Tinta Kenyalang ganti hadiah penulisan

Tinta Kenyalang ganti hadiah penulisan

PROGRAM pembinaan dan pengembangan sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memberikan tumpuan kepada korpus sastera sama ada di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa.

Pemangku Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Jiso Rutan berkata, antara usaha yang dilakukan ialah meningkatkan penghayatan sastera, meningkatkan mutu karya sastera dan meluaskan khalayak sastera khususnya dalam sektor pendidikan dan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

Menurutnya, untuk menggiatkan perkembangan sastera kebangsaan khasnya di negeri Sarawak, DBP giat memberikan pengiktirafan kepada karyawan yang telah memberikan sumbangan yang besar dalam bidang itu.

“Tidak dilupakan juga ialah usaha memupuk bakat berkarya dalam kalangan penulis muda di sekolah-sekolah,” katanya berucap pada Majlis Tinta Kenyalang 2008 baru-baru ini.

Katanya, setelah beberapa tahun dilaksanakan dan sebagai salah satu usaha berterusan untuk menggalakkan minat menulis karya kreatif dan non kreatif, juga melahirkan penulis negeri Sarawak yang prolifik dan mapan, projek itu merupakan projek terpenting DBP Cawangan Sarawak.

“Oleh kerana dirasakan perlu bagi DBP Cawangan Sarawak mewujudkan majlis yang boleh dijadikan penanda aras dan berprestij, maka dengan mengambil kira pandangan cendekiawan dan karyawan, majlis ini dinamakan Majlis Tinta Kenyalang 2008.”

Majlis itu jelasnya, dahulunya dikenali sebagai Majlis Penyampaian Hadiah Penulisan dan Penerbitan DBP Cawangan Sarawak.

Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak diwujudkan untuk menggalakkan para penulis kreatif di negeri ini memanfaatkan ilmu penulisan sastera yang telah dibekalkan kepada mereka melalui bengkel penulisan anjuran DBP Cawangan Sarawak secara bersungguh-sungguh, khususnya bagi genre cerpen, puisi, esei kritikan dan skrip drama.

Seterusnya untuk memupuk dan menghargai kegiatan penulisan sastera kreatif supaya kegiatan sastera terus berkembang dan bermutu.

Peraduan Menulis Puisi pula diadakan untuk mendapatkan puisi yang bermutu bagi tujuan penerbitan; mencungkil bakat dalam bidang penulisan puisi dari kalangan penulis Sarawak; dan, menggalakkan nminat terhadap penulisan puisi di kalangan penulis Sarawak.

Hadiah Penulisan dan Penerbitan Majalah Sekolah Menengah Negeri Sarawak 2007 diwujudkan untuk mencungkil bakat penulisan di kalangan pelajar dalam bahasa Melayu; menggalakkan dan memupuk minat pelajar dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif.

Selain itu, menggalakkan usaha yang bersungguh-sungguh di kalangan pelajar dalam penerbitan majalah sekolah yang bermutu.

Juga, memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada usaha pemupukan minat dan bakat para pelajar yang berkebolehan menghasilkan karya-karya yang bermutu, yang juga sebahagian daripada khazanah ilmu negara serta penghargaan dan pengiktirafan kepada usaha pihak sekolah menerbitkan majalah sekolah yang bermutu.

Peraduan Menulis Sastera Kreatif Pelajar Sekolah Menengah 2008 (Cerpen) pula bertujuan mencungkil dan memupuk bakatg dalam bidang penulisan cerpen terutamanya di kalangan pelajar dan penulis muda.

Seterusnya, menggalakkan minat terhadap bidang penulisan kreatif khususnya, serta mendapatkan bahan atau karya yang bermutu untuk tujuan dokumentasi dan penerbitan.

Sementara Peraduan Pengisahan Semula Cerita Rakyat Sarawak 2007.2008 diwujudkan untuk memperoleh bahan cerita rakyat dalam bentuk bertulis; untuk tujuan penerbitan buku, majalah dan untuk pendokumentasian.

Di samping itu, menanam dan memupuk minat serta penghayatan orang ramai terhadap warisan sastera rakyat yang terdapat dalam pelbagai masyarakat dan budaya di negeri ini.

Serta untuk menggalakkan bakat dalam penulisan semula bahan-bahan sastera rakyat.

Selanjutnya, Peraduan Menulis Esei Bersempena BBSN 2007/2008 telah diwujudkan untuk mencungkil bakat dan menggalakkan perkembangan bakat penulisan khususnya yang berbentuk ilmiah dalam kalangan penulis-penulis tempatan.

Untuk memberi kesedaran dan menanamkan semangat tentang kepentingan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, bahasa intelektual dan bahasa perpaduan.

Untuk memperkayakan khazanah ilmu khususnya yang berkaitan isu-isu bahasa dalam bahasa kebangsaan di negeri ini.

Juga, memupuk dan mengembangkan upaya kreativiti dan day afikir kritis penulis-penulis dalam mengupas isu-isu bahasa.

Ends…

No comments: