Anwar Ridhwan Sasterawan Negara ke-10


Penerima Anugerah Sastera Negara

1. Allahyarham Kamaluddin Muhammad atau Keris Mas (1981)
2. Profesor Emeritus Datuk Dr. Shahnon Ahmad (1982)
3. Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang (1983)
4. Datuk (Dr.) A Samad Said (1985)
5. Allahyarham (Dr.) Muhamda Abdul Biang atau Arena Wati (1987)
6. Profesor Dr. Muhammad Salleh (1991)
7. Datuk Nordin Hassan (1993)
8. Datuk Abdullah Hussain (1996)
9. Allahyarham Dr. Syed Othman Syed Omar atau S Othman Kelantan (2003)
1o. Datuk Dr. Mohd. Anuar Rethwan (2009)

“MALAM ini satu kemuncak dalam kehidupan saya apabila menerima anugerah tertinggi bergelar Sasterawan Negara. Ia satu tanggungjawab kepada saya untuk menghasilkan karya bermutu selain memerlukan penghasilan pemikiran mengenai sastera dalam masyarakat dan jati diri penduduk negara ini,” kata Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan atau nama penanya, Anwar Ridhwan.

Menurutnya, “Jika garapan sastera dapat diangkat, saya percaya kita dapat mewujudkan jalinan perpaduan antara semua kaum dengan wataknya diambil daripada budaya dan adab setiap kaum.”

Anwar Ridhwan,60, yang merupakan tokoh sastera dan bahasa baru-baru ini dimasyhur sebagai Sasterawan Negara yang kesepuluh. Anugerah tersebut disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Anwar menerima hadiah wang tunai RM60,000 termasuk kemudahan mencipta karya sastera, kemudahan menerbit karya dan kemudahan perubatan percuma kelas pertama di hospital kerajaan.

Selain itu, sebanyak 50,000 naskhah daripada karyanya juga dijamin akan dibeli oleh kerajaan dan karyanya yang sesuai pula akan diterjemah ke bahasa asing serta dipertimbangkan menjadi penulis tamu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut hadir pada majlis tersebut berkata, pengurniaan Anugerah Sastera Negara adalah untuk memberi pengiktirafan terhadap sumbangan dan pencapaian sasterawan dalam usaha memperkukuh serta memartabatkan karya sastera kebangsaan.

Pemilihan Anuar jelas beliau, berdasarkan sumbangan kreatif dan kesan pemikiran sehingga membentuk tradisi persuratan tersendiri bagi masyarakat negara ini.

“Ketegaran dalam mendalami dan mempertahankan nilai pembinaan negara bangsa yang diperjuangkan menjadi penilaian utama ahli panel untuk memilih penerima anugerah.

''Di samping itu, komitmen sasterawan dalam kegiatan sastera secara berterusan sehingga membentuk tradisi persuratan yang tersendiri serta didukung dan diteruskan oleh generasi penulis juga dijadikan asas penilaian," katanya.

Berikutan komitmen itu, kerajaan bersetuju menaikkan jumlah ganjaran diterima penerima anugerah dari RM30,000 kepada RM60,000 untuk membolehkan mereka terus berperanan secara berkesan sebagai ‘perutusan’ yang menyalurkan aspirasi seni.

Anugerah, yang diperkenalkan pada 1979, diberikan kepada anak kelahiran Sungai Besar, Selangor, itu sebagai pengiktirafan tertinggi kerajaan kepada penggiat sastera bahasa Melayu yang memberi sumbangan cemerlang.

Dilahirkan di Sabak Bernam, Selangor pada 5 Ogos 1949 dan berkelulusan Sarjana Muda Sastera (1973) dari Universiti Malaya. Kemudiannya memperoleh ijazah Sarjana Sastera (1983) dan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) pada 1998. Kesemuanya dari Universiti Malaya.

Anwar pernah mengikuti program penulisan antarabangsa di Universiti Iowa, Amerika Syarikat pada 1986 dan menjadi Profesor Pelawat di Tokyo University of Foreign Studies (1997-2000).

Beliau menumpukan kerjayanya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehingga bersara pada 2005. Jawatan terakhirnya ialah Pengarah Penerbitan DBP. Kini, bertugas sebagai Dekan di Fakulti Penulisan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Dalam dunia penulisan beliau terkenal sebagai novelis dan penulis cerpen. Novel pertama ialah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman memenangi Hadiah Novel Gapena-Yayasan Sabah (1979).

Novel Arus (1985) memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985. Antara cerpen karyanya ialah Perjalanan Terakhir (1971), Dunia adalah Sebuah Apartmen (1973), Sesudah Perang (1976) dan Dari Kiev ke Moskova (1992).

Karya yang diilham dan disiapkan di Jepun pada 2001 berjudul Naratif Ogonshoto memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001. Novel itu dengan judul Bili i Nebili Ostrovov Ogonsoto diterbit dalam bahasa Rusia (penterjemah Victor Pogadaev) pada 2006 di Sanct-Petersburg (penerbit Paideia).

Pernah menjadi Setiausaha Satu Gapena dan menerima S.E.A Write Awards pada 2002.

UTUSAN SARAWAK 31 OKTOBER 2009

1 comment:

Toh Chee Leong's Collections said...

Tahniah diucapkan kepada Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan atau nama penanya, Anwar Ridhwan di atas penganugerahan yang berprestij ini.

Teruskan usaha murni dan perjuangan Yang Berbahagia Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan di era globalisasi ini.