“KE tahap tertentu, soal bahasa, sastera, budaya dan ilmu merupakan aspek yang sama penting dengan bidang-bidang lain seperti politik, ekonomi, keselamatan dan perhubungan antarabangsa,” kata Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan.
Berucap merasmikan Majlis Tinta Kenyalang 2008 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, Menteri Perancangan dan Pengurusan II itu menjelaskan, sejarah juga menunjukkan bahawa sesuatu tamadun hanya muncul dengan adanya gabungan antara bahasa, sastera, budaya dan ilmu.
“Dalam hubungan dengan pembinaan tamadun, syarat yang sama tetap berlaku. Jika kita menoleh zaman gemilang rantau ini sebagai pusat kebudayaan, perdagangan dan kuasa politik kita dapat melihat perkembangan bahasa, budaya dan ilmu sekali gus.
“Kegemilangan empayar Melayu pada zaman silam bukan terletak pada kekuatan politik dan ekonomi semata-mata, malah diimbangi oleh kekuatan mental pujangga dan pemikir Melayu terbilang.”
Lintasan sejarah yang terpancar dalam era yang lalu, khususnya aspek bahasa, sastera dan budaya Melayu sudah cukup dapat “menginsafkan kita bahawa kita sudah mempunyai pangkalan dan akar yang kukuh untuk melanjutkan pembinaan tamadun kita”.
Awang Tengah berharap, dengan wujudnya tokoh-tokoh ilmu persuratan Melayu zaman silam, perkembangan yang dilalui itu dapat dijadikan contoh dan cabaran kepada ahli-ahli ilmu pada zaman ini, khususnya di Sarawak.
Jelasnya, jika pada zaman yang teknologinya masih rendah dan sukar untuk memperoleh maklumat secara mudah, pelbagai karya agung dalam pelbagai bidang mampu dihasilkan, maka tidak ada alasan lagi pada zaman serba maju ini (penulis) tidak berupaya menghasilkan karya ilmiah yang lebih banyak.
“Saya mengajak agar bersama-sama dengan DBP serta agensi kerajaan yang lain agar sentiasa membantu mereka dalam membina tradisi keilmuan dalam kalangan masyarakat kita khususnya di Sarawak.
“Saya sendiri dan pihak Kerajaan Negeri Sarawak akan sentiasa membantu usaha-usaha sebegini kerana bagi kami, masyarakat di negeri ini haruslah sentiasa menguasai ilmu dalam pelbagai bidang agar rakyat di negara ini mampu bersaing dalam dunia globalisasi hari ini.”
Menyentuh tentang tanggungjawab keilmuan, Awang Tengah berharap penulis dapat menggembleng usaha agar tradisi keilmuan dalam kalangan masyarakat terus berakar.
Ilmu yang dimaksudkan ujarnya, bukan sahaja mesti disampaikan dalam bahasa kebangsaan untuk pengajaran dan sebagainya, tetapi yang lebih penting ialah ilmu mesti diterokai, ditulis dan diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia.
Jika itu dilakukan, pusat-pusat keilmuan akan sarat dengan ilmu yang tidak dapat dikembangkan dan tidak disebarkan.
“Ilmu akan menjadi beku dalam diri ahli-ahli ilmu semata-mata. Apatah lagi jika ahli-ahli ilmu terus-menerus menumpukan kepada penulisan dalam bahasa asing semata-mata.
“Kita mungkin dapat menonjolkan ahli ilmu yang diiktiraf di peringkat antarabangsa kerana karyanya, tetapi kita akan kekurangan bahan bacaan dan rujukan ilmiah dalam bahasa kebangsaan, yakni bahasa yang kita tetapkan sebagai bahasa pengantar ilmu.
“Oleh yang demikian, saya menyeru agar kita bersama-sama menulis apa-apa juga bidang ilmu dalam bahasa kebangsaan agar nilai keilmuan itu mampu dikongsi oleh masyarakat kita secara menyeluruh, khususnya di Sarawak ini.”
Penulis tambahnya, yang bertanggungjawab menghasilkan karya dalam bahasa kebangsaan mesti mewujudkan suasana masyarakat memerlukan buku atau apa-apa sahaja bentuk tulisan yang dapat membantu memajukan mereka.
Sudah sampai masanya golongan petani, nelayan, mendapat faedah daripada kajian ahli sains untuk memajukan pertaniannya dengan membaca kaedah memajukan pertanian melalui tulisan yang mudah dalam bahasa kebangsaan, jelasnya.
Sesuatu bahasa yang diabaikan oleh golongan intelek ujarnya, akan layu dan beku sehingga tidak berdaya untuk bertahan.
“Di tangan penulis terletaknya nasib bahasa kebangsaan sama ada untuk bidang sastera, budaya dan ilmu. Jika usaha pengisian itu terhalang oleh sebab-sebab teknik seperti dorongan dan pengiktirafan, maka hal itu dengan mudah dapat diatasi.
“Pihak pentadbiran dalam semua sektor kerajaan khususnya yang ada kaitan langsung dengan pengembangan bakat dan ilmu perlu menyusun satu rancangan induk untuk menghasilkan buku-buku ilmiah dalam bahasa kebangsaan.
“Pengiktirafan kepada karya ilmiah dalam bahasa kebangsaan mesti diberikan seperti pengiktirafan itu diberikan kepada karya ilmiah dalam bahasa Inggeris,” katanya.
Beliau turut menyeru agar semua pihak tidak ketinggalan untuk menyertai segala kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan yang diadakan dari semasa ke semasa, serta memberikan sokongan yang padu kepada apa-apa juga kegiatan yang seumpamanya.
Semua itu jelasnya, merupakan ruang dan peluang yang disediakan oleh pihak kerajaan agar semua lapisan masyarakat di negeri ini tidak terpinggir dalam arus pembangunan dalam semua aspek bidang yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan.
“…saya berharap agar kita semua membina persepsi baharu terhadap kepentingan dan fungsi bahasa dan sastera kebangsaan kita. Apa-apa juga kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan hendaklah kita lihat sebagai wacana dan wahana pengembangan literasi budaya dan intelektual dalam kalangan masyarakat negara kita.
“Selain itu, kita hendaklah mengubah salah persepsi kita dengan melihat bahasa dan sastera kebangsaan sebagai milik golongan tertentu sahaja tetapi harus mengiktiraf fungsi kedua-dua bidang ini sebagai elemen dominan dalam pembinaan tamadun bangsa Malaysia.”
(Utusan Sarawak, 3 Disember 2008)
No comments:
Post a Comment