Kerjasama jadikan BM bahasa terbilang


USAHA mengekal dan memelihara kedaulatan Bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa kebangsaan perlu dilaksanakan dengan serta-merta dan bersungguh-sungguh oleh semua pihak.


Ahli Parlimen Petra Jaya, Haji Fadillah Haji Yusof berkata, semua pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan perlu memberi kerjasama dalam usaha memelihara dan menjadikan BM sebagai bahasa yang terbilang di rantau ini.


Menurutnya, untuk itu, jalinan hubungan yang akrab perlu diwujudkan antara budayawan dan penggubal dasar kerajaan bagi menjamin setiap sasar yang digubal tidak menjejaskan aspek bahasa dan budaya.


"Melalui hubungan ini, pihak budayawan boleh menyediakan panduan bagi merangka dasar dan strategi pelaksanaan berkaitan bahasa budaya kepada pihak penggubal dasar," katanya yang juga Penaung Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA).


Justeru, beliau merancang perjumpaan pada Sesi Parliman antara Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan ahli-ahli Kelab Penyokong Kerajaan.


"Dari langkah mula ini kita harap dapat mencorakkan langkah lebih besar dalam usaha kita memartabatkan bahasa dan budaya," katanya berucap merasmikan Dialog Bahasa 2007 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak.


Dialog anjuran GAPENA melalui PEKASA dan dengan kerjasama DBP Cawangan Sarawak itu tanda keseriusan menyahut seruan DBP untuk bersama-sama memikirkan usaha memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia amnya dan di Sarawak khususnya.


Gabungan DBP Cawangan Sarawak sebagai agensi bertanggungjawab terhadap hal-hal kebahasaan, GAPENA sebagai pertubuhan bukan kerajaan yang bersifat nasional dan antarabangsa serta PEKASA sebagai pergerakan peringkat negeri dalam merealisasikan program ini.


Menjadi harapan program itu membuka horizon baru membina kecemerlangan usaha, memupuk kegemilangan bahasa Melayu dan menjadikan bahasa Melayu cukup terbilang dalam arus pembangunan negara.


Objektif dialog bahasa itu ialah pertama, membincang dan merumus isu bahasa dan sastera tentang perkembangan bahasa dan sastera di Sarawak khususnya dan di Malaysia amnya. Kedua, menghimpunkan para sarjana dan karyawan, serta mendapatkan input terhadap isu semasa tentang perkembangan semasa bahasa dan sastera.


Ketiga, menimbulkan kesedaran di kalangan masyarakat tentang persoalan-persoalan semasa dalam bidang bahasa khususnya memantapkan fahaman tentang tugas, peranan dan tanggungjawab bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.


Keempat, memperkukuhkan usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan sebagai wahana pembinaan modal insan dan seterusnya menghasilkan resolusi atau gagasan bersama tentang hasrat memperkasakan bahasa Melayu.


Dialog ini juga adalah satu kegiatan bersempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-50 selain sebagai salah satu program di bawah Pasca Kongres Bahasa VII. Selain itu, ia sebagai program perintis ke arah membincangkan isu kebahasaan dan disempenakan dengan sambutan Bulan Bahasa dan Sastera Peringkat Negeri Sarawak 2007.


Ketua Satu GAPENA, Tan Sri Profesor Emeritus Dato’ Pendeta Dr. Haji Ismail Hussein dal;am sesi dialog menjelaskan, perjuangan budayawan perlu diberi perhatian oleh kerajaan kerana ini salah satu faktor penting untuk merencana masa depan negara.


Beliau melahirkan kebimbangan kerana sekarang ini sudah wujud fenomena peminggiran budaya serta bahasa, malah peminggiran kalangan budayawan sendiri. Sekiranya ini terus berlaku, beliau secara tegas melahirkan rasa pesimis terhadap masa depan Malaysia.


Mengenai usaha menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat negara ini, Ismail berkata, GAPENA tiada masalah tentang hal itu malah sanggup membantu generasi hari ini menguasai bahasa global itu.


"Bahasa Inggeris memang penting untuk anak-anak yang bakal menguasai dunia tetapi dalam masa yang sama bahasa Melayu harus dimartabatkan setinggi-tingginya." – RADIN AZHAR AHMAD


(Disiarkan di akhbar Utusan Sarawak, Khamis, 19 Julai 2007)

No comments: