IPR anjur bengkel Penulisan Skrip Drama Kanak-Kanak

MOHD NAZRIN AHMAD

DALAM kita meredah arus pembangunan dan menyahut cabaran dunia tanpa batasan, kita seakan lupa bahawa bidang bahasa dan sastera kian terpinggir. Kerelevan bidang sastera dalam membentuk jati diri dan menjadi wadah penyaluran maklumat ke arah pembentukkan insan yang berilmu sejajar dengan hasrat dan saranan kerajaan untuk melahirkan modal insan kurang diberi perhatian.

Bidang kesusasteran mempunyai definisi tersendiri. Menurut Sasterawan Negara, Dato’ A.Samad Said, kesusasteraan adalah laporan hidup daripada siri krisis yang dihadapi oleh manusia. Ia adalah sejarah jatuh bangun manusia, keperitan, kesukaran yang sedetik dan duka yang berpanjangan, ketawa yang pendek dan tangis yang berulang.

Tetapi, menurut Aristotle, kesusasteraan dalam erti kata sebenar merupakan pengolahan semula kehidupan realiti ke dalam bentuk kehidupan sebuah karya sastera. Selain itu, beliau turut berpendapat bahawa ilmu kesusasteraan ialah memindahkan dunia realiti ke dunia baru (yang tersendiri) yang dinamakan karya dan sastera adalah peniruan daripada alam.

Sebenarnya, sastera itu bermula dari pemikiran penulis. Sebagaimana yang kita tahu, ketamadunan sesebuah tamadun (tamadun Rom, tamadun Yunani, tamadun India dan tamadun China) banyak dipengaruhi dengan bidang kesusasteraan.

Melalui bidang kesusasteraan, kita dapat mengukur ketinggian dan martabat tamadun itu sendiri dan pengaruhnya terhadap masyarakat. Dari hasil penulisan inilah, kita dapat menilai sejauh mana daya pemikiran mereka.

Ilmu penulisan kreatif ini ialah salah satu cara untuk menyebarkan ilmu. Ini kerana setiap persoalan atau perkara yang diketengahkan dalam karya mesti dipastikan betul, tepat , wajar dan rasional dalam konteks sebuah karya sastera.

Penulis itu sendiri mestilah orang yang mencintai ilmu, rajin berfikir, rajin membaca dan mampu memberi pandangan yang bernas dalam berkarya. Justeru, penulis tersebut mestilah bertanggujawab kepada karyanya dengan memaparkan sesuatu yang dapat dipertanggungjawabkan dari segi cerita,fakta dan keasliannya.

Karya yang dihasilkan bukan hanya kosong, tetapi setiap hasil yang ditulis oleh penulis tersebut merupakan ilmu dan banyak isi tersiratnya. Oleh yang demikian, karya ini akan dikritik dan dikaji oleh mereka yang berpengalaman. Hasil daripada karya tersebut, perbincangan berbentuk ilmiah diharap dapat bagi menyebarkan bidang kesusasteraan ini kepada masyarakat.

Seorang pengarang yang baik sudah tentu mempunyai bakat semula jadi yang juga baik. Di samping mempunyai minat yang tinggi meneroka ruang pemikiran sekalipun isu yang hendak dijadikan penceritaan cukup mudah isunya. Apatah lagi sekiranya seorang pengarang itu bercita-cita tinggi menjadikan penulisannya sebagai alat penyebarluas ilmu untuk dikongsi bersama-sama masyarakat.

Tentu sekali usah ini memerlukan pengarang itu sendiri harus rajin membaca dalam apa-apa jua jenis bidang ilmu pengetahuan. Namun, sekiranya semua perkara yang disebutkan tadi telah dilakukan tanpa mahu atau rajin menulis, maka tidak juga memberi erti dalam konteks menjadi pengarang yang baik. Selalunya, penulis muda atau penulis baru lebih gemar menyimpan karya mereka atas sifat rendah diri dan takut berdepan dengan kemungkinan karya ditolak atau tidak disiarkan

Persoalan yang cukup umum, apakah kita takut menghadapi sesuatu yang realiti dalam kehidupan kita? Soal karya diterima atau tidak itu bukan masalah, selagi kita mempunyai kemahuan dan hasrat untuk memjadi penulisan itu sebagai perkongsian kita dengan pembaca. Kalau tidak untuk sekali, pasti untuk usaha yang seterusnya pasti akan membuahkan hasil juga. Jadi tidak perlu takut dengan kenyataan!

Hal-hal sebeginilah yang wajar dikaitkan dengan pengarangan kita dengan kasil karya kita. Ceritalah keresahan kita seandainya itu mampu membuka ketenangan kita. Nyatakan keperitan kita seandainya itu mampu mengembalikan keselesaan kita. Konflik emosi akan dan sentiasa terjadi dalam diri kita. itu lumrah dan menjadi sebahagian daripada kudrat kehidupan kita

Justeru, kewajaran kita menulis untuk menasihat, menyampai, menegur, merayu dan sebagainya adalah bertujuan mencari nilai yang lebih baik. Bukan untuk mencemuh atau menghina. Kerana akhirnya, penulisan yang kita lakukan melalui karya yang dihasilkan adalah untuk kebaikan dan mengajak kepada hal-hal yang baik. Inilah cara dan makna untuk kita mengawal konflik emosi.

Bidang penulisan ialah satu proses memindahkan idea dari minda secara konkrit dan berstruktur ke kertas ataupun komputer. Bidang penulisan itu sendiri ialah seni dan seni itu ialah bakat. Maksudnya seseorang yang menulis sama ada genre puisi, cerpen , novel atau sebagainya mempunyai pemikiran yang sangat kreatif dan kritis.

Mereka ini dapat mengolah ayat-ayat yang indah dengan penuh makna yang tidak semua orang menpunyai bakat sebegini rupa. Penulis bebas mengunakan segala kreativitinya (imaginasi) dengan mengekploitasikan keindahan serta kehalusan bahasa untuk menyampaikan makna realiti atau kebenaran (fakta) yang terdapat dalam penulisan ini dikatakan benar atau sama dengan kehidupan seharian.

Salah satu genre yang terdapat dalam bidang sastera ini ialah drama. Baru-baru ini diadakan Bengkel Penulisan Skrip Drama Kanak-Kanak 2008 di Institut Perguruan Rajang (IPR), Bintangor anjuran Jabatan Pengajian Melayu Institut Perguruan Rajang dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak.

Bengkel ini bertujuan mendedahkan kepada bakal guru mengenai aspek-aspek penulisan skrip drama untuk membolehkan mereka mengembang dan mengasah bakat dalam bidang penulisan karya kreatif.

Dengan tema Penulisan Kreatif Menjana Minda bengkel ini dapat meransang minat bakal guru untuk menjadikan bidang kesusasteraan sebagai salah satu aspek penting dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang seronok.

Selain itu, bengkel ini juga mendedahkan kepada bakal guru khususnya yang mengambil major dan minor Bahasa Melayu agar terarah untuk menjadikan drama dan lakonan sebagai salah satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berkesan bagi mewujudkan kendiri positif dalam kalangan murid-murid sekolah rendah, di samping dapat meningkatkan daya kreativiti dan imaginasi murid.

Objektif bengkel ini ialah untuk mendedahkan aspek asas penulisan skrip drama kanak-kanak kepada bakal guru. Merangsang kemahiran penulisan drama kanak-kanak serta menerapkan minat terhadap penulisan skrip drama kanak-kanak.

Majlis dirasmikan oleh Pengarah Institut Perguruan Rajang, Nicholas Ugul. Seramai 160 guru pelatih mengikuti bengkel tersebut. Penceramah yang diundang khas dari Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak iaitu Ketua Unit Pengembangan Sastera, Hazami Jahari.

Penulisan skrip drama mengutamakan binaan dialog. Dialog watak dengan sedikit penerangan untuk tujuan arahan. Dalam binaan dialog, pengertian cerita dan jalan cerita diperkembangkan iaitu dengan orientasi aksi dan rentetan cerita. Penerangan dan arahan yang terselit antara dialog berperanan menerangkan aksi atau peranan watak yang sedang berdialog.

Keseluruhan skrip yang diisi dengan dialog dan arahan dibina dengan pembahagian babak (adegan ), bahagian dan stukturnya. Pementasan drama merupakan hasil terakhir daripada karya bertulis yang berbentuk skrip. Terdapat beberapa konsep yang mesti ada dalam sesebuah drama. Drama memaparkan pertikaian atau konflik antara watak.

Drama yang baik juga memaparkan pertikaian emosi dalam watak itu sendiri. Kewajaran yang mesti ada dalam membina skrip ialah penulis perlu memahami dialog sebelum ditulis atau diujarkan. Kalau tidak, ini menyebabkan ketidakupayaan paraapelakon dalam menghayati dialog tersebut.

Dalam konsep ini, seni memainkan peranan penting. Seni yang bersifat dramtik yang mengutamakan kesan dan tekanan emosi sebagai penambat. Selain itu, seni pengucapan juga dititikberatkan. Drama akan lebih berkesan nilai sasteranya apabila diucapkan.

Dalam sesebuah drama, nilai dalam drama itu juga tidak kurang pentingnya. Nilai intelek iaitu lahir apabila melalui karya tersebut timbul kefahaman tentang hakikat persoalan dan tema drama tersebut.

Selain itu, pengalaman juga diambil kira. Ini boleh dimungkinkan dengan kias ibarat dan seperti teladan yang dicetus melalui persoalan kemanusiaan yang terungkap dan difahami olehnya serta pastikan pengalaman tersebut dapat memberi pengajaran iaitu dapat memanusiakan manusia.

(Utusan Sarawak, 1 Mei 2008)

Cinta modal Dahiri buat duit

MENDENGAR Sembang Sastera di Radio Sarawak FM yang dikelolakan oleh DJ Nurnidayah Bujang baru-bar ini, pendengaran tertarik dengan satu soalan yang diajukan kepada tetamu, Dahiri Saini; penulis novel, cerpen, skrip drama, serta puisi.

Soalan yang ditanya berkaitan ‘buat duit’. Dahiri diajukan tentang menulis novel popular dengan tujuan untuk buat duit. “Ramai yang beranggapan karya saya terlalu komersial dan mementingkan keuntungan semata-mata. Tetapi, saya menulis dengan rasa kesungguhan. Dalam dunia serta laku dan serba perlukan ringgit, tidak dinafikan juga.”

Jelasnya dalam rancangan sejam itu, ekoran pembaca sekarang sudah ada pemikiran yang kritis, dia sememangnya mahu dan sedang berusaha untuk menjadikan novel yang dihasilkannya mendapat jualan terbanyak (best seller).

Mungkin atas sebab itu, dia meletakkan perkataan cinta pada hampir semua novel yang pernah dan akan dihasilkannya. Dan, ini juga mungkin dapat dilihat sebagai modal untuk memancing pembaca terutama di kalangan remaja untuk melihat dan memiliki, seterusnya membaca novelnya.

“Kalau dikatakan saya sebagai penulis novel popular, tidak juga. Saya menggunakan judul cinta untuk memancing remaja. Kalau tidak menggunakan kata cinta, saya rasa remaja tidak mungkin tertarik.

“Dalam novel saya, tidak banyak menerapkan unsur cinta. Mungkin 30 peratus sahaja. Tetapi, saya menerapkan unsur yang membina untuk mencipta sesuatu yang dapat memotivasikan pembaca. Untuk itu, saya banyak masukkan unsur-unsur motivasi secara tidak langsung,” katanya.

Sebagai contoh, Dahiri dalam temu bual itu menjelaskan, novel terbaruya, Hanya Cinta mengisahkan Diana (pengaturcara komputer) yang belajar di luar negara menghadapi konflik iaitu mendendami lelaki. Diana berada dalam konflik untuk mencari seorang suami yang menjadi suri sepenuh masa di rumah.

“Sementara watak Alif (chef), yang mendapat pendidkan di ITM. Dalam hal ini, wanita lebih maju (lebih ke hadapan), dan kini terbukti di IPT, ramai wanita. Signifikannya? Kenapa chef ramai dari kalangan lelaki sedangkan dunia masakan adalah dunia wanita. Saya terbailkkan kisah ini.”

Katanya, dia ingin melihat setiap novelnya ada kata cinta pada muka depan, dan 30 tahun akan datang, orang akan melihat novelnya ada kata cinta.

“Ramai yang beranggapan Dahiri Saini sebagai penulis novel cinta, itu salah sebenarnya. Novel saya tidak menggunakan pendekatan cinta, tetapi gunakan istilah cinta untuk menarik sebuah cerita jadi lebih manis. Saya menulis tentang wadah setempat. Mempromosikan tempat atau budaya.”

Dahiri menjelaskan, ramai yang beranggapan bahawa novel popular negatif; untuk remaja sahaja. “… walhal saya menulis dalam versi popular, kita ada input (maklumat) yang dikongsikan bersama.”

Mengapa pilih novel popular?

“Saya ada cuba menulis novel bersifat thriller, tentang dunia histeria. Tetapi watak dalam dunia histeria ini bukan kita masukkan dengan watak wanita, tetapi watak lelaki.

“Saya cuba menterbalikkan benda ini, benda yang normal jadi tidak normal. Sebagai penulis, kita harus bersifat kreatif. Kita hendak memancing pembaca dengan dunia yang serba mungkin. Maksudnya, dunia yang memerlukan pemikiran baru dalam karya.”

Bermula pada 1990, Dahiri menggunakan masa hampir setahun untuk membaca, dan novel yang menyentuh perasaannaya ialah Hartini.

Beliau turut menyatakan kekagumannya terhadap persaingan sengit novel popular sama ada di Semenanjung Malaysia ataupun di Sarawak sendiri.

“Pun demikian, masyarakat tidak memberikan pandangan yang tidak munasabah. Kualiti novel popular tidak rendah. Kita memerlukan stamina yang tinggi untuk menghasilkan novel ini. Bukan calang-calang orang boleh buat.”

Katanya, Jaya Ramba dari Miri, dan Radzemah Bolhassan dari Sarikei merupakan antara penulis Sarawak yang menulis novel popular. “Kita melihat kejayaan di semenanjung, bahawa jika ada kemahuan untuk menulis, kita harus teruskan juga. Bagi saya, penulisan bidang yang terlalu abstrak untuk diterjemahkan.”

Secara jujur, Dahiri turut menyatakan bahawa dia tidak melihat novel popular sebagai negatif. “Kalau kita melihat penulisan novel popular sebagai negatif, perkembangan dunia penulisan kita mungkin akan menurun. Itu terpulang kepada khakayak. Wujud lambakan novel popular di pasaran. Kita melihat pasaran juga agak baik, meningkat.”

(Utusan Sarawak, 24 April 2008

Santai Sastera Sejam

MINGGU lalu, penulis menerima panggilan daripada kerabat Angkatan Pengkarya Indie untuk menjenguk walau seketika ke program Santai Sastera Sejam yang merupakan antara program terkini gerakan berkenaan untuk tahun 2008.

Diadakan di Square Tower Tebingan Kuching, program tersebut hanya memperuntukkan masa selama sejam untuk membincangkan sesuatu tajuk.

Pembicara undangan pertama ialah Taufek Firdausi yang mengutakan tajuk Gerakan Kesusasteraan Mahu Bagaimana – Pupus atau Terus Hidup.

Kehadiran audiens memang tidak ramai. Malah, sudah dijangkakan program tersebut hanya akan dihadiri oleh rakan terdekat sahaja. Dianggarkan seramai kurang 10 audiens.

Antaranya, Zakaria Manan, Armiza Nila, Yusuf Fansuri, Zainal Abdin, Tajul Ashikin, Sajali Mohamad. Dua tokoh yang dinanti-nantikan ialah Abdillah SM dan Pharo Abdul Hakim.

Sepanjang tempoh sejam, Taufek banyak membicarakan tentang gerakan ataupun persatuan penulis.

Seterusnya, Taufik telah menjelaskan bahawa Sarawak sememangnya mempunyai ramai penulis terutama untuk puisi yang berkualiti dan mempunyai pengajaran yang baik.

Malah, katanya, ada karya tersebut mungkin sebaik Membentuk Elok di Teluk Esok oleh Abizai Abi.

Sementara itu, pada sebelah malamnya, Angkatan Pengkarya Indie turut mengakana Baca Puisi Jalanan di Tebingan Kucing.

Kedua-dua perkara tersebut akan dijadikan sebagai acara bulanan bagi memeriahkan perkembangan kesusasteraan di negeri ini.

(Utusan Sarawak, 24 April 2008)

Baca puisi di Tebingan Kuching

GAMBAR atas dari kiri ke kanan, Yusuf Fansuri, Spawi Kelondet dan Armiza Nila. Gambar bawah dari kiri ke kanan, Zacharia Manan, Abdillah SM dan Sinora Azma.

SETIAP orang ada cara tersendiri untuk meluahkan perasaan terhadap pelbagai isu dan perkara.

Puisi adalah salah satu cara yang akan digunakan oleh mereka yang terlibat secara langsung dalam penghasilan karya kreatif.

Kemudian, puisi itu diterjemahkan melalui pendeklamasian puisi ataupun melalui program baca puisi sama ada dilaksanakan di dalam dewan ataupun di jalanan.

Dalam hal ini, kerabat Angkatan Pengkarya Indie telah meluahkan rasa hati masing-masing melalui Baca Puisi Jalanan. Mereka mendeklamasikan puisi di Tebingan Kuching.

Audeins mereka ialah sesiapa sahaja yang melalui salah stau lokasi tempat mereka membaca puisi.

Ini merupakan antara perkara yang sentiasa dilaksanakan oleh Angkatan Pengkarya Indie dalam berkarya, dan telah dilakukan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

(Utusan Sarawak, 17 April 2008)

ASWARA tawar pengajian seni peringkat ijazah


AKADEMI Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan atau ringkasnya ASWARA sebelum ini dikenali sebagai Akademi Seni Kebangsaan (ASK). Akademi ini merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi dalam bidang seni persembahan yang didukung oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWA).

Objektif akademi ini diwujudkan ialah untuk menyediakan peluang dan ruang kepada pelajar serta penggiat seni mengikuti pengajian latihan secara formal dalam bidang kesenian ke arah melahirkan karyawan dan seniman yang mantap, berilmu dan profesional.

Selain itu, lulusan ASWARA berpeluang melibatkan diri dalam pelbagai acara kebudayaan dan kesenian anjuran KeKKWA di peringkat kebangsaan ataupun antarabangsa yang diadakan di negara ini.

ASWARA begitu menggalakkan pelajarnya berfikir secara inivatif dan kreatif dengan menjalani pengajian yang berkonsepkan 60 peratus praktikal dan 40 peratus teori bagi membekalkan pengalaman dalam industri tanah air.

Untuk itu, ASWARA dibina di kawasan seluas 91,900 kaki persegi dan kos pembinaan RM50 juta. Kampus ini dilengkapi pelbagai kemudahan. Antaranya perpustakaan canggih dan moden, makmal komputer dan digital untuk kegunaan produksi dan kretiviti, teater eksperimen serta asrama.

Pun demikian kemudahan asrama adalah terhad kerana ASWARA hanya mempunyai dua blok asrama. Keutamaan akan diberikan kepada pelajar tahun pertama yang menetap di luar daerah Lembah Klang sahaja.

Bagi memudahkan pengajian, akademi ini turut menyediakan pinjaman pelajaran kepada pelajar yang berkeyalakan selain membolehkan pelajar mendapat pinjaman atau penajaan Yayasan Pelajaran Negeri, institusi kewangan di Malaysia dan lain-lain pihak swasta yang berkaitan.

Dan, baru-baru ini akademi ini mengeluarkan dan menjual Buku Panduan dan Borang Kemasukan Pelajar bagi Sesi Akademik 2008/2009 yang mengandungi maklumat tawaran bidang pengajian ke tahap Diploma dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Muzik, Teater, Tari, Penulisan Kreatif, Filem dan Video serta Seni Halus.

Pengajian peringkat diploma dan ijazah ini dijalankan secara sepenuh masa selama tiga tahun (enam semester).

Para pelajar juga diwajibkan mengambil modul Pengajian Wajib Akademi selain berpeluang untuk mengambil kursus dari program lain bagi menambah kemahiran dan membuka prospek pekerjaan yang lebih luas.

Kepada sesiapa yang berminat untuk mengikuti program di ASWARA, Buku Panduan dan Borang Kemasukan bagi Sesi Akademik 2008/2009 boleh dibeli dengan menyediakan wang pos berharga RM10 (senaskhah) dan dihantar ke Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sarawak, Tingkat 5, Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Simpang Tiga, 93300 Kuching.

(Utusan Sarawak, 17 April 2008)

Tiga bahagian senada semarak bahasa Melayu

PERSEMBAHAN lagu puisi oleh Kelab Penggiat Sastera Sarikei.

PESERTA Bengkel Pemurnian Karya bahagian Sarikei merakam gambar bersama-sama Zasran Abdullah, Hazami Jahari dan Hamlen Bolhi.

PERSEMBAHAN seloka oleh kumpulan lagu puisi dari Bahagian Bintulu.

RADIN AZHAR AHMAD
Foto KOMAS SEEK

SENADA. Ini yang dapat diperkatakan apabila mendengar ucapan daripada Residen Bahagian Sri Aman, Sarikei dan Bintulu tentang usaha perkembangan bahasa dan sastera Melayu pada Malam Kesenian yang dianjurkan di Dewan Suarah ketiga-tiga bahagian berkenaan. Malam Kesenian merupakan program terakhir dan sebagai acara penutup kepada Jerayawara Bahasa dan Sastera 2008 di setiap bahagian.

Ketiga-tiga Residen ini dalam ucapan penutupan masing-masing menjelaskan, betapa pentingnya penggunaan bahasa Melayu dalam urusan kerja harian yang sekali gus akan merancakkan lagi perkembangan bahasa Melayu di setiap bahagian di negeri ini.

Dengan demikian, penubuhan Jawatankuasa Kerjasama Bahasa dan Sastera Peringkat Bahagian sejak 2002 dan mulai aktif tahun ini akan meninggalkan kesan yang berpanjangan, iaitu memartabatkan bahasa kebangsaan di semua lapangan.

Di bawah kerjasama ini, seperti yang terlihat pada Jerayawara Bahasa dan Sastera 2008 baru-baru ini, peringkat bahagian (Residen) dan Pejabat Daerah menyediakan ruang dan kemudahan (tempat) untuk melaksanakan kegiatan seperti Bengkel Pemurnian Karya, Wacana Bahasa serta Bengkel Penghasilkan Karya Kreatif.

Sementara, di pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, mereka membawa kepakaran. Dalam hal ini, Unit Pengembangan Bahasa, Unit Pengembangan Sastera, Unit Penerbitan dan Unit Komunikasi Korporat bersama-sama staf lain hadir untuk memberikan ceramah serta penerangan tentang sesuatu topik.

Pada masa yang sama, Dawama Sdn Bhd turut hadir memeriahkan program dengan membuka gerai jualan buku secara bergerak. Konsep ini yang sesuai digelar ‘pengedar (penjual) pergi kepada pembeli’, bukan lagi ‘pembeli pergi kepada pengedar (penjual)’ telah menyaksikan banyak buku terbitan DBP dijual sama ada kepada pelajar, guru ataupun orang awam.

Berbalik kepada ucapan Residen Bahagian Sri Aman, Sarikei dan Bintulu, mereka menjelaskan, “Bagi mengembangkan bahasa dan sastera Melayu, kami di peringkat bahagian dapat menyediakan prasarana yang sesuai untuk kegiatan seperti ini yang menjadi pemangkin pembangunan intelek. Kita perlu meningkatkan kerjasama ini.”

Mereka turut menyatakan bahawa pemilihan bahagian masing-masing sebagai destinasi persinggahan rombongan Jerayawara Bahasa dan Sastera 2008 merupakan satu penghormatan dan memberikan ruang kepada penduduk bahagian berkenaan untuk terlibat secara langsung atau sebaliknya.

Lebih membanggakan, pihak mereka menjelaskan sasaran peserta yang bukan sahaja kepada pelajar, tetapi juga merangkumi masyarakat keseluruhannya mampu mengukuhkan lagi persaudaraan antara masyarakat dengan pihak DBP.

“Pengalaman selama ini melalui kerjasama kita telah memberikan makna yang boleh dianggap sebagai sesuatu yang penting. Jawatankuasa ini telah mengadakan kegiatan yang memberikan fahaman kepada masyarakat terhadap bahasa Melayu yang harus diguna secara meluas dan diletakkan di tempat paling utama.”

Ketiga-tiga Residen ini turut menyatakan usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam setiap urusan rasmi. “Bahasa Melayu sejak dahulu lagi sesuai diletakkan dalam urusan kerja. Kita punyai kuasa untuk berbuat demikian. Langkah awal, kita menerapkan penggunaan bahasa Melayu pada nama tempat, premis, nama jalan dan sebagainya.”

“Lebih-lebih lagi bahasa ini sebagai khazanah yang bernilai. Bahasa ini boleh pupus kalau kehilangan penuturnya.

Sementara itu, Ketua Unit Pengembangan Bahasa DBP Cawangan Sarawak, Zasran Abdullah menjelaskan, penubuhan Jawatankuasa Kerjasama Bahasa dan Sastera Peringkat Bahagian sejak 2002 merupakan sinergi perkongsian bijak bahasa, sastera dan kebudayaan di peringkat bahagian.

“Jerayawara ini merupakan kegiatan pengisan ulang tahun ke-30 DBP Cawangan Sarawak sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam pengembangan bahasa dan sastera Melayu. Pada masa yang sama, disesuaikan dengan sambutan 45 tahun Sarawak merdeka dalam Malaysia.”

(Utusan Sarawak, 3 April 2008)

Soul of Nature pamer karya sembilan pensyarah UiTM

Karya seni arca iaitu ‘Infinite Series” oleh Mohamat Najib Mat Noor. Dia mengolah reka corak hasil proses transformasi corak dua dimensi alam semulajadi kepada reka bentuk tiga dimensi.

Dr. Kamil Salem menekankan rupa wajah figura dengan jelas terutamanya dalam karya bertajuk ‘Wajah I’. Imej kanak-kanak berketurunan Melayu Sambas Lundu yang keriangan seolah-olah menggamit masyarakat untuk berfikir akan kesan alam jika tidak terpelihara.

‘Souls of Nature’ merupakan pameran seni lukis oleh pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (Grafik) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak yang julung kali diadakan. Mempamerkan 40 karya hasil seni sembilan pensyarah, Mohamat Najib Mat Noor, Halina Amin, Wan Samiati Andriana, Safrina Muhammad Azmi, Suzani Azmin, Hasbee Mohamad, Azyzeer Rahim, Zafina Zainal Abidin dan pensyarah sambilan, Dr. Kamil Salem. Karya ini diilhamkan dari pelbagai idea mengikut kepakaran pensyarah – seni arca, cetakan, media digital, media campuran dan fotografi.

Pameran ini menjurus kepada bentuk seni rupa moden. Asasnya tumbuh dari tradisi kesenian moden dari Barat seterusnya berkembang mengikut pengaruh kebudayaan ke seluruh pelusuk dunia.

Bentuk yang dimaksudkan lazimnya bersifat individual (peribadi sifatnya) seperti lukisan, cetakan, arca dan catan. Seni rupa tradisional seperti batik, songket, ukiran kayu, senjata tradisional dan kerja logam bersifat kemasyarakatan.

Kewujudan fakulti ini memberi impak besar maknanya. Ia bertapak selama tiga tahun dan jumlah pelajarnya kini mencecah 180 orang. Dengan adanya fakulti ini, ia mampu menggerak dan mengembangkan aktiviti kesenian khususnya di negeri ini serta memodenkan seni di Malaysia amnya.

Tujuan pameran ini ialah untuk mengenengahkan UiTM Sarawak dan kewujudan FSSR kepada masyarakat sekitar. Ia usaha awal untuk mengumpul maklumat, mempertemukan pelukis, peminat, masyarakat dan pentadbir selain apresiasi karya.

Sifat pameran yang lebih kepada pengenalan dan tinjauan ini menjadikan ia lebih terbuka dan bebas kepada berbagai aspek; merangkumi soal biografi pelukis, bahan, teknik, tema dan gaya karya hinggalah soal-soal bentuk dan makna.

Karya yang dihasilkan mengikut kefahaman dan kepakaran pelukis; mampu diolah dan disusun secara akademik mengikut ‘formalistik visual’ seperti susunan gariran, rupa, bentuk, warna dan sebagainya. Kemudian memberi makna ‘estetik’ seperti keindahan, rasa, intelek, dan kejiwaan kepada perbicaraan aspek pemikiran.

Nilai ini dapat dilihat dalam karya seni arca iaitu ‘Infinite Series” oleh Mohamat Najib Mat Noor. Dia mengolah reka corak hasil proses transformasi corak dua dimensi alam semulajadi kepada reka bentuk tiga dimensi.

Dari segi persembahan, arca ini bukan sahaja dipamerkan di lantai, juga boleh berada di dinding, siling dan sebagainya. Arca ini menerapkan nilai-nilai estetika kesenian Islam. Motif alam semulajadi diringkaskan kepada bentuk geometri yang diulang-ulang (repetition).

Di samping itu, arca ini juga menekankan aspek dematerialisasi (dematerialization) dan denaturalisasi (denaturalization) yang mana aluminium ditebuk telah menampakkan seakan-akan ringan. Motif asal yang digunakan tidak lagi kelihatan.

Corak atau bayangan yang terhasil mewujudkan kesan cahaya yang indah, harmoni dan tiada batasannya apabila mencecah disetiap permukaan. Kuali sebagai bahan yang digunapakaikan berjaya dikawal dengan baik serta ianya memberi nafas baru kepada bahan tersebut.

Arca gelas yang dihasilkan oleh Halina Amin berdasarkan bentuk geometri yang diringkaskan, mewujudkan kesan pergerakan. Berbeza apabila dilihat dari pelbagai sudut. Setiap pergerakkan menampakkan pertumbuhan atau percambahan seperti terdapat pada alam semulajadi.

Dia berjaya menggabungkan kesan warna dengan bahan yang digunapakai. Menghadirkan rasa tenang. Kesan warna yang menusuk masuk ke ruang kaca yang dileburkan menampakkan suasana keindahan. Rupa atau kesan yang terhasil dalam kaca menggambarkan perasaan yakin, sedar dan di bawah kawalan. Kesan ini dapat dilihat dalam karya beliau bertajuk ‘Self’.

Karya bertajuk ‘Tree of Life’ dihasilkan oleh Wan Samiati Andriana menggambarkan hasil kerja tangan halus. Menggunakan teknik cetakan kayu. Kesan gurisan pada kayu dapat lihat dengan jelas. Imej yang diguna diringkaskan dan berbentuk separa geometri.

Karya ini menerapkan unsur flora dan fauna berlingkar antara satu sama lain. Pengolahan rupa bentuk yang terancang dan berulang-ulang menampakkan keseimbangan, harmoni serta pengawalan rupa dan ruang yang begitu menarik.

Kehijauan alam semulajadi dapat dilihat dalam karya Safrina Muhammad Azmi Dia menggunakan teknik stensil untuk mengutarakan ideanya. Imej yang digunakan adalah ekslorasi terhadap garisan yang terdapat pada rupa alam; pokok buluh, daun pandan, paku pakis dan sebagainya.

Warna hijau yang mewujudkan suasana tenang dan dipenuhi kedamaian dapat dirasai dalam karyanya. Imej yang dilakar pada permukaan jubin mampu menghasilkan garapan idea yang boleh dikembangkan kepada pengolahan lebih komplikasi serta corak lebih mencabar.

Lipas sinonimnya dikenali sebagai haiwan yang kotor mahupun tercemar. Namun demikian Suzani Azmin dalam interpretasinya terhadap haiwan ini membuka minda masyarakat untuk berfikir ke arah positif akan lipas.

Karyanya bertajuk ‘Rentak’, diterapkan dengan nilai estetika yang terdapat pada lipas, berupaya menjadi artifak seni untuk diketengahkan terutama di bahagian sesungut dan belakangnya. Imejnya diringkaskan dan dimodifikasikan dengan menggunakan teknik media digital yang dicetak di atas fabrik.

Karya yang berbaur kritikan sosial melalui pengolahan media digital dihasilkan oleh Azyseer Rahim mendedahkan perihal masyarakat kini yang hanya mahu memikirkan pembangunan dan kepentingan hidup serta mengabaikan apa yang ada di sekitarnya.

Imej gitar, bibir, tali gantung dan sebagainya dijadikan ikonografi mahupun subjek penting dalam karyanya. Warna merah yang digunakan sebagai latar seolah-olah beliau ingin menggambarkan kemarahan atau kerakusan manusia terhadap alam.

Bibir yang digunakan sebagai ikon hanya mampu berkata-kata sedangkan bukit serta gunung rakus dikerjakan oleh mereka yang tidak berperikemanusian. Manakala imej tali gantung mungkin suatu cara penyelesaian terhadap mereka yang membinasakannya.

Hasbee Mohamad dalam karyanya, ‘Line & Form of Nature’ adalah menggunakan teknik fotografi sepenuhnya. Beliau merakamkan unsur-unsur garisan serta bentuk yang terdapat pada alam semulajadi. Penggunaan warna sephia menampakkan karya ini lebih dramatis dengan kesan-kesan bayangan yang terhasil.

Zafina Zainal Abidin mengadaptasikan bentuk-bentuk alam semulajadi ke alam dekorasi (interior). Bentuk-bentuk ini dipermudahkan kepada geometri dan beliau cuba menggayakan konsep minimalis yang mana mudah tetapi praktikal dan asas penting dalam karyanya ialah “less is more’ and ‘doing more with less’. Penekanan terhadap rupa dan ruang turut diterapkan. Manakala bahan yang digunapakai adalah seperti kaca, kayu, seramik dan besi.

Akhir sekali Dr. Kamil Salem yang sering dikaitkan sebagai pemuzik, satu-satunya pelukis yang menggunakan unsur-unsur figura sebagai bahan untuk dipersembahkan. Wajah ceria yang dipenuhi dengan ketenangan menampakkan suasana sekeliling yang belum tercemar dan harus dikekalkan.

Beliau menekankan rupa wajah figura dengan jelas terutamanya dalam karya bertajuk ‘Wajah I’. Imej kanak-kanak berketurunan Melayu Sambas Lundu yang keriangan seolah-olah menggamit masyarakat untuk berfikir akan kesan alam jika tidak terpelihara. Media campuran digunapakai dalam usahanya menterjemahkan karya ini dengan lebih jelas seperti alam dipenuhi pelbagai sumber untuk diterokai.

Menurut Mohamad Najib, Kurator Pameran Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UITM Sarawak 2008, keseluruhan penggunaan alam semulajadi sebagai bahan untuk berkarya dilihat mampu membawa kepada banyak pengertian. Ini sama ada imej-imej, rupa bentuk, mahupun corak alam diadaptasikan secara terus ataupun tidak.

Dalam pameran ini, pelbagai idea yang telah diilhamkan oleh alam menggambarkan betapa penting setiap ciptaan Ilahi agar terus terpelihara. Penggiat seni hanya mampu meluahkannya melalui garisan, warna bentuk dan sebagainya. Hanya masyarakat sekeliling perlu lebih peka dan tajam pemikiran serta penglihatannya bagi mendalami setiap maksud karya seni yang bukan sahaja dilihat dari luaran tetapi secara dalaman.

Kajian yang berterusan serta dengan adanya sokongan individu, berkumpulan mahupun masyarakat dan komitmen para penggiat seni dilihat mampu menggerakkan lagi kegiatan seni. Sarawak yang sememangnya kaya dengan nilai-nilai tradisi dan sumber-sumbernya dilihat perlu diterokai oleh para pelukis moden.

Dengan kewujudan Institusi pengajian seperti UiTM yang mewujudkan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (Grafik) dilihat mampu membangunkan dan menghasilkan bakat-bakat baru dalam apa jua bidang berbentuk kesenian terutama di negeri Sarawak.

(Utusan Sarawak, 3 April 2008)