Suasana sastera di Aceh

REMAJA di Aceh lebih tertarik kepada irama yang pada dasarnya bagus tetapi tidak ada penelitian dan kritikan sehingga tidak mempunyai ruh sehingga kurang bermakna dan kurang penghayatan.

RADIN AZHAR AHMAD


PADA pertengahan abad 20-an, pendidikan yang berbentuk sastera di Aceh masih agak baik. Masih banyak pembaca hikayat dalam bahasa Aceh, pantun dan Seulaweut iaitu lagu yang berunsur nasihat dalam bahasa daerah.

“Tetapi, pada akhir abad 20-an, terutama di kalangan masyarakat kota, hal tersebut hampir tidak didengari lagi.

“Seterusnya, menimbulkan persoalan, apakah ini akibat pengaruh teknologi yang semakin canggih atau aibat budaya luar yang sangat mendekati sebahagian besar generasi muda? Atau, adakah masyarakat sudah kurang minat?”

Persoalan ini dikemukakan oleh Hasbullah Ismail dari Lhokseumawe, Indonesia apabila membincangkan Sastera Aceh Sebagai Implementasi Syariat Islam sempena Pertemuan Sasterawan Nusantara baru-baru ini.

“Bukan hanya di Aceh, banyak di daerah lain, lagu dalam bahasa daerah kurang diminati oleh sebahagian besar remaja. Sebaliknya dikatakan kolot.

“Mereka lebih tertarik kepada irama yang pada dasarnya bagus tetapi tidak ada penelitian dan kritikan sehingga tidak mempunyai ruh sehingga kurang bermakna dan kurang penghayatan.”

Hal tersebut katanya disebabkan dalam beberapa forum dan artikel bahkan hasil penelitian terhadap sastera di Nanggroe Aceh Darussalam, mahupun di Sumatera Utara dan di tempat lainnya, keadaan sastera mengalami kesukaran sehingga wajahnya selalu murung.

“Hal ini disebabkan kekurangan tenaga peneliti atau sasterawan yang punya karisma untuk menggali dan mengkaji terhadap sastera itu sendiri. Juga kurang kritikan yang dapat membangkitkan semangat seniman.”

Hal itu katanya terbukti terbukti seperti dalam penelitian yang dilakukan oleh Hasan Sadli melalui tesisinya, yang mengatakan bahawa di Sumatera Utara, Aceh dan Riau, tingkat penciptaan karya sastera lebih produktif jika dibandingkan dengan kritikan serta penelitian, apalagi kritikan terhadap karya sastera moden.

“Padahal pada hakikatnya hasil proses kreatif seorang kritikus dan peneliti sastera akan berdaya dan berhasil untuk memperdalam wawasan seseorang pembaca tentang karya sastera yang dihasilkan oleh seniman atau penyair.”

Hasbullah mengetengahkan faktor kurangnya penelitian dan kajian terhadap sastera iaitu, dalam lembaga pendidikan, mulai Tingkat Dasar hingga ke Perguruan Tinggi, mahasiswa yang mengambil bidang Pengajian Sastera selalu diremehkan oleh sebahagian mahasiswa lain dan masyarakat.

Pengajian sastera jelasnya, selalu menjadi pilihan kedua apatah lagi jurusan Sastera Indonesia atau Melayu.

“Kesannya, mahasiswa kurang berminat untuk mendalami bidang sastera, bahkan di Perguruan Tinggi Swasta, lebih banyak unsur pendidik yang bukan pakar dalam bidang sastera tetapi mengajar pengajian sastera.

“Oleh yang demikian, mahasiswa yang mempunyai bakat sastera tidak memiliki ilmu secara mendalam di alam pendidikan. Sebaliknya hanya mempunyai bakat.”

Faktor kedua katanya, dalam dunia pendidikan, sastera diketepikan berbanding pengetahuan lain yang tidak seimbang dengan bahasa.

Ketiga, kajian terhadap sastera tidak pernah meningkat bahasa bagi Mahasiswa Strata 2 (S-2) dan Strata 3 (kedoktoran). Di Perguruan Tinggi Negeri dan Swasta di Sumatera, tidak pernah ada program S-2 Bidang Kajian Sastera, juga bidang penelitian tentang kesusasteraan.

“Seterusnya, kurangnya perhatian pemerintah terhadap seniman dan penyair. Jika seseorang seniman ingin menerbitkan karya, mereka harus mengemis kepada pemerintah dengan membuat kertas cadangan. Itupun belum pasti berjaya.

“Juga, ramai cendekiawan bidang sastera yang mengalihkan jurusan lain untuk mengambil Strata 2 (S-2). Akibatnya, secara beransur-ansur para sasterawan akan berkurang bahkan hilang ditelan masa.”
(Utusan Sarawak, 6 Disember 2007)

1 comment:

Penabahari said...

Melihat foto penari-penari Acheh mengembalikan ingatan saya pada kongres yang dihadiri bersama saudara. Penari-penari ini juga mengingatkan saya kepada Hari Puisi Nasional yang diadakanb di Shah Alam dalam bulan Dis. 04. Sedih sekali mengenangkan tragedi yg berlaku selepas itu.
Semoga Allah memberi rahmat kepada hamba-hambanya yang terkorban sewaktu Tsunami melanda.