SUMPAH BUDAYAWAN, SENIMAN MUDA SEDAR SARAWAK

Kami, budayawan dan seniman muda sedar di Sarawak, meskipun datang dari latar belakang hidup yang berlainan, berkecimpung dalam dunia seni yang berbeza, dan mempunyai cara dan bentuk pengucapan yang berbagai-bagai bersumpah bahawa:

Kami sesungguhnya mempunyai satu negara – Negara Malaysia, satu bangsa – Bangsa Malaysia, dan satu bahasa – Bahasa Malaysia.

Dan kami berikrar bahawa:

Kami sesungguhnya mempunyai satu semangat, satu suara, dan satu cita-cita, iaitu, mahu memberi sumbangan dengan cara dan gaya kami yang tersendiri kepada penentuan, pembentukan, pembinaan, pengembangan, pemupukan, dan penghidupan kebudayaan nasional yang kami cintai – Kebudayaan Malaysia.

Ikrar ini telah dilafazkan secara rasmi kali pertama menjelang detik 12 tengah malam pada 31 Disember 1979 di Dewan Tun Razak, Kuching (kini Muzium Sarawak).

Seterusnya dilafazkan kembali oleh hampir 100 seniman dan budayawan yang hadir ke Majlis Sumpah Budayawan, Seniman Muda Sedar Sarawak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru, Kuching pada 31 Disember lalu, kira-kira sejam sebelum sambutan Tahun Baru 2008.

Yang menariknya, kali ini majlis tersebut dilaksanakan hasil permuafakatan antara Pekasa, Mantera dan Biro Pendidikan Majlis Islam Sarawak.

Majlis tersebut dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua I Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa), Ja’afar Haji Hamdan. Seterusnya ucapan perasmian oleh Presiden Medan Teater Sarawak (Mantera), Datu Haji Adi Badiozaman Tuah.

Ja’afar Hamdan dalam ucapannya menjelaskan, Pekasa berasakan bahawa pertemuan itu memungkinkan jalinan kerjasama dan pengertian akan terpupuk serta bertunas mesra agar matlamat tercapai walaupun berbeza kaedah, cara dan pendekatan.

“…seterusnya agar ikatan pengertian semakin kental, gigih ke arah penyatuan, dan seterusnya akan menyaksikan kemeriahan sastera semakin terserlah. Juga, keutuhan serta kekuatan makna perjuangan karyawan semakin terbukti benar dan telus, yang sekali gus untuk memartabatkan bangsa, bahasa dan budaya,” katanya.

(Utusan Sarawak, 7 Januari 2008)

No comments: