Pertandingan mencipta dan menyanyikan lagu puisi

BERSEMPENA sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-50 peringkat negeri Sarawak, Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak akan menganjurkan Pertandingan mencipta dan menyanyikan lagu puisi (berkumpulan).

Pertandingan tersebut bermula Julai hingga Disember ini. Dalam hal ini, kumpulan puisi yang menyertai pertandingan tersebut akan melalui saringan pada 3 hingga 10 Ogos depan, sementara pertandingan akhir dijangka pada 24 Ogos depan. Program ini antara lain bertujuan untuk memasyarakatkan puisi secara komersial yang bertemakan hiburan berilmu.
Objektif penganjuran ialah:

1. Memasyarakatkan puisi dengan kaedah hiburan yang bermanfaat, bersumberkan nilai ilmu puisi.

2. Membina daya upaya pencinta muzik terhadap penciptaan lagu-lagu puisi bagi mengisi ruang komersial selaras dengan perkembangan semasa.

3. Mempekasakan kebermaknaan puisi sebagai sebuah "lagu" yang dapat memberi nilai baru dalam dunia hiburan dan muzik.

4. Menghidupkan kejiwaan puisi dalam bentuk sebuah "lagu" yang mampu mencetuskan nilai emosi bagi membina pemikiran masyarakat melalui hiburan berilmu.

5. Menyerikan lagi suasana perayaan sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Negera ke-50.

Sementara tema pertandingan ialah ‘Memasyarakatkan Puisi Melalui Hiburan Berilmu’. Program itu bercorak pertandingan di kalangan pencinta muzik dan peminat puisi, dengan menjadikan puisi yang telah diterbitkan sebagai lagu dalam bentuk berkumpulan yang dipersembahkan secara langsung.

Untuk menyertai pertandingan tersebut, setiap kumpulan tidak melebihi lima orang termasuk penyanyi. Selain itu, setiap kumpulan dikehendaki menyampaikan sebuah lagu puisi ciptaan para peringkat saringan dan dua lagu puisi ciptaan pada peringkat akhir.

Setiap penyertaan mestilah menggunakan puisi yang dihasilkan oleh penulis Sarawak yang telah diterbitkan (dibukukan). Dalam konteks ini, hanya buku terbitan DBP atau PEKASA sahaja.
Setiap puisi yang dijadikan lagu hendaklah tidak kurang tiga minti dan tidak melebihi enam minti dinyatikan (termasuk intro san solo).

Johan akan menerima RM1,000 serta hadiah iringan, naib johan (RM750 serta hadiah iringan), tempat ketiga (RM500 dan hadiah iringan). Sementara lagu terbaik akan menerima RM100, Persembahan Terbaik (RM100). Hadiah khas akan diberikan kepada kumpulan paling popular iaitu pemenang dipilih berdasarkan undian penonton dalam pertandingan akhir).

Pertandingan tersebut diharapkan akan menjadi landasan untuk masyarakat mencintai puisi dan seterusnya sama-sama memberi makna kepada puisi, khususnya puisi yang dihasilkan oleh penulis Sarawak. Akhirnya, puisi menjadi wahana memugarkan nilai fikir, menyegar nilai rasa dan menyedarkan nilai insaf masyarakat terhadap kehidupan.

(Disiarkan di Utusan Sarawak, Khamis 28 Jun 2007)

Ja’afar Hamdan dilantik Ketua Satu PEKASA


PENULIS muda Sarawak, Ja’afar Haji Hamdan yang sebelum ini bertindak sebagai Setiausaha Satu Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) dipilih sebagai Ketua Satu PEKASA bagi sesi 2007 hingga 2009.

Pemilihan tersebut diadakan pada Mesyuarat Agung PEKASA Sesi 2007-2009 di Bilik Seminar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak. Sekitar 25 ahli PEKASA yang berdaftar sebagai ahli hadir untuk pemilihan tersebut.

Pemilihan Ja’afar Hamdan sebagai Ketua Satu dilihat oleh banyak pihak sebagai perubahan yang dimahukan oleh ramai penulis untuk melihat lebih ramai penulis muda dalam penulisan kreatif di negeri ini dilahirkan.

Malah, penglibatan secara langsung Ja’afar dalam dunia penulisan kreatif iaitu selain sebagai penulis kreatif dan bertindak sebagai pegawai berkaitan pengembangan kesusasteraan di Dewan Bahasa dan Pustaka dianggap oleh banyak pihak sebagai kelebihan.

Pada pemilihan tersebut juga, Jais Sahok diipilh sebagai Ketua Dua, Hajah Bibi Sabariah Haji Abang Awet (Setiausaha Satu), Norhidayah Bujang (Setiausaha Dua), sementara Pharo Abdul Hakim pula mengekalkan jawatan Bendahari.

Sementara itu, enam jawatankuasa yang turut dipilih ialah Hajah Latifah Haji Mohd Shebli, Awang Kelana Awang Hassan, Dahiri Saini, Mohd Faizal Jamil, Ardi Sa’ait dan Radin Azhar Ahmad.

(Disiarkan di Utusan Sarawak, Khamis, 28 Jun 2007)

Lahirnya seorang penyair


oleh ZACHARIA ABDUL MANAN

bermain api, seringkali
seringkali, terbakar diri
tak pernah ngeri, seringkali

Sajak pendek ini tersiar di laman blog penyair muda Yusuffansuri (dari blog ‘Puisi Fansuri’). Biarpun hanya mengandungi sepuluh patah perkataan, ia menepati tafsiran Samuel Taylor Coleridge yang mengatakan "puisi adalah kata-kata terbaik dalam susunan yang terbaik". Namun itu sajakah yang dapat ditawarkan oleh penyairnya? Apakah kekuatan sajak pendek ini?

Bagaimanakah harus kita menanggapi sajak seperti ini? Soalan demi soalan pasti akan menerjeh pemikiran khalayak. Sajak pendek ini hanya satu contoh daripada berpuluh sajak Yusuffansuri yang mempunyai pola pengucapan yang sama. Saya teringat sebuah lagi puisinya yang pernah diulas oleh Penagunung yang berjudul ‘Berahi Peluru Hidup’ yang kira-kira berbunyi:

Berahi Peluru Hidup!
membenam ke dalam aku!
Cedera Yang Bahagia

Penagunung mengatakan, "Sajak yang pendek tetapi segar pengucapannya. Ia pendek (jumlah kata cuma 10) tetapi mampu membuka ruang perenungan yang tinggi. Yusuffansuri nampaknya lebih mempunyai kesedaran untuk pemilihan kata yang intensif dengan tidak mengabaikan wacana yang telah direncanakan sedemikian rupa supaya kelihatan melakukan penyimpangan atau deotomatisasi – (yang biasa, yang normal, yang automatik dibuang, yang dipakai harus khas, aneh, menyimpang, luar biasa ; Victor Shklovsky , Erlich)"

Dua puisi itu sebenarnya sudah cukup menimbulkan satu letusan perasaan didalam diri saya untuk cuba meneliti warna, gerak dan rasa seorang penyair muda daripada suku-sakat Angkatan Pengkarya Indie (API) itu. Untuk ini,saya teringat sebuah lagi petikan daripada kritikus sastera tersohor A. Teeuw, "membaca karya sastera menuntut pembaharuan diri yang terus-menerus, penyesuaian diri dengan sistem konvensi yang tidak pernah stabil, menghendaki kehalusan budi dan setiap kali bersedia untuk membuka diri bagi kejutan dan penyimpangan yang membingungkan."

Barangkali itulah yang harus saya dilakukan - "membuka diri bagi kejutan dan penyimpangan yang membingungkan". Apabila menelusuri pengkaryaan Yusuffansuri (daripada beberapa antologi ‘underground’ seperti ‘Edan Waktu Kasmaran’, 'Kembali Kepada Tuhan',‘Tubuh Bercinta’ dan ‘Tubuh-tubuh Bercinta’) saya tergugah akan kecenderungan penyair muda itu memanipulasikan unsur inversi sehingga ke satu tahap yang saya percayai terlalu ekstrem pemanipulasiannya itu. Inversi bukanlah unsur yang asing bagi sesiapa yang telah lama menulis puisi.

Definisi Encyclopedia Britannica meletakkan unsur inversi sebagai "pembalikan sintaktik dalam susunan normal kata-kata ataupun frasa didalam sesebuah ayat. Contohnya didalam bahasa Inggeris; perletakan adjektif selepas kata benda ('the form divine'), kata kerja sebelum subjek ('came the dawn') ataupun kata benda mendahului preposition ('world between'). Saeorang penyair terkemuka barat Emily Dickinson mempunyai kecederungan untuk menyusun kata-kata di luar kebiasaannya. Di dalam sajak ‘Chartles’s beliau menulis, "Yet know I how the heather looks (sepatutnya "Yet I know…" )dan "Yet certain am I of the spot (sepatutnya " Yet I am certain…" ) Sementara di dalam sajak Humbert Wolfe ‘Love In Jeopardy’ terdapat pembalikan yang pelik tetapi logic seperti berikut : " here by the rose/ they planted once/ of love in jeopardy/ an Italian bronze" yang pada susunan kebiasaannya ia berbunyi, "once upon a time they erected (planted) a bronze figure named 'Love In Jeopardy' (or Danger)" Penggunaan inversi oleh kedua-dua penyair itu menjadikan karya mereka berada di luar daripada dunia realiti kita. Namun dalam aspek lebih penting, penggunaan inversi juga memindahkan keutamaan kata-kata kepada yang lebih mustahak yakni mendinamiskan lagi sari kata-kata. Lihat pada contoh ini :

Dalam resah
Kita bertemu melerai cuba
Simpul gelisah

Seperti di dalam petikan rangkap sajak ‘Dan Berlalu’ di atas (dari blog ‘Lagu Makhluk Asing Timoer Jauh’) , penggunaan inversi dikesani pada baris ketiga ‘melerai cuba’ yang mana penyairnya cuba mengalih kepentingan maksud kepada perkataan 'cuba'. Ertinya yang diberi tekanan dinamis ialah 'percubaan ' atau 'usaha' yang dilakukan untuk melerai simpul gelisah itu. Ini ialah satu contoh kebijaksanaan penyair dalam menyampaikan maksud puisinya.

Unsur inversi ini barangkali membentuki sifat dan sikap penyairnya. Bersumberkan latar hidup yang keras tantangan intelektual membuatkan kejiwaannya aktif di luar kotak konvensi, tidak mudah menjadi conformist (penurut) ataupun sekadar pengikut membabi-buta, sering cuba melihat opportunity baru yang boleh diterokai biarpun ia menyonsang arus perdana. "

Nilai estetik kata didalam sajak itu biasanya merujuk kepada intuisi atau kepekaan dan pengalaman seorang penyair sehingga mampu menciptakan pengertian kata dalam dimensinya yang baru "Titon Rahmawan [Galeri Karya, Cybersastra] Sehubungan ini, inversi menjadi satu penyataan welschastauung (world view) penyairnya yang pada akhirnya menjadi sandaran ataupun kekuatan kepenyairan Yusuffansuri !Pada pandangan saya puisi-puisi Yusuffansuri berada dalam lingkungan ‘predominantly intuitive, imaginative and synthetic’ Herbert Read, suatu yang baru, barangkali ? Namun dalam konteks kita, sesungguhnya unsur inversi ini sebenarnya bukanlah unsur yang begitu besar kesan penggunaannya.

Barangkali sesetengah sasterawan akan mengatakan, "whats the big deal. Its no big deal !" yakni ia hanyalah sekadar pembalikan kata-kata daripada kebiasaannya. Namun di tangan Yusuffansuri, unsur tersebut telah memberikan satu dimensi pengucapan unik dan segar baginya (dan juga bagi sastera tempatan) kerana ia digunakan dengan begitu kreatif sekali. Lihat contoh ini.

Guris kecewa terasa
pedih masihluka, cuba meraba
curiga pecah berderai kacatanganku berdarah cinta

('Guris' daripada 'Edan waktu Kasmaran')

Ya, sebegitu baik sehingga Yusuffansuri mampu menjadikannya sebagai satu bentuk seni (baca:pengucapan, ekspresi) yang otentik, menjadikan puisinya lain daripada yang lain, menjadikan kepenyairannya unik dan berkeperibadian. Barangkali inilah maksudnya apabila Yu Huang (novelis kontraversial China itu) mengatakan bahawa " a genuine writer writes solely from the inner most heart" Saya lebih suka merujuk aspek ‘the inner most heart itu sebagai ‘batin’, ‘sanubari’, ‘sukma’. ‘nurani’, ‘ jiwa’ atau nuansa yang lebih bermakna ialah ‘roh’.

Teringat saya beberapa waktu dahulu, Yusuffansuri pernah menyatakan ingin berhenti menulis puisi hanya disebabkan beliau buntu ilham. Saya hanya menyarankan agar dia kembali kepada dirinya dan mulai membongkar kemampuan lain. "Memandang matahari dari satu sudut, memandang manusia dari segenap segi," saya memetik kata-kata Rendra sebagai motivasi. Semenjak itu dia tidak berhenti bereksperimen dengan’ inner most heartnya’, membongkar lubuk kreativiti paling dalam yakni kemungkinan lain di dalam diri (sumur tanpa dasar itu).

Benar seperti apa yang dinyatakan Rendra,"peribadi kreatif selalu merasa perlu untuk menilik dan memperbetul diri. Dia perlu mencipta suasana terbuka di dalam jiwanya sehingga dia bisa melakukan pembetulan diri. Pembetulan seperti itu tidak cukup dengan kritik oleh diri sendiri tetapi juga daripada orang lain. Kritik dan pembetulan ini sangat ditakuti oleh peribadi yang mekanis, namun merupakan sarana yang utama bagi peribadi yang kreatif"Sehingga ke hari ini Yusuffansuri masih lagi giat dalam proses, proses dan proses mematangkan dirinya!Sebagai penulis, Yusuffansuri telah lama wujud di persada sastera tempatan ini seperti juga penulis lain.

Diakui beliau memang telah agak lama juga bergelut di dalam dunia sastera Darul Hana ini terutama melalui pergerakan ‘underground’ API. Perkembangannya cukup memberangsangkan- tahun 2000 dihantar ke Perhimpunan Penulis Melayu SeNusantara di Batam, sekembalinya dari Batam menubuhkan Ikatan Karyawan Sarawak (selepas itu API), tahun 2005 beliau diiktiraf didalam Hadiah Penghargaan Sastera Sarawak melalui sajak ‘Ramadhan’ dan pada waktu itu jugalah beliau mengedarkan antologi ‘underground’ pertamanya berjudul ‘Edan waktu Kasmaran’, memperkenalkan kepada khalayak sastera akan pengucapan mutakhir daripada dirinya, sesuatu yang unik dan tulen.

Ketika itulah Yusuffansuri sebenarnya baru melangkah (baca:layak bergelar) sebagai seorang penyair dengan kredo keseniannya yang berpaksikan inversi itu dan kerana itu puisinya tiada bandingan dengan penulis lain yang seangkatannya hanya kerana ia datang daripada jiwa yang berakar umbi daripada dirinya, sesuatu yang berkeperibadian. Seperti mana juga ketika Sutardji mengumumkan kredo keseniannya, "Kata-kata bukanlah alat mengantarkan pengertian. Dia bukan seperti pipa yang menyalurkan air. Kata adalah pengertian itu sendiri. Dia bebas.... Bila kata telah dibebaskan, kreativitas pun dimungkinkan.... Menulis puisi bagi saya adalah membebaskan kata-kata, yang berarti mengembalikan kata pada awal mulanya. Pada mulanya adalah Kata. Dan, kata pertama adalah mantra. Maka, menulis puisi bagi saya adalah mengembalikan kata kepada mantra."

Hari ini genaplah niat untuk memperkatakan tentang seorang penyair yang saya kenal. Lalu dengan berlangsungnya penyiaran rencana ini, maka sempurnalah sebuah proklamasi tentang kelahiran seorang penyair di bumi Sarawak Darul Hana. Seorang penyair yang diharap dapat membawa cabaran kesusasteraan Sarawak ke peringkat lebih tinggi, bukan dengan karya yang mengkal tetapi sebuah bentuk pengucapan unik, segar dan tulen yang kelak akan menjadi warisan kebanggaan dunia sastera Sarawak, ‘keterbalikan Yusuffansuri’! Tiadalah sebesarMuditerbang akuoleh angin ('Debu' daripada 'Kembali Kepada Tuhan')

Tamat: (Disiar di Utusan Sarawak, 21 Jun 2007)

PEKASA wujud ikatan karyawan Sarawak


PERSATUAN Karyawan Sarawak, atau ringkasnya PEKASA akan mengadakan Mesyuarat Agung PEKASA pada 23 Jun 2007 ini di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak. Walaupun masih setahun jagung, dan dilihat sebagai adik bongsu kepada Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA), namun PEKASA telah menunjukkan kematangan, dan kehadirannya diterima oleh banyak pihak. Untuk itu, Wartawan Sastera Utusan Sarawak, RADIN AZHAR AHMAD menemui Setiausaha Satu PEKASA, Ja’afar Haji Hamdan untuk meninjau penerimaan persatuan tersebut di Sarawak dan arena kebangsaan.


Soalan: Bila Mesyuarat Agung PEKASA diadakan?


Jawapan: Mesyuarat Agung PEKASA akan diadakan pada 23 Jun 2007 bermula jam 8.00 pagi bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak. Tahun ini akan diadakan pemilihan Ahli Jawatankuasa baru PEKASA bagi sesi 2007-2009.


Matlamat PEKASA ditubuhkan?


Sebenarnya rasa kesedaran beberapa karyawan tentang perlunya kegiatan dan gerakan secara kolektif dalam hal-hal penting yang melibatkan penulis, penulisan dan kesusasteraan, maka pada 27 Mei 2004 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, telah diadakan pertemuan di kalangan karyawan yang membawa kepada dasar hendak menubuhkan satu persatuan dan mereka sebulat suara bersetuju menubuhkan Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) sebagai penjelmaan cita-cita dan sikap penulis Sarawak, walaupun bukan mewakili keseluruhannya, dengan tujuan;
1. Menyatupadukan penulis-penulis Sarawak yang menulis dalam bahasa Melayu;
2. Mempertahankan dan memperjuangkan hak-hak dan kepentingan-kepentingan penulis;
3. Memberikan sumbangan moral dan material secara positif kepada tujuan dan cita-cita PEKASA;
4. Mengusahakan peluang-peluang untuk penulis-penulis memajukan bakat mereka;
5. Menyatupadukan semua karyawan dan rakyat negeri ini menerusi bahasa rasmi yang tunggal iaitu Bahasa Melayu;
6. Berusaha untuk memajukan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu Malaysia di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.


Melihat sejarah berpersatuan di Sarawak, apakah PEKASA mampu mengharungi keadaan tersebut?


Sebenarnya kerja berpersatuan ini bukan perkara mudah. Pertama, PEKASA wujud setelah melalui zaman kegelapan berpersatuan di Sarawak. Tumbuh, hilang dan terkubur seakan satu sumpahan. Tetapi PEKASA melihat hal ini sebagai satu perkara yang positif, kerana Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) masih mampu bertahan dan telah merayakan Jubli Perak penubuhannya.


Cuma PEKASA memerlukan sokongan padu di kalangan karyawan Sarawak, sama ada sebagai ahli atau bukan ahli. Sebab, PEKASA pada zahirnya sahaja terbentuk untuk ahli tetapi batin perjuangannya adalah untuk semua karyawan yang berada di Sarawak.


Perjuangan PEKASA adalah untuk sastera dan bahasa Melayu, khususnya di Sarawak. Justeru PEKASA bergerak dalam langkah yang berhati-hati, tidak berani terlalu berlari, melangkah, menerjah. Tidak. PEKASA bergerak dalam alun semasa, sesekali perlahan, sesekali deras tetapi dalam rentak yang sama dengan kehendak persekitarannya.


Harus kita fahami, ahli yang ramai bukan jaminan keperkasaan berpersatuan. Yang penting di kalangan ahli PEKASA yang dipilih menjalankan tanggungjawab semampunya. Bukan untuk kepentingan individu tetapi kepentingan bersama. Justeru, saya percaya PEKASA mampu berdepan dengan pelbagai cemuhan, desakan dan hambatan yang semakin mencabar kini.


Melihat PUTERA, apakah PEKASA mampu menjejaki kelangsungan mereka?


Sejujurnya kita harus menerima bahawa PUTERA memang sebuah persatuan yang cukup berjaya di Sarawak dan PEKASA menghormati mereka, bahkan sebagai abang sulung. PEKASA hanya adik bongsu yang masih mencari jejak-jejak kelangsungan itu. Tidak mustahil, PEKASA mempelajarinya daripada mereka. Kebetulan kami sama-sama menjadi kerabat Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), jadi tidak ada masalah untuk "bersatu" dalam sebarang kegiatan.


PEKASA wujud bukan untuk menyaingi PUTERA tetapi berhasrat mewujudkan ikatan di kalangan karyawan di Sarawak. PEKASA hanya menjadi medan untuk karyawan bertukar-tukar fikiran, merencana kegiatan yang bernas dan bertindak mengikut lunas yang sewajarnya.
Bahkan PEKASA mampu bersama-sama dengan pihak lain dalam apa-apa juga kegiatan selagi kegiatan tersebut menjurus ke arah kepentingan bersama, khususnya untuk sastera dan bahasa Melayu di Sarawak.


Berdasarkan niat dan hasrat itu, tidak mustahil PEKASA mampu bersama-sama mengiringi PUTERA untuk memartabatkan sastera di Sarawak. Apatah lagi dengan kewujudan WARISMU di Mukah, sudah tentu Sarawak mempunyai kekuatan dalam kesusasteraan kerana PUTERA di utara, WARISMU di tengah dan PEKASA di selatan.


Melihat perkembangan semasa, hal-hal kebahasaan dan kesusasteraan semacam dipinggirkan dalam arus pembangunan? Bagaimana PEKASA berdepan dengan situasi ini?


Kurang setuju. Sebenarnya perkembangan semasa tidak meminggirkan sastera atau bahasa tetapi kita yang tidak mampu mengiringi perkembangan tersebut. Perubahan minor yang berlaku dalam arus kehidupan berasaskan sains dan teknologi masih menjadikan bahasa dan sastera sebagai tunjang. Lantaran itu, agensi seperti Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWA) begitu agresif bergerak mengembalikan nilai kesopanan dan kesusilaan bangsa kita di landasan yang benar.


Begitu juga dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, masih gah menerajui hal-hal kebahasaan dan kesusasteraa, walaupun beberapa dasar atau aktanya mula dipertikaikan kerana kepentingan suasana semasa yang terlalu mendesak tetapi peranan utamanya masih terus dilakukan.


PEKASA sebenarnya cukup berterima kasih dan terhutang jasa bakti yang tidak terkira terhadap Ahli parlimen Petra Jaya, Haji Fadillah Haji Yusof, selaku penaung PEKASA yang tidak pernah jemu menyokong, membantu, memberi perhatian dan menyuntik dana bagi menjayakan kegiatan PEKASA.


Begitu juga dengan pihak agensi kerajaan seperti DBP Cawangan Sarawak, KeKKWA, pihak media seperti Utusan Sarawak yang mahu dan sanggup berkerjasama dengan PEKASA. Di samping sokongan karyawan yang berterusan. Gabungan ini semua memungkinkan PEKASA mampu menerobos nilai baharu dalam tanggapan dan pendekatannya. Insya Allah.


Harapan PEKASA?


PEKASA wujud daripada suara karyawan yang mahukan sastera dan bahasa Melayu dimartabatkan. Justeru, PEKASA hidup dalam suara tersebut. Tentu sekali, PEKASA berharap, sastera dan bahasa Melayu mampu berada pada aras yang sewajarnya. Usaha ini memerlukan satu kumpulan yang dilantik melalui PEKASA, mahu dan berhasrat penuh dedikasi membina persepsi baharu terhadap peranan karyawan dan nilai bawa melalui karya yang dicipta agar mampu mengajak masyarakat berubah, bukan memberontak.


Ini bukan bermakna tanggungjawab ini hanya terpikul di bahu PEKASA tetapi oleh setiap karyawan di Sarawak. PEKASA hanya menjadi wahana atau pengantara yang barangkali dapat menyuarakan sesuatu secara lebih berhemah dan telus. Ini pun bukan bermakna, pihak lain tidak berkemampuan melaksanakannya. Bukan. Apa yang PEKASA lakukan setakat yang termampu sebagai suara dan cita-cita karyawan yang bernaung di bawahnya.


Semahunya, PEKASA jangan dilihat sebagai bayangan persatuan yang ada sebelum ini, tetapi hendaklah dipandang sebagai ruang untuk memulakan sesuatu yang baharu dan lebih bermakna. Jangan jadikan kegagalan dahulu sebagai dorongan untuk emmbuktikan bahawa PEKASA turut juga gagal dalam usahanya.


Bagaimana pula PEKASA mahu merealisasi harapan tersebut?


