Sastera Kebangsaan: Teras Penyatuan Kepelbagaian Etnik

ENAM makalah dibentangkan oleh enam pemakalah yang sememangnya jaguh dalam bidang masing-masing pada Kolokium Penulis Pelbagai Kaum 2008 bermula 12 hingga 14 Disember 2008. Mereka bercerita, menghurai serta menganalisis judul yang ditetapkan yang bertepatan dengan tema kolokium iaitu Sastera Kebangsaan: Teras Penyatuan Kepelbagaian Etnik.

Judul Sastera Kebangsaan Pemersatu Kepelbagaian Kaum di Malaysia yang dikupas oleh Saiee Dris (Melanau) dan Jais Sahok (Bidayuh). Sementara judul Karya Sastera Pelbagai Kaum Ungkapan Budaya Bangsa dikupas pula oleh Poul Nanggang (Bisaya) dan Mohamad Daud Mohamad dari Bahagian Teori DBP Kuala Lumpur.

Makalah seterusnya berjudul Penulis Pelbagai Kaum dalam Arus Sastera Kebangsaan dibentangkan pula oleh Dr. Jeniri Amir (Melanau) dan Dr. Awang Azman Awang Pawi (Melayu).

Tidak cukup dengan itu, diadakan pula Sesi Diskusi yang menghimpunkan empat penulis; Radzemah Bolhasan dari Sarikei mewakili Melanau, Jong Chian Lai (Cina) dari Kuching, Jaya Ramba (Iban) dari Miri, dan Abg. Patdeli Abg. Muhi (Melayu) dari Kuching.

Saiee Dris dalam makalahnya yakin memang perlu dibincangkan konsep sastera kebangsaan dan pemersatuan pelbagai kaum dalam konteks semasa dari segi sosiobudaya, sosioekonomi dan sosiopolitik terutama dalam satu majlis pertemuan penulis pelbagai kaum supaya isu ini dapat dikupas secara bersemuka dan terus terang.

“Banyak landasan dan asas sosiobudaya dan sosiopolitik telah berubah dalam tempoh kurang setahun kebelakangan ini sehingga membawa kepada peralihan hala pandangan, landasan kesetiaan dan pemaknaan konsep-konsep yang sebelum ini dianggap mantap.

“Maka, mahu tidak mahu, insan-insan sastera sastera harus menilai semua landasan perjuangan mereka, terutama dalam konteks sastera kebangsaan sebagaimana diterima sekarang,” katanya.

Jais Sahok pula menjelaskan, makalahnya berusaha membuka jalan pemahaman diri, tanggungjawab dan tugas diri kea rah pengupayaan sastera kebangsaan sebagai alat pemersatu penduduk pelbagai kaum dalam negara bersatu seperti Malaysia. Permualaan ini sudah menampakkan ranjau yang payah, jalan yang selut serta cabaran yang banyak dan pelbagai.

“Tetapi satu perkara yang pasti, kalau bukan para penulis siapa lagi? Kalau tidak dimulakan sekarang, bila lagi? Mungkin semantik ‘pemersatu’ atau ‘bersatu’ cuma satu idealisma kerana identiti etnik yang perlu dibiarkan mendominasi identitinya hendak dikorbankan bagaimana?

“Cuma ‘bersatu’ yang paling intim dengan semantik konteks ini ialah ‘hidup dalam suasana aman dan damai’, tiada perbalahan yang membawa persengketaan. Justeru, kita hendaklah kembali kepada sejarah. Soalan unggul yang mendasari sikap dan pendidikan kita nanti ialah: Apakah penyebab perbalahan?”

Katanya, sastera kebangsaan sebagai alat pemersatu penduduk pelbagai kaum di Malaysia ialah satu khazanah tamadun tinggi yang berlangsung sepanjang hayat yang berterusan, terhasil dalam pelbagai genre untuk mendukung penuh serta menegakkan sumpah dan janji rakyat Malaysia atas prinsip Kepercayaan Kepada Tuah, Kesetaiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang dan Kesopanan dan Kesusilaan, dan menjadi khazanah tinggalan untuk generasi kemudian.

Poul Nanggang dalam kesimpulan makalahnya menjelaskan, setelah meneliti karya Jaya Ramba (Iban), David Belulok (Lakiput), Tega Bilong (Kenyah Badang), Jeli Bohari Biha (Melanau), Awangku Merali Pengiran Mohamad (Melayu) dan Jong Chian Lai (Cina), terasa akan mesej yang mahu disampaikan oleh pengarang.

Tetamu Dari Eropah kuat dengan mengekalkan identiti etnik Lakiput yang bakal hilang kalau ahli masyarakatnya tidak mengambil peduli dan lebih suka kepada cara moden yang datang dari Barat. Keliring di samping falsafah cinta yang hebat, ingin mengabadikan sebuah tugu cinta bakal menyimpan jenazah isteri sebagai tanda kasih dan sayang seorang lelaki yang tulus hatinya, tinggi tanggungjawabnya dan luhur kepada isterinya dalam jurus pandang masyarakat Kenyah Badang.

Kemudian, Mendulang penuh dengan pengertian ritual tentang roh leluhur yang harus dimuliakan dalam persemadian yang abadi dan hubungan antara yang hidup dan mati. Pesta Kaul menimbulkan konflik antara meneruskan adapt lama atau mematuhi seruan agama. Nek Sadah penuh dengan semangat menjulang kembali pengetahuan tentang ilmu perbidanan dengan segala ramuan, akar-akar herba dan penolakan manusia moden akan kepakaran yang dipelopori sejak zaman nenek moyang lagi.

Melawat Dunia Sebayan semacam cerita penuh seram tetapi membawa suatu pengembaraan mistik yang luar biasa mengikuti persepsi budaya orang Dayak peribumi. Biarpuan ia semacam sukar dipercayai, tetapi ia suatu pengalaman yang amat berharga dikongsikan oleh pengarangnya.

Kata Poul, “Saya amat terpegun menatap semua ini. Tetapi yang penting semua cerita ini cukup bermakna dalam kehidupan kalau kita mahu mengenal akan maruah, martabat dan jati diri bangsa kita. Inilah cerminannya yang harus kita amati kembali imej kita”

Mohamad Daud Mohamad dalam makalahnya menjelaskan, “Berkaitan dengan sastera kebangsaan dan kewujudan istilah sastera pelbagai kaum, logiknya di mana? Sudah nyata bahawa genre sastera kebangsaan yang dihasilkan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi pengucapan bangsa Malaysia, dan secara nyata genre sastera tersebut mencerminkan budaya masyarakat Malaysia.”

Maka katanya, tidak ada alasan yang munasabah untuk memperkatakan ‘sastera pelbagai kaum sebagai pengungkap budaya bangsa’. Dengan memaparkan dan atau membentangkan genre sastera yang ditulis bukan menggunakan bahasa kebangsaan, ia hanya dapat dibaca, difahami dan dihayati oleh segelintir individu manusia yang memahami bahasa tersebut. Bererti genre sastera tersebut bukan genre sastera kebangsaan dan ia tidak wajar dinobatkan.

“Impaknya, jika kita beria-ia untuk menonjolkan genre sastera yang bukan sahaja tidak komunikatif, tidak mengalir dalam diri pembaca umum dan berkemungkinan akan menimbulkan pelbagai prasangka tertentu,” tambahnya.

Seterusnya, Dr. Jeniri Amir menegaskan, penulis pelbagai kaum di Sarawak telah membantu memperkaya dan memartabatkan kesusasteraan kebangsaan tanah air.

“Kemampuan mereka menembusi media arus perdana dan memenangi pelbagai peraduan membuktikan bahawa mereka dapat berdiri sama tinggi dengan penulis lain. Karya mereka berjaya mengungkapkan aspirasi, masalah dan cabaran kaum berkenaan.

“Hal ini demikian kerana penulis berkenaan lebih berminat untuk mengangkap persoalan sekitar kaum masing-masing kerana persoalan itu lebih dikuasai oleh mereka kerana mereka dilahirkan dan membesar dalam masyarakat tersebut.”

Dr. Awang Azman Awang Pawi dengan makalah Penulis Pelbagai Kaum Dalam Zaman Edan Arus Perdana menyatakan, penulis pada zaman edan perlu memberikan gambaran sebenar yang dialami masyarakat dengan jujur dan mengikiskan pandangan politik kepartian yang sempit.

Tugas penulis pelbagai kaum jelasnya, melampaui tugas ahli politik dan pembina perpaduan yang tulen melalui karya sastera dengan menganalisis persoalan secara lebih kritis untuk direnungi masyarakat zaman-berzaman.

“Zaman edan merupakan zaman paling mencabar terhadap tugas dan peranan karyawan yang selama ini sedang dimediasi oleh media dan ahli politik. Penulis Pelbagai kaum di Sarawak, tanpa mengira Melayu, Iban, Bidayuh, Melanau, Orang Ulu harus menilai semula sumbangan yang sedia ada. Hal ini penting untuk menilai perspektif yang lebih menyeluruh dalam menghadapi saat getir pada zaman edan arus perdana,” katanya.

Setelah sehari setengah berkolokium yang dianggap oleh kebanyakan peserta sebagai ‘panas’ dengan pelbagai isu kebahasaan, kesusasteraan, dan kepelbagaian kaum, akhirnya lima resolusi dihasilkan. Bukan setakat dihasilkan, tetapi dilaksanakan agar Sastera Kebangsaan akan terus diperkasakan.

