Sastera membangunkan minda masyarakat

GOLONGAN karyawan di negeri ini memainkan peranan yang signifikan melalui bakat dan kreativiti mereka menghasilkan karya sastera.

Ketua Menteri, Pehin Seri Haji Abdul Taib Mahmud berkata, bakat dan kreativiti mereka menghasilkan karya-karya sastera yang memberikan manfaat kepada pembangunan rohani, emosi dan intelek masyarakat.

Menurutnya, sastera hadir dalam bentuk institusi dan karya, manakala karya pula bukan sekadar memaparkan realiti sosial, tetapi turut memancarkan status sosial pengarang, ideologi, pemikiran serta kritikannya terhadap masyarakat.

“Sesungguhnya sastera ialah medium komunikasi yang cukup berkesan untuk membina dan membangunkan minda masyarakat,” tegas beliau dalam perutusan tersebut,” katanya dalam perutusan buku cenderamata Majlis Penyampaian Anugerah Sastera Kebangsaan Negeri Sarawak yang akan berlangsung pada 16 November depan.

Katanya, “Kerajaan Negeri menyedari hakikat ini dan melalui Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi, akan terus mendukung dan menyokong pembangunan bidang kesusasteraan dan penulisan di negeri ini.”

Pehin Sri menyeru setiap anggota masyarakat, sasterawan, penulis dan karyawan daripada pelbagai suku kaum agar terus berkarya, sekali gus memanfaatkan segala peluang dan kemudahan yang disediakan demi pembangunan bidang kesusasteraan kebangsaan dan penulisan di negeri ini.

Majlis penyampaian Anugerah Sastera Kebangsaan Negeri Sarawak mula diperkenalkan pada tahun 1994. Sejak tahun tersebut, projek ini diteruskan sehingga kini yang telah masuk ke tahun yang ke-7.

Allahyarham Muhamad Bujang (Melati Sarawak) dan Allahyarham Muhamad Rakawi Yusuf (Mastera Rakawi), merupakan dua orang penerima anugerah utama Anugerah Sastera Negeri Sarawak, masing-masing pada tahun 1995 dan 1994.

Majlis Anugerah Sastera Kebangsaan Negeri Sarawak ini adalah anjurkan Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi, manakala Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak merupakan urus setia projek.

Majlis Penyampaian Anugerah Sastera Kebangsaan Negeri Sarawak bagi tahun 2008/2009 akan berlangsung pada 16 November depan di sebuah hotel terkemuka di bandar raya Kuching.

Utusan Sarawak, 14 November 2009

No comments: