Realiti, cabaran bahasa Melayu dan 1Malaysia

KERJA-KERJA memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara menjadi tanggung jawab bersama. Bahasa Malayu itu disepakati sebagai bahasa negara yang termaktub dalam Perlembagaan. 1Malaysia akan tempang tanpa keutuhan satu bahasa negara.

Menjelas perkara ini Bahasa Melayu dan 1Malaysia: Realiti dan Cabaran dalam ucap uatama sempena Hari Pejuang Bahasa 152 di Kuching baru-baru ini, Datuk A. Aziz Deraman mencadangkan, sikap pihak yang berwewenang perlu memahami dan bergerak dengan penuh komitmen bagi menjayakan dasar bahasa negara.

Menurutnya, rasional asal keperluan sebuah bahasa negara adalah untuk mencapai matlamat kestabilan politik, kemajuan ekonomi, perpaduan dan kesatuan sosial, selain pemupukan keperibadian kebangsaan melalui satu bahasa kebangsaan, sebab bahasa sekadar sistem linguistik, tetapi sistem kognitif yang melibatkan budaya.

“Sistem itu pula akan berkembang maju ke tahap kebudayaan tinggi. Manakala peradaban mana-mana bangsa sekali pun tidak akan terjelma tanpa amalan kebudayaan tinggi. Fahamilah hakinatnya!. Bahasa asas pembinaan tamadun bangsa.

“Apakah tidak ada kemungkinan diwujudkan sebuah Suruhanjaya Bahasa Negara (SBN)? Peranan dan fungsi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diangkat dengan diberikan matlamat, peranan dan fungsi yang lebih luas secara inovatif dengan diberikan matlamat, pranan dan fungsi yang lebih luas secara inovatif dan kreatif.

“Cadangan ini telah saya sebutkan secara spontan semasa Forum Wacana Bahasa Melayu, di Kangar pada 20 Januari lalu. Sebuah suruhanjaya boleh bertindak melalui 'kuasa', 'kuatkuasa' dan 'penguatkuasaan' undang-undag menyelesaikan masalah pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang belum tercapai sepenuhnya itu.

“SBN akan bertindak memantau penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi; menentukan wujudnya sebuah bahasa kebangsaan yang berkualiti tinggi dan bercitra Malaysia atau menyelia kekuatan bahasa sebagai pengantar pendidikan mengikut keutamaan kerana ada masalah di sektor institusi pendidikan swasta,” katanya.

Badan itu jelasnya, boleh menggerakkan perluasan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi, perniagaan, perdagangan dan perkhidmatan kewangan atau meningkatkan prestasi bahasa Melayu sebagai penyelidikan, penciptaan dan pembangunan sains dan teknologi dan meluaskan penggunaannya dalam amalan industri (kecuali IKS) dan bidang profesional (perubatan, kejuruteraan, kepeguaman, kewangan dan seumpamanya).

“Apakah yang sepatutnya dilihat bersama dalam unjuran “Gerakan Baru” penegasan semula itu? Usaha memartabatkan bahasa kebangsaan dalam konteks ini kena diberikan perhatian serius,” tambahnya.

Jelasnya, perkara-perkara penting yang perlu diberikan perhatian melalui SBN antara lainnya adalah penegasan semula pelaksanaan dasar bahasa negara; dasar bahasa negara dan fungsi bahasa Melayu; dan, senario pencapaian pelaksaan dasar bahasa negara.

Juga, permasalahan utama pelaksanaan yang memerlukan penyelesaian menyeluruh; peranan agensi perancangan bahasa khsususnya DBP yang menjadi komponen utama kepadanya – peranan agensi pengembangan bahasa seperti pihak-pihak berkuasa kerajaan di peringkat pusat, negeri, kerajaan tempatan.

“Malaysia akan segera menjadi sebuah negara maju. Apakah kemajuannya itu dicitrakan oleh kepelbagaian tanpa kesatuan, arah tujunya bersimpang siur? Tentu tidak! Jadi perancangan strategik bagi menyelesaikan masalah pembangunan, pengembangan dan kemajuan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara menjelang 2020 hendaklah digubal segera.

“Pada masa yang sama bahasa Melayu yang sudah berada diu martabatnya itu boleh diperkasakan dengan melihat masalah-masalah utama dan menetapkan dasar penggunaan bahasa kebangsaan untuk sektor swasta dan korporat.

“Hal ini boleh dilakukan melalui penyelesaian masalah penguatkuasaan pelaksanaan bahasa kebangsaan di sektor awam selaras dengan penegasan aspirasi Perlembagaan Negara. Ketegasan pelaksanaannya dikenakan secara berhikmah ke atas sektor awam, swasta dan organisasi umum,” ujarnya.

UTUSAN SARAWAK, 24 FEBRUARI 2011

No comments: