Jangan utamakan idealisme, gagasan ketika menulis


PERBINCANGAN atau pertukaran idea secara bersemuka akan dapat membentuk kesatuan fikiran yang utuh, sama ada dalam bentuk lisan atau melalui tulisan sangat memerlukan dunia subur kritikan sastera yang dibajai oleh pengetahuan tentang teori dan wacana sastera yang mendalam dan pembaca karya sastera yang banyak.

Justeru, Wacana Pemikiran Penulis Kanyalang dengan tema Idealisme dan Keterbukaan dalam Memaknakan Gagasan anjuran Unit Pembangunan Karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa) baru-baru ini dilihat sebagai wahana untuk para ilmuan, karyawan dan budayawan berbincang.

Di samping itu, membuat analisis terhadap isu-isu yang dipilih untuk diwacanakan secara objektif dan kolektif.

Empat panel dijemput iaitu Saiee Driss, Hazami Jahari, Jong Chian Lai dan Haji Mohd. Taufek Mohd. Saed, sementara Abg. Patdeli Abg. Muhi bertindak sebagai Moderator. Seperti dijangka, kehadiran tetamu – kalangan karyawan dan penulis kurang memberangsangkan biarkan diadakan di hotel dan dihidangkan pula dengan makan tengahari yang cukup menyelerakan.

Jika dilihat sekitar tetamu yang hadir, tidak ramai di kalangan penulis atau karyawan lain. Kalau tidak kerana hadirnya staf DBP Cawangan Sarawak dan ahli Pekasa yang cuma segelintir, pasti masih banyak kerusi dilihat kosong.

Sekiranya juru gambar ingin mengambil gambar kehadiran tetamu, pasti berasa sukar kerana terpaksa mencari sudut yang betul-betul menampakkan ramainya tetamu. Ini sudah cukup menggambarkan jumlah tetamu, tanpa perlu untuk mengetengahkan jumlah sebenar tetamu, yang rata-rata dari bandar raya Kuching – tidak dari keseluruhan Sarawak.

Rata-rata tetamu berbelah bahagi sama ada wacana tersebut menepati objektif ataupun sebaliknya. Ada yang mengatakan masih jauh lagi pencapaian objektif. Malah, ada yang mengatakan langsung tidak menepati tiga objektif yang diketengahkan iaitu:

i.Sebagai wadah untuk pihak DBP, persatuan penulis dan penggiat sastera bertukar idea dan pengalaman secara lisan dalam usaha untuk memartabatkan kesusasteraan kebangsaan negeri Sarawak;
ii.Menggalakkan pemikiran kritis dan kreatif berhubung bahasa, sastera dan budaya; dan,
iii.Mencari idea dan kaedah terbaik untuk melahirkan penulis-penulis yang mampu menjadi ikon dan tokoh harapan negeri ini.

Wacana dimulakan dengan Moderator (Abg. Patdeli) bertanyakan beberapa soalan kepada Saiee Driss. Dalam jawapannya, Saiee menegaskan, penulis memang ada mengemukakan idealisme, cuma ada yang tidak cukup masak disebabkan mungkin tidak mempunyai masa menapis adakah ia sesuai dengan konteks masa.

“Kini, sudah ada penulis yang mengemukakan ketinggian pemikiran karya yang mungkin disebabkan oleh kematangan usia dan pendidikan. Penulis ini mengetengahkan ideaisme pembangunan masyarakat Melayu Sarawak yang praktikal.

“Dalam puisi, seperti juga puisi saya sendiri, perasaan dan emosi yang meluap-luap memang ada, cuma idealismenya tidak ada iaitu pemikiran yang hendak kita capai untuk semua masyarakat,” katanya.

Penulis jelasnya, harus berfikir untuk masyarakat yang mungkin tidak mempunyai masa untuk memikirkan banyak hal. Misalnya, fesyen dan lagu ini diilhamkan oleh mereka yang kreatif dan masyarakat yang menggunakannya.

“Saya rasa idealisme banyak disarankan oleh penulis, cuma mungkin masyarakat tidak membaca. Sejak 17 tahun lepas berasaskan puisi yang menang Anugerah Penghargaan Penulis, penulis banyak memikirkan kebajikan masyarakat.

“Cuma sempat atau tidak mereka (masyarakat) tidak membaca. Maka, saranan, idea dan gagasan yang diketengahkan teraupung begitu sahaja,” katanya dan menambah, penulis tidak semuanya sempurna dan jangan terlalu memikirkan idealisme ketika hendak menulis.

Sementara mengulas kata Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Jiso Rutan berhubung penulis perlu akur dengan penerbit, Saiee sekali lagi menegaskan, setiap penerbit ada agenda, jadual dan bajet sendiri jika mahu menerbitkan buku.

“Kita perlu akur kepada penerbit.. Mereka melihat sama ada dapat balik ataupun tidak modal yang digunakan. Itu perlu kita patuhi. Pun demikian, setiap orang berhak mengurus karya sendiri tan[a perlu memikirkan karya itu karya orang (penulis) lama atau baru."

Sementara itu, Hazami Jahari pula menegaskan bahawa idealisme bukan gagasan; bila sesuatu karya dihasilkan, maka ada sesuatu yang ingin disam,paikan misalnya untuk membaiki masyarakat, menunjukkan kecintaan dan sebagainya.

Menurutnya, idealisme tidak boleh wujud tanpa gagasan dan begitu juga sebaliknya, yang bermakna penulis, karyawan dan seniman menghasilkan karya untuk menyampaikan sesuatu yang ingin mereka sampaikan tanpa mengira itu sebagai gagasan atau idealisme.

Idealisme jelasnya, boleh dicapai tetapi tidak semaksimum yang diharapkan (100 peratus), dan idealisme dalam karya seni jangan dharapkan benar-benar terjadi dalam dunia nyata, kerana tugas penulis adalah mengalih kisah di alam nyata ke seni; kadang-kadang wajar dan sebaliknya.

Begitu juga dengan pemantun. Sudah ada idealisme dalam pantun walaupun ringkas, iaitu mengetengahkan budi bangsa Melayu dan meluahkan perasaan. Misalnya:

Pulau Pandan jauh ke tengah,
gunung daik bercabang tiga,
hancur badan dikandung tanah,
budi yang baik dikenang juga.

“Isi yang hebat dalam pantun menyebabkan pantun sebagai karya agung dan telah mengembara ke Perancis. Mereka mula menghasilkan pantun dalam bahasa Perancis sekitar 1800 hingga awal 1900. Kemudian, negara Eropah mula menghasilkan pantun dalam versi negara masing-masing.

“Kalau kita teliti. isi yang hebat dalam pantun mencerminkan Melayu itu sendiri. Ada budi dan sikap. Hebatnya gagasan dalam pantun selain meluahkan perasaan.”

Dalam sesi soal jawab, Hazami ditanya tentang kekurangajaran dalam pantun apabila menyatakan pantun berikut:

Susahnya kerja polis,
ari-ari mikul senapang,
malam tok ku parap abis,
sik kira kekasih orang.

“Kekurangajaran dari pantun Melayu? Itu tidak ada. Itulah indah seni yang penuh denganl kias, ibarat. Asalnya memang kasar tetapi kiasnya adalah kasih pada wanita itu. Pantun ini dilahirkan pada proses bermukun untuk menguji kekasih, pancingam dan sendaan. Jadi, jangan memahami pantun dalam literal sahaja.”

Penerima S.E.A. Write Award, Jong Chian Lai yang lebih merendah diri sebagai panel turut menyatakan yang dirinya tidak pernah memikirkan tentang idealisme atau gagasan ketika menulis novel, puisi ataupun cerpen.

“Saya menulis sebagai pemikir masyarakat. Saya tidak kira apa-apa yang saya tulis itu gagasan ataupun idealisme. Kalau itu baik untuk masyarakat, saya tulis.

“Kemudian, selepas karya saya dikritik, baru saya sedar ada idealisme,” katanya dan mengulangi pendiriannya pada sesi soal jawab, “Saya tidak fikirkan idealisme dalam penulisan saya. Itu hak saya. Bagi saya idealisme ialah keterbukaan. Kalau kita fikirkan benda yang sudah, ini akan mengekangkan kita dalam apa-apa sekalipun.”

Ketua II Pekasa, Mohd Taufek pula menjelaskan tentang keterbukaan yang menurutnya, seluruh struktur yang mendasari masyarakat; anak-anak tidak boleh menyampuk orang tua bercakap walaupun ada kebenarannya.

“Di sini ada keterbukaan. Sesuatu itu harus lebih sopan. Kalau dikritik sesuatu, pengkritik itu dikata silap, bermakna ada ketidakbetulan kritikan itu. Kalau pengkritik dianggap parasit, bermakna karya itu sudah memenangi orang lain (pembaca).

“Tidak ada satu perkara harus ditutup. Kini bukan zaman kata semua itu baik dan betul. Pengkritik tidak semua tahu hal teori kritikan. Keterbukaan harus jadi teras idealisme kita. Kini, golongan baru (penulis) sudah tidak lagi membicarakan hal-hal kecil.”

Setelah selesai wacana yang sekian kali diadakan, adakah ia benar-benar menepati saranan pada objektifnya. Yang paling elok, jika bercakap tentang Wacana Pemikiran Penulis Kenyalang, ia harus melibatkan lebih ramai penulis yang bukan sahaja di Kuching ataupun Samarahan, sebaliknya menjangkau penulis dari setiap bahagian di Sarawak. Jika tidak, dapat kita katakan sebagai Wacana Pemikiran Penulis Kuching.

UTUSAN SARAWAK, 18 APRIL 2009

2 comments:

Farmilla Hamdi said...

Usaha yang tidak melihat nilai dalam sesuatu yang berlaku sememangnya akan menimbulkan kekesalan nan amat, begitulah kesannya...

Toh Chee Leong's Collections said...

Mengkritik Untuk Membina
dan
Bukannya Untuk Membinasa.

Para Penulis Pelbagai Kaum perlu sabar dan berfikiran optimis ke atas segala komen dan kritikan yang dibuat oleh para pembaca.