Penglibatan wanita Melayu Sarawak dalam NGO

PADA Seminar Budaya Melayu Sarawak Ke-5 baru-baru ini, pembangunan dan perkembangan wanita Melayu Sarawak turut dibincangkan terutama melalui makalah, Memperkasakan Wanita Melayu Untuk Kemajuan Keluarga dan Pembangunan Masyarakat di Sarawak tulisan Aishah Edris.

Menurutnya, wanita Melayu turut terlibat dalam pelbagai program pembangunan wanita dan keluarga anjuran Biro Wanita Sarawak bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Kekuarga dan Masyarakat dengan kerjasama agensi-agensi negeri dan persekutuan, pertubuhan/NGO wanita dan pihak swasta.

“Di era ini, wanita Melayu turut menyumbangkan masa dan tenaga kepada aktiviti pertubuhan atau persatuan termasuk NGO.

“Melalui pembabitan dalam ini, wanita Melayu didedahkan kepada ilmu, kemahiran dan pengalaman yang amat berguna untuk pembangunan diri, keluarga dan komuniti.”

Jelasnya, galakan harus diberi kepada usaha untuk membangunkan kapasiti pemimpin yang dapat membawa persatuan mereka ke era perubahan.

Harus sentiasa memastikan bahawa program dan aktiviti yang dilaksanakan adalah relevan kepada cita rasa, aspirasi dan kehendak wanita semasa.

Di peringkat masyarakat, ujarnya, penyertaan wanita Melayu harus dipertingkatkan dalam institusi politik dan kepimpinan temparan.

Pelantikan Ketua Masyarakat atau Ketua Kaum tidak seharusnya dimonopolikan oleh golongan lelaki sahaja tetapi peluang dan ruang harus juga dibuka kepada wanita Melayu yang layak dan menepati kriteria yang ditetapkan.

“Kekurangan pemimpin wanita di akar umbi menyebabkan isu-isu berkaitan dengan wainta dan keluarga dan remaja tidak didengar dengan jelas oleh pihak berkuasa,” tambahnya.

Menjadi pemimpin di peringkat akar umbi akan menambahkan pengalaman wanita khususnya dalam bidang kepimpinan dan pembuatan keputusan.

Dengan pendedahan dan pengalaman yang ditimba, wanita Melayu akan mempunyai peluang yang cerah untuk menceburi diri dalam bidang politik dan mungkin sebagai satu permulaan bergiat diri dalam bidang politik.

“…dan mungkin sebagai satu permulaan bergiat diri di peringkat cawangan.”

Oleh itu Aishah Edris menjelaskan, iklim yang kondusif harus dipupuk dari peringkat bawahan supaya ramai wanita Melayu tampil kehadapan untuk menjadi pemimpin di peringkat komuniti dan masyarakat.

Penambahan ahli wanita Melayu dalam pertubuhan politik katanya, akan menentukan kekuatan perwakilan wanita Melayu dalam pertubuhan politik di masa akan datang.

“Maka, pemimpin wanita Melayu yang berpengalaman dalam bidang politik pada hari ini harus gigih berusaha untuk menarik lebih ramai lagi generasi wanita muda untuk menjadi ahli dalam pertubuhan politik dan membimbing mereka sebagai bakal pemimpin di masa akan datang.

“Menambahkan keahlian wanita dalam pertubuhan politik akan mewujudkan ‘critical mass’ dan ini dilihat penting terutama dalam memperjuang atau mempertengahkan isu-isu yang berkepentingan kepada wanita.” – RADIN AZHAR AHMAD

UTUSAN SARAWAK, 4 APRIL 2009

No comments: