Penulis senior, muda dituntut bekerjasama

PERSATUAN penulis yang diwujudkan di kebanyakan negeri termasuk Sarawak (beberapa persatuan penulis) akan merangka banyak program untuk ahli-ahlinya, terutama untuk melahirkan ramai kalangan penulis baru untuk bersama-sama berjuang dengan penulis sedia ada.

Pun demikian, terdapat juga persaingan dalam berpersatuan yang mungkin akan membawa kebaikan. Tidak kurang pula akan membawa kepada masalah. Akhirnya, persatuan tidak dapat bergerak untuk melaksanakan sekian banyak program ataupun aktiviti yang telah, sedang dan bakal dilaksanakan.

Dalam hal demikian, seolah-olah semacam 'individu A tidak setuju dengan individu B'. Jika sikap sedemikian masih dikekalkan dan masih juga mengatakan mewujudkan persaingan, maka ia hanya memusnahkan sastera Sarawak itu sendiri. Juga persatuan penulis.

Kita tidak mungkin mahu perkara yang sama berulang iaitu tidak ada persatuan yang mewakili keseluruhan Sarawak. Kita bertuah kerana mempunyai Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) di bahagian utara negeri ini, dan Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa) di bahagian selatan.

Lebih menarik, kedua-dua persatuan ini turut berdaftar sebagai ahli Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA). Bermakna, penulis dari negeri ini tidak ketinggalan dalam arena kesusasteraan dan kebahasaan kebangsaan.

Jika pergolakan berlaku, kita tidak mahu akan membawa masalah kepada persatuan penulis. Bayangkan bagaimana keadaan penulis di selatan Sarawak apabila tidak ada persatuan penulis yang mewakili mereka.

Dahulu, sudah berapa lama bahagian Kuching tidak mempunyai persatuan penulis. Kemudian kewujudan Pekasa telah menampung kekosongan tersebut yang akhirnya kini bakal berusia lima tahun. Walaupun masih mudah, tetapi sudah cukup berpengalaman untuk berjuang dalam dunia sastera dan bahasa.

Apa yang kita tidak mahu ialah masalah yang mungkin timbul hanya akan menyebabkan masalah kepada persatuan. Dulu kita ada macam-macam persatuan. Antaranya Gabungan Persatuan Penulis Sarawak (GPPS), PEBAS, AKSARA dan sebagainya (sekadar menyebut beberapa nama persatuan), tetapi kewujudannya tidak kekal hingga ke hari ini.

Lantas, siapa yang akan mewakili penulis sedia ada di peringkat nasional. Sebab itu pernah dikatakan bahawa penulis kita di Sarawak ini sukar untuk menembusi medan sastera nasional. Alasannya, ialah kita tidak mempunyai jaringan yang rapat. Jikapun mempunyai jaringan mungkin ia sekadar bersifat individu. Bukan berpersatuan.

Kini, semuanya sudah berubah. Melalui persatuan penulis ramai kalangan penulis kita sudah dikenali di arena kebangsaan. Satu kebanggaan kepada negeri ini. Telah muncul Abizai Abi yang memenangi hadiah sastera di peringkat nasional, juga Poul Nanggang, Jaya Ramba (sekadar menyebut beberapa nama) yang telah memeriahkan sastera Sarawak dan nasional.

Itu di peringlkat PUTERA. Di peringkat Pekasa pula, kita ada Ja'afar Haji Hamdan, Pharo Abdul Hakim, Haji Taufik Firdaus, Dahiuri Saini dan Mohd Faizal Jamil (sekadar menyatakan beberapa nama). Semuanya sudah menempa nama di arena sastera kebangsaan.

Wujudnya persatuan penulis sebenarnya memberikan sinar untuk melahirkan lebih ramai penulis. Tetapi bukan untuk mewujudkan persaingan.

Atas sebab ini, penulis ingin menegaskan bahawa sastera Sarawak akan maju jika setiap penulis mengenepikan sikap tidak senang antara satu sama lain.

Bekerjasama adalah jalan terbaik. Tidak kira penulis itu senior ataupun muda. Mereka saling memerlukan. Sastera Sarawak akan malap dan musnah juga oleh penulis itu sendiri jika beranggapan orang lain adalah pesaing tidak sihat baginya.

Oleh itu, apa yang harus dilakukan sekarang? Mewujukan kerjasama sesama penulsi dan badan penulis atau tidak?