KARYA PAPAR STATUS SOSIAL PENGARANG

SASTERA hadir dalam bentuk institusi dan karya. Karya pula bukan sekadar memaparkan realiti sosial tetapi, turut memancarkan status sosial pengarang atau sasterawannya, ideologi, pemikiran serta kritikannya terhadap masyarakat.

Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud berkata, sastera ialah medium komunikasi yang cukup berkesan untuk membina dan membangunkan minda masyarakat.

Justeru, para sasterawan dan penulis jelasnya, memainkan peranan yang cukup signifikan melalui bakat seni dan kreativiti mereka untuk menghasilkan karya-karya sastera yang bermanfaat kepada pembangunan rohani, emosi dan intelek masyarakat.

Kerajaan Negeri amat menyedari hakikat ini, dan melalui Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi, telah dan akan terus mendukung dan menyokong pembangunan bidang kesusasteraan dan penulisan di negeri ini.

“Saya menyeru setiap anggota masyarakat, sasterawan, penulis dan karyawan seni daripada pelbagai suku kaum di negeri ini agar terus berkarya, sekali gus memanfaatkan segala peluang dan kemudahan yang disediakan demi pembangunan bidang kesusasteraan kebangsaan dan penulisan di negeri ini.

“Kerajaan akan merangka strategi terkini dalam usaha mengiktiraf golongan karyawan dan seniman di negeri ini bagi membolehkan mereka mendapat imbuhan setimpal dengan bakat masing-masing.

“Usaha tersebut merupakan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan golongan berkenaan kepada masyarakat melalui aktiviti kesenian,” katanya berucap pada Majlis Penganugerahan Anugerah Sastera Kebangsaan Negeri Sarawak 2008/2009 kepada Datu Dr Haji Adi Badiozaman Tuah baru-baru ini.

Kerangka strategi tersebut jelas Pehin Sri akan dibincangkan dengan mendalam dan mungkin dapat direalisasikan dalam tempoh tiga tahun akan jika mendapat respon daripada pihak berkaitan.

“Sudah sampai masanya kita mengiktiraf sumbangan golongan seniman negeri ini. Kita tidak mahu kehadiran mereka hanya berlalu begitu sahaja sebaliknya, kita ingin melihat mereka terus berkarya.

“Golongan ini juga berhak mendapat imbuhan yang sewajarnya dan pendekatan itu akan menjadi motivsi kepada mereka untuk menghasilkan karya-karya yang lebih berkualiti pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Sosial dan Urabanisasi, Dato Sri William Mawan Ikom menjelaskan, Anugerah Sastera Kebangsaan Sarawak merupakan program berprestij yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui KPSU, khsususnya untuk memberi pengiktirafan tertinggi di peringkat negeri kepada sasterawan yang telah memberi sumbangan yang besar dan signifikan kepada pembangunan bidang kesusasteraan dan penulisan di negeri ini.

“Kami menaruh harapan yang tinggi anugerah ini akan dapat merangsang semangat dan keinginan para sasterawan, penulis dan anggota masyarakat daripada pelbagai kaum untuk terus berkarya dan menulis dalam bahasa kebangsaan demi membina serta membangunkan bidang kesusasteraan dan penulisan di negeri ini,”

KPSU akan terus bekerjasama dengan mana-mana institusi dan organisasi dalam menganjurkan pelbagai program dan kegiatan kesusasteraan serta penulisan di negeri ini.

UTUSAN SARAWAK, 21 NOVEMBER 2009

No comments: