Bahasa sebagai asas komuniti

KEPELBAGAIAN dalam masyarakat dari segi bahasa bermakna juga kepelbagaian dalam aspek-aspek budaya yang lain. Ini disebabkan setiap bahasa berasaskan sekumpulan orang yang menggunakannya sebagai alat berkomunikasi antara mereka dan alat melahirkan fikiran dan mewujudkan aspek-aspek budaya.

“Kumpulan orang yang seperti inilah yang kita namakan komuniti bahasa. Istilah komuniti bahasa (language community) juga membawa makna komuniti orang yang pada asasnya mempunyai cara hidup dan berbagai-bagai aspek budaya, yang bersifat kebendaan dan bukan kebendaan, yang sama.

“Secara am, kita menyebut komuniti yang berkenaan sebagai suku kaum. Dengan demikian, asas sesuatu kaum adalah bahasanya. Bertitik tolak dari bahasa, setiap suku kaum mempunyai aspek-aspek budaya sendiri,” kata Profesor Emeritus Dato' Dr. Asmah Haji Omar membentangkan Bahasa dan Sastera Sukuan Sebagai Sumbangan Peningkatan Penyatuan Masyarakat Pelbagai Kaum sempena Kolokium Bahasa dan Sastera Pelbagai Kaum 2010 baru-baru ini.

Menurutnya melalui bahasa juga, setiap suku kaum mempunyai cara mengungkapkan pengertian dan tafsirannya mengenai alam sekelilingnya dengan caranya sendiri, kerana bahasanya memungkinkan dia berbuat demikian.

Dengan itu, jelasnya, ahli-ahli sesuatu kaum dapat memberi gambaran tentang alam fizikal, yakni kawasan geografinya, dan juga gambaran tentang tingkah laku manusia dan cara berfikir mereka melalui bahasanya sendiri.

“Dengan begitu banyaknya komuniti bahasa, dan dengan itu suku kaum, yang ada di Malaysia, maka persepsi pertama yang ada pada sesiapa pun, terutama sekali yang belum pernah datang ke Malaysia, ialah perbezaan lahir yang nyata antara suku-suku kaum itu.

“Orang luar sering tertanya bagaimanakah suku-suku kaum ini berhubung dan dengan itu mendekati satu sama lain. Jawapan yang standard ialah kita mempunyai bahasa bersama, iaitu bahasa Melayu, yang dikenal juga sebagai bahasa Malaysia,” katanya.

Bahasa sebagai sumber sejarah budaya komuniti

Menurut Profesor Asmah, jika bahasa dianggap hanya sebagai alat berhubung satu sama lain, yakni alat komunikasi, maka komunikasilah sahaja fungsinya.

“Komunikasi bermakna menyampaikan maklumat dari penutur A kepada penutur atau kumpulan penutur B. Itulah makna komunikasi dan keperluannya kepada manusia. Komunikasi yang seperti itu merupakan hubungan luaran sahaja, seperti halnya kita berkomunikasi dengan komputer apabila kita melayari laman web.”

Katanya, dalam penyatuan masyarakat pelbagai kaum, komunikasi hendaklah lebih daripada setakat permukaan kulit. Komunikasi melalui bahasa hendaklah dapat membawa kepada hormat-menghormati antara suku kaum, dan sikap ini dapat dibina dengan menghormati budaya suku kaum lain yang hidup bersama dalam masyarakat yang besar. Budaya dan tradisi sesuatu suku kaum itu tersimpul dalam bahasanya.

Ujarnya, rekod bertulis yang memberi gambaran tentang sejarah komunikasi bahasa, terutama sekali dari segi alam lingkungan hidup ahli-ahlinya serta juga hidup serta hasil fikiran dan gambaran emosi mereka merupaskan kaedah yang baru dalam sejarah tamdun manusia.

“Apakah berlaku sebelum adanya rekod bertulis itu? Ketiadaan gambaran yang jelas mengenai keadaan komuniti bahasa sebelum adanya rekod bertulis juga berlaku pada komuniti bahasa bukan sahaja di Malaysia, bahkan juga di seluruh dunia.

“Bagaimanakah kita memperolehi pengetahuan tentang keadaan komuniti prasejarah tanpa rekod bertulis? Ada dua cara, iaitu melalui arkeologi dan bahasa. Tetapi arkeologi memberi maklumat yang terhad yang tergambar pada benda-benda konkrit yang merupakan peninggalan lama, seperti bangunan atau bahagian-bahagian bangunan dan artifak-artifak yang diperbuat daripada batu, tembaga dan sebagainya.”

Bahan-bahan itu katanya, tidak dapat menggambarkan aspek-aspek pemikiran, sususan masyarakat dan cara hidup orang yang terlibat lebih daripada apa-apa yang dapat dipandangan dengan mata.

“Dengan itu, kita tidak dapat beralih kepada cara yang kedua, iaitu bahasa. Dalam bahasalah tersimpulnya sejarah sesuatu komuniti itu dari awal hingga akhir. Melalui aspek-aspek dalam bahasalah kita dapat memperolehi sejarah perkembangan sesuatu komuniti itu, gambaran alam dan cara hidup serta perasaan dan emosi orang-orangnya sehingga kepada yang sehalus-halusnya, sistem kepercayaan dan hasil pemikiran yang bersifat falsafah hidup serta peraturan hidup mereka, dan sebagainya.”


Utusan Sarawak, 8 Januari 2011

No comments: