Nilai-budaya pemodenan anjuran Hamka

"Kenapa Hamka? Pengaruh Hamka bukan sahaja melalui buku ilmiah, namun beliau memperkuatkan pengaruhnya melalui karya-karya kreatif. Hamka telah menulis sejumlah karya kreatif, yang mencanai idea dari buku ilmu kepada realiti sosial," kata Abdul Rahman Abdul Aziz dari Institut pemikiran Tun Dr. Mahathir, Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Pertemuan Sasterawan Nusantara ke-14 di Kedah baru-baru ini.

Menurutnya, Hamka bukan shaja dikenali sebagai ulama kerana Tafsiral-Azhar, tetapi juga dikenali sebagai sasterawan kerana buku beliau, dan pada masa yang sama dikenali juga sebagai sasterawan kerana bukunya, Tenggelamnya Kapak van der Wijck dan novel lainnya.

Kehebatan Hamka katanya, bukan sahaja diakui di negara kelahirannya, malah sampai ke Malaysia, Brunei, Selatan Thailand, malah lebih jauh lagi hingga ke Mesir, terutama dikalangan ulama Universiti Al-Azhar.

"Melalui falsafah hidup yang befrteraskan tasawuf moden, Hamka mengemukakan realiti sosialnya dalam novel Tuan Direktur, yang menjelaskan tentang sikap terhadap pembangunan atau pemodenan.

"Pembangunan dan pemodenan nilai dan sikap bertujuan untuk mencapai kesejahteraan hidup dunia dan akhirat. Melalui novel ini, Hamka mengetengahkan erti kesejahteraan hidup yang sebenar-benarnya.

"Dalam konteks kefahaman di Nusantara, pembangunan adalah sinonim dengan pemodenan. Usaha-usaha pembangunan inftrasruktur, ekonomi, politik, sosial dan budaya berteraskan jenis unggul negara maju."

Cinta tertinggi adalah kepada Dia Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, iaitu Allah SWT. Pandanglah alam dengan penuh cinta, dan berjualnglah dengan semangat cinta. Dengan begitu anda akan berbalas-balas cinta dengan Dia Pemberi Cinta. Cinta sejati adalah tatkala anda memasuki gerbang maut dan bertemu Dia. (Rusydi Hamda).

Abdul Rahman berkata, "Bertolak daripada kenyataan ini (di atas), kita dapat melihat bahawa tujuan Hamka bersastera bukanlah untuk memuaskan kehendak rasa tetapi menyampaikan mesej Islam. Ini terbukti daripada karya-karya cerekanya. Walaupun terdapat usaha-usaha untuk menjatuhkan maruahnya sebagai sasterawan kerana timbulnya rasa tidak senang LEKRA terhadap suasana aman damai masyarakat Islam yang digambarkan oleh Hamka dalam cerekanya."

Katanya, Islam sebagai penyelesai masalah umat yangdigambarkan oleh Hamka akan menggugat kekuasaan fahaman komunis yang dikatakan dapat memberi kesejahteraan hidup kepada rakyat.

Dalam diri Hamka jelasnya, terdapat gabungan jiwa seni dan ulama, justeru terbentuk dalam dua susunan yang berbeza tetapi bersepadu dalam dirinya. "Hamka berketurunan Melayu-Minangkabau yang terbilang kerana terkenal sebagai ulama dan sasterawan. Ini yang menyebabkan beliau disanjung sebab amat sukar untuk mencari ulama yang juga sasterawan."

Hakikat itu katanya, diakui Universiti Kebangsaan Malaysia yang telah menganugerahkan beliau dengan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan pada 1974. Pemidato dalam anugerah tersebut mengatakan, ‘Sebagai seniman Haji Abdul Malik Karim Amrullah amat peka, sebagai ulama ia membela agama, sebagai pendakwah ia menyebarkannya melalui karya sasteranya sehingga ia digelar sasterawan Islam."

Sebagai sasterawan katanya, seluruh lapisan masyarakat mengakui kehebatan Hamka menyampaikan peristiwa dalam karyanya. Malah, ramai yang mengambil iktibar dan teladan yang berguna dalam mengharungi suka-duka kehidupan.

"Kedudukan Hamka sebagai sasterawan dan ukama tidak dapat dipertikaikan. Sumbangannya begitu besar kepada pembangunan zahir batin umat Islam Nusantara. Justeru, Hamka telah menunaikan kata-katanya, iaitu ‘Falsafah sebagai penjelasan hidup, kesusasteraan sebagai nyanyian hidup, kesenian sebagai perhiasan hidup dan tasawuf sebagai intisari hidup! Bahkan hidup yang tinggi dan panjang, ialah yang bernilai. Bahkan maut sendiri pun adalah pati hidup yang bernilai," katanya.

Novel-novel Hamka jelas Abdul Rahman memaparkan akhbat individu dan etika sosial, watak yang dikemukakan merupakan pertentangan antara baik dan jahat.

Novel Hamka paling terkenal ialah Tenggelamnya Kapal van der Wijck selain Keadilan Ilahi (1977), Kerana Fitnah (1967), Menunggu Bedok Berbunyi (1976), Di Bawah Lindungan Ka’abah (1976), Cermin Penghidupan (1976), Merantau Ke Deli (1979), Tuan Direktur (1979) dan lain-lain.

"Permasalahan yang diutarakan dalam Tuan Direktur adalah relevan dengan suasana masyarakat kita hari ini. Melalui watak Pak Yasin, Hamka mengemukakan tentang akhlak individu yang diinginkan oleh Hamka. Melalui kelompok Pak Yasin, Hamka memancarkan akhlak dalam hubungan sosial yang diidami oleh Hamka.

"Melalui novel ini, Hamka telah mempertarungkan antara aliran etika hedonisme dan aliran etika theologis. Nyata sekali, Hamka tidak suka kepada hedonisme, sehingga beliau mengenakan hukuman yang berat kepada yang berpegang dengan etika ini. Jazuli, dilambangkan sebagai manusia yang mencari kepuasan dengan mengumpul harta yang banyak dengan menipulasi dan penindasan."
Disiarkan di Utusan Sarawak, Khamis, 6 Ogos 2007

1 comment:

Mujahidah solehah said...

alhamdulillah.terima kasih kepada penulis sebab dah sediakan antara maklumat terpenting mengenai prof hamka.ini memudahkan kerja saya dlm menyiapkan tugasan..terima kasih sgt..:)