahasa dan Sastera Negara, Peraduan Menulis Sastera Kreatif Pelajar Sekolah Menengah 2008 kategori Cerpen, Peraduan Menulis Puisi 2008 serta Hadiah Penulisan dan Penerbitan Majalah Sekolah Menengah Negeri Sarawak 2007.

Pemangku Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Jiso Rutan berkata, Peraduan Menulis/ Mengisahkan Semula Cerita Rakyat diakan dengan tujuan untuk memperoleh bahan cerita dalam bentuk bertulis untuk tujuan penerbitan, sama ada dalam bentuk buku atau makalah.

“Di samping itu, ia sebagai usaha pendokumentasian dan usaha menanam dan memupuk semula minat serta penghayatan orang ramai terhadap warisan sastera rakyat yang terdapat dalam pelbagai masyarakat dan budaya di negeri ini.

“Serta untuk menggalakkan bakat dalam penulisan semula bahan-bahan sastera rakyat,” katanya pada sidang media di DBP Cawangan Sarawak, semalam.

Menurutnya, cerita rakyat yang dikehendaki katanya, merupakan cerita asal-usul meliputi cerita seperti cerita asal-usul tempat (nama tempat), kejadian, benda/objek, amalan budaya dan sebagainya.

Tarikh tutup penyertaan ialah pada 31 Disember 2008.

Peraduan Menulis Esei Bahasa bersempena Bulan Bahasa dan Sastera Negara katanya pula diadakan untuk mencungkil dan menggalakkan perkembangan bakat penulisan khususnya yang berbentuk ilmiah dalam kalangan penulis-penulis tempatan.

Kedua, untuk memberi kesedaran dan menanamkan semangat tentang kepentingan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, bahasa intelektual dan bahasa perpaduan.

Ketiga, untuk memperkayakan khazanah ilmu khususnya yang berkaitan isu-isu bahasa dalam bahasa kebangsaan di negeri ini.

Keempat, untuk memupuk dan mengembangkan upaya kerativiti dan daya fikir kritis penulis dalam mengupas isu-isu bahasa.

Tarikh tutup penyertaan ialah pada 1 Ogos 2008.

Peraduan Menulis Sastera Kreatif Pelajar Sekolah Menengah 2008 kategori Cerpen yang turut dianjurkan bertujuan untuk mencungkil dan memupuk bakat dalam bidang penulisan daripada kalangan pelajar dan penulis muda.

“Serta menggalakkan minat terhadap bidang penulisan kreatif khususnya, serta mendapatkan bahan atau karya yang bermutu untuk tujuan dokumentasi dan penerbitan.

“Penyertaan untuk peraduan ini terbuka kepada semua pelajar sekolah menengah di Sarawak. Tema adalah bebas, tetapi hendaklah sesuai untuk bacaan umum dan tidak menyentuh perkara-perkara yang boleh dianggap sensitif dan boleh menyinggung perasaan mana-mana kaum, kepercayaan dan budaya di negara ini.”

Tarikh tutup penyertaan ialah pada 30 Jun 2008

Peraduan Menulis Puisi 2008 yang juga tarikh tutup penyertaan pada 30 Jun 2008 dianjurkan dengan objektif untuk mendapatkan bahan yang bermutu daripada para penulis bagi tujuan dokumentasi dan penerbitan.

Seterusnya, mencungkil bakat dalam bidang penulisan puisi daripada kalangan penulis Sarawak, serta menggalakkan minat terhadap penulisan puisi dalam kalangan penulsi di negeri ini.

Sementara Hadiah Penulisan dan Penerbitan Majalah Sekolah Menengah Negeri Sarawak 2007 diwujudkan untuk mencungkil bakat penulisan di kalangan pelajar dalam bahasa Melayu, menggalakkan dan memupuk minat pelajar dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif.

Selain itu, menggalakkan usaha yang bersungguh-sungguh di kalangan pelajar dalam penerbitan majalah sekolah yang bermutu.

