Merdekakah kita dalam erti sebenar?

RADIN AZHAR AHMAD

LIMA skrip drama pentas – Bumiku Oh Bumiku yang diilhamkan oleh Zaini Ozea, Pemberontakan di Kuching ditulis oleh Bedui Uni, Tergadai karya Awangku Merali, Peta 63 skrip tulisan Hazami Jahari dan Gelap dihasilkan oleh AB Nor baru-baru ini digabungkan menjadi satu skrip, yang kemudian dipentaskan atas nama Pementasan Teater Tokoh.

Bertempat di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, pementasan itu berjaya menarik ramai penggiat serta peminat teater. Amat membanggakan melihat kehadiran audiens yang memenuhi setiap ruang duduk di dalam dewan berkenaan. Mungkin kerana pementasan itu amat penting.

Pertama, kerana skrip drama yang dipentaskan dihasilkan oleh beberapa tokoh teater di Bumi Kenyalang. Kedua, cerita yang diketengahkan berkisar hal-hal penjahahan, perjuangan dan pemberontakan di Sarawak begitu dekat dengan hati penduduk negeri ini yang hadir pada malam tersebut.

Ketiga, dipentaskan pada 31 Ogos – tarikh keramat melaungkan Merdeka! Merdeka! Merdeka! – adalah tepat apabila melihat drama yang dipentaskan yang seterusnya, membangkitkan semangat nasionalisme di kalangan audiens. Ini ekoran juga pada siangnya adalah acara sambutan Kemerdekaan Malaysia Ke-50.

Pujian kepada DBP Cawangan Sarawak kerana memilih tarikh yang tepat dengan suasana yang begitu sesuai untuk mementaskan teater tersebut. Perkara utama yang dapat dilihat di sini ialah usaha membangkitkan semangat kebangsaan dapat juga diterapkan melalui teater, dengan masa dan suasana yang tepat.

Mungkin ini harus menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak yang ingin mementaskan teater agar meneliti sedalam-dalamnya skrip drama tersebut dan mencari masa dan suasana yang benar-benar sesuai dengan naskhah yang hendak dipentaskan.

Jika penelitian ini dilaksanakan dengan mendalam dan terperinci, tidak mustahil untuk melihat lebih ramai audiens hadir bagi menyaksikan sesuatu pementasan teater, walaupun bermacam-macam perkara sebelum ini dikatakan menjadi hambatan kehadiran audiens.

Pementasan Teater Tokoh diarahkan oleh Mohidin Malek menggabungjalinkan karya lima penulis skrip teater Sarawak. Jalan ceritanya mengisahkan sejarah negeri ini (Sarawak) yang menyaksikan kuasa pemerintahan bertukar tangan.

Sejarah ini bermula daripada pemerintahan Raja Muda Hashyim lagi, yang kemudiannya terpaksa menyerahkan tampuk pemerintahan kepada James Brooke kerana termakan tipu muslihatnya.

Bermulalah era era penjajahan British sehingga bangkitnya kesedaran di kalangan masyarakat setempat untuk membebaskan negeri ini daripada cengkaman penjajah. Kemerdekaan yang diperjuangkan dicapai, namun dengan harga yang tinggi.

Kesan-kesan penjajahan sukar untuk dihakis. Sikap dan pemikiran masyarakat masih lagi dicengkam sisa-sisa penjajahan hingga ke hari ini. Persoalan yang cuba ditinggalkan melalui teater ini, merdekakah kita dalam erti kata yang sebenarnya?

Disiarkan di Utusan Sarawak, Khamis, 6 September 2007

No comments: