API cinta Gaza
KETERANGAN GAMBAR: Dari kiri, Muslegimu Mapol,Zacharia Abdulmanan, Iman Daud, Abdillah SM, Yusuf Fansuri, Wahab Das, Rusdi MD, Norhidayah dan Shamsul Idzam.
ANGKATAN Pengkarya Indie yang merupakan sebuah pergerakan penulisan underground di Bumi Keyalang baru-baru ini turut tidak ketinggalan untuk meluahkan rasa marah terhadap keganasan Israel di Gaza, Palestin.
Setelah menyertai penulis lain dalam Pengucapan Puisi Kemanusiaan Palestin anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak tidak lama dahulu, mereka mengadakan pula pengucapan puisi yang hampir serupa di lokasi yang sama – Amfiteater Tebingan Kuching.
Cuma corak pengucapannya agak berbeza sedikit oleh kerana puisi-puisi yang dihasilkan dan kemudian dideklamasikan adalah bercorak indie, iaitu berbentuk bebas yang sesuai dengan jiwa setiap kerabatnya.
Sementara itu, tidak banyak tokoh pemuisi yang diketengahkan oleh pergerakan ini berbeza dengan penganjuran oleh badan-badan lain. Mungkin sesuai dengan jiwa yang diterapkan dalam pergerakan tersebut – bebas.
Antara pemuisi yang mendeklmasikan puisi pada malam tersebut ialah Iman Daud dengan empat puisi, iaitu Akustika "Dunia Ini Sepi”, Akustika "Puja", Akustika "Redemption Song - Cover Bob Marley" dan Akustika "Daffodil".
Seterusnya, Abdillah SM yang diangkat sebagai tokoh dalam pergerakan ini pula mendeklmasikan puisi Laut dan memperdengarkan lagu puisinya berjudul Medan Duka.
Pengasas kepada pergerakan ini, Yusuf Fansuri dan Zacharia Abdulmanan masing-masing mendeklamasikan puisi Kukesat Air Mata Tiapkali Terkenangkan-Nya dan koleksi Puisi Yusuf Fansuri yang diingiri muzika Adagio.
Sementara Rusdi MD yang cukup dikenali dalam dunia teater pula mendeklmasikan puisi karya Wahab Das. Judulnya, Di Mana Suara Kita.
Tidak hanya menghasilkan puisi, Wahab Das turut tidak melepaskan peluang meluahkan rasanya terhadap kesengsaraan penduduk Gaza di Palestin melalui puisi Air Mata karya Abdillah SM.
Norhidayah Bujang yang hadir bersama-sama suaminya, Shamsul Idzham pula masing-masing mendeklamasikan puisi Kisahku karya Kahlil Gibran dan puisi Lagu Ombak yang juga karya Kahlil Gibran.
Tidak ketinggalan, Muslegimu Mapol yang membaca puisi Mengukur Jarak dan Padamu Mengadu karya Yusuf Fansuri.
UTUSAN SARAWAK, 28 FEBRUARI 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment