Unsur budaya angkat teater Sarawak

TERKINI: 28 FEBRUARI 2009



KETERANGAN GAMBAR: PELAKON Terbaik, Malek Hassan (kiri), Pelakon Lelaki Harapan Alik Hassan (Tengah)dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Hassan Ahmad.

SEINGAT penulis, pada Festival Teater Malaysia sebelum ini yang dimenangi oleh kumpulan teater dari Kedah, ada pula cadangan untuk mengetengahkan unsur-unsur budaya dari Sarawak, yang memungkinkan kumpulan teater dari negeri ini akan muncul juara pada festival seterusnya.

Hasilnya menampakkan kesan. Walaupun pada asalnya cuma mungkin sekadar kata-kata kosong, akhirnya dengan mementaskan Tukang Ensera pada Festival Teater Malaysia 2008, kumpulan teater dari Sarawak diumumkan juara.

Bukan setakat juara keseluruhan, skrip Tukang Ensera yang dihasilkan oleh Awangku Merali Pengiran Mohamed dan dipentaskan oleh Persatuan Seni Persembahan Sifar (Sifar) turut memenangi Anugerah Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Pelakon Lelaki Harapan.

Ditanya mengenai hal ini, Suffian Jalet yang merupakan pengarah teater ini yang sekali gus memenangi Anugerah Pengarah Terbaik sedikit menafikan perkara ini, yang dikatakannya skrip itu dipilih secara tidak sengaja.

“Sebelum ada skrip ini, saya dengan beberapa rakan mencari skrip yang sesuai dan menemui skrip Tukang Ensera di perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak.

“Setelah membaca dan mendapat pandangan ahli serta Awangku Merali sendiri, akhirnya keuptusan diambil, skrip ini akan dipentaskan pada Festival Teater Sarawak, sekali gus ke peringkat kebangsaan,” katanya.

Apa-apapun, daripada kata-kata di jalan, nyata bahawa unsur budaya Sarawak jika dijadikan skrip drama, dan kemudian diimplementasikan ke atas pentas dengan teknik yang baik, pasti mampu menggamit hati juri.

Ditemui selepas Pementasan Teater Perdana Tukang Ensera di Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce, Institut Perguruan Batu Lintang, Suffian menjelaskan, pementasan itu kali ini tidak menggunakan sepenuhnya tenaga produksi yang membuat pementasan di Kuala Lumpur.

Kali ini, pihaknya menggunakan 45 pelajar Sekolah Seni Kuching sebagai pelakon, penari, pemain muzik seterusnya petugas di pentas dan sebagainya. Mereka dibantu 20 ahli Sifar.

Pementasan tersebut diadakan selama dua malam berturut-turut dengan tujuan mengangkat martabat budaya dan kesenian negeri Sarawak dengan mementaskan teater berunsurkan etnik.

Seterusnya, membuktikan bahawa Malaysia sememangnya sebuah negara yang rakyatnya saling menghormati serta memahami budaya serta kesenian bangsa yang pelbagai.

Juga, untuk memartabatkan seni teater Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi dengan menghasilkan sebuah pementasan yang berkualiti, dan menjadikan teater sebagai media yang memprojeksikan nilai-nilai kemanusiaan sejagat kepada khalayak umum.

Selain mempopularkan teater sebagai satu media riadah alternative kepada khalayak umum, pementasan itu juga menjadi kayu ukur nilai kualiti dan kemampuan Sifar dalam mementaskan teater dari sudut pandangan para ilmuan teater tempatan juga kebangsaan.

Akhir sekali menggalakkan usahasama antara Jabatan Kerajaan dan NGO dalam usaha mengembang dan meningkatkan kualiti kesenian di negeri ini. Untuk itu, pementasan itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Tamat

1 comment:

chuluy88 said...

saya seorang insan yang baru mengenali dunia teater. saya ingin tahu lbh lanjut perkembangan dunia teater di sarawak? blh bagi tunjuk ajar?