Penulis Muda: Menelusuri pengalaman, pengamatan Putera


Oleh
PENA PERMATA

Saya masih ingat ketika Saudara Jaafar Hj Hamdan(kini Ketua I PEKASA) masih berkhidmat di DBP Kuala Lumpur, mengeluarkan suatu kenyataan di bahawa Sarawak tidak mempunyai penulis muda, maka ramai orang termasuk berasa dirinya penulis marah lalu tersinggung dengan kenyataan itu.

Hal itu diluahkan ketika “Perkampungan Penulis Muda di Melaka” beberapa tahun yang lalu. Akan tetapi kita harus menerima hakikat bahawa kita memang tiada penulis muda yang mampu ditonjolkan berdiri dengan pengarang muda dari negeri lain di Malaysia.

Saya berasakan hal itu adalah suara jujur Saudara Jaafar Hj Hamdan selaku orang yang kuat menggerakkan penulis di Sarawak, beliau melihat dari pengamatan dan kunjungan ke merata pelosok Sarawak. Tentunya beliau telah menilai dirnya dan kenyataan itu sebelum ia lahir dari jiwa jujurnya.

Bercakap soal penulis muda, dimana-mana pun memang sulit mencari penulis muda yang tahan uji. Memang ramai yang ingin dan mahu menjadi penulis, pengarang, pengkarya atau pelbagai jenama yang seumpama itu maknanya, tapi gagal menterjemahkan kesinambungan dalam bidang ini.

Menurut Dr. Jeniri Amir, seorang pensyarah di UNIMAS juga seorang pengkritik sastera dan juga pengkritik politik yang berani dan lantang, antara lain menyebut bahawa, “tiada orang yang mahu mengarahkan kita menjadi penulis.” Kita yang mahukan dan suka menjadi penulis. Maka oleh itu kita mesti menjalankan tanggungjawab itu dengan sebaik mungkin bagi merealisasikan hasrat niat dan hajat yang sekian lama kita pendamkan.

Kita memang banyak berpolemik posisi dan takrif penulis muda itu sendiri. Penulis muda itu tidak mengira usia tetapi lebih fokus kepada usia kepengarangannya dalam bidang kreatif atau penulisan. Kalau seorang mahasiswa sudah menulis dan menghasilkan beberapa buku contohnya, kita tidak boleh melabelkan beliau sebagai penulis muda walaupun usianya muda belia, tapi umur kepengarangannya sudah semakin matang.

Penulis yang berusia boleh dianggap sebagai penulis muda kerana mengira saat ia mulai berjinak-jinak dengan dunia kepenulisan ini pada peringkat usia menghampiri senja. Tiada siapa pun yang patut menyalahkannya lewat menceburi bidang ini kerana memulaiya di saat-saat akhir usia emasnya, tetapi ia patut dicemburui kerana usaha menjadi penulis bukanlah suatu proses yang mudah.

Universiti atau pusat pengajian kita boleh mendidik mahasiswa menjadi penulis atau tetapi belum mampu melahirkan seorang penulis yang benar-benar berjaya , melibatkan diri dan kegiatan sepenuhnya dalam genre penulisan ini. Penulis bukanlah dilahirkan oleh universiti semata-mata, tetapi penulis perlu ke universiti untuk lebih afdal mendapatkan ilmu sastera, pengetahuan dan pelbagai ilmu bantu yang wajar dikuasai.

Di Sarawak, bukan suasana ini kita akan jumpa penulis muda yang berusia ini ialah Pak Sabin Talip seorang pesara kerajaan dan kini aktif dengan pelbagai kegiatan sastera. Terbaru dalam acara “Pertemuan Pengarang Sarawak 2010 ” di Bintulu pada November 2010 ini beliau ada menyatakan kepada saya akan menerbitkan 2 buah manuskrip novelnya sendiri. Itu usaha yang layak dipuji. Soal kualiti pula soal yang lain, soalnya Pak Sabin telah menulis dan berjaya menghasilkan manuskripnya.

Mungkin di dalam PUTERA sendiri kita tidak jumpa situasi sebegini. Kita tokoh veteran di dalam PUTERA yang ikut bergiat aktif seperti Pak Hamid Syarif juga seorang pesara kerajaan yang berasal dari Trusan(kawasan Daerah Lawas) tetapi beliau belum sampai untuk menulis segala pengalaman dan rempah ratus kehidupan yang dilalui dalam bentuk tinta tulisan. Alangkah indah dan moleknya segala cerita yang dialami oleh beliau itu dalam kepelbagaian kegiatan dan program kalau disimpan dalam sebuah peti yang berharga sebuah buku, malangnya kita tidak mampu memaksa beliau untuk menulis walaupun beliau sudah sekian lama berada di dalam organisasi bahasa, sastera dan budaya di dalam PUTERA.

PUTERA secara jujurnya tidak ramai penulis apa lagi penulis muda. Itu hakikat yang kita harus terima biarpun pahit. Biarpu banyak bengkel dan acara penataran penulis dibuat tetapi hasilnya begitu juga. Inilah disuarakan oleh pihak DBP dalam setiap perbincangan. Setiap tahun DBP membelanjakan puluhan ribu malah ratusan manusia untuk dibimbing menjadi penulis, tapi masih banyak buku kreatif yang tidak laku yang jelas membawa gambaran bahawa para penulis yang dibengkelkan ini tidak membeli buku.

Bagaimanakah mahu menjadi penulis kalau tidak membaca? Demikian sungut dan rungutan seorang rakan dari DBP Sarawak dalam melihat perkara ini. Saya melihat ada kebenarannya dalam perkara ini. DBP sebagai sebuah badan kerajaan yang berteraskan rakyat memang bercita-cita mahu melahirkan pemikir, cerdik pandai melalui hasil pancaran dari tulisan dengan mengadakan pelbagai kursus penulisan, bengkel pelbagai genre dari cerpen, novel, drama, teater, puisi, esei kritikan, cerita rakyat dan macam-macam lagi mahu diajar kepada rakyat atau warga berjiwa seni yang meminati bidang ini. Tapi jumlah yang berjaya dan bertahan menjadi pengarang sehingga ke hari ini boleh dihitung.

Mahu menjadi penulis bukanlah kerja main-main dan melalui jalan pintas untuk “cepat naik” atau popular. Ini bukan macam bintang filem yang boleh jual pakej wajah cantik, suara merdu, lenggang bergaya tetapi hakikatnya penilaiannya ialah karya yang dihasilkan melalui penulisan.

Kita diuji oleh zaman, tulisan, himpitan dan segala macam peristiwa yang akan mematangkan kita. Ada yang meletup menjadi penulis hebat kerana sayembara, kerana bakat hebatnya, tetapi ada juga yang terus merangkak menulis dari bawah sehingga dewasa dan perkasa dalam penulisan tanpa diangkat dari sayembara. Walaupun sayembara itu adalah “indikator” atau penanda aras kejayaan seseorag penulis.

Tanpa banyak melabel sesiapa pun dalam hal ini, kita mesti akur akan hakikat itu. Tapi tidak semua kejayaan dalam sayembara itu boleh menyebabkan kita terus hebat dan berjaya. Cabaran ini juga yang mungkin melemahkan jiwa penulis muda yang ada untuk meneruskan bidang ini.

Sememangnya menulis itu umpama sebuah marathon yang jauh jaraknya, yang penting kita ada kesungguhan untuk sampai atau mencapai bagi menghasilkan karya. Kita harus konsisten berkarya supaya dapat dinilai dan dilihat oleh para pengkaji akan stamina kepengarangan kita. Ini dapat kita ambil contoh dari Saudara Jong Chian Lai, seorang penulis yang berstatus penerima “SEA Writers Award” di negeri Sarawak.

Begitu juga Saudara Zainal Abidin Haji Suhaili atau dikenali dengan nama Abizai yang sejak di bangku sekolah menanam minat menulis puisi dan bercita-cita menjadi penyair sehingga ditertawakan oleh rakan-rakannya, tetapi hari ini Abizai membuktikan bahawa ia seorang penyair besar yang luar biasa dilahirkan oleh PUTERA malah Sarawak Bumi Kenyalang.

Usia kepengarangan kita itu yang akan menentukan jaya atau gagalnya kita dalam bidang ini. Itu mengambil contoh satu dua pengarang mapan di Sarawak masa kini. Mereka berjaya bukanlah dalam jeda masa yang singkat, tetapi memerlukan puluhan tahun untuk membentuk jenama dan jati diri kepengarangan masing-masing. Hal ini sama ditempuhi oleh Jais Sahok, Awangku Merali Pengiran Mohammad, Saie Driss, Latifah Hj Sebli, Adi Badiozaman Tuah dan lain-lain.

Mungkin juga orang ada yang mempertikaikan bahawa apa ada pada penulis dalam nilai ekonomi? Sangkaan itu meleset, kalau kita mampu menerbitkan karya atau tulisan tentang mampu bersandarkan bidang ini untuk kehidupan. Ada puluhan penulis di Malaysia yang menulis novel ppular yang kaya raya, mempunyai rumah mewah sehingga 2, 3 buah.

Lebih lagi hebat kalau karya-karya di pilih untuk buku teks pelajar di sekolah. Boleh menjadi “jutawan” atau orang kaya baru. Ini antara contoh yang biasa. Saya teringat kata-kata seorang guru saya, “untuk menjadi penulis tidak akan miskin walaupun mungkin tidak kaya raya”. Hal ini terjadi kepada Pramoedya Ananta Toer, pengarang roman Indonesia yang tersohor itu, yang bukunya berjaya menjadi buku teks di Malaysia, tetapi hasilnya keuntungannya tidak diraih beliau mungkin kerana beliau disumbat dalam penjara. Tapi karya beliau dibicarakan dan dibincangkan di Nusantara yang mengenali karyanya dalam bahasa Melayu.

LIHAT MUKA 7



Penulis Putera di kalangan usia muda

DARI MUKA 8

Kembali melihat dalam suasana PUTERA. Kebanyakan pengarang PUTERA terdiri dari orang berusia muda seperti Abziai, Poul Nanggang, Jaya Ramba, David Belulok, Noor Abby, Abang Daud Abang Taha, Wira Mancha,Omar Sidek Murad, Abang Median Abang Said, Zabaaie Shuaini, Yan Kelana (sekadar beberapa nama) dan lain-lain. Mereka ini berusia dibawah 50 tahun.

Penulis muda yang dianggap baru muncul di PUTERA adalah seperti Maliah Adenan yang kini berhijrah ke Kuching bersama DBP Sarawak dan persatuan penulis PEKASA, Frankie Latif juga bersama PEKASA kini, David Belulok yang mulai menanjak maju dalam bidang cerpen, Sudan Ajang yang berjaya dalam penulisan rencana dan kewartawanan yang kebetulan bertugas sebagai wartawan di Utusan Borneo, sementara yang lain masih lagi di peringkat awal dalam mewarnai kanvas penulisan sastera seperti Yusran Junaidi,Wan Hairulhaizam, Morsalin Wasli, Sapiah Joll, James Nibong, Siti Rokiah Metali dan beberapa orang yang lain. Kita tidak mampu menyembunyikan perasaan gundah bahawa kita tiada atau ketandusan penulis muda di dalam PUTERA. Kali terakhir bengkel penulisan kreatif dibuat pada 2008 antara PUTERA dan DBP yang menghimpunkan sekitar 30 orang penulis di Miri, tapi sehingga saat ini masih belum dapat mencipta nama dan mengubah lanskap penulisan yang ada.

Kemampuan mereka ini menyaingi penulis mapan PUTERA terlalu jauh jaraknya. Setakat ini Maliah Adenan, David Belulok, Frankie Latif boleh kita banggakan kerana sudah mulai menerjah ke majalah “Tunas Cipta” khas untuk penulis muda. Selebihnya untuk maju mereka harus berusaha sendiri, tidakah terus-terusan minta disudu setiap kali. Apapun ini terpulang kita sendiri untuk maju dan bangun yang macam mana dalam karier kepenulisan kita.

Rasanya untuk menutup kegusaran saya dalam membentuk pelapis penulis di dalam PUTERA khasnya dalam jenama “penulis muda”, kita perlu terus merancakkan usaha pembinaan penulis atau penataran. Menghantar para penulis kita ke pelbagai bengkel dan menghasilkan tulisan yang mampu mereka terbitkan, banggakan sebagai hasil yang dijadikan bahan dokumentasi.

Kita tidak harus pura-pura dan berlagak penulis kalau tidak mampu menulis atau tiada benda yang ditulis. Dalam pada itu, kita harus juga mengadakan pertemuan penulis muda Sarawak yang belum dilaksanakan. Para peminat penulisan yang di bawah usia 40 tahun patut dikumpulkan dalam sebuah pertemuan. Kemudian diadakan penataran supaya karya-karya mereka dikemas dan baiki dalam bentuk isi, keindahan bahasa dan pelbagai aspek. Para penulis sedia boleh membantu mereka dengan pengalaman yang ada.

Tugas ini bukanlah tugas organisasi penulis sahaja, DBP atau Kementerian Kebudayaan tetapi juga masyarakat, kerajaan yang memerintah,ketua jabatan, ahli politik yang ada kuasa di tangan sama-sama turun gelanggang menyumbang idea dan kebijaksanaan agar budaya penulisan ini dapat dan mampu melahirkan generasi yang menelurkan tamadun ilmu kepada anak bangsanya. Ini bukan titik akhir di sini sahaja tetapi berterusan selagi kehidupan masih ada.

Perkara yang lebih besar lagi adalah menyediakan dana yang mencukupi untuk perkara ini berjalan dalam masyarakat kita. Contoh yang menarik sekarang ialah unsur sastera dalam kem PLKN melalui Program Penghayatan Sastera Budaya(PPSB). Hal ini tidak dikembangkan kerana sikap masyarakat kita termasuk penggubal dasar melihat sastera itu hal remeh temeh tidak menyumbang kepada pembangunan negara dan bangsa.

Kemudian hasil dari bengkel atau penataran itu tadi diterbitkan dalam apa bentuk sekalipun, supaya semangat berkarya itu terus membara di kalangan penulis muda ini. Dengan munculnya karya dalam bentuk antologi bersama atau apa-apa lagi bentuk persendirian dan sebagainya, akan membuat keyakinan tinggi para penulis ini untuk benar-benar menjiwai bidang yang “sunyi dan sepi ini” menurut Sasterawan Negara Dr Datuk A Samad Said.

Buku atau hasil karya mereka ini dibincangkan dalam pertemuan-pertemuan yang diadakan untuk kumpulan ini supaya mendidik mereka berdikari sendiri mendapatkan tempat dan posisi dalam persaingan dengan penulis mapan.

Mengambil contoh di Sarawak, kalau takut pihak pertubuhan sastera menyeleweng dana yang ada, maka mengujud “Unit Bahasa Malaysia”(kalau tidak salah) di setiap Pejabat Residen harus dihidupkan lagi dan menjadi penggerak kepada kegiatan penulis muda yang ada.

Ini sebagai platform awal kita gunakan kalau ingin dapatkan dana daripada pemerintah yang dijalankan secara tersusun dan teratur. Maka kita mampu melihat hasilnya dalam masa yang panjang. Mungkin tidak dapat dituai atau dilihat hasilnya sekelip mata sahaja.

Kalau kita mempunyai kegiatan yang tersusun, program yang terancang dan terarah kemudian matlamat yang jelas maka usaha ini akan berbaloi. Maka warisan membina penulis itu bukan lagi dibuat seadanya sahaja, kerana saya menyatakan tadi untuk melahirkan penulis kita tidak mampu mendidiknya dari universiti tetapi jiwa dan rasa tanggungjawab kepengarangannya itu harus kita sokong dan gerakkan sepenuhnya.

Setelah kita bina semacam sebuah badan kesenian membolehkan anak-anak ini tadi mengembangkan bakat dan karya mereka dalam bentuk komresil. Kita boleh mengadaptasi produk seni dari kewujudan TIM(Taman Ismail Marzuki) di Indonesia.

Mungkin pada mulanya kita buat secara kecil-kecilan kemudian akan menjadi semacam dunia bisnes yang boleh menguntung industri pelancongan kita dengan pakej teks karya diterjemahkan dalam bentuk persembahan, nyanyian, teater, kebudayaan, drama, lagu puisi dan pelbagai kesenian yang boleh wujud dari penulisan ini sendiri.

Kalau ini kita mampu buat di Sarawak di setiap bahagian yang ada, maka rasanya pembinaan penulis itu tetap berbaloi bukanlah usaha sia-sia yang merugikan. Kalau kita melihat di peringkat kebangsaan mungkin seperti pembinaan “Istana Budaya” tapi sudah mencapai aras tinggi atau di peringkat negeri “kampung budaya” tetapi ini fokusnya hanya budaya tidak menyeluruh. Kita patut fikirkan acuan begitu.

UTUSAN SARAWAK, 3 MAC 2011

Permasalahan karya dan pengkritik


UNTUK tempoh 30 tahun lalu, sudah banyak penulis lahir di Sarawak. Jika pada dekad 1970-an dahulu Sarawak berdepan dengan masalah kekurangan karya sastera, kini sudah banyak karya diterbitkan pelbagai pihak, terutama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Antara karya atau pengarang dengan khalayak, berdiri di tengah-tengah ialah pengkritik sastera,” kata Dr. Jeniri Amir dalam makalahnya Kritikan Sastera di Sarawak: Antara Permasalahan Karya dan Pengkritik pada Pertemuan Pengarang Sarawak 2010 di Bintulu, baru-baru ini.

Menurutnya, ketika sesetengah penulis mmungkin sahaja menganggap bahawa kritikan tidak penting untuk kehidupan kreatif mereka, hakikatnya pengkritik memainkan peranan signifikan dalam perkembangan dan pertumbuhan sastera.

Tiga wilayah dalam dunia sastera – pengarang, pembaca dan pengkritik jelasnya, sama-sama penting bagi menjamin pertumbuhan dunia sastera yang sihat dan subur.

Katanya, kritikan sastera sebagai satu disiplin ilmu yang saintifik dengan pendekatan dan teori tertentu bukan bertujuan hanya untuk mencari kelemahan dan kekuatan karya, sebaliknya perlu berperanan untuk mentafsir, mengamati, mengapresiasi dan menilai karya dengan objektif berdasarkan teori dan kerangka tertentu.

“Kritikan yang baik ialah kritikan yang bertanggungjawab dan beretika. Kritikan bukan untuk melemparkan cacian dan gunjingan. Kritikan bukan untuk mereka yang bersikap memihak, kurang teliti, tidak adil, prejudis atau bias. Sebaliknya kritikan menuntut kerja seni yang objektif, berimbang, analitis, matang emosi dan intelektual dengan pemikrian yang tajam.

“Pengkritik perlu berpegang kepada falsafah sentiasa menjunjung kebenaran dan berani kerana benar. Penghakiman yang dijatuhkannya terhadap karya yang dinilainya itu perlu berdasarkan ketepatan, keadilan, hujah, data dan maklumat yang sesuai dan tepat yang terdapat dalam teks atau di luar teks. Pengkritik harus bertanggungjawab terhadap segala hujah dan pendapat yang dilontarkannya,” katanya.

Kritikan jelasnya tidak terhad kepada karya yang dibicarakan, tetapi juga meliputi isu dan masalah yang melingkari karya berkenaan.

“Maksudnya, aspek sosiopolitik, ekonomi, persekitaran karya yang dianalisis itu perlu diambil kira apabila membedah karya berkenaan.

“Karya itu perlu dibicarakan dalam konteks zaman dan bukannya diperkatakan dalam kepakuman dan kekosongan.

“Karya tidak dihasilkan daripada kekosongan melainkan turut dipengaruhi oleh perkembangan sosial, politik, ekonomi, alam sekitar dan sebagainya yang berkembang dalam masyarakat. Bukankah karya sastera cerminan atau peniruan daripada gejala yang berlaku dalam masyarakat?”

Oleh itu jelas Jeniri, pengkritik perlu mempunyai pengalaman, pengetahuan dan wawasan yang jauh lebih luas dan mendalam untuk memungkinkannya melaksanakan tugasnya dengan berkesan.

“Kritikan akan sentiasa berguna selagi dilakukan dengan jujur tanpa niat untuk menjatuhkan pengarangnya,” katanya.

Dengan mengkritik berdasarkan neraca yang objektif, kritis, analitis dan imaginatif, kritikan ujarnya boleh dianggap sebagai mangkin yang membantu menumbuhkan karya sastera.

Krikan sastera yang baik dapat memberi panduan berguna, malah motivasi dan inspirasi kepada pengarang, manakala kritikan yang sarat dengan cacian dan kenyataan negatif bersalutkan niat jahat dapat membunuh motivasi dan keghairahan pengarang untuk terus berkarya.

“Kritikan yang bersalutkan untur negatif dan niat jahat tidak baik untuk perkembangan sastera kita. Sesungguhnya, kritikan dapat menjadi penyuluh bukan sahaja kepada pengarang, tetapi juga kepada pembaca.

“Kritikan akan menjadi jambatan penghubung antara pengarang dengan khalayak sastera. Peranan pengkritik akan sentiasa diperlukan lebih-lebih lagi jika karya berkenaan sarat dengan falsafah, perlambangan dan kesukaran dari segi teknik dan gaya bahasa.

Kritikan mudahkan pembaca karya sastera

Ujar Jeniri, dengan adanya ulasan, tafsiran, analisis dan huraian bersandarkan hujah dan bukti yang konkrit, maka lebih mudah bagi khalayak umum yang mungkin tidak terdidik dalam sastera untuk lebih memahami karya sastera.

Secara tidak langsung usaha berkenaan akan dapat membangkitkan minat terhadap sastera dalam kalangan masyarakat pembaca umum, jelasnya.

“Hakikatnya, tiga dan tanggungjawab pengkritik adalah untuk mendekatkan karya dengan pembaca sehingga akhirnya jurang lebar antara pengarang dengan karya berupaya dijambatani.

“Dengan sifat karya sastera yang kompleks yang dibina oleh pelbagai unsur dan komponen, bantuan pengkritik sebagai pakar untuk menjelaskan dan mentafsirkan karya berkenaan adalah penting dan perlu. Kecuali persoalannya berapa orangkah pembaca sastera kita membaca kritikan sastera.”

Menurutnya, pembaca sastera yang serius tentu berusaha untuk lebih memahami teks yang dibacanya dengan membaca pandangan dan kritikan pengkritik, kerana kritikan biasanya menyelongkar, merungkai, dan menyuluh sisi-sisi kabur, gelap dan perlambangan dalam karya berkenaan.

Dengan itu tambahnya, pengkritik mendidik khalayak atau pembaca untuk menjadi khalayak yang lebih matang dan lebih mengerti, dan seterusnya mampu mengapresiasi teks lain dengan lebih baik.

“Tetapi dia perlu terlebih dahulu seorang yang matang dan stabil emosinya, tidak pilih kasih dalam menghakimi karya. Pengkritik harus dapat memberi 'insight', iaitu menelusuri dan menyelongkar pemikiran dan maksud yang terselindung di sebalik karya.

“Jika dunia pengkritik sendiri kecil dan sempit serta peribadinya tidak seimbang, bagaimanakah pengkritik berkenaan dapat membicarakan dunia kreatif dan sastera yang kompleks dengan baik?

“Justeru, pengkritik perlu mempunyai rasa seni dan kekuatan bahasa yang tinggi tahapnya bagi memungkinkannya melakukan tugasnya dengan baik. Dia harus mempertemukan unsur kesarjanaan dan seni sekali gus dalam kritikan yang dilakukannya.”

Pengkritik yang baik harus dapat memainkan peranan penting untuk mengenal pasti bakat yang baik, memberi rangsangan untuk bakat itu berkembang, dan memberi panduan kepada bakat berkenaan membaiki sebarang kelemahan dalam karyanya.

“Saya masih ingat lebih kurang 20 tahun lalu bagaimana ketika saya mula-mula membaca puisi karya Abizai, saya terus terpikat dan tersihir oleh karya beliau.

“Saya mengatakan beliau merupakan bakat baharu yang perlu diberi perhatian kerana potensinya, dan saya mengatakan bahawa, bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika beliau akan muncul sebagai penyair besar suatu hari nanti.

“Ternyata agakan dan analisis saya itu tidak tersasar, kerana ahri ini, kita boleh berbangga kerana Abizai merupakan antar apenyair besar tanah air yang begitu menyerlah bakat dan potensinya, sebagaimana terbukti daripada keupayaan beliau memenangi pelbagai hadiah termasuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia.””


UTUSAN SARAWAK, 3 MAC 2011