Bahasa rojak kian menggerunkan

PENGGUNAAN 'bahasa rojak' kini semakin menggerunkan. Malah, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkarshi pada sidang akhbar baru-baru ini turut menyatakan kerisauannya dengan masalah tersebut terutama terhadap penggunaan bahasa Melayu yang semakin parah dalam masyarakat.

Oleh yang demikian, beliau berharap Pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 dapat memberi lebih kuasa kepada DBP untuk menangani penggunaan 'bahasa rojak' di kalangan masyarakat negeri ini.

Dalam sidang akhbarnya baru-baru ini, beliau berkata, kuasa itu bukan untuk menghukum, sebaliknya lebih kepada memberi pendidikan. Dengan itu, penerangan perlu dibuat kepada pihak-pihak yang sangsi terhadap usaha berkenaan agar dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Kenyataan Dr. Mohd Puad Zarkarshi ini mendapat sokongan banyak pihak. Di negeri ini, rata-rata mereka yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan menyokong kenyataan tersebut.

_____________________________________________________________________________________________________________________________________________



Jais Sahok menjelaskan, kata yang keluar dari daerah artikulasi seseorang insan ketika berbahasa
ialah makna yang ingin diucapkannya (diujarkannya).

Makna itu terkandung dalam sistem kognitifnya. Justeru, jika 'rojak' bahasanya, maka 'rojak' pemikirannya iaitu celaru, tidak menentu, dan kacau-bilau.

Jelasnya, insan yang kacau-bilau fikirannya ialah insan yang rendah inteligens umum dan inteligens linguistiknya.

Justeru, rakyat Malaysia perlu meningkatkan inteligens diri masing-masing kerana inteligens diri ini akan tergambar dalam setiap ucapan atau percakapan yang dilakukan, katanya.

Jais menyatakan bahawa inteligens yang dimaksudkan ialah keupayaan sistem kognitif yang
tinggi untuk mengujarkan sesuatu maksud yang terkandung dalam sistem itu dengan menggunakan input ilmu (maklumat dan data) yang banyak.

“Kalau ilmu kebahasaan yang memasuki sistem kognitif seseorang itu tinggi, maka tinggilah inteligens linguistiknya. Maka akan bertutur (berbahasa) dengan inteligens linguistik yang tinggilah dia. Begitulah sebaliknya.

“Orang yang rendah inteligens linguistiknya dirujuki sebagai linguistic idiot. Moga-moga undang-undang itu nanti akan memberikan kesedaran keperluan peningkatan dan pemartabatan inteligens linguistik dalam kalangan semua rakyat malaysia kerana ini imej diri, bangsa, bahasa dan negara sekali gus imej tamadun semasa,” katanya.

_____________________________________________________________________________________________________________________________________________



Sementara itu, mantan Ketua I Persatuan Karyawan Sastera Sarawak, Ja'afar Haji Hamdan pula menyatakan, dalam suasana sekarang, penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu, khususnya dalam media serta yang berbentuk untuk tatapan umum amat wajar dan tepat pada waktunya, selaras dengan konsep 1Malaysia.

Walaupun demikian, usaha itu ujarnya, memerlukan rakyat bersama-sama mencintai bahasa Melayu bukan kerana undang-undangnya, tetapi kerana bahasa Melayu sebagai wahana komunikasi antara mereka, yang menyatukan mereka dan juga menjadi alat perolehan ilmu bagi mereka.

“Seperti kita sedia maklum, penguatkuasaan undang-undang hanya mampu menakutkan pengguna tetapi tidak menyedarkan mereka tentang peranan sebenar bahasa Melayu.

“Justeru, usaha penguatkuasaan hanya salah satu cara untuk memantapkan lagi penggunaan yang betul dalam bahasa Melayu tetapi usaha-usaha lain haruslah diteruskan bagi mewujudkan dan membina rakyat Malaysia yang betul-betul memahami aspirasi bahasa jiwa bangsa,” katanya.
_____________________________________________________________________________________________________________________________________________



Toh Chee Leong pula mengatakan, perubahan sikap dan tingkah laku dalam menangani masalah penggunaan 'bahasa rojak' perlu dilakukan secara berperingkat.

“Pindaan Akta Dewan Bahasa jelasnya, perlu dilakukan dengan serta merta. Ini kerana Malaysia sudah 52 tahun merdeka. Jadi, apa yang kita rasakan perlu ada penambahbaikan, maka elok kita lakuan dengan hati yang ikhlas dan tulus,” jelasnya.

Setiausaha I Persatuan Karyawan Sastera Sarawak, Awang Zaidel Awang Jamil amat bersetuju dengan pindaan tersebut kerana pada pendapatnya, hanya dengan cara itu masyarakat dapat disedarkan berhubung aspek kepentingan Bahasa Kebangsaan.

Menurutnya, seperti kata Timbalan Menteri Pelajaran, usaha ini bukan untuk menghukum, sebaliknya lebih kepada mendidik.

“Dalam keadaan penyalahgunaan bahasa yang sudah menghampiri ke tahap kronik sekarang, usaha itu harus dilakukan segera agar semua pihak dapat bermula di pangkal jalan.

“Janganlah hendaknya apabila generasi hari ini sudah ke tahap menjadi buluh, barulah pelaksanaannya dikuatkuasakan,” katanya.

Dalam keadaan sekarang, generasi baharu lata Awang Zaidel masih dapat menerima hakikat bahawa bahasa kebangsaan kita ialah Bahasa Malaysia, maka wajar usaha ini disegerakan.
_____________________________________________________________________________________________________________________________________________



Sementara itu, Poul Nanggang dari Persatuan Penulis Utara Sarawak pula menyatakan bahawa usaha itu (Pindaan Akta DBP) cukup mulia untuk mengembalikan martabat Bahasa Melayu.

Menurutnya, bahasa Melau dianggap sebagai bahasa rasmi negara, tetapi ramai yang tidak mengambil berat akan hal itu.

“Mereka memperlekehkan kemampuan bahasa ibunda sendiri dengan banyak dalih dan alasan. Kesedaran pemimpin seperti ini harus ditagih oleh rakyat yang mahukan pembangunan dan kemajuan bahasa itu juga seiring dengan pencapaian kita dalam dunia bisnes, pembangunan sosial, industri dan lain-lain.”

“Kalau kita lalai, maka banyak kemungkinan khazanah bangsa kita pupus ditelan waktu dan masa. Akhirnya bangsa kita maju tetapi tidak mempunyai roh budaya bangsanya sendiri. Kita asyik bangga dengan jelmaan roh manusia asing.

“Bagi saya, sebagai rakyat kecil yang ingin melihat kemajuan bahasa Melayu semaksima mungkin, tiada alasan untuk tidak meletakkan bahasa Melayu di tempatnya. Hakikatnya ia sudah diperkenankan dalam Perlembagaan Malaysia.

Hanya kepada yang mempunyai wibawa, sama ada melaksanakan amanah itu atau melihat sahaja begitu. Memang cabaran dan halangan cukup besar di depan, tetapi tanpa usaha yang tulen maka, kita tidak mampu ke mana-mana.

“Kita masih di tahap lama, asyik bercakap dan bercakap tanpa tindakan yang tuntas dan berkesan. Itu perkara yang memang rumit. Tetapi kalau mempunyai kekuatan jiwa dan hati nurani menjulang dan memperkasa bahasa Melayu perkara ini tidak akan sesukar mana. Lantaran sebagaimana yang saya nyatakan tadi ia sudah ada dalam Perlembagaan Malaysia. Semua pihak haruslah bekerjasama.”

Rasa rendah diri bahawa bahasa Melayu rendah martabatnya haruslah dikikis. Bahasa Melayu bukan bahasa orang kampung yang tiada pendidikan, bahasa penagih dadah di lorong-lorong kecil, bahasa orang kurang siuman yang tidak mempunyai pemikiran.

Katanya, “Ingatlah bahasa Melayu itu antara bahasa yang ramai penggunanya di dunia masa kini. Kita harus bangga dengan pencapaian bahasa kita.”

Utusan Sarawak, 14 November 2009

No comments: