Cabaran penulis berbilang kaum

“KINI sudah tiba masanya, sasterawan Melayu dan Bumiputera bangkit mempertahankan hak mereka. Bangkit mempertahankan hak bukanlah menyokong membuta tuli,” kata Dr. Awang Azman Awang Pawi.

Jelasnya, sebagai penulis Bumiputera, mereka sendiri lebih arif mengenai permasalahan yang berlaku dalam dunia etnik mereka sendiri. Segala rites of passage telah diharungi secara alamiah.

Mengulas makalah berjudul Penulis Pelbagai Kaum Dalam Zaman Edan Arus Perdana, katanya, sebagai penulis yang peka soal menerokai permasalahan dan dilema oleh bangsa dalam soal pembangunan dan memartabatkan hak mereka merupakan satu cabaran yang besar perlu ditempuhi.

Pada masa yang sama jelasnya, penulis berbilang kaum tidak perlu terbawa-bawa pengaruh orang politik dalam sikap berkarya.

“Elemen parokial, sentiment politik yang melulu, etnosentrik yang melampau yang boleh menggugat kestabilan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum perlu dikikis agar tidak ditemui unsur propaganda yang melampau.

“Yang penting nilai persefahaman, membangunkan minda masyarakat yang positif dan mengubah sikap masyarakat agar menjadi lebih bermakna dalam kehidupan.”

Selain itu katanya, adalah penting mengelakkan sikap terlalu selesa sehingga tidak berani menyatakan yang benar.

Menurutnya, tugas penulis zaman edan tidak kurang pentingnya berbanding dengan tugas ahli politik semasa.

“Sekiranya peranan penulis di zaman edan ini tidak diberikan perhatian, maka akan mengusutkan lagi perkembangan politik semasa tanah air.

“Sudah tiba masanya, keperluan, pemikiran, gagasan yang diungkapkan pengarang perlu diberikan perhatian kerana golongan pengarang merupakan golongan yang peka dan jujur dengan kenyataan yang berlaku,” tambahnya.

Awang Azman menjelaskan, dalam konteks penulis pelbagai kaum, perlu merayakan unsur-unsur daerah, mencari keunikan, titik-titik persamaan, menerokai ruang pemikiran dan persoalan yang dihadapi serta mengambil pengajaran yang ada.


Pada masa yang sama, eksperimen bentuk sastera daerah daripada suku kaum akan dapat memperkayakan kesusasteraan nasional, ujarnya.

“Perkaitan mitos dengan suasana politik setempat atau negeri mungkin juga dapat dilihat dalam bentuk karya sastera moden. Secara tidak langsung konsep kesatuan dalam kepelbagaian dapat dirayakan oleh penulis.

“Yang penting dalam zaman edan perdana ini, berusaha memberikan sumbangan positif dengan apa-apa keupayaan yang ada pada penulis.”

Dalam konteks perpaduan nasional, katanya, persefahaman antara kaum dalam karya belum lagi dimanfaatkan secara lebih bermakna khususnya dalam konteks Sarawak demi meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat.

Jelasnya, hubungan Melayu, Iban dan Orang Ulu dalam konteks perniagaan, hubungan setempat dan wacana kaum untuk memperkasa perpaduan nasional adalah ruang yang dapat diberikan ruang yang lebih pada zaman edan.

“Sejauh mana pertalian hubungan yang telah lama dalam konteks sejarah ini terus bersemarak dalam kehidupan masa kini. Apakah semangat kemalaysiaan semakin segar atau pudar dalam arus edan?

“Apakah sikap generasi ketiga selepas kemerdekaan? Pemerokaan hubungan perpaduan yang semakin menipis juga merupakan suatu ruang yang menarik yang dapat dilihat daripada perspektif antara kaum.

“Adalah menarik apabila kita dapat menemui karya yang menyelami tuntutan bukan Bumiputera mengenai beberapa hak istimewa yang dipaparkan dalam karya,” katanya.

Penggarapan persoalan seperti itu yang rasional ujarnya, memerlukan kematangan pemikiran, dan tidak perlu terpengaruh dengan karya bersifat propaganda yang menebal.

Kematangan penulis akan dapat menghayati tuntutan dan melihat dalam konteks sejarah pembentukan negara, tambahnya.

Penulis zaman edan katanya, perlu memberikan gambaran sebenar yang dialami masyarakat dengan jujur dan mengikiskan pandangan politik kepartian yang sempit.

“Tugas penulis pelbagai kaum melampaui tugas ahli politik dan pembina perpaduan yang tulen melalui karya sastera dengan menganalisis persoalan secara lebih kritis untuk direnungi masyarakat zaman-berzaman.

“Zaman edan merupakan zaman paling mencabar terhadap tugas dan peranan karyawan yang selama ini sedang dimediasi oleh media dan ahli politik,” katanya.

(UTUSAN SARAWAK, 14 FEBRUARI 2009)

No comments: