Sintesis johan Pertandingan Mencipta, Menyanyikan Lagu Puisi 2007

KUMPULAN Lagu Puisi Sintesis muncul johan Pertandingan Mencipta dan Menyanyikan Lagu Puisi 2007 yang diadakan di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, baru-baru ini. Sekali gus, kumpulan tersebut menerima RM1,000 serta hadiah iringan.

Tempat kedua dengan hadiah RM750 dan hadiah iringan pula dimenangi oleh Kumpulan Lagu Puisi Rhythm Of Faith (R.O.F) dan Kumpulan Lagu Puisi Starian di tempat ketiga (RM500 dan hadiah iringan). Selain itu, pemenang Lagu Terbaik ialah Kumpulan Lagu Puisi Josephian (RM100).

Persembahan Terbaik dimenangi oleh Kumpulan Lagu Puisi Starian. Mereka menerima RM100). Kumpulan Paling Popular dimenangi oleh Kumpulan Lagu Puisi Sintesis.

Hadiah disampailan oleh Penasihat Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA), Datuk Hajah Salbiah Painah yang mewakili Ahli Parlimen P.194 Petra Jaya, Haji Fadillah Yusof.

Pertandingan tersebut dianjurkan bersempena ulang tahun ke-50 kemerdekaan Malaysia dan merupakan tajaan Ahli Parlimen Petra Jaya, Haji Yadillah Yusof.

Pertandingan itu dikenalikan oleh PEKASA dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak.

Sebelum ke peringkat akhir, kumpulan puisi yang menyertai pertandingan tersebut telah melalui saringan.

Program ini antara lain bertujuan untuk memasyarakatkan puisi secara komersial yang bertemakan hiburan berilmu.

Objektif penganjuran ialah:

a. Memasyarakatkan puisi dengan kaedah hiburan yang bermanfaat, bersumberkan nilai ilmu puisi.

b. Membina daya upaya pencinta muzik terhadap penciptaan lagu-lagu puisi bagi mengisi ruang komersial selaras dengan perkembangan semasa.

c. Mempekasakan kebermaknaan puisi sebagai sebuah "lagu" yang dapat memberi nilai baru dalam dunia hiburan dan muzik.

d. Menghidupkan kejiwaan puisi dalam bentuk sebuah "lagu" yang mampu mencetuskan nilai emosi bagi membina pemikiran masyarakat melalui hiburan berilmu.

e. Menyerikan lagi suasana perayaan sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Negera ke-50.

Sementara tema pertandingan ialah ‘Memasyarakatkan Puisi Melalui Hiburan Berilmu’. Program itu bercorak pertandingan di kalangan pencinta muzik dan peminat puisi, dengan menjadikan puisi yang telah diterbitkan sebagai lagu dalam bentuk berkumpulan yang dipersembahkan secara langsung.

Pertandingan tersebut diharapkan akan menjadi landasan untuk masyarakat mencintai puisi dan seterusnya sama-sama memberi makna kepada puisi, khususnya puisi yang dihasilkan oleh penulis Sarawak. Akhirnya, puisi menjadi wahana memugarkan nilai fikir, menyegar nilai rasa dan menyedarkan nilai insaf masyarakat terhadap kehidupan.

Disiarkan di Utusan Sarawak, Khamis, 30 Ogos 2007




No comments: