Tiga bahagian senada semarak bahasa Melayu

PERSEMBAHAN lagu puisi oleh Kelab Penggiat Sastera Sarikei.

PESERTA Bengkel Pemurnian Karya bahagian Sarikei merakam gambar bersama-sama Zasran Abdullah, Hazami Jahari dan Hamlen Bolhi.

PERSEMBAHAN seloka oleh kumpulan lagu puisi dari Bahagian Bintulu.

RADIN AZHAR AHMAD
Foto KOMAS SEEK

SENADA. Ini yang dapat diperkatakan apabila mendengar ucapan daripada Residen Bahagian Sri Aman, Sarikei dan Bintulu tentang usaha perkembangan bahasa dan sastera Melayu pada Malam Kesenian yang dianjurkan di Dewan Suarah ketiga-tiga bahagian berkenaan. Malam Kesenian merupakan program terakhir dan sebagai acara penutup kepada Jerayawara Bahasa dan Sastera 2008 di setiap bahagian.

Ketiga-tiga Residen ini dalam ucapan penutupan masing-masing menjelaskan, betapa pentingnya penggunaan bahasa Melayu dalam urusan kerja harian yang sekali gus akan merancakkan lagi perkembangan bahasa Melayu di setiap bahagian di negeri ini.

Dengan demikian, penubuhan Jawatankuasa Kerjasama Bahasa dan Sastera Peringkat Bahagian sejak 2002 dan mulai aktif tahun ini akan meninggalkan kesan yang berpanjangan, iaitu memartabatkan bahasa kebangsaan di semua lapangan.

Di bawah kerjasama ini, seperti yang terlihat pada Jerayawara Bahasa dan Sastera 2008 baru-baru ini, peringkat bahagian (Residen) dan Pejabat Daerah menyediakan ruang dan kemudahan (tempat) untuk melaksanakan kegiatan seperti Bengkel Pemurnian Karya, Wacana Bahasa serta Bengkel Penghasilkan Karya Kreatif.

Sementara, di pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, mereka membawa kepakaran. Dalam hal ini, Unit Pengembangan Bahasa, Unit Pengembangan Sastera, Unit Penerbitan dan Unit Komunikasi Korporat bersama-sama staf lain hadir untuk memberikan ceramah serta penerangan tentang sesuatu topik.

Pada masa yang sama, Dawama Sdn Bhd turut hadir memeriahkan program dengan membuka gerai jualan buku secara bergerak. Konsep ini yang sesuai digelar ‘pengedar (penjual) pergi kepada pembeli’, bukan lagi ‘pembeli pergi kepada pengedar (penjual)’ telah menyaksikan banyak buku terbitan DBP dijual sama ada kepada pelajar, guru ataupun orang awam.

Berbalik kepada ucapan Residen Bahagian Sri Aman, Sarikei dan Bintulu, mereka menjelaskan, “Bagi mengembangkan bahasa dan sastera Melayu, kami di peringkat bahagian dapat menyediakan prasarana yang sesuai untuk kegiatan seperti ini yang menjadi pemangkin pembangunan intelek. Kita perlu meningkatkan kerjasama ini.”

Mereka turut menyatakan bahawa pemilihan bahagian masing-masing sebagai destinasi persinggahan rombongan Jerayawara Bahasa dan Sastera 2008 merupakan satu penghormatan dan memberikan ruang kepada penduduk bahagian berkenaan untuk terlibat secara langsung atau sebaliknya.

Lebih membanggakan, pihak mereka menjelaskan sasaran peserta yang bukan sahaja kepada pelajar, tetapi juga merangkumi masyarakat keseluruhannya mampu mengukuhkan lagi persaudaraan antara masyarakat dengan pihak DBP.

“Pengalaman selama ini melalui kerjasama kita telah memberikan makna yang boleh dianggap sebagai sesuatu yang penting. Jawatankuasa ini telah mengadakan kegiatan yang memberikan fahaman kepada masyarakat terhadap bahasa Melayu yang harus diguna secara meluas dan diletakkan di tempat paling utama.”

Ketiga-tiga Residen ini turut menyatakan usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam setiap urusan rasmi. “Bahasa Melayu sejak dahulu lagi sesuai diletakkan dalam urusan kerja. Kita punyai kuasa untuk berbuat demikian. Langkah awal, kita menerapkan penggunaan bahasa Melayu pada nama tempat, premis, nama jalan dan sebagainya.”

“Lebih-lebih lagi bahasa ini sebagai khazanah yang bernilai. Bahasa ini boleh pupus kalau kehilangan penuturnya.

Sementara itu, Ketua Unit Pengembangan Bahasa DBP Cawangan Sarawak, Zasran Abdullah menjelaskan, penubuhan Jawatankuasa Kerjasama Bahasa dan Sastera Peringkat Bahagian sejak 2002 merupakan sinergi perkongsian bijak bahasa, sastera dan kebudayaan di peringkat bahagian.

“Jerayawara ini merupakan kegiatan pengisan ulang tahun ke-30 DBP Cawangan Sarawak sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam pengembangan bahasa dan sastera Melayu. Pada masa yang sama, disesuaikan dengan sambutan 45 tahun Sarawak merdeka dalam Malaysia.”

(Utusan Sarawak, 3 April 2008)

3 comments:

Zololkis said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Saiee Driss said...

Laman anda menjadi sumber maklumat saya tentang perkembangan seni budaya di Sarawak.

Terima kasih kerana meletakkan blog dan laman saya dalam link anda.

Tahniah dan teruskan kerja baik anda.

Wassalam.

Maslina Mahbu @ Armiza Nila said...

Salam hormat,

Radin terima kasih kerana menyiarkan koleksi puisi isteri dan ibu kamek pada 10 April 2008.

Jasamua tetap dikenang.

Semoga ktk terus lestari dlm bidang kewartawanan.

:-)