Pekasa bakal diwarisi pemimpin muda
PERSATUAN Karyawasan Sastera Sarawak (Pekasa) merupakan simbol kesinambungan gerakan kesusasteraan dan kebudayaan untuk generasi gelombang kedua di Sarawak, kata Ketua Satu Pekasa, Haji Taufik Firdausi.
Menurutnya, tahun depan (2010) bererti persatuan berkenaan akan diwarisi oleh kepimpinan penulis yang berusia dalam lingkungan 30-an.
“Kemudian, tidak lama lagi Pekasa akan berusia lima tahun. Akan wujud cabaran besar yang berlegar dalam proses mentafsir konsep persatuan dan hala tuju Pekasa kerana persepsi yang berbeza.
“Secara peribadi sata lebih ingin melihat Pekasa ditadbir urus dengan baik, memiliki kedudukan kewangan yang mantap dan dijaga dengan rasa amanah, berintegriti dan bertanggungjawab.
“Seterusnya penulis harus menggunakan Pekasa untuk menjadi pengurus dan penyelia kepada penerbitan karya mereka,” katanya berucap pada Malam Mesra Aidilfitri 2009 baru-baru ini.
Beliau berharap agar setiap penulis mula giat berkarya dan menggunakan segenap keupayaan Pekasa untuk menjadi penerbit kepada karya tersebut sama ada dalam bentuk antologi ataupun lain-lain.
“Ini tugas perkarya, menjadi suara keramat bangsa untuk memaknakan nilai dan wibawa bahasa, budaya dan persuratan Melayu sebagai bahasa dunia yang unggul dan segar, estetis dan bergaya
“Ini mampu kita lakukan jika kita yakin dan percaya bahasa kita mampu berada di mercu. Kita mesti melakukan sesuatu yang berguna untuk para penulis Sarawak, bersifat terbuka dan demokratis dan berlaku jujur dalam segenap harapan yang mereka inginkan,” tambahnya.
Pekasa berkenaan adalah milik bersama dan penulis (ahli) merupakan penentu kepada hayat dan masa depan persatuan berkenaan.
Pekasa jelasnya, tidak akan membawa makna apa-apa kepada martabat dan harga bangsa yang memiliki khazanah kesusasteraan yang tinggi nilainya jika gagal menyalurkan pemikiran dan idealisme yang maju dan mapan untuk masa depan gerakan kebudayaan itu.
“Kita akan dianggap tidak penting jika penyesuaian tidak dilakukan dan tranformasi sikap dan strategi tidak dilakukan.
“Kita tidak mampu lagi melihat diri kita sebagai penulis terutama memebri alternatif baru dengan melahirkan penulis pelapis yang lebih naratif dan kreatif, berilmu dan berteraskan ranah tempatan dan tradisi klasik,” katanya.
UTUSAN SARAWAK 31 Oktober 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Selamat Maju Jaya diucapkan kepada Pekasa.
Marilah kita sama-sama meneruskan perjuangan dan memantapkan lagi seni warisan budaya kita di era baru ini.
Post a Comment