BUDAYA MENCAKUPI SELURUH GAYA HIDUP


SASTERAWAN Sarawak, Datu Haji Adi Badiozaman Tuah (kanan) memberikan penerangan tentang Tokoh Budayawan, Dato' Haji A. Aziz Deraman yang membicarakan Kebudayaan dan Kesusasteraan Dalam Pembangunan Modal Insan pada Bicara Eksekuitif 2010 sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak di sini, hari ini.


MATLAMAT
utama pembinaan kebudayaan kebangsaan ialah perpaduan bangsa dan negara, selain pembinaan keperibadian kebangsaan atau jati diri dan keseimbangan pembangunan sosio-ekonomi dengan aspek kerohanian dan kemanusiaan.

Tokoh Budayawan, Dato' Haji A. Aziz Deraman berkata, istilah kebudayaan kerap dikelirukan sehingga digunakan secara bertindih atau disamakan dengan kesenian.

Menurutnya, ada ratusan takrif kebudayaan dan puluhan cabang kesenian yang merupakan sebahagian daripada kebudayaan.

Kebudayaan membawa makna atau merujuk kepada keseluruhan cara hidup meliputi segala aspek, sama ada berbentuk kebendaan atau bukan kebendaan.

Bidang-bidangnya ialah falsafah dan pemikiran (bahasa, sastera, kepercayaan), nilai, norma (adat resam, istiadat, nilai sosio-budaya), kesenian (seni persembahan, seni tampak) dan aspek kebendaan (bangunan, rumah, istana, peralatan hidup, warisan fizikal sesuatu bangsa).

Kerajinan, ketekunan, kesabaran dan banyak nilai terpuji terselit dalam kebudayaan selagi kita tahu memberikan makna dan menghayatinya secara mendalam bahkan boleh membawa kepada seseorang insan itu lebih cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Bicara Eksekutif 2010 berjudul Kebudayaan dan Kesusasteraan Dalam Pembangunan Modal Insan sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak yang dipengerusikan oleh Datu Haji Adi Badiozaman Tuah di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, di sini hari ini.

Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Jiso Rutan, Pemangku Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian Negara, Sarawak, Haji Saini Lihi dan Dr. Awang Azman Awang Pawi turut hadir.

Dato' A. Aziz Deraman berkata, penekanan pembangunan bukan semata-mata bermaksud pembangunan ekonomi bagi tujuan kesejahteraan hidup sebagai aspek luaran kehidupan kemanusiaan, tetapi juga penekanan membina jiwa dan semangat yang tidak kosong, termasuk semangat kenegaraan, kesatuan, patriotisme dan sebagainya.

Pembangunan kebudayaan mengisi kekosongan jiwa dengan memenuhi keperluan pembinaan negara dengan penyuburan nilai-nilai budaya positif. Gagasan 1Malaysia tidak dapat dijayakan tanpa perkongsian nilai dan norma yang sama dalam kehidupan berbangsa seperti kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, kesetiaan dan sebagainya.

Teras-teras perpaduannya terletak kepada penerimaan kepelbagaian kita, prinsip-prinsip kenegaraan yang berteraskan Perlembagaan dan Rukun Negara dan keadilan sosial,” katanya.

Pembangunan ekonomi ujarnya, perlu diimbangi dengan pembinaan nilai-nilai budaya dari sudut kemanusiaan, rohaniah dan kebangsaan kesatuan dan perpaduan dalam kehidupan sosial.

Untuk melahirkan modal insan cemerlang, selain sistem dan dasar pendidikan moden, tujuan pendidikan sepanjang hayat, formal dan tidak formal boleh dicapai sekalipun melalui kesenian yang tercerna dalam bermacam bentuk.

Misalnya, kesenian etnik atau klasik, kesenian rakyat atau tradisional dan kesenian sezaman termasuk seni bina, muzik, teater, seni lukis, seni kraftangan), kegiatan bahasa, sastera, bengkel keilmuan,” tambahnya.

Di Malaysia, katanya, ikatan kenegaraan dan kebangsaan dikanunkan dalam perlembagaan sebagai tonggak bangsa iaitu tentang status bahasa Melayu sebagai bahasa negara, institusi kesultanan (konsep ketua negara atau ketua negeri), Islam sebagai agama rasmi, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera, kewarganegaraan, hak asasi, dan dasar-dasar nasional dalam sistem pendidikan, kebudayaan dan sosial.

Sifat-sifat negara bangsa adalah berasaskan perkongsian persamaan nilai-nilai umum, bukannya perbezaan, keperibadian bangsa atau negara, kesetiaan politik, keyakinan diri, nilai-nilai akhlak, moral, etika yang kukuh, demokratis, adil, saksama, progresif, makmur, daya saing, daya tahan, tangkas dan dinamis,” jelasnya.


Utusan Sarawak, 9 Oktober 2010

No comments: