PREBIU BUKU: Hafalan Solat Delisa



Judul : Hafalan Solat Delisa (Indonesia Best Seller)
Penulis : Habiburrahman El Shirazy
Terjemahan : Rosli Mohd Zin
Genre : Novel
Penerbit : PTS Litera Utama Sdn. Bhd.
www.pts.com.my
Halaman : 280
ISBN : 978-983-3892-20- 4
Pengulas : YANTI SHAM

ULASAN: NOVEL berjudul Hafalan Solat Delisa karya penulis Habiburrahman El Shirazy dan diterjemahkan oleh Rosli Mohd Zin dalam Bahasa Melayu adalah novel terbaik yang pernah saya baca. Novel ini mengajar saya erti keikhlasan, erti kesenangan, kesusahan, ketabahan, kehilangan dan kebahagiaan.

Sukar untuk menilai kebagusan sebuah novel, tetapi sebagai pembaca saya menilai novel ini daripada aspek pengaruhnya terhadap kejiwaan dan novel ini telah berjaya meruntun jiwa dan menguras air mata.

Perjalanan cerita dalam novel ini membawa saya seolah-olah berdiri di samping watak Delisa, menempuhi perjalanan kebahagiaan pada mulanya dan akhirnya menjelajah kepayahan untuk meneruskan kehidupan.

Bagi kita, seorang kanak-kanak yang digambarkan tidak mengetahui apa-apa tentang cabaran kehidupan yang ditempuhi. Tetapi bagi watak Delisa, watak ini digambarkan memiliki rupa paras yang cantik dan comel serta mempunyai keteguhan imam berikutan didikan uminya.

Permulaan cerita ini menggambarkan keceriaan pada sebelah subuh di sebuah rumah di kawasan yang dinamakan Lok Nga. Kak Aisyah bising ketika mengejutkan adik bongsu mereka, Delisa daripada tidur. Kak Fatimah yang menegur Aisyah untuk mengejutkan Delisa untuk kali kedua.

Penulis turut menggambarkan cara Umi mendidik anaknya Delisa untuk menghafal bacaan solatnya iaitu Umi menjadi imam dan Aisyah akan ditugaskan membaca bacaan solat dengan agak nyaring untuk didengar Delisa.

Begitulah setiap kali solat berjemaah, sudah menjadi tugas utama Aisyah menjadi mubaligh walaupun Delisa mempunyai 2 orang kakak yang lain iaitu Fatimah dan Zahra. Tetapi Ummi tidak mahu memindahkan tugas itu kepada kakak yang lain kerana mahu mendidik Aisyah agar lebih bertanggungjawab terhadap adiknya.

Penulis cukup bijak menghuraikan suasana keluarga ini yang cukup bahagia mempraktikkan ajaran Islam dalam keluarga mereka. Setiap Ahad selepas Shubuh, sudah menjadi rutin, Umi akan menyemak bacaan Quran anak-anaknya walaupun mereka semua juga mengaji quran di masjid.

Ummi dan Abi (panggilan untuk mak dan ayah) dikurniakan 4 orang anak, Alisa Fatimah 15 tahun( merupakan kakak sulung), disusuli dengan kembar Alisa Aisyah dan Alisa Zahra(13 tahun) dan si bongsu Alisa Delisa (6 tahun). Mereka mempunyai karektor yang berbeza.

Fatimah suka membaca buku dan pembicaraanya juga lebih kepada buku-buku yang dibacanya, Aisyah pula terkenal dengan sifat kenakalannya yang suka menyakat dan bergaduh dengan Delisa. Zahra adalah seorang yang pendiam dan Delisa adalah watak utama dalam novel ini, yang comel, yang suka bertanya dan seorang yang sentiasa riang walau apa pun dugaan yang menimpanya.

Abi bekerja di pelantar dan akan balik 3 bulan sekali, tetapi Abi akan menelefon setiap Isnin selepas Shubuh. Oleh kerana itu, selepas shubuh setiap Isnin, sudah menjadi rutin Umi dan 4 orang anaknya akan menunggu panggilan daripada Abi. Umi pulak adalah seorang suri rumah dan mengambil upah menjahit.
Dipendekkan cerita pada 26 Disember 2005 telah memusnahkan kehidupan Delisa.

Allahu Akbar. Delisa mengangkat takbiratulihram. Seiring dengan itu, lautan di pantai mula bergerak. Delisa membaca Iftitah. Tiba pada ayat wamahyaya wamamati. Lantai sekolah tempat Delisa belajar mula bergerak.

Papan tulis, pasu bunga terjatuh dan serpihan kacanya terkena pada tangan Delisa. Tangan Delisa berdarah. Namun Delisa masih teruskan solat. Ibu Nur yang melihatkan Delisa tidak bergerak walaupun suasana kelam kabut, juga turut tidak bergerak. Delisa terus ruku’ dan iktidal. Ombak terus mengganas menghentam tembok pagar sekolah Delisa. Allahu Akbar. Delisa ingin sujud. Tapi, air yang meninggi menghalangnya.

Hidupkah Delisa ketika diratah oleh hempasan tsunami? Bagaimanakah nasib kakak-kakaknya, Umi, Ibu Nur, Abi dan rakan-rakan yang lainnya? Ikuti kesudahan novel ‘best seller Indonesia’ Hafalan Solat Delisa, pasti meruntun jiwa anda membacanya.

UTUSAN SARAWAK, 28 FEBRUARI 2009

1 comment:

myra said...

buku ini karangan Bung Darwis yg bernama pena Tere Liye, BUKAN karangan Habiburrahman Elshirazy