130 pelajar SMK Tebakang sertai bengkel penulisan

oleh ARDI SAAIT

SERAMAI 130 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebakang, Serian baru-baru ini menghadiri Bengkel Penulisan Cerpen dan Puisi di sekolah berkenaan.

Bengkel tersebut yang merupakan anjuran Panitia Bahasa Melayu sekolah tersebut terbuka kepada pelajar yang telah tamat peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Fasilitator yang membimbing bengkel cerpen ialah Dahiri Saini, sementara Awang Kelana Awang Hassan mengendalikan bengkel puisi. Kedua-dua mereka merupakan Ahli Jawatankuasa Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA).

Menurut Pengarah Program, Yakub Majeli, bengkel tersebut diadakan dengan tujuan untuk mendedahkan kepada pelajar tentang teknik penulisan cerpen dan puisi yang betul, berkesan dan bermutu.

"Selain itu, bengkel ini juga diadakan untuk memupuk minat dan apresiasi pelajar terhadap bidang sastera serta memperluaskan pengetahuan peserta dalam bidang kesusasteraan," katanya.

Semasa bengkel tersebut dilaksanakan, peserta dibahagiakn kepada beberapa kumpulan dan diberikan peluang untuk mempersembahkan karya dan potensi masing-masing sama ada dalam deklamasi sajak atau cerpen pada akhir bengkel.

(Utusan Sarawak, 15 November 2007)

No comments: