Jatuh Ke Laut khazanah Taufik Firdausi



SECARA santai. Tanpa ada orang kenamaan, sebaliknya hanya dilancarkan oleh rakan penulis juga – Anizai Abi – Ketua I Persatuan Penulis Utara Sarawak (Putera). Ini gambaran yang dapat diceritakan apabila bersekesempatan menghadiri Majlis Pelancaran Buku Jatuh Ke Laut karya Taufik Firdausi yang merupakan Ketua II Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa).

Majlis tersebut agak biasa. Diibaratkan sebagai kenduri di kampung-kampung. Tetamu yang hadir duduk bersila di lantai. Tidak ada kerusi khas disediakan kepada tetamu. Untuk menimbulkan kelainan berbanding pelancaran mana-mana buku sebelum ini.

Wartawan Radin Azhar Ahmad sempat menemui Taufik Firdaus bagi mendapatkan pandangan beliau tentang buku Jatuh Ke Laut.

UTUSAN SARAWAK: Tahniah saudara atas pelancaran buku Jatuh Ke Laut. Apa komen saudara tentang pelancaran buku ini?

TAUFIK: Hari ini merupakan sesuatu yang amat bermakna dalam hidup saya kerana sepanjang pengabdian saya dalam bidang karyawan ini, saya hanya mampu menghasilkan satu antologi puisi persendirian setelah menjangjau usia 47 tahun.

Saudara mempunyai antologi lain?

Walaupun saya telah menulis sekian lama dan terlibat dalam kumpulan antologi lain bersama-sama penulis lain, buku yang saya tulis ini, Jatuh Ke Laut lahir dalam keadaan yang serba sibuk dan suasana sempit.

Tiada masa untuk menulis?

Ini kerana saya selalu tercari-cari masa untuk menghimpun kembali sekian banyak karya saya dan memperbaharui sebahagian karya yang lain. Mungkin bagi kebanyakan orang yang tidak menghargai buku, karya sastera dan bahasa, sajak tidak punya makna apa-apa. Ia sekadar catatan peribadi yang tergetus dari golongan idealis yang sarat dengan persoalan dan perasaan yang bingung.

Apakah kesan tanggapan sedemikian?

Tanggapan yang sedemikian salah yang menjadikan kita dan bangsa kita tidak menghargai ilmu dan kehidupan yang seimbang dan makruf. Yang melihat dunia dan permasalahan manusia ini secara sekadar simplistik yang akhirnya menjerumus manusia ke lembah kosong dan tiada hala.

Apakah makna puisi bagi saudara?

Puisi memaknakan kehidupan, mengajak kita menghargai perasaan dan hati nurani orang lain agar kita menjadi insan kamil yang saling menjernihkan perasaan dan perasaan, mengajar kita untuk kurang melihat kebesaran diri, menjadikan kita lebih tawaduk dab seikhlas mungkin mengingini kehidupan yang murni, yang keras hatinya untuk terus berjuang membela kemanusiaan dan prihatin akan segala yang ada di sekitar kerana kini milik Tuhan.

Anda gelisah ketika menulis?

Sebagai penulis, saya sentiasa gelisah dan khuatir melihat segala kemungkinan yang ada di sekeliling kita ini kerana realitinya, kerakusan dan cabaran yang bakal terhidang di hadapan kita boleh memudartkan generasi muda kita yang rata-ratanya tidak punya kekuatan emosi untuk menghadangnya.

Jatuh Ke Laut menimbulkan persoalan ini kerana saya seikhlas hati nurani saya, amat sayangkan bangsa saya. Suara hati insan kecil ini mahu anak bangsa saya gemilang dan luar biasa pencapaiannya dalam menerjak ombak kehidupan untuk membina tamadun dan kemuliaan negara agar kita menjadi wasatul ummah yang disegani dan terpuji. Mindanya subur dengan keilmuan, halus dengan keahliannya dalam segala bidang dan bijak mengatur langkah. Pandangan saya tentang proses kemajuan dan pembangunan adalah konsisten dalam karya saya dan ini akan terus menjadi gagasan saya dalam setiap karya puisi saya.

Puisi elemen pengajaran saudara?

Saya tidak ingin menjadi guru atau mengajar sesiapa dan kerana itu kreativiti merupakan saluran terbaik saya untuk bercerita. Saya tidak mahu kita rugi dalam menterjemahkan gerak dan rasa kita dalam melalui rutin harian kita dengan hal-hal yang biasa, yang sifatnya hanya turun kerja, balik kerja.

Sebagai insan berfikir, wajar kita punya menyumbang sesuatu untuk kemanusiaan, untuk kehidupan yang lebih bererti, meninggalkan khazanah sama ada dalam bentuk bakti, buah fikiran dan perasaan yang tulus.

Impian anda dipapar dalam buku ini?

Inilah Jatuh Ke Laut, yang ada unsur lelucon penuh kelucuan dan sindiran sinis, amat menyayangi bahasa dari lidah ibundanya, menyayangi anak-anak yang membesar dengan segala keberhasilan didikan yang baik dan berbudi bahasa malahan kesedaran untuk mencipta bangsa karyawan yang boleh mencipta apa-apa sahaja untuk kebanggaan negara. Inilah impian saya yang tersalut dalam puisi sederhana Jatuh Ke Laut yang ditulis dalam bahasa yang amat mudah, tanpa terlalu banyak kata kunci dan gaya semantik.

Sejak bila saudara didedahkan dengan seni?

Saya telah dideahkan dengan karya seni yang baik oleh ayah saya, dengan pemahaman hal-hal budaya yang jelas dan padu diadun dengan rasa sedar untuk selalu dekat kepada hal-hal ritual, adapt dan agama.

Ayah selalu ingatkan saya selalu jadi anak yang rajin, menyintai ilmu walaupun kita tidak punya harta dan kekayaan lain. Saya percaya kepada pesan ini, ‘jika hati kita bersih dan kalimat yang kita lafaz dari lidah yang berlapis, hati kecil kita sentiasa suci dan murni’.

Jatuh Ke Laut khazanah saudara untuk bangsa?

Saya kira telah meninggalkan beberapa khazanah karya untuk bangsa saya, untuk masyarakat saya agar mereka menjadi insan yang baik, yang tahu menyintai dan menghargai pemikiran yang baik.

Jatuh Ke Laut, Seikhlas Rasa dan Caturangga dan beberapa buku lain yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tetap membicarakan hal yang sama, yang ideal, yang rasanya selalu orang bilang, tak mampu dipraktis oleh manusia yang sentiasa silap dan banyak dosa.

UTUSAN SARAWAK, 11 APRIL 2009

1 comment:

Farmilla Hamdi said...

Haji Taufek sememnangnya dari dolok penulis yang kaya dengan sinisme, bukan sahaj sajaknya tetapi juga cerpennya..