PEKASA hanya mampu berusaha seadanya dengan pelbagai kekangan dan kewangan yang seadanya. Tetapi itu bukan bermakna, PEKASA mati akal, barangkali ada kaedah atau cara yang memungkinkan PEKASA berpijak di bumi yang nyata. Dalam waktu yang sama, barangkali PEKASA juga mampu membina realiti berdasarkan kemampuannya, bukan mendesak dalam ketidakupayaannya.


Tentu sekali hasrat ini memerlukan sokongan dan doa para karyawan sama ada sebagai ahli atau tidak. Walaupun demikian, usaha berterusan akan tetap menjadi misi PEKASA untuk membantu karyawan Sarawak. Mungkin tidak secara menyeluruh, kerana PEKASA tidak mahu menjadi "hero" dalam kancah sastera yang memualkan tetapi PEKASA ingin berjasa dalam sastera yang benar.


Sememangnya usaha ini sukar direalisasikan tetapi tidak mustahil selagi ada kemahuan dan kesedaran. PEKASA bukan mencari kepopularan dalam mencanang usahanya tetapi ingin membina kewibawaan dalam mempergiatkan usahanya. Justeru, usaha sama dan sokongan padu karyawan Sarawak amat-amat diperlukan bagi mempercepatkan usaha ini.


Pesanan PEKASA kepada ahlinya?


Pertama sekali terima kasih kepada Utusan Sarawak kerana sudi berkongsi cerita tentang PEKASA dan usahanya yang bertersuan membantu PEKASA dalam memperkenalkan diri PEKASA kepada karyawan di Sarawak.


Kepada ahli PEKASA, jangan lupa menjalankan tanggungjawab anda melaui Mesyuarat Agung PEKASA pada 23 Jun 2007 bermula jam 8.00 pagi bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak. Kepada karyawan yang belum menjadi ahli dan berminat untuk bersama-sama berjuang dalam PEKASA, jemput hadir. Sekian, salam hormat.

Nota: Disiarkan di akhbar Utusan Sarawak (21 Jun 2007)

Sarimah dalam kenangan


BIBI SABARIAH

BULAN Mei, saban tahun, sering dikaitkan dengan peristiwa menyambut Hari Pekerja juga Hari Guru, iaitu hari mengenangkan jasa semua penjawat kakitangan awam kerajaan serta penghormatan kepada warga pendidik dalam mengingatkan jasa dan bakti mereka mendidik anak-anak bangsa.

Memang wajar mengingatkan tarikh manis 1 dan 16 Mei memandangkan kedua-dua golongan itu antara pembentuk stastistik terbesar pekerja atau kakitangan kerajaan selepas polis dan tentera.

Pada 22 hingga 24 Mei lepas penulis sempat berkampung di Bahagian Betong bersama-sama warga pendidik Bumi Kenyalang dalam merayakan majlis Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak. Memang ‘happening’ mengikut istilah orang muda sekarang acara-acara yang diaturkan pihak penganjur seperti kempen derma darah, gotong royong, lawatan ke rumah panjang, ceramah, pameran pendidikan, senaman berirama, majlis Malam Apreasi Guru di Dewan Tan Sri Alfred Jabu, SMK St Augustine, serta acara kemuncak Majlis Sambutan Hari Guru pada 24 Mei yang dirasmikan oleh Tan Sri Datuk Alfred Jabu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak di Dewan Panglima Rentap, Betong.

Tahniah kepada pihak penganjur, tanpa persiapan rapi majlis tidak mungkin begitu berjaya dengan begitu gilang-gemilang. Terima kasih semua, terima kasih Betong! Kesempatan di sana, bertemu pula dengan ramai bekas pelajar SMK Tun Abang Haji Openg (TAHO) dan dari SMK St Augustine, Betong yang dikenali, yang kini sudahpun bergelar pegawai pelajaran@ guru-guru kanan @ cikgu-cikgu belaka!

Bagi menambah releven cerita, sekembali ke Kuching, pada 25 Mei 2007 penulis dikejutkan berita sedih kerana bekas pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Abang Haji Openg (SMK TAHO) tahun 1977 hingga 1984 (Tingkatan 1 hingga 6), Sarimah Alit yang mungkin mempunyai ramai class-mate atau school-mate yang bertebaran di merata ceruk negeri Sarawak, termasuk yang berkampung di Betong hari itu telah kembali ke Rahmatullah di kediaman keluarga di Jalan Field Force Kuching. Saat menerima panggilan Ilahi, Allahyarham sedang menerima rawatan kimoterapi rahim di Hospital Umum Sarawak di Kuching.

Semasa hayat, Allahyarham pernah beberapa tahun menjadi wartawan di akhbar Utusan Sarawak. Selama bersama beliau menceburi alam penulisan atas minat yang sama, walaupun jarak usia agak berbeza (antara guru dengan murid), kami semakin akrab sebagai rakan seperjuangan lalu sama-sama sering menghadiri bengkel dan seminar keilmuan seperti yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang lain.
Semasa hayat, beliau juga ahli persatuan penulis iaitu PEKASA (Persatuan Karyawan Sastera Sarawak). PEKASA khasnya dan rakan penggiat sastera Sarawak amnya, turut merasakan kehilangan sebutir permata yang berharga dalam dunia penulisan dan sastera Bumi Kenyalang.

Bakat serta kecintaan beliau terhadap penulisan sejak dari sekolah menengah lagi bukan sahaja membawa kejayaan dalam bidang kerjaya beliau sebagai wartawan malah menjadi perakam peristiwa apabila beliau menjadi penulis prolifik seangkatan Buang Haji Umar, Zakaria Ambi, Jamilah Morshidi, Haslinda Nong Chee, dan juga Jais Sahok yang sehinhha kini terus produktifi, sekadar menyebut beberapa nama.

Pertemuan penulis dengan kakak Allahyarham, Puan Jamayah Alit baru-baru ini merakamkan beberapa kemenangan hadiah berserta sijil beliau dalam:

i. Hadiah Saguhati Sastera Kreatif IX (Bahagian Fiksyen Sains) anjuran DBP, yang dimuatkan dalam Antologi ‘PELARIAN DARI BUMI’, berjudul ‘Makhluk Dari Santaurus’ dan ‘Tawanan Dari Anderoid’.

ii. Hadiah Skrip Cerita Radio Terbaik, calon Pertandingan Akhir Anugerah Sri Angkasa 89/90, skrip ‘Lingkaran Kasih,’ anjuran Radio Televisyen Malaysia, Kuala Lumpur.

iii. Hadiah Kedua Peraduan Menulis Sastera Kreatif Berunsur Sejarah, anjuran DBP Cawangan Sarawak sempena Jubli Delima Kemerdekaan Sarawak 2003, dengan novel berjudul ‘HIDAYAH’ yang ditukar ke judul ‘Naluri Hidayah’, dalam proses percetakan DBP 2007.

iv. Hadiah Kedua Peraduan Menulis Sastera Kreatif Negeri Sarawak 2003 dengan Novel berjudul ‘Qatrunnada’ anjuran Kerajaan Negeri dan DBP Cawangan Sarawak.
Selain itu cerpen-cerpen beliau juga dimuatkan dalam antologi, ‘Potret Luciana,’ ‘Pelarian Dari Bumi’, ‘Dalam Arus Kemelut’ selenggaraan DBP selain dimuatkan dalam akhbar-akhbar tempatan, akhbar nasional dan juga majalah-majalah.

Selain menulis, Allahyarham juga pernah bergiat dalam Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Beliau menjawat jawatan Setiausaha beberapa tahun bagi Ranting Kampung Astana Lot, Kuching. Sikap dedikasi dan serius dalam bekerja dan sifat peramah membuat beliau amat disenangi rakan-rakan kerja serta kawan di mana sahaja berada. Segalanya terakam sebagai kenangan manis yang tidak mungkin dapat dilupakan.

Namun setiap kita harus memahami bahawa kematian adalah perpisahan antara roh dan jasad, pertalian antara duniawi dan ukhrawi. Kita kena reda dan menerima hakikat itu. Justeru, selaku bekas guru yang menjadi rakan bersama-sama kerabat dalam Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) dengan rasa dukacita merakamkan salam takziah buat keluarga Allahyarham dengan iringan doa semoga roh Allahyarham Sarimah dicucuri rahmat dan sama-samalah kita hantar Allahyarham kembali ke alam tinggi tempat asal menemui al Khalik, Maha Pencipta, dengan iringan Al FATIHAH….
(Diterbitkan di Akhbar Utusan Sarawak, 14 Jun 2007)