Sidang Terakhir himpun penonton paling ramai

SETELAH beberapa naskhah drama pentas dipersembahkan pada setiap bulan, naskhah ‘Sidang Terakhir’ yang dipentaskan oleh Kumpulan Teater ASEK berjaya menarik minat lebih 300 penonton.

Pementasan yang memakan masa kurang sejam itu mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya manarik minat paling ramai penonton.

Teater tersebut menceritakan sebuah sidang yang dipengerusikan oleh Cik Siti Wan Kembang (lakonan Uji Morni) dan dihadiri oleh Pak Kaduk (Zul Eskandar), Pak Pandir (Jumat Hassan), Lebai Malang (Zulkefli Md. Jasin), Si Luncai (Saeit Ahmad) dan Pak Belalang (Ali Mohamad).

Agenda persidangan itu ialah ‘Mesyuarat Tentang Nasib Bangsa Kita’ yang berakhir dengan kegagalan.

Pementasan teater tersebut merupakan salah satu daripada usaha Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Sarawak dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak mengadakan Pementasan Teater Berkala 2007.

Objektif pementasan ialah untuk merakyatkan seni dan budaya bangsa melalui aktiviti pembudayaan, sekali gus menjadikan seni teater sebagai elemen penting dalam kehidupan masyarakat.

Kedua, memberi ruang dan peluang kepada penggiat, penggerak dan khalayak seni untuk mengetengahkan karya dan menilai mutu persembahan masing-masing. Di samping itu, dapat menghidupkan dan memeriahkan lagi perkembangan Seni Teater di Negeri Sarawak, khususnya di bandar raya Kuching.

Objektif ketiga ialah mengangkat kembali kecemerlangan Seni Teater dari bentuk sekular dan diadaptasikan dalam bentuk persembahan agar menjadi media hiburan dan bermesejkan moral insan yang positif.

Sementara, objektif keempat ialah menjadikan seni teater milik bersama dalam meningkatkan perpaduan bangsa dan integrasi nasional melalui penglibatan pelbagai kaum demi untuk memartabatkan seni warisan khazanah bangsa.
(Stail Seni Budaya, Utusan Sarawak, 23 Ogos 2007)

1 comment:

Unknown said...

JEMPUTAN KE SEMINAR PANTUN MELAYU: SEMALAM, HARI INI DAN ESOK pada 6 DAN 7 DISEMBER 2007 di UKM.

Dengan hormatnya dimaklumkan ATMA (Institut Alam dan Tamadun Melayu) akan menganjurkan Seminar Pantun Melayu: Semalam, Hari Ini dan Esok pada 6 dan 7 Disember 2007 di UKM.

Individu yang berminat dijemput untuk menyertai seminar ini. Maklumat lengkap sila rujuk laman web http://www.atma.ukm.my/

Sebarang pertanyaan:

Tel: (603) 8921 4166
email: seminarpantun@gmail.com