Ungkap pemikiran pelbagai kaum, latar

“KITA perlu meneliti semula kenyataan Profesor Tan Sri Ismail Hussein supaya dibuka bidang sastera kebangsaan supaya ia mengungkapkan pemikiran dan kosmologi pelbagai kaum dan latar budaya yang kelak mungkin asing bagi kerangka pemikiran kemelayuan yang selama ini sempit.”

Berkata demikian dalam makalahnya Sastera Kebangsaan Pemersatu Kepelbagaian Kaum di Malaysia: Satu Penilaian Semula, Saiee Driss selanjutnya menjelaskan, “Kita harus menilai dan menghargai aspek kemanusiaan di dalam karya bukan aspek eksetika yang sebenarnya disebabkan oleh kejahilan dan fikiran romantik kemelayuan intelek Melayu yang leka dengan konsep ketuanan yang semakin mencabar kesahihannya.”

Kata Saiee, kalau mahu sastera kebangsaan menjadi pemersatu pelbagai kaum, kita harus mengaut ciri-ciri kepelbagaian kaum warganegara Malaysia itu sendiri dan memberi layanan saksama terhadap semua persoalan dan masalah semua kaum itu.

Dengan kata lain, tambahnya, selain harus memperbanyakkan jumlah karya, harus diusahakan pengkayaan tematik sastera kebangsaan itu dengan weltachauung dan kosmologinya.

“Kalau kita dapat menerima karya barat dengan nilai dan minda kebaratannya, maka kita harus dapat menerima bidang kosmologi yang selama ini dilihat eksotik sebagai milik hakiki bangsa Malaysia dan sebahagian daripada budaya besar Malaysia yang boleh sahaja mempengaruhi keperibadian dan warna budaya Malaysia seluruhnya.

Menurutnya, lebih banyak toleransi diperlukan dalam membenarkan pengungkapan pemikiran dalam bahasa yang mungkin sekarang dilihat payah untuk diterima.

Misalnya, penggunaan istilah Tuhan dan Allah bagi konsep Tuhan Esa dan khutbah dan sembahyang kaum dan agama lain serta kitab mereka yang ada nilai sastera diterjemah dan dipopularkan dalam bahasa kebangsaan apakah dibenarkan oleh sastera kebangsaan wujud di dalam korpusnya yang mengupas tema selain Melayu?

“Ekoran itu nanti harus juga kita bersedia dengan kemasukan konsep, ikon, nilai dan imejan dari budaya dan suku lain itu berdiri setara dengan imej, ikon, dan konsep yang mungkin selama ini sakral bagi orang Melayu.

“Atau sebaliknya apa-apa yang sakral bagi masyarakat Melayu kerana sedemikian anggapan sekian lama tiba-tiba merosot kedudukannya apabila ia menjadi milik dan diguna setara oleh semua kaum penulis.

“Kalau dulunya amalan dalam main pateri, makyong dan sebagainya dilihat sebagai sakral dan ada nilai penyembahan, maka kini ada dalam dalang bukan Islam yang lulusan ASWARA dan akademi setaraf dengannya.

“Apakah kelak tidak mungkin ada orang bukan Melayu boleh bermain hadrah malah belajar membaca dan menyampaikan marhaban dan berzanji dan ada syair berzanji itu dibuka pintunya sehingga ada versi yang turut dicipta oleh bukan Islam atau bukan Melayu?”

Jelas Saiee, satu hal yang juga dipertimbangkan ialah wajarnya masyarakat penulis kebangsaan memisahkan diri daripada persempadanan maya politik dengan sedia menerima penulis dan karya dari mana-mana penulis tanpa mengira ideologi politik semasanya dan anutan spiritualnya.

Dengan kata lain katanya, pergerakan penulis haruslah mendominasikan politik dan orang politik, bukan menjadi pengikut. Hanya dengan itu barulah dapat disaringkan pemikiran dan nilai genius dan kebijakan sebenar dan universal dari kalangan sasterawan dan penulis yang tidak dipengaruhi oleh aura politik asabiah dan taksub terhadap ideologi sempit yang menyemputkan rasionaliti.

“Para penulis dan budayawan harus bertindak bijaksana dan seimbang serta holistic tanpa dapat dipengaruh oleh orang politik yang sehingga kini melihat hanya mereka sahaja yang bijak dan harus dominant dalam membuat keputusan bagi kepentingan masyarakat.

“Golongan penulis harus bijak memanfaatkan kecelaruan politik sekarang untuk bangkit menjadi diri mereka sebenar, iaitu sebagai pemikir dan pemimpin masyarakat,” katanya.

UTUSAN SARAWAK, 24 JANUARI 2009

No comments: