Ter... put! put! Ter... cis! cis! satu percubaan SIFAR

RADIN AZHAR AHMAD

Ter... put! put! Ter... cis! cis! Sedar ataupun tidak, kita mungkin pernah terdengar bunyian seperti ini. Entah dari mana datangnya? Yang pasti ia boleh terhasil daripada manusia mahupun benda di sekeliling kita. Ter... put! put! mungkin pernah kita dengar di suatu tempat yang dikenali sebagai jamban atau tandas.

Ter... cis! cis! pula kemungkinan hasil daripada lanjutan bunyi ter...put! put! atau daripada benda-benda yang digunakan di dalam jamban sebelum suasananya menjadi sepi. Kedengarannya bunyi-bunyi ini sudah semestinya bergantung kepada kepekaan dan kekerapan manusia mengunjungi tandas.

Tandas yang menyimpan berbagai rahsia dan peristiwa. Dalam keadaan sekeliling yang semakin maju dan pantas, masih ad agolongan yang tahu akan tandas tetapi tidak pernah mengambil tahu tentang apa-apa yang tersurat dan tersurat di sebalik sebuah tandas.

Nasib masih menyebelahi tandas apabila ada golongan yang masih tegar dan sanggup memeliharanya. Bekerja membersih tandas. Sambil mencuci, mereka meluaskan isi hati mereka. Inilah antara renteten cerita yang dipaparkan dalam teater Ter... put! put! Ter... cis! cis! yang akan dipentaskan oleh kumpulan baru (orangnya lama) iaitu Persatuan Seni Persembahan Sifar Kuching.

Ini adalah sinopsis teater Ter... put! put! Ter... cis! cis! yang berjaya dipentaskan di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak baru-baru ini. Tahniah kepada Kumpulan Teater Sifar kerana berjaya mementaskan teater itu walaupun kumpulan itu masih baru. Tahniah juga kerana berjaya menarik lebih 300 penonton dari pelbagai peringkat usia dan ras.

Setelah melihat pementasan tersebut, penulis sebenarnya telah diajukan beberapa soalan oleh rakan teater tentang Ter... put! put! Ter... cis! cis!. Seperti biasa mereka bertanyakan pendapat. Ter... put! put! Ter... cis! cis! sememangnya sebuah naskhah yang baik yang telah ditulis oleh Mama Senggora (salah seorang anggota Sifar). Satu lagi kebanggaan apabila anak tempat berjaya menghasilkan satu naskhah teater yang kemudian berjaya dipentaskan.

Salah satu percubaan berani daripada Mama Senggora iaitu Mohd Addly Mohd Ali menulis skrip teater untuk dipentaskan. Sekali gus, satu usaha peribadi Mohad Addly Mohd Ali untuk menjadi penulis skrip teater dan seterusnya akan memperbanyakkan lagi skrip teater di negeri ini. Persoalannya, adakah skrip tersebut sememangnya sesuai untuk dipentaskan? Ya! Memang sesuai jika pernah dibincangkan sama ada sesama tenaga produksi Sifar. Jika tidak, mungkin satu kesilapan kerana skrip yang diterima untuk dipentaskan mesti mendapat persetujuan ramai setelah melalui proses tegur-menegur, berbincang dan mungkin kadang-kadang bertegang urat.

Skrip ini dilihat sebagai satu luahan daripada penulisnya terhadap perkara yang berlaku di sekeliling kita yang kemudiannya diketengahkan di atas pentas untuk dinikmati pula oleh penonton. Jika melihat kepada sinopsis, pasti kita akan terbayang tentang tandas yang dikatakah kotor, dan kini sudah ada usaha-usaha untuk membersihkan tandas melalui pelbagai kempen. Inilah yang diceritakan dalam sinopsis.

Tetapi, perkara tersebut tidak banyak diketengahkan ketika pementasan teater itu dibuat. Berdasarkan pemerhatian penulis dan ini mungkin stau pendapat, cerita lebih banyak berkisar kepada dunia di luar tandas, dan kurangnya cerita di dalam tandas. Mungkin dua watak Wezan Saili sebagai Pak Akub dan Ferrazzillah Haji Mohd sebagai Putut mewakili masyarakat yang bekerja di tandas dan suara mangkuk tandas adalah gambaran kepada tandas.

Namun demikian, mesej yang cuba disampaikan dilihat terlalu banyak dan tidak menampakkan satu fokus utama dalam sesuatu pementasan. Benarlah seperti yang penulis dengar-dengar iaitu teater itu hanya satu luahan dalaman penulis. Alangkah bagus jika teater Ter... put! put! Ter... cis! cis! mempunyai fokus tetap. Sewajarnya perkara tersebut tidak berlaku sekiranya kita melihat setiap tenaga produksi teater berkenaan - rata-rata sudah mempunyai nama dalam dunia teater di Sarawak mahupun di peringkat kebangsaan. Malah, mereka seharusnya sedar akan perkara tersebut dari awal lagi bukannya setelah pementasan tamat.

Penulis melihat situasi demikian mungkin berlaku kerana tiadanya pengarah dalam produksi berkenaan. Dilihat dengan terperinci, Ter... put! put! Ter... cis! cis! diarahkan oleh SIFAR yang bermaksud kosong. Dengan demikian, jelas di sini bahawa Ter... put! put! Ter... cis! cis! tidak mempunyai pengarah, walaupun mereka menjelaskan semua tenaga produksi boleh memberikan pandangan. Dengan demikian, sekali lagi penulis beranggapan bahawa ahli baru yang mungkin sehari dua menyertai SIFAR sudah boleh memberikan arahan. Dengan kata lain, dalam Ter... put! put! Ter... cis! cis! terlalu banyak pengarahnya.

Sewajarnya Ter... put! put! Ter... cis! cis! mempunyai pengarah yang membuat kata putus terhadap sesuatu perkara. Seperti yang diketahui, di mana-mana organisasi sama kecil ataupun besar, pastinya ada seorang ketua yang menjadi kata pemutus. Ini bagi memudahkan kerja. Tetapi, mungkin satu kesilapan jika Ter... put! put! Ter... cis! cis! tidak mempunyai pengarah. Jika hanya diarahkan oleh SIFAR, bermakna tidak ada orang yang memberikan arahan. Dengan kata lain Ter... put! put! Ter... cis! cis! diarahkan oleh KOSONG.

Seterusnya, apabila menyentuh tentang pelakon; lakonan sememangnya baik kerana pelakon-pelakon yang terlibat sudah lama berlakon teater. Cuma mungkin ada beberapa perkara yang harus diambil perhatian. Watak Putut yang dilakonkan oleh Ferrazzillah Haji Mohd digambarkan sebagai seorang pekerja tandas yang berperwatakan lembut. Dia adalah lelaki tetapi berperwatakan lembut. Tetapi, di atas pentas, gaya Putut diketengahkan pula sebagai seorang yang melebihi lelaki lembut ataupun pondan.

Memang dia mengenakan pakaian lelaki, tetapi mungkin kerana lakonan berjaya membuat penonton ketawa sehingga watak lelaki lembut menjadi pondan. Begitu juga dengan Pak Akub yang dilakonkan oleh Wezan Saili. Seorang tua yang sudah berpengalaman dalam bidang pembersihan tandas. Ketuaaannya memang nampak tetapi bagaimana mungkin dia boleh bercakap tentang perkara-perkara yang berada di luar bidang tugasannya.

Dalam teater ini, Pak Akub cukup bijak bercakap tentang masalah dunia yakni Israel, petah pula berhujah ketika berceramah kepada penonton di hadapan tandas. Sedangkan, seperti yang kita maklum, lingkungan pemikiran seorang penjaga tandas adalah sekitarnya. Jikapun dia bercakap tentang Israel, mungkin luahan kemarahannya terhadap serangan, tidak mungkin mengetahui sebegitu banyak perkara.

Kemudian, Pak Akub telah menari – juga di hadapa tandas. Lagunya ‘Sedang Ingin Bercinta’ iaitu lagu Indonesia yang dipopularkan oleh generasi muda. Sebelum itu, dia menyatakan kepada Putut pernah bercinta. Apabila muzik keluar Pak Akub terus menari bagaikan anak muda. Jika pun ia adalah imbas kembali, adakah muzik tersebut sesuai dengan Pak Akub. Harus diketahui latar belakang Pak Akub dan zaman mudanya.

Wezan Saili memang berjaya melakonkan watak tersebut, tetapi dia seolah-olah digunakan untuk menarik penonton dengan watak komedi. Sudah lebih daripada dua teater yang dilakonkan oleh Wezan Saili adalah watak komedi sehingga dia dicop sebagai pelakon komedi. Di sini, menjadi harapan untuk melihat Wezan Saili mengubah watak yang dilakonkan.

Dalam Ter... put! put! Ter... cis! cis! satu perkara yang harus menjadi perhatian ialah dari segi penggunaan muzik ataupun bunyi sebagai pembantu dalam pementasan. Jika mahukan bunyi air dicurah ke dalam mangkuk tandas, maka bunyinya sewajarnya sama ataupun hampir-hampir sama. Jika tidak, ia hanya mengganggu mood penonton. Begitu juga di atas pentas. Terlalu banyak suasana gelap (berulang-ulang) bagi memisahkan satu babak ke satu babak seolah-olah menjadi trend. Ini hanya mengganggu penonton.

Seolah-olah memutuskan konstrensasi penonton. Mungkin ada cara yang lebih sesuai yang harus difikirkan oleh produksi berkenaan. Apa-apapun Ter... put! put! Ter... cis! cis! adalah satu eksperimen SIFAR. Harus diberikan juga pujian kerana kumpulan yang masih lagi baru ini tetap berjaya mementaskan Ter... put! put! Ter... cis! cis!

SIFAR adalah kumpulan pertama yang memulakan Pementasan Teater Berkala 2007 anjuran Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Sarawak. Lebih menarik pementasan teater sepanjang tahun ini turut mendapat kerjasama daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dan Medan Teater Negeri Sarawak (Mantera).

Disiarkan di Stail Utusan Sarawak: 10 Mei 2007

1 comment:

(Wisnu Pamungkas) said...

wah, wisnu story Radin ini pun jadi ikut ter...put!put! ter...cis!cis!. Sebagi orang dari luar negara yang haus akan informasi tentang perkembangan seni di negara jirannya tentu story seperti ini sangat menolong dan dapat dijadikan referensi untuk berkongsi pengetahuan. Taniah untuk Radin...,kami menanti story yang lebih oke lagi...RGDS