Lokasi khas untuk pementasan teater


PENUH KELUCUAN… Teater Sebelum Zuhur yang dipentaskan oleh Kumpulan Sanggar Teater Akar merupakan teater pertama yang dipentaskan sempena Program Pementasan Teater Berkala 2008 di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak.

RADIN AZHAR AHMAD

BAGI menjadikan setiap pementasan teater di negeri ini berprestij dan berkelas dunia, kerajaan negeri akan mencadangkan dan menyedikan lokasi khas yang akan diumumkan kelas untuk digunakan oleh penggiat seni mempersembahkan karya mereka.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datin Hajah Fatimah Abdullah berkata, pun demikian, untuk menjadikan teater negeri ini bertaraf dunia, ia tetap memerlukan komitmen yang tinggi daripada pelbagai pihak.

“Selain itu, karya yang hendak dipentaskan mestilah bermutu tinggi. Sementara mesej pula mestialh jelas. Semua ini akan menarik lebih ramai penonton. Kehadiran penonton dan pengkritik profesional penting untuk mencapai taraf prestij,” katanya.

Berucap pada Majlis Pelancaran Pementasan Teater Berkala 2008, Fatimah menjelaskan, pementasan teater mampu menyumbang kepada pewujudan bandar raya yang berbudaya, selain memberi peluang kepada penggiat teater untuk terus berkarya dan mementaskan ilham masing-masing.

Semua itu katanya juga terangkum dalam hasrat kerajaan untuk melihat pembangunan yang seimbang dari segi fizikal dan sosial; ia harus seimbang dengan pembangunan kebudayaan seni dan warisan budaya masyarakatnya.

“Dengan mengambil kira aspek ini, ia secara langsung berhubung kait dengan aspek rohaniah bandar raya itu sendiri,” katanya.

Untuk itu, bagi memasrikan teater Sarawak mampu berkembang, beliau menyarankan penggiat teater terus berkarya.

Disokong oleh semua faktor ini, dan penglibatan para profesional dalam bidang teater beliau yakin aktiviti teater di Kuching mampu mencapai taraf kelas dunia.

Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Sarawak, Tuah Matnor menjelaskan, Pementasan Teater Berkala 2008 merupakan rentetan kepada kejayaan pementasan yang sama pada 2007.

Objektif pementasan teater berkala katanya ialah bidang teater diangkat untuk merakyatkan seni budaya bangsa Malaysia; sebagai melahirkan pelapis penggerak teater generasi baru; untuk menjalinkan kerjasama dan semangat muhibah antara ahli kumpulan.

Selain itu, menambahkan bilangan penglibatan penganjuran egensi kerajaan, badan berkanun, kerajaan tempatan dan pihak korporat; dan, mengangkat bidang teater sebagai elemen media hiburan, kritikan sosial, pembelajaran dan pembentukan disiplin.

Katanya, setiap kumpulan yang membuat pementasan mesti berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan atau di bawah Akta Pengajian Tinggi.

“Tempoh pementasan mestilah tidak kurang satu jam, dan mesti mengetengahkan empat watak utama, bukannya monolog. Selain itu menggunakan sepenuhnya ahli kumpulan yang asal. Mereka boleh melantik tenaga luar untuk membantu tetapi tidak boleh melebihi 50 peratus daripada jumlah ahli yang asal.”

Presiden Medan Teater Sarawak (Mantera), Datu Haji Adi Badiozaman Tuah dan Mantan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, Zaini Oje turut hadir.

(Utusan Sarawak, 20 Mac 2008)