Sastera bina tamadun hebat

NILAI-NILAI luhur seperti kesopanan, kesusilaan, kejujuran, kebertanggungjawaban dan kekeluargaan yang terpancar daripada hasil karya sastera bermutu tinggi akan membentuk pemikiran, nilai dan budaya masyarakat maju yang seimbang.

Menegaskan perkara tersebut, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia ke-18 baru-baru ini, menyatakan bahawa para karyawan sastera menggalas amanah untuk menyuburkan nilai-nilai luhur yang menjadi tunjang dan sumber kekuatan masyarakat sejak zaman-berzaman.

Timbalan Perdana Menteri berkata, masyarakat maju perlu mempunyai jati diri dan ketahanan rohani sebagai sumber kekuatan untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran getir dalam mendepani era revolusi maklumat yang membawa perubahan kepada pemikiran, nilai, budaya dan landskap sosial masyarakat pasca industri.

"Tidak ada gunanya kita berjaya melahirkan masyarakat yang maju dari segi kebendaan sedangkan jiwa, perasaan dan impian anggota masyarakat lompong serta tidak berdaya, daif nilai kemanusiaan dan miskin kasih sayang terhadap sesama insan dan alam semesta.

“Dalam arus globalisasi sekarang, negara berhadapan dengan hakikat bahawa sempadan nilai dan budaya makin kurang signifikan dalam mentakrif jatidiri dan menjana kekuatan jiwa sesuatu bangsa,” katanya.

Mengulas perkara ini, Poul Nanggang menyatakan bahawa jika mahu membina sebuah tamadun bangsa yang hebat, sastera merupakan antara ilmu yang harus diberikan ruang dan tempat ke arah itu.

“Kita jangan asyik mahu bercakap sahaja, tetapi tidak melaksanakan apa-apa yang diucapkan bagiakan aksara-aksara itu mempunyai roh.

“Kita amat berbangga dengan apa yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri bahawa karyawan sastera galas amanah menyuburkan nilai-nilai luhur. Harapan kita bukanlah retorik semata-mata tetapi wawasan yang memajukan bangsa,” katanya.

Dalam hal yang lain katanya, contohnya dalam pemilihan teks Komsas dan sastera Melayu mestilah terpilih daripada karya-karya yang dinobatkan ini.

“Lantaran inilah karya yang dianggap hebat (pemenang Hadiah Sastera Perdana). Kenapakah harus diketepikan? Kalau bukan semua, pilih mana-mana yang terbaik.

Baginya, tidak guna mengiktiraf karya-karya ini kalau langsung tidak dimanfaatkan. Inilah tanggungjawab meletakkan karya yang terbaik untuk dijadikan ruang perbincangan dalam kalangan generasi muda agar mereka teruja dan terasa keindahan sastera bangsa yang agung ini.

“Semua kita mahukan suatu tindakan yang bermakna bukan sekadar duplikasi kata-kata yang hambar atau sekadar mahu mengangkat jiwa pengarang kita, hasilnya masih tidak ke mana.

“Kita harus perkasakan sastera kita menjulang angkasa raya sebagai sebuah khazanah yang tidak akan kering dek panas atau hancur dek hujan ribut melanda.”

Sementara itu, Ja'afar Hamdan berkata, sastera sudah sekian lama berperanan sebagai wahana pemikiran.

Menurutnya, penceritaan yang menjadi karya diolah melalui rakaman realiti dan imaginasi.

“Tentu sahaja proses "sebab-akibat" dalam pengkaryaan akan menonjolkan nilai baik dan buruk sebagai pilihan. Pasti yang baik akan menjadi cukup dominan untuk diketengahkan dan yang buruk wajar dikalahkan.”

Namun katanya, perkembangan semasa memperlihatkan terlalu banyak karya yang lebih mengutamakan cinta asyik berdasarkan permintaan massa.

Justeru ada menimbulkan pembahagian yang jelas antara sastera berat dan sastera ringan. Sudah tentu, sastera ringan lebih berjaya dari segi jualan dan kepopularan berbanding dengan sastera berat.

“Maka, perkembangan sastera mutakhir bukan lagi terpikul oleh karyawan tetapi juga oleh pembaca yang harus lebih bijak memilih dan menentukan bahan bacaan yang lebih tepat dan berilmu.”

Seterusnya, Toh Chee Leong menyatakan, “Memang benar apa yang telah disebut oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang karyawan sastera menggalas amanah menyuburkan nilai-nilai luhur. Apa yang ditulis itu berfungsi untuk mengubah minda kita hasil daripada pembacaan yang luas.”

Itu semua katanya, kerana pengaruh, semangat dan nilai jati diri yang ada pada penulis itu sendiri yang berjaya menghasilkan artikel, buku dan lain-lain lagi untuk pembacaan para pembaca.

“Contoh paling jelas ialah penjawat awam. Mereka perlu mempunyai sifat-sifat dan semangat kerja yang lebih profesional lagi.

“Profesionalisme ini hanyalah dapat dibentuk melalui kempen kesedaran, juga boleh melalui buku, artikel semasa, majalah dan sebagainya untuk membentuk sebuah negara yang berprestij dalam menangani segala masalah dalam kehidupan kita seharian.”

Sebaran makalah hasil daripada para penulis tidak kira penulis yang mempunyai pengetahuan tentang ekonomi, politik, sosial, motivasi dan sebagainya berjaya untuk mempengaruhi pemikiran masyarakat hari ini, tambahnya.

3 comments:

Toh Chee Leong's Collections said...

Terima kasih kerana diberi peluang untuk meluahkan pendapat dan idea.

Semoga kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akana datang.

tagskie said...

hi.. just dropping by here... have a nice day! http://kantahanan.blogspot.com/

JanuskieZ said...

Hi... Looking ways to market your blog? try this: http://bit.ly/instantvisitors