PEKASA wujud ikatan karyawan Sarawak


PERSATUAN Karyawan Sarawak, atau ringkasnya PEKASA akan mengadakan Mesyuarat Agung PEKASA pada 23 Jun 2007 ini di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak. Walaupun masih setahun jagung, dan dilihat sebagai adik bongsu kepada Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA), namun PEKASA telah menunjukkan kematangan, dan kehadirannya diterima oleh banyak pihak. Untuk itu, Wartawan Sastera Utusan Sarawak, RADIN AZHAR AHMAD menemui Setiausaha Satu PEKASA, Ja’afar Haji Hamdan untuk meninjau penerimaan persatuan tersebut di Sarawak dan arena kebangsaan.


Soalan: Bila Mesyuarat Agung PEKASA diadakan?


Jawapan: Mesyuarat Agung PEKASA akan diadakan pada 23 Jun 2007 bermula jam 8.00 pagi bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak. Tahun ini akan diadakan pemilihan Ahli Jawatankuasa baru PEKASA bagi sesi 2007-2009.


Matlamat PEKASA ditubuhkan?


Sebenarnya rasa kesedaran beberapa karyawan tentang perlunya kegiatan dan gerakan secara kolektif dalam hal-hal penting yang melibatkan penulis, penulisan dan kesusasteraan, maka pada 27 Mei 2004 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, telah diadakan pertemuan di kalangan karyawan yang membawa kepada dasar hendak menubuhkan satu persatuan dan mereka sebulat suara bersetuju menubuhkan Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) sebagai penjelmaan cita-cita dan sikap penulis Sarawak, walaupun bukan mewakili keseluruhannya, dengan tujuan;
1. Menyatupadukan penulis-penulis Sarawak yang menulis dalam bahasa Melayu;
2. Mempertahankan dan memperjuangkan hak-hak dan kepentingan-kepentingan penulis;
3. Memberikan sumbangan moral dan material secara positif kepada tujuan dan cita-cita PEKASA;
4. Mengusahakan peluang-peluang untuk penulis-penulis memajukan bakat mereka;
5. Menyatupadukan semua karyawan dan rakyat negeri ini menerusi bahasa rasmi yang tunggal iaitu Bahasa Melayu;
6. Berusaha untuk memajukan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu Malaysia di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.


Melihat sejarah berpersatuan di Sarawak, apakah PEKASA mampu mengharungi keadaan tersebut?


Sebenarnya kerja berpersatuan ini bukan perkara mudah. Pertama, PEKASA wujud setelah melalui zaman kegelapan berpersatuan di Sarawak. Tumbuh, hilang dan terkubur seakan satu sumpahan. Tetapi PEKASA melihat hal ini sebagai satu perkara yang positif, kerana Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) masih mampu bertahan dan telah merayakan Jubli Perak penubuhannya.


Cuma PEKASA memerlukan sokongan padu di kalangan karyawan Sarawak, sama ada sebagai ahli atau bukan ahli. Sebab, PEKASA pada zahirnya sahaja terbentuk untuk ahli tetapi batin perjuangannya adalah untuk semua karyawan yang berada di Sarawak.


Perjuangan PEKASA adalah untuk sastera dan bahasa Melayu, khususnya di Sarawak. Justeru PEKASA bergerak dalam langkah yang berhati-hati, tidak berani terlalu berlari, melangkah, menerjah. Tidak. PEKASA bergerak dalam alun semasa, sesekali perlahan, sesekali deras tetapi dalam rentak yang sama dengan kehendak persekitarannya.


Harus kita fahami, ahli yang ramai bukan jaminan keperkasaan berpersatuan. Yang penting di kalangan ahli PEKASA yang dipilih menjalankan tanggungjawab semampunya. Bukan untuk kepentingan individu tetapi kepentingan bersama. Justeru, saya percaya PEKASA mampu berdepan dengan pelbagai cemuhan, desakan dan hambatan yang semakin mencabar kini.


Melihat PUTERA, apakah PEKASA mampu menjejaki kelangsungan mereka?


Sejujurnya kita harus menerima bahawa PUTERA memang sebuah persatuan yang cukup berjaya di Sarawak dan PEKASA menghormati mereka, bahkan sebagai abang sulung. PEKASA hanya adik bongsu yang masih mencari jejak-jejak kelangsungan itu. Tidak mustahil, PEKASA mempelajarinya daripada mereka. Kebetulan kami sama-sama menjadi kerabat Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), jadi tidak ada masalah untuk "bersatu" dalam sebarang kegiatan.


PEKASA wujud bukan untuk menyaingi PUTERA tetapi berhasrat mewujudkan ikatan di kalangan karyawan di Sarawak. PEKASA hanya menjadi medan untuk karyawan bertukar-tukar fikiran, merencana kegiatan yang bernas dan bertindak mengikut lunas yang sewajarnya.
Bahkan PEKASA mampu bersama-sama dengan pihak lain dalam apa-apa juga kegiatan selagi kegiatan tersebut menjurus ke arah kepentingan bersama, khususnya untuk sastera dan bahasa Melayu di Sarawak.


Berdasarkan niat dan hasrat itu, tidak mustahil PEKASA mampu bersama-sama mengiringi PUTERA untuk memartabatkan sastera di Sarawak. Apatah lagi dengan kewujudan WARISMU di Mukah, sudah tentu Sarawak mempunyai kekuatan dalam kesusasteraan kerana PUTERA di utara, WARISMU di tengah dan PEKASA di selatan.


Melihat perkembangan semasa, hal-hal kebahasaan dan kesusasteraan semacam dipinggirkan dalam arus pembangunan? Bagaimana PEKASA berdepan dengan situasi ini?


Kurang setuju. Sebenarnya perkembangan semasa tidak meminggirkan sastera atau bahasa tetapi kita yang tidak mampu mengiringi perkembangan tersebut. Perubahan minor yang berlaku dalam arus kehidupan berasaskan sains dan teknologi masih menjadikan bahasa dan sastera sebagai tunjang. Lantaran itu, agensi seperti Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWA) begitu agresif bergerak mengembalikan nilai kesopanan dan kesusilaan bangsa kita di landasan yang benar.


Begitu juga dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, masih gah menerajui hal-hal kebahasaan dan kesusasteraa, walaupun beberapa dasar atau aktanya mula dipertikaikan kerana kepentingan suasana semasa yang terlalu mendesak tetapi peranan utamanya masih terus dilakukan.


PEKASA sebenarnya cukup berterima kasih dan terhutang jasa bakti yang tidak terkira terhadap Ahli parlimen Petra Jaya, Haji Fadillah Haji Yusof, selaku penaung PEKASA yang tidak pernah jemu menyokong, membantu, memberi perhatian dan menyuntik dana bagi menjayakan kegiatan PEKASA.


Begitu juga dengan pihak agensi kerajaan seperti DBP Cawangan Sarawak, KeKKWA, pihak media seperti Utusan Sarawak yang mahu dan sanggup berkerjasama dengan PEKASA. Di samping sokongan karyawan yang berterusan. Gabungan ini semua memungkinkan PEKASA mampu menerobos nilai baharu dalam tanggapan dan pendekatannya. Insya Allah.


Harapan PEKASA?


PEKASA wujud daripada suara karyawan yang mahukan sastera dan bahasa Melayu dimartabatkan. Justeru, PEKASA hidup dalam suara tersebut. Tentu sekali, PEKASA berharap, sastera dan bahasa Melayu mampu berada pada aras yang sewajarnya. Usaha ini memerlukan satu kumpulan yang dilantik melalui PEKASA, mahu dan berhasrat penuh dedikasi membina persepsi baharu terhadap peranan karyawan dan nilai bawa melalui karya yang dicipta agar mampu mengajak masyarakat berubah, bukan memberontak.


Ini bukan bermakna tanggungjawab ini hanya terpikul di bahu PEKASA tetapi oleh setiap karyawan di Sarawak. PEKASA hanya menjadi wahana atau pengantara yang barangkali dapat menyuarakan sesuatu secara lebih berhemah dan telus. Ini pun bukan bermakna, pihak lain tidak berkemampuan melaksanakannya. Bukan. Apa yang PEKASA lakukan setakat yang termampu sebagai suara dan cita-cita karyawan yang bernaung di bawahnya.


Semahunya, PEKASA jangan dilihat sebagai bayangan persatuan yang ada sebelum ini, tetapi hendaklah dipandang sebagai ruang untuk memulakan sesuatu yang baharu dan lebih bermakna. Jangan jadikan kegagalan dahulu sebagai dorongan untuk emmbuktikan bahawa PEKASA turut juga gagal dalam usahanya.


Bagaimana pula PEKASA mahu merealisasi harapan tersebut?


PEKASA hanya mampu berusaha seadanya dengan pelbagai kekangan dan kewangan yang seadanya. Tetapi itu bukan bermakna, PEKASA mati akal, barangkali ada kaedah atau cara yang memungkinkan PEKASA berpijak di bumi yang nyata. Dalam waktu yang sama, barangkali PEKASA juga mampu membina realiti berdasarkan kemampuannya, bukan mendesak dalam ketidakupayaannya.


Tentu sekali hasrat ini memerlukan sokongan dan doa para karyawan sama ada sebagai ahli atau tidak. Walaupun demikian, usaha berterusan akan tetap menjadi misi PEKASA untuk membantu karyawan Sarawak. Mungkin tidak secara menyeluruh, kerana PEKASA tidak mahu menjadi "hero" dalam kancah sastera yang memualkan tetapi PEKASA ingin berjasa dalam sastera yang benar.


Sememangnya usaha ini sukar direalisasikan tetapi tidak mustahil selagi ada kemahuan dan kesedaran. PEKASA bukan mencari kepopularan dalam mencanang usahanya tetapi ingin membina kewibawaan dalam mempergiatkan usahanya. Justeru, usaha sama dan sokongan padu karyawan Sarawak amat-amat diperlukan bagi mempercepatkan usaha ini.


Pesanan PEKASA kepada ahlinya?


Pertama sekali terima kasih kepada Utusan Sarawak kerana sudi berkongsi cerita tentang PEKASA dan usahanya yang bertersuan membantu PEKASA dalam memperkenalkan diri PEKASA kepada karyawan di Sarawak.


Kepada ahli PEKASA, jangan lupa menjalankan tanggungjawab anda melaui Mesyuarat Agung PEKASA pada 23 Jun 2007 bermula jam 8.00 pagi bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak. Kepada karyawan yang belum menjadi ahli dan berminat untuk bersama-sama berjuang dalam PEKASA, jemput hadir. Sekian, salam hormat.

Nota: Disiarkan di akhbar Utusan Sarawak (21 Jun 2007)

1 comment:

pharmy53 said...

Tahniah Jaafar. Saya yakin keupayaan sdr memimpin. Tahniah Radin, teruskan usaha yang tidak kenal penat lelah .