Resolusi pertama kolokium yang dibaca oleh Pengurus Projek, Ja’afar Haji Hamdan menyebut, Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Sastera Kebangsaan harus dijadikan asas, pegangan, prinsip dan akar kepada gerakan penulis dalam usaha menjadikan karya penulis yang pelbagai latar diterima sebagai karya milik bersama rakyat Malaysia.

Kedua, konsep Sastera Kebangsaan harus diperkemas dan diperluaskan supaya ia lebih bersifat sejagat dan sezaman. Pertemuan dalam kolokium itu bersetuju agar definisi Sastera Kebangsaan ialah yang ditulis dalam bahasa Melayu oleh karyawan Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar dan ras etnik.

Oleh itu, beberapa pendekatan perlu diambil, iaitu:
a. Dasar Pendidikan Negara khususnya kurikulumnya harus memberi penekanan hasil daripada sastera-sastera etnik di dalamnya dan tidak hanya sekadar berbentuk tempelan agar unsur-unsur polemik pembahagian etnik dalam karya dan penulisan dapat diatasi dari generasi muda lagi.
b. Sastera Kebangsaan harus diperluaskan maknanya dan tidak hanya berdasarkan kepada sastera Melayu menjadi asas agar nilai sastera kebangsaan itu dapat dikongsi bersama oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia. Justeru, dicadangkan agar diadakan satu perbincangan yang lebih serius oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), persatuan penulis, karyawan serta pihak yang bertanggungjawab.
c. Promosi tentang karya pelbagai kaum haruslah dipergiatkan sama ada menterjemahkan kembali sastera tersebut atau memperbanyakkan sastera pelbagai kaum dalam pelbagai kaedah dan bidang.
d. Diadakan perbincangan/diskusi sama ada berbentuk seminar atau kolokium untuk membincangkan atau menilai kembali secara serius kedudukan sastera/penulis pelbagai kaum dalam arus sastera kebangsaan.
e. Sastera Kebangsaan harus mengaitkan ciri-ciri kepelbagaian kaum ke arah pembinaan warga Malaysia yang bersatu-padu. Dalam konteks ini, hasil karya haruslah mempunyai nilai keilmuan yang tinggi. Justeru, penulis harus berusaha mencari idea-idea baru dalam penulisan. Oleh itu, dicadangkan diwujudkan dan digerakkan kembali Unit Terjemahan Sastera Sukuan di DBP.

Ketiga, hasil daripada kolokium ini juga berpendapat agar definisi khusus tentang kepelbagaian latar penulis dan karya tidak dipolemikkan supaya keutuhan nilai sastera kebangsaan itu dapat dihayati dan diterima bersama oleh warga Malaysia. Justeru, kolokium ini juga bersetuju bahawa hasil karya sebagai asas utama Sastera Kebangsaan, bukan bangsa atau ras etnik penulis tersebut.

Keempat, penulis pelbagai kaum harus menjadikan hasil karyanya bersifat sejagat dengan mempunyai nilai ketamadunan tinggi dalam karya supaya karya-karya yang dihasilkan menjadi khazanah peradaban yang tinggi dalam negara. Justeru, dicadangkan agar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan persatuan penulis harus seiring dan sentiasa menggembleng usaha untuk membina budaya berfikir dalam kalangan penulis dalam apa-apa juga pendekatan.

Kelima, kolokium ini juga memohon agar Kementerian Pelajaran mengembalikan semula pengajaran Sains dan Matematik menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Ini kerana dengan dikembalikan fungsi bahasa Melayu dalam kedua-dua bidang tersebut, hasrat untuk membentuk masyarakat Malaysia yang mencintai dan menghayati nilai pusaka yang akan datang. Di samping itu juga, pihak Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi harus mewujudkan kembali pelajaran sastera secara khusus dengan meneliti dan menilai semula keperluan tersebut pada peringkat paling asas atau sekolah rendah dan di peringkat institusi pengajian tinggi.

Lima resolusi yang dihasilkan ini telah meletakkan kolokium yang dihadiri lebih 100 peserta ini mencapai matlamatnya iaitu untuk menghimpunkan para penulis dan aktivis sastera pelbagai kaum atau etnik untuk meneguhkan dan menterjemahkan perpaduan bangsa melalui penyertaan secara langsung dalam bidang sastera sebagai suatu mandala dan memberi peluang untuk berinteraksi sesame mereka.

Seterusnya, menggerakkan kesusasteraa kebangsaan melalui wacana dan kekayaan kreativiti serta daya cipta dalam kalangan warga negara yang pelbagai kaum dan etnik. Juga memperkasa jati diri dalam kalangan warga negara dan melebarkan jaluar nuansa pelbagai kaum dan etnik melalui pengucapan sastera sempena Bulan Bahasa dan Sastera Negara.

Tamat.

No comments: