Pertemuan tingkat kerjasama NGO budaya


SEPERTI biasa, pada penghujung tahun Jabatan Kebudayaan, Kesenian Negara (JKKN) Sarawak akan mengadakan Pertemuan Budaya iaitu antara jabatan berkenaan dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di negeri ini yang terlibat secara langsung dalam kegiataan kebudayaan dan kesenian.

Pelbagai kegiatan diadakan pada pertemuan tersebut yang bertujuan untuk menghimpunkan kalangan budayawan negeri ini dalam satu program. Pada masa yang sama, mereka dapat bertukar-tukar pandangan antara satu sama lain bagi meningkatkan lagi tahap perkembangan kebudayaan negeri ini di peringkat kebangsaan.

Diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di sini, antara acara yang diadakan ialah persembahan nyanyian, bergendang termasuk persembahan daripada mereka yang pernah menaikkan nama Sarawak ke peringkat kebangsaan, malah antarabangsa. Memenangi pertandingan.

Ahli Parlimen P200 Batang Sadong, Hajah Nancy Shukri yang menjadi tetamu utama pada malam tersebut dalam ucapannya menjelaskan, pertemuan tersebut merupakan kegiatan yang dapat merapatkan perhubungan antara JKKN Sarawak dengan pihak NGO.

“Pada masa yang sama, pihak NGO berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat warga jabatan ini. Dengan ini, mereka akan dapat mengetahui aktivit-aktiviti yang dirancangkan pada masa akan datang.

“Saya berharap semua ahli pertubuhan budaya yang mengambil kesempatan melalui program sebegini untuk berkongsi idea dan pengalaman bagi merancang dan menetap hala tuju sama ada dari pihak ahli NGO ataupun jabatan ini untuk memperkasakan lagi kegiatan dan budaya di negeri ini pada 2010 nanti,” katanya.

Beliau amat berharap agar tokoh, pemimpin, seniman dan ahli pertubuhan budaya di negeri ini agar sentiasa memberikan sokongan dari segi idea dan kepakaran kepada jabatan berkenaan memperkembangkan kebudayaan dari negeri ini.

“Marilah kita sumbangkan hasil karya seni budaya yang berbentuk seni persembahan, produk seni kreatif dan data-data seni budaya yang bermutu dan mempunyai estetika, logika dan etika yang amat tinggi nilainya.

“Sumbangan ini perlu kita kemukakan kepada pihak jabatan. Jika karya tersebut diakui mempunyai nilai seni yang tinggi, boleh dipertonton, dipamer dan didokumentasi ke peringkat kebangsaan.”

Nancy berkeyakinan dan percaya masih banyak khazanah seni budaya, warisan tempatan yang terdapat di negeri ini masih terpendam dan belum digali dan diketengahkan.

Dengan adanya kesungguhan, komitmen dan usaha sungguh-sungguh antara NGO budaya negeri ini dan pihak JKKN Sarawak, kekayaan seni negeri ini dapat dipamer dan dipersembahkan kepada masyaraiat luar.

“Sekali gus bertujuan mempromosi dan di samping itu menambah koleksi seni budaya yang sedia ada. Saya menaruh harapan pada tahun akan datang, kegiatan seni dan budaya di negeri ini akan bertambah rancak dan mempunyai ramai pendukung dan peminatnya.

“Pada masa yang sama, hasrat dan misi jabatan untuk membudayakan masyarakat negeri tidak akan tercapai tanpa sokongan dan dokongan semua,” katanya.

Timbalan Pengarah JKKN Sarawak, Haji Saini Lihi turut hadir.

Sumpah Budayawan ke-30 malam esok



WARTAWAN BUDAYA

Kami, budayawan dan seniman muda sedar di Sarawak, meskipun datang dari latar belakang hidup yang berlainan, berkecimpung dalam dunia seni yang berbeza, dan mempunyai cara dan bentuk pengucapan yang berbagai-bagai bersumpah bahawa: Kami sesungguhnya mempunyai satu negara – Negara Malaysia, satu bangsa – Bangsa Malaysia, dan satu bahasa – Bahasa Malaysia.
Dan kami berikrar bahawa: Kami sesungguhnya mempunyai satu semangat, satu suara, dan satu cita-cita, iaitu, mahu memberi sumbangan dengan cara dan gaya kami yang tersendiri kepada penentuan, pembentukan, pembinaan, pengembangan, pemupukan, dan penghidupan kebudayaan nasional yang kami cintai – Kebudayaan Malaysia.

TEKS di atas merupakan teks Sumpah Budayawan dan Seniman Muda Sedar Sarawak yang pernah diikrarkan 30 tahun yang lalu menjelang jam 12 tengah malam 31 Disember 1979 di Dewan Pembangunan Tun Abdul Razak, Kuching (kini Muzium Sarawak).

Buat kali ke-30, ikrar ini akan dilafazkan sekali lagi pada majlis sambutan Ulang Tahun ke-30 Sumpah Budayawan dan Seniman Muda Sedar Sarawak di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama pada 31 Disember ini (esok).

Majlis itu merupakan satu manifestasi kerjasama di kalangan anak seni pelbagai bidang yang cuba menyuarakan fahaman budaya mereka terhadap persekitaran sosial yang dirasakan masih dibelenggu oleh sanjungan terhadap budaya penjajah.

Dengan kata lain, majlis malam itu merupakan satu pernyataan berani anak-anak muda terhadap arah tuju dan corak perjuangan mereka dalam mengisi erti kemerdekaan dan membentuk masyarakat yang mereka warisi.

Pada malam itu, anak-anak seni dari pelbagai cabang kegiatan berhimpun bersama-sama di Dewan Pembangunan Tun Abdul Razak dan upacara dimulakan dengan azan Maghrib diikuti bacaan al-Quran dan tahlil sebelum solat Isya.

Lepas itu, setiap kumpulan kesenian yang ahlinya hadir mengadakan persembahan masing-masing yang pastinya pelbagai dan banyak kerana antara Isya dan tengah malam ada lebih tiga jam.

Bagaimanapun disebabkan hampir kesemua seniman malam itu berpakaian beradab yakni baju kebangsaan dan baju kurung maka persembahannya amat terkawal.

Kemuncaknya ialah apabila dilafazkan ikrar menjelang jam 12 tengah malam setelah lagu Negaraku dinyanyikan bersama-sama dan di samping diadakan upacara menaikkan bendera Jalur Gemilang.

Ramai yang hadir ketika itu menitiskan air mata mengenang betapa anak seni tanpa banyak disokong oleh kerajaan ketika itu mampu bersatu mengadakan majlis yang dianggap besar ketika itu memandangkan kebiasaannya pada malam Tahun Baru para pembesar berhimpun di kelab dan hotel untuk menyambutnya secara barat.

Di bawah kibaran lesu bendera Jalur Gemilang anak-anak seni mengangkat tangan dan menyambut ketibaan dekad 80-an dengan satu lafaz sumpah yang menegaskan sumbangan anak seni secara tersendiri terhadap kemajuan dan pembangunan bangsa dalam konteks mereka adalah satu bangsa, bangsa Malaysia – satu bahasa – bahasa Malaysia dan satu negara – negara Malaysia.

Dengan kata lain pada saat itu, 30 tahun lalu telah diungkapkan oleh anak-anak seni Sarawak konsep atau gagasan 1Malaysia kerana sedar hanya dengan menentukan arah hala dan tujuan bersama dapat warga pelbagai kaum dan latar budaya dapat hidup bersama dalam suasana aman damai dan sejahtera sambil sama-sama mencapai tujuan dan cita-cita.

Dengan itu, setelah dihadirkan Gagasan 1Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-30 Sumpah Budayawan dan Seniman Muda Sedar Sarawak mempunyai makna tersendiri, melambangkan kematangan dan kebijakan anak muda berperanan di dalam pembangunan nusa dan bangsa.