Juga untuk memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada usaha pemupukan minat dan bakat para pelajar yang berkebolehan menghasilkan karya-karya yang bermutu, yang juga sebahagian daripada khazanah sastera dan ilmu negara serta penghargaan dan pengiktirafan kepada usaha pihak sekolah menerbitkan majalah sekolah yang bermutu.

“Hanya majalah tahunan rasmi sekolah terbitan tahun semasa yang layak dipertimbangkan. Jika majalah berkenaan diterbitkan dalam lebih daripada satu bahasa (pengantar), salah satu bahasanya mestilah berbahasa Melayu, dan kandungan bahasa Melayunya mestilah sekurang-kurangnya 60 peratus.”

Tarikh tutup penyertaan ialah pada 2 April.

Borang boleh didapati di DPP Cawangan Sarawak atau muat turun melalui laman wed di alamat http://www.dbp.gov.my.

(Utusan Sarawak, 6 Mac 2008)

Teater Berkala 2008 kembali


RADIN AZHAR AHMAD

DALAM memperkasakan pembangunan bidang seni pentas, impak yang positif dapat dikesan kebelakangan ini apabila didapati bertambahnya bilangan kumpulan yang terlibat dan pertambahan individu baru dalam suatu produksi.

“Malah, program ini bukan saja mensasarkan kepada kumpulan yang profesional tetapi memberi peluang kepada kelompok amatur juga,” kata Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian Warisan Sarawak, Chua Tek Luwi.

Katanya, “Di samping itu, perkembangan yang positif dapat dikesan apabila semakin bertambah jumlah penonton yang hadir menyaksikan setiap persembahan.”

Menurutnya, itu petanda baik kepada penggerak seni budaya tanah air agar terus berkaya dan menambah koleksi sama ada dalam bentuk pengarahan, skrip dan pelakonnya.

“Daya cipta dan kreativiti yang tinggi harus dituntut dan diadunkan dalam bentuk persembahan agar bersesuaian dengan citarasa dan relevan pada akal fikiran mereka.”

Bidang teater di Sarawak katanya, masih jauh ketinggalan dari segi popularitinya jika dibandingkan dengan negeri di Semenanjung.

“Ini kerana dipengaruhi faktor sebaran maklumat yang terhad kepada masyarakat,” tambahnya.

Maka, dengan itu memperbanyakkan bilangan pementasan sepanjang tahun yang bermula dari tahun 2007.

Kemunculan Pementasan Teater Berkala 2008 jelasnya, akan menjadi satu ruang kepada kumpulan-kumpulan teater di negeri ini untuk terus bergerak aktif untuk persediaan Festival Teater Malaysia Peringkat Negeri yang diadakan secara dwi tahunan.

“Di samping itu, inilah pendekatan terbaik untuk masyarakat menonton dan seterusnya mengenali secara dekat jenis pementasan teater yang diadakan secara bulanan.

“Setiap kumpulan harus menanam tekad yang tinggi untuk mengangkat karya-karya mereka tidak mustahil suatu hari sampai setaraf dengan pementasan tahap Istana Budaya.”

Objektif pementasan teater berkala ialah,
i. Bidang teater diangkat untuk merakyatkan seni budaya bangsa Malaysia;
ii. Sebagai melahirkan pelapis penggerak teater generasi baru;
iii. Untuk menjalinkan kerjasama dan semangat muhibah antara ahli kumpulan;
iv. Menambahkan bilangan penglibatan penganjuran egensi kerajaan, badan berkanun, kerajaan tempatan dan pihak korporat; dan,
v. Mengangkat bidang teater sebagai elemen media hiburan, kritikan sosial, pembelajaran dan pembentukan disiplin.

Katanya, program itu merupakan program kesinambungan Pementasan Teater Berkala 2007.

“Semoga penglibatan kumpulan ini akan melahirkan lebih ramai bilangan penggiat teater yang berkebolehan dari ilmu pengarahan, penulisan, penulis nashkah skrip baru, lakonan dan penyediaan prop atau set.

“Sokongan daripada berbagai pihak amatlah diharapkan untuk memartabatkan perkembangan berterusan bidang teater di negeri ini,” katanya.

(Utusan Sarawak, 6 Mac 2008)