Sumbangan penulis cukup besar



SUMBANGAN para sasterawan dan penulis cukup besar dalam pembangunan industri kreatif di negeri dan negara ini. Sesungguhnya, banyak karya penulis dalam pelbagai genre dapat diangkat ke pentas teater, dan layar perak sebagai alternatif tambahan untuk mengetengahkan karya-karya terbaik dan berkualiti tinggi.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II dan Menteri Kemudahan Awam Sarawak, Datuk Amar Awang tengah Ali Hasan berkata, karya-karya penulis yang kaya warna-warna tempatan yang bersumberkan seni bahasa, seni sastera dan seni budaya pelbagai etnik di negeri ini akan menyerlahkan keunikan, keharmonian dan ketinggian nilai hidup bermasyarakat dalam kalangan pelbagai kaum yang terdapat di Sarawak.

“Kesemua ini serasi dengan konsep Confluence of Cultures dan gagasan 1Malaysia. Penulis dan sasterawan juga berupaya menjadi ejen perubahan dengan cara merubah dan mempengaruhi pemikiran dan tanggapan rakyat terhadap apa yang diingini meneruis karya-karya yang ditulis sedemikian rupa.

“Walau bagaimanapun, saya yakin penulis dan sasterawan tidak menyalahgunakan keistimewaan mereka ini dengan menghasilkan karya-karya yang berbentuk hasutan dan berniat jahat kerana inginkan nama dan wang tanpa memikirkan baik buruk kesannya terhadap masyarakat dan negara.

“Sebaliknya, tulis dan ciptakan karya-karya yang dapat merubah pemikiran rakyat ke arah kebenaran dan tujuan yang murni. Lebih baik lagi, tulis dan ciptakan karya-karya yang dapat menyumbang secara langsung dan tidak langsung kepada kemajuan dan pembangunan bangsa dan negara, lebih-lebih lagi ketika kerajaan hendak melonjakkan negara ke status ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Tinta Kenyalang 2009 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak baru-baru ini.

Generasi muda

Generasi muda katanya, harus merebut segala peluang yang ada semasa berada di bangku sekolah untuk mengasah bakat dan memahirkan diri dengan penulisan ini.

“Kamahiran ini akan menjadi nilai dan bonus yang sangat berguna terutama apabila mereka meninggalkan bangku sekolah atau alam persekolahan nanti.

“Penghargaan yang diterima oleh penulis merupakan penghargaan atas sumbangan masyarakat sasterawan serta penulis yang sentiasa prolifik, produktif dan prihatin untuk turut membangunkan literasi budaya dalam kalangan masyarakat kita.”

Seperti yang sedia maklum, setiap bangsa mempunyai karya agung masing-masing yang membawa tema tentang hidup manusia dan kemanusiaan.

Keistimewaan golongan penulis jelasnya, terletak pada sensitiviti dan kreativiti mereka terhadap alam, persekitaran serta nilai manusia dan kemanusiaan yang harus diterokai, difahami dan akhirnya dituangkan ke dalam karya-karya sastera yang indah, baik dan bermutu.

Di samping terus giat menulis, aspek promosi dan pemasaran karya-karya yang dihasilkan oleh para sasterawan dan penulis juga, juga harus diberi perhatian oleh pelbagai pihak.

Insentif-insentif lain, selain hadiah dan anugerah juga harus dikenal pasti untuk memberikan nilai tambah harta intelektual golongan tersebut yang memerahkan minda mereka untuk menghasilkan karya-karya yang cemerlang.

“Kerajaan Negeri akan terus memastikan para sasterawan dan penulis kita tidak akan dipinggirkan dalam arus perdana pembangunan di negeri kita ini.

“Ini adalah kerana kita menghargai dan mengiktiraf sumbangan signifikan golongan tersebut dalam membangunakn jasmani, rohani dan intelek masyarakat pelbagai kaum di negeri ini melalui pemikiran-pemikiran bernas dan kreatif mereka dalam karya-karya sastera mereka.”

Peranan pihak swasta

”Saya yakin pihak lain termasuk pihak swasta dapat menyumbang ke arah kemajuan dan perkembengan sastera dna penulisan ini. Sebagai contoh, mereka boleh menaja dan menganak-angkatkan kegiatan-kegiatan sastera tertentu yang dijalankan olen badan-badan atau pihak-pihak berwajib.

“Sehubungan dengan itu, saya suka mengambil kesempatan di sini agar syarikat swasta yang terdapat di negeri ini tampil ke hadapan dan membantu dalam usaha yang murni ini. Setidak-tidaknya anggaplah bantuan dan sumbangan itu sebagai tanggungjawab sosial dan sumbangan kepada masyarakat, bangsa dan negara.”

No comments: