Pembinaan prasarana kebudayaan

“UNTUK memudahkan lagi usaha menjadikan kebudayaan satu komponen penting dalam mengembilangkan kota, pembinaan prasarana kebudayaan adalah amat bertepatan dan relevan,” kata Datu Dr. Haji Adi Badiozaman Tuah melalui makalahnya, Mengembalikan Kegemilangan Kota Sebagai Pusat Perkembangan Budaya.

Kota-kota besar jelasnya, selain perlu memiliki gedung-gedung besar bagi tujuan pembangunan dan perkembangan ekonomi, pusat pertadbiran canggih, hendaklah juga memberi keutamaan kepada pembinaan prasarana kebudayaan seperti teater, panggung, pusat kesenian, pusat latihan bakat, pusat penyelidikan, perpustakaan, institusi pendidikan tinggi dan seumpamanya.

Katanya, prasarana kebudayaan seperti itu penting dan perlu bagi memberi wajah kemanusiaan kepada kota berkenaan.

“Kemudahan seperti ini juga akan memberi ruang dan peluang kepada warga kota untuk menyelami citra bangsanya sendiri, dan bagi pengunjungnya menikmati kebudayaan masyarakat setempat.

“Ini juga akan membantu persefahaman yang lebih mendalam di samping menjana pertumbuhan akal minda dan deria rasa semua pihak,” katanya.

Menurutnya, kota hendaklah menyediakan pelbagai bentuk kemudahan dan prasarana, sama ada dalam bentuk yang kekal atau di sebaliknya, bagi memastikan acara kebudayaan dan kehidupan berbudaya sentiasa subur dan berkembang.

Kota akan menjadi hutan konkrit yang kaku dan tidak memiliki jiwa dan ‘ruh’ sekiranya ia tidak memberi ruang dan peluang untuk aspek kebudayaan tumbuh dan membangun.

“Tanggungjawab perancang banda dan proses urbanisasi perlu mengambil kira secara serius perkara ini. Kota adalah manifestasi aras dan tahap ketamadunan sesuatu bangsa.

“Kota yang tidak mempunyai semangat dan jati diri yang menggambarkan citra bangsa pendokongnya adalah kota yang bisu – tidak berupaya mengungkapkan dengan berani suara-suara warga dan bangsa yang diwakilinya, sama ada secara tersurat ataupun tersirat.”

Kehebatan sesebuah kota jelas Dr. Adi, perlu disedari, tidak boleh diukur dan dinilai hanya dari segi keperkasaannya dalam bidang ekonomi, pembangunan prasarana fizikal dan politik semata-mata.

“Sama penting ialah kewibawaan aspek kebudayaannya, sama ada seperti yang dijelmakan melalui prasarana kebudayaannya ataupun kegiatan dan program yang memancarkan kekuatan daya fikir dan ketajaman intelektual warganya.

“Kegemilangan kota perlu berteraskan jiwa dan semangat kemanusiaan warganya. Ia tidak boleh wujud secara bermakna sekira ia hadir dalam vakum budaya, ketiadaan atau sudah kehilangan ‘semangat’ dan ‘ruh’ manusia dan bangsanya.”

Untuk terus dan kekal gemilang sesebuah kota perlu membangun dan mengembangkan aspek kebudayaan bangsa yang diwakilinya.

Kebudayaanlah yang sebenarnya menjadi faktor penentu dan angkubah penting bagi menentukan hidup atau matinya sesebuah kota.

Justeru katanya, sekiralah sesebuah kota itu sudah tidak lagi berfungsi sebagai sebuah pusat perkembangan kebudayaan, maka ia perlu dibudayakan.

“Dan demikian juga sekira sebagai sebuah pusat perkembangan kebudayaan ia sudah tidak lagi gemilang, maka perlulah dilakukan secara sedar perancangan dan pelaksanaan beberapa program untuk membudayakannya menjadi sebuah kota gemilang.”

Dr. Adi menjelaskan, dalam era globalisasi yang semakin pesat berlaku, untuk menjadikan sesebuah kota lebih cemerlang berbanding dengan kota-kota lain, ia memerlukan satu aspek kehidupan yang lain dari yang biasa terdapat di kota-kota lain bagi tujuan mengekalkan indentitinya dan ‘harga’ atau ‘nilai’ diri.

Penekanan kepada globalisasi maklumat dan ilmu dan globalisasi saintifik serta teknologi semata-mata tidak mungkin akan dapat memberi imej tersendiri bagi sesebuah kota kerana sifat kesejagatannya itu.

“Justeru, dalam konteks ini, kebudayaan dilihat sebagai satu unsur yang penting kerana ia dibangunkan dalam lingkungan nilai dan norma masyarakat tradisi yang menyokongnya.

“Kebudayaan dan nilai-nilai serta adab yang dimiliki oleh warganya lebih berpotensi untuk memberi kelainan itu.

“Bersandarkan fahaman sedemikian, adalah wajar bagi kebudayaan masyarakat setempat dijadikan sandaran utama dalam usaha memupuk kegemilangan atau dalam usaha mengembalikan kegemilangan kota sebagai pusat perkembangan kebudayaan dan kemanusiaan.”

Penekanan kepada unsur kebudayaan menjadi relevan dalam proses pembentukan jati diri sesebuah kota kerana ia adalah identity dan keperibadian sesuatu bangsa – iaitu rupa dan wajah yang memberikan imej, citra dan watak kepada kota tersebut.

Jati diri juga adalah gambaran dan jelmaan kepada jiwa raga, emosi, ‘semangat’ dan abal budi bangsa.

Pembinaan atau pembangunan kota akan menjadi lebih gemilang dan bermakna sekiranya selain berkeupayaan menampilkan wajah yang amat moden dan teknikal, ia menampilkan juga imej bangsanya – akal minda, pemikiran, emosi dan semangatnya.

“Sebarang usaha untuk tujuan peningkatan kegemilangan kota perlu memberi penekanan kepada penyemarakan usaha pengembangan kebudayaan sesuatu bangsa utama negara di mana kota itu terletak, dan kemudahan dan prasarana kebudayaan mestilah juga dibangunkan untuk menjadi satu daripada ciri penting kota tersebut.

“Perlu juga disedari bahawa berbeza dengan aspek ekonomi dan politik yang dibawa masuk dan banyak dipengaruhi secara langsung oleh ideologi dan pemikiran serta amalan Barat atau budaya asing, unsur-unsur kebudayaan seperti kesenian sesuatu bangsa adalah pancaran kehalusan dan keindahan rasa, dan ketinggian budi, nilai dan adabnya.”

Unsur-unsur kesenian seperti seni bahasa (kesusasteraan), seni bina, seni tari, seni silat, seni lukis, seni lakon, seni hias, seni rupa dan seni suara sekiranya mempunyai identiti tersendiri yang amat mewakili citra bangsanya, ia mampu menjadikan sesebuah kota itu lambang negaranya.

“Dilihat dalam konteks itu, pembangunan kota yang berteraskan perkembangan kebudayaan, selain pembangunan aspek-aspek lain dalam kehidupan, akan menjadikan kota itu lebih mesra insane dan mesra alam sekitarnya.

UTUSAN SARAWAK, 31 JANUARI 2009

No comments: