Citra bangsa dalam sastera

PENGERTIAN bangsa di dunia Melayu Asia Tenggara memiliki berbagai-bagai makna denotatif dan konotatif. Selain pengertiannya sebagai negara bangsa, yang dibentuk sistem pemerintahan – rakyat dan kawasan – istilah bangsa juga digunakan untuk menyebutkan bangsa Melayu yang ada di Nusantara, juga hidup berdampingan dengan bangsa China, India dan lainnya.

"Kemudian sastera sebagai bahagian dari kebudayaan, tentu sahaja mengekspresikan gagasan mengenai bangsa tadi. Sementara, sastera di Nusantara akan menggambarkan sejauh mana konsep dan penerapan nilai kebangsaan itu," kata Muhammad Takari Jilin Syahrial dari Universiti Sumatera Utara.

Membentang kertas kerja "Citra Bangsa Dalam Sastera Nusantara" di Pertemuan Sasterawan Nusantara Ke-14 di Kedah Darul Aman, Muhammad Takari menjelaskan, istilah yang digunakan oleh rumpun Melayu di Nusantara untuk sastera dalam konteks kebangsaan juga berbaga-bagai – sastera Nusantara, sastera etnik, sastera kebangsaan dan sebagainya.

Menurutnya, citra bangsa dalam sastera Nusantara juga dijumpai dalam puisi tradisional Melayu yang disebut pantun.

"Pantun adalah manifestasi pemikiran manusia Melayu silam, kerana pantun sebagai karya sastera lahir dari pemikiran yang amat jernih dan signifikan. Pantun menjelmakan pemikiran yang amat arif dan bijaksana, yang lahir dari pengamatan mata yang peka dan rinci."
Salah satu citra bangsa dalam pantun Nusantara.

Kalau pergi ke Tanjungpura,
Bawakan kami seekor ikan,
Kalau ingin muliakan bangsa,
Tradisi dijaga adat diamalkan.

Kalau meletus Gunung Sibayak,
Kota Medan menjadi abu,
Pekik merdeka kita bersorak,
Penjajah pergi menangis pilu.

"Dalam sastera Nusantara, citra bangsa yang negatif iaitu adanya intrik permusuhan dalam pemerintahan atau antara elit penguasa Melayu tercermin dalam karya sastera tradisional."

Katanya, Nusantara adalah kawasan yang terbentang antara dua benua, iaitu Asia dan Australia, serta Laut Pasifik dan Laut Hindi. Istilah Nusantara julung kali digunakan oleh Patih Gajah Mada daripada Kerajaan Majapahit pada abad pertengahan, iaitu tercetusnya Sumpah Palapa – tidak makan buah palapa sebelum seluruh Nusantara berada di bawah kekuasaan Majapahit.

"Menerusi sumpah ini akhirnya rantau Nusantara sampai ke daratan Indochina dapat dikuasai oleh Majapahit. Sementara itu, sebelumnya telah bertapak dengan gemilang Kerajaan Sriwijaya dengan wilayah yang lebih kurang sama, dengan wilayah Majapahit. Ibu kotanya di Palembang Sumatera."
(Stail Seni Budaya, Akhbar Utusan Sarawak, 16 Julai 2007)

No comments: