Ayam rintik di pinggir hutan,
Nampak dari tepi telaga,
Budi baik jadi ingatan,
Seribu tahun terkenang juga.
SERANGKAP pantun empat kerat ini dipaparkan pada buku atur cara dan pada latar belakang pentas Majlis Menjunjung Budi anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak minggu lalu.
Objektif majlis tersebut ialah menghargai serta mengeratkan hubungan dan kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh pihak agensi kerajaan dan swasta, persatuan, kelab, karyawan dan wartawan untuk menjayakan pelaksanaan projek bahasa, sastgera dan penerbitan DBP Cawangan Sarawak.
Tetamu kenamaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N7 Samariang, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali. Berucap pada majlis tersebut, Hasidah menjelaskan, usaha harus diteruskan untuk memperoleh dana khusus bagi membangunkan bidang kesusasteraan, penulisan dan penerbitan yang lebih jitu dan tuntas di negeri ini.
Katanya, dana khas perlu diwujudkan untuk memastikan kecemerlangan selain melindungi inovasi dan membantu capaian kepada seluas mungkin masyarakat.
“Pada masa yang sama dapat membantu penyediaan tapak benih semaian bagi ekonomi kreatif, serta membantu pembangunan semula bidang yang serba kekurangan dan daif,” katanya.
Kerajaan ujarnya, tetap prihatin dan bertanggungjawab memelihara bahasa dan sastera yang membantu proses pembentukan identiti.
Masyarakat yang ketiadaan sokongan kerajaan terhadap bidang kebahasaan dan kesusasteraan jelasnya, akan menghasilkan tamadun yang tandus.
“Memang benar ada aktiviti kebahasaan, kesusasteraan dan penulisan yang boleh berjaya, bertahan dan terus berkembang tanpa pergantungan sokongan kerajaan.
“Namun ada aktiviti yang melibatkan hasil kerja inovatif, sukar, baharu atau esoterik yang wajar mendapat subsidi dan sokongan dana daripada kerajaan,” katanya
Kata Hasidah, menjadi tugas anggota masyarakat untuk mentarbiahkan diri dalam soal peluasan, penggunaan dan pengembangan bahasa kebangsaan supaya menjadi mercu tanda di Malaysia.
“Ini penting supaya orang luar serta-merta dapat mengalami suasana ke-Malaysiaan yang diwujudkan oleh elemen bahasa. Untuk itu, usaha memperluas dan mengembangkan bahasa serta sastera kebangsaan di merata tempat oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hendaklah disokong oleh semua pihak.
“Saya ingin menyeru jabatan kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan agar memberikan sokongan moral dan material kepada DBP untuk menyemarakkan pembinaan serta pengembangan bahasa dan sastera kebangsaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini,” katanya.
Hasidah memberitahu, Majlis Menjunjung Budi itu merupakan salah satu cara merapatkan hubungan antara penulis, di samping memugar nostalgia, dan dapat merangsang minat untuk terus menulis.
Majlis itu katanya, menjadi landasan terbaik untuk DBP memberikan penghargaan kepada mereka yang banyak memberikan bantuan dalam soal pemartabatan bahasa dan satera kebangsaan.
Sementara itu, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Jiso Rutan pula menjelaskan, pihaknya memerlukan gandingan kerjasama daripada banyak pihak untuk melaksanakan kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan di seluruh negeri ini.
“Sukar untuk kita melaksanakan kegiatan tanpa ada sokongan daripada banyak pihak. Oleh itu, Majlis Menjunjung Budi ini adalah penghargaan kita terhadap sumbangan yang telah diberikan oleh pihak-pihak yang membantu kita melaksanakan kegiatan,” jelasnya.
(akan diterbitkan di Utusan Sarawak, Rabu, 24 Disember 2008)
No comments:
Post a Comment