Peradaban Melayu Sarawak

“DALAM masyarakat Melayu Sarawak, mereka merupakan sebahagian daripada rumpun Peradaban Melayu di Nusantara.” kata Suffian Mansor membentangkankan makalah berjudul Mutiara Di Tengah Samudera: Peradaban Melayu Sarawak Dalam Konteks Nusantara pada Seminar Budaya Melayu Sarawak baru-baru ini.

Mengulas lanjut judul itu katanya, terdapat beberapa pengaruh penting dalam memantapkan dan membangunkan peradaban Melayu di Sarawak.

Pertamanya ialah pengaruh daripada kegemilangan Empayar Majapahit yang membawa kepada penaklukan Borneo. Dalam karya Prapanca iaitu Negara Kertagama menyebutkan terdapat tiga nama di Borneo di bawah empayar Majapahit dianggap menyamai nama yang hampir serupa dengan nama-nama tempat di Sarawak pada hari ini.

Tempat-tempat ini ialah Sawaku, Melano dan Kalka menunjukkan bahawa telah ada permulaan peradaban manusia di SarawaK. Kemunculan penempatan ini sejajar dengan pertumbuhan politik-politik awal di alam Melayu seperti Lembah Bujang di Kedah (abad ke-4), Kuala Selinsing di Perak (abad ke-5), Kan-t'o-li di Sumatera (abad ke-5), Jambi/Melayu (abad ke-6/7), Srivijaya (abad ke-7), Surabaya dan Tuban di Jawa Timur (abad ke-11), Melaka (abad ke-15) dan Acheh (abad ke-17).

“Walaupun tidak banyak lagi diperkatakan tentang nama-nama tempat yang terdapat di Sarawak ini, namun pengaruh besar daripada Empayar Majapahit membantu melahirkan komuniti masyarakat yang mengorak langkah ke arah kemajuan.

“Kerajaan Majapahit merupakan kerajaan yang agung dan mempunyai peradaban yang tinggi. Dengan adanya pengaruh ini, maka ia secara tidak langsung menyemai peradaban dijajahannya di Sarawak,” katanya.

Jelas Suffian, walaupun tidak banyak diketahui tentang penempatan yang disebut itu, namun dalam cerita-cerita sastera masyarakat Melayu Sarawak menyatakan bahawa penempatan awal orang Melayu adalah di Kuala (Muara) Tebas, Santubong dan kadang-kala disebut di Tanjung Sipang.

Kehadiran beberapa pemimpin awal Melayu seperti Abang Adi dan Abang Kuli mempunyai kekuasaan ke atas penduduk tempatan di kawasan Sungai Sarawak.

Selepas itu, kedatangan Datu Merpati Jepang menunjukkan adanya pengaruh luar dari seberang (Jawa atau Sumatera) membantu membangunkan Peradaban Melayu di Sarawak.

“Walaupun sukar dipercayai tentang kebenaran dalam cerita-cerita sastera ini tetapi bukti-bukti arkeologi membuktikan bahawa terdapat penempatan dan pelabuhan di Santubong.

“Misalnya, dengan adanya jumpaan wang syiling China yang bertarikh 600 tahun sebelum Masihi dan 112 tahun sebelum Masihi di Santubong membuktikan adanya penempatan di Santubong.

“Manakala jumpaan serpihan tembikar China yang bertarikh 588 sebelum Masihi menunjukkan penempatan di Santubong itu berkekalan dari abad sebelum Masihi sehingga abad ke-6 Masihi.”

Bukti-bukti itu katanya, menunjukkan bahawa penempatan orang Melayu di Santubong telah berkembang sebagai salah satu pusat perdagangan di Kepulauan Melayu.

Santubong bukan sahaja sebagai pusat perdagangan tetapi juga sebagai kawasan penanaman padi huma dan perikanan.

Dari situ munculnya hubungan dua hala antara orang Melayu dan Dayak yang berdagang antara satu sama lain. Di sini, orang Melayu memperdagangkan hasil perikanan mereka dengan orang Dayak yang membawa hasil kebun seperti pisang, tebu dan ubi keladi.

Kepesatan perdagangan ini dikembangkan lagi dengan adanya pedagang China dengan penduduk Melayu di Santubong.

Sumber dari kesusasteraan Melayu menunjukkan bahawa orang Melayu telah mempunyai kerajaan di Santubong – banyak menguasai bahagian pedalaman bahagian Kuching.

“Sistem cukai juga telah diperkenalkan. Manakala hubungan antara kerajaan Brunei juga dijalinkan. Sementara itu catatan daripada Gonsavo Pereira yang melawat Brunei pada 1530 menjelaskan lagi tentang kepesatan perdagangan di Sarawak yang beliau rujukkan sebagai Cerava.

“Manakala pengaruh daripada Kerajaan Brunei pula membawa kepada pemantapan Peradaban Melayu di Sarawak. Peranan orang Melayu dikembangkan bagi mentadbir wilayah-wilayah di Empayar Brunei.

“Di Sungai Sarawak misalnya, terdapat tiga ketua orang Melayu yang mempunyai kuasa untuk memerintah Sarawak, iaitu Datu Patinggi, Datu Bandar dan Datu Temenggung. Tugas mereka ialah menjaga kebajikan penduduk dan mengutip cukai.”

UTUSAN SARAWAK, 25 APRIL 2009

Jangan utamakan idealisme, gagasan ketika menulis


PERBINCANGAN atau pertukaran idea secara bersemuka akan dapat membentuk kesatuan fikiran yang utuh, sama ada dalam bentuk lisan atau melalui tulisan sangat memerlukan dunia subur kritikan sastera yang dibajai oleh pengetahuan tentang teori dan wacana sastera yang mendalam dan pembaca karya sastera yang banyak.

Justeru, Wacana Pemikiran Penulis Kanyalang dengan tema Idealisme dan Keterbukaan dalam Memaknakan Gagasan anjuran Unit Pembangunan Karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa) baru-baru ini dilihat sebagai wahana untuk para ilmuan, karyawan dan budayawan berbincang.

Di samping itu, membuat analisis terhadap isu-isu yang dipilih untuk diwacanakan secara objektif dan kolektif.

Empat panel dijemput iaitu Saiee Driss, Hazami Jahari, Jong Chian Lai dan Haji Mohd. Taufek Mohd. Saed, sementara Abg. Patdeli Abg. Muhi bertindak sebagai Moderator. Seperti dijangka, kehadiran tetamu – kalangan karyawan dan penulis kurang memberangsangkan biarkan diadakan di hotel dan dihidangkan pula dengan makan tengahari yang cukup menyelerakan.

Jika dilihat sekitar tetamu yang hadir, tidak ramai di kalangan penulis atau karyawan lain. Kalau tidak kerana hadirnya staf DBP Cawangan Sarawak dan ahli Pekasa yang cuma segelintir, pasti masih banyak kerusi dilihat kosong.

Sekiranya juru gambar ingin mengambil gambar kehadiran tetamu, pasti berasa sukar kerana terpaksa mencari sudut yang betul-betul menampakkan ramainya tetamu. Ini sudah cukup menggambarkan jumlah tetamu, tanpa perlu untuk mengetengahkan jumlah sebenar tetamu, yang rata-rata dari bandar raya Kuching – tidak dari keseluruhan Sarawak.

Rata-rata tetamu berbelah bahagi sama ada wacana tersebut menepati objektif ataupun sebaliknya. Ada yang mengatakan masih jauh lagi pencapaian objektif. Malah, ada yang mengatakan langsung tidak menepati tiga objektif yang diketengahkan iaitu:

i.Sebagai wadah untuk pihak DBP, persatuan penulis dan penggiat sastera bertukar idea dan pengalaman secara lisan dalam usaha untuk memartabatkan kesusasteraan kebangsaan negeri Sarawak;
ii.Menggalakkan pemikiran kritis dan kreatif berhubung bahasa, sastera dan budaya; dan,
iii.Mencari idea dan kaedah terbaik untuk melahirkan penulis-penulis yang mampu menjadi ikon dan tokoh harapan negeri ini.

Wacana dimulakan dengan Moderator (Abg. Patdeli) bertanyakan beberapa soalan kepada Saiee Driss. Dalam jawapannya, Saiee menegaskan, penulis memang ada mengemukakan idealisme, cuma ada yang tidak cukup masak disebabkan mungkin tidak mempunyai masa menapis adakah ia sesuai dengan konteks masa.

“Kini, sudah ada penulis yang mengemukakan ketinggian pemikiran karya yang mungkin disebabkan oleh kematangan usia dan pendidikan. Penulis ini mengetengahkan ideaisme pembangunan masyarakat Melayu Sarawak yang praktikal.

“Dalam puisi, seperti juga puisi saya sendiri, perasaan dan emosi yang meluap-luap memang ada, cuma idealismenya tidak ada iaitu pemikiran yang hendak kita capai untuk semua masyarakat,” katanya.

Penulis jelasnya, harus berfikir untuk masyarakat yang mungkin tidak mempunyai masa untuk memikirkan banyak hal. Misalnya, fesyen dan lagu ini diilhamkan oleh mereka yang kreatif dan masyarakat yang menggunakannya.

“Saya rasa idealisme banyak disarankan oleh penulis, cuma mungkin masyarakat tidak membaca. Sejak 17 tahun lepas berasaskan puisi yang menang Anugerah Penghargaan Penulis, penulis banyak memikirkan kebajikan masyarakat.

“Cuma sempat atau tidak mereka (masyarakat) tidak membaca. Maka, saranan, idea dan gagasan yang diketengahkan teraupung begitu sahaja,” katanya dan menambah, penulis tidak semuanya sempurna dan jangan terlalu memikirkan idealisme ketika hendak menulis.

Sementara mengulas kata Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Jiso Rutan berhubung penulis perlu akur dengan penerbit, Saiee sekali lagi menegaskan, setiap penerbit ada agenda, jadual dan bajet sendiri jika mahu menerbitkan buku.

“Kita perlu akur kepada penerbit.. Mereka melihat sama ada dapat balik ataupun tidak modal yang digunakan. Itu perlu kita patuhi. Pun demikian, setiap orang berhak mengurus karya sendiri tan[a perlu memikirkan karya itu karya orang (penulis) lama atau baru."

Sementara itu, Hazami Jahari pula menegaskan bahawa idealisme bukan gagasan; bila sesuatu karya dihasilkan, maka ada sesuatu yang ingin disam,paikan misalnya untuk membaiki masyarakat, menunjukkan kecintaan dan sebagainya.

Menurutnya, idealisme tidak boleh wujud tanpa gagasan dan begitu juga sebaliknya, yang bermakna penulis, karyawan dan seniman menghasilkan karya untuk menyampaikan sesuatu yang ingin mereka sampaikan tanpa mengira itu sebagai gagasan atau idealisme.

Idealisme jelasnya, boleh dicapai tetapi tidak semaksimum yang diharapkan (100 peratus), dan idealisme dalam karya seni jangan dharapkan benar-benar terjadi dalam dunia nyata, kerana tugas penulis adalah mengalih kisah di alam nyata ke seni; kadang-kadang wajar dan sebaliknya.

Begitu juga dengan pemantun. Sudah ada idealisme dalam pantun walaupun ringkas, iaitu mengetengahkan budi bangsa Melayu dan meluahkan perasaan. Misalnya:

Pulau Pandan jauh ke tengah,
gunung daik bercabang tiga,
hancur badan dikandung tanah,
budi yang baik dikenang juga.

“Isi yang hebat dalam pantun menyebabkan pantun sebagai karya agung dan telah mengembara ke Perancis. Mereka mula menghasilkan pantun dalam bahasa Perancis sekitar 1800 hingga awal 1900. Kemudian, negara Eropah mula menghasilkan pantun dalam versi negara masing-masing.

“Kalau kita teliti. isi yang hebat dalam pantun mencerminkan Melayu itu sendiri. Ada budi dan sikap. Hebatnya gagasan dalam pantun selain meluahkan perasaan.”

Dalam sesi soal jawab, Hazami ditanya tentang kekurangajaran dalam pantun apabila menyatakan pantun berikut:

Susahnya kerja polis,
ari-ari mikul senapang,
malam tok ku parap abis,
sik kira kekasih orang.

“Kekurangajaran dari pantun Melayu? Itu tidak ada. Itulah indah seni yang penuh denganl kias, ibarat. Asalnya memang kasar tetapi kiasnya adalah kasih pada wanita itu. Pantun ini dilahirkan pada proses bermukun untuk menguji kekasih, pancingam dan sendaan. Jadi, jangan memahami pantun dalam literal sahaja.”

Penerima S.E.A. Write Award, Jong Chian Lai yang lebih merendah diri sebagai panel turut menyatakan yang dirinya tidak pernah memikirkan tentang idealisme atau gagasan ketika menulis novel, puisi ataupun cerpen.

“Saya menulis sebagai pemikir masyarakat. Saya tidak kira apa-apa yang saya tulis itu gagasan ataupun idealisme. Kalau itu baik untuk masyarakat, saya tulis.

“Kemudian, selepas karya saya dikritik, baru saya sedar ada idealisme,” katanya dan mengulangi pendiriannya pada sesi soal jawab, “Saya tidak fikirkan idealisme dalam penulisan saya. Itu hak saya. Bagi saya idealisme ialah keterbukaan. Kalau kita fikirkan benda yang sudah, ini akan mengekangkan kita dalam apa-apa sekalipun.”

Ketua II Pekasa, Mohd Taufek pula menjelaskan tentang keterbukaan yang menurutnya, seluruh struktur yang mendasari masyarakat; anak-anak tidak boleh menyampuk orang tua bercakap walaupun ada kebenarannya.

“Di sini ada keterbukaan. Sesuatu itu harus lebih sopan. Kalau dikritik sesuatu, pengkritik itu dikata silap, bermakna ada ketidakbetulan kritikan itu. Kalau pengkritik dianggap parasit, bermakna karya itu sudah memenangi orang lain (pembaca).

“Tidak ada satu perkara harus ditutup. Kini bukan zaman kata semua itu baik dan betul. Pengkritik tidak semua tahu hal teori kritikan. Keterbukaan harus jadi teras idealisme kita. Kini, golongan baru (penulis) sudah tidak lagi membicarakan hal-hal kecil.”

Setelah selesai wacana yang sekian kali diadakan, adakah ia benar-benar menepati saranan pada objektifnya. Yang paling elok, jika bercakap tentang Wacana Pemikiran Penulis Kenyalang, ia harus melibatkan lebih ramai penulis yang bukan sahaja di Kuching ataupun Samarahan, sebaliknya menjangkau penulis dari setiap bahagian di Sarawak. Jika tidak, dapat kita katakan sebagai Wacana Pemikiran Penulis Kuching.

UTUSAN SARAWAK, 18 APRIL 2009

Jatuh Ke Laut khazanah Taufik Firdausi



SECARA santai. Tanpa ada orang kenamaan, sebaliknya hanya dilancarkan oleh rakan penulis juga – Anizai Abi – Ketua I Persatuan Penulis Utara Sarawak (Putera). Ini gambaran yang dapat diceritakan apabila bersekesempatan menghadiri Majlis Pelancaran Buku Jatuh Ke Laut karya Taufik Firdausi yang merupakan Ketua II Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa).

Majlis tersebut agak biasa. Diibaratkan sebagai kenduri di kampung-kampung. Tetamu yang hadir duduk bersila di lantai. Tidak ada kerusi khas disediakan kepada tetamu. Untuk menimbulkan kelainan berbanding pelancaran mana-mana buku sebelum ini.

Wartawan Radin Azhar Ahmad sempat menemui Taufik Firdaus bagi mendapatkan pandangan beliau tentang buku Jatuh Ke Laut.

UTUSAN SARAWAK: Tahniah saudara atas pelancaran buku Jatuh Ke Laut. Apa komen saudara tentang pelancaran buku ini?

TAUFIK: Hari ini merupakan sesuatu yang amat bermakna dalam hidup saya kerana sepanjang pengabdian saya dalam bidang karyawan ini, saya hanya mampu menghasilkan satu antologi puisi persendirian setelah menjangjau usia 47 tahun.

Saudara mempunyai antologi lain?

Walaupun saya telah menulis sekian lama dan terlibat dalam kumpulan antologi lain bersama-sama penulis lain, buku yang saya tulis ini, Jatuh Ke Laut lahir dalam keadaan yang serba sibuk dan suasana sempit.

Tiada masa untuk menulis?

Ini kerana saya selalu tercari-cari masa untuk menghimpun kembali sekian banyak karya saya dan memperbaharui sebahagian karya yang lain. Mungkin bagi kebanyakan orang yang tidak menghargai buku, karya sastera dan bahasa, sajak tidak punya makna apa-apa. Ia sekadar catatan peribadi yang tergetus dari golongan idealis yang sarat dengan persoalan dan perasaan yang bingung.

Apakah kesan tanggapan sedemikian?

Tanggapan yang sedemikian salah yang menjadikan kita dan bangsa kita tidak menghargai ilmu dan kehidupan yang seimbang dan makruf. Yang melihat dunia dan permasalahan manusia ini secara sekadar simplistik yang akhirnya menjerumus manusia ke lembah kosong dan tiada hala.

Apakah makna puisi bagi saudara?

Puisi memaknakan kehidupan, mengajak kita menghargai perasaan dan hati nurani orang lain agar kita menjadi insan kamil yang saling menjernihkan perasaan dan perasaan, mengajar kita untuk kurang melihat kebesaran diri, menjadikan kita lebih tawaduk dab seikhlas mungkin mengingini kehidupan yang murni, yang keras hatinya untuk terus berjuang membela kemanusiaan dan prihatin akan segala yang ada di sekitar kerana kini milik Tuhan.

Anda gelisah ketika menulis?

Sebagai penulis, saya sentiasa gelisah dan khuatir melihat segala kemungkinan yang ada di sekeliling kita ini kerana realitinya, kerakusan dan cabaran yang bakal terhidang di hadapan kita boleh memudartkan generasi muda kita yang rata-ratanya tidak punya kekuatan emosi untuk menghadangnya.

Jatuh Ke Laut menimbulkan persoalan ini kerana saya seikhlas hati nurani saya, amat sayangkan bangsa saya. Suara hati insan kecil ini mahu anak bangsa saya gemilang dan luar biasa pencapaiannya dalam menerjak ombak kehidupan untuk membina tamadun dan kemuliaan negara agar kita menjadi wasatul ummah yang disegani dan terpuji. Mindanya subur dengan keilmuan, halus dengan keahliannya dalam segala bidang dan bijak mengatur langkah. Pandangan saya tentang proses kemajuan dan pembangunan adalah konsisten dalam karya saya dan ini akan terus menjadi gagasan saya dalam setiap karya puisi saya.

Puisi elemen pengajaran saudara?

Saya tidak ingin menjadi guru atau mengajar sesiapa dan kerana itu kreativiti merupakan saluran terbaik saya untuk bercerita. Saya tidak mahu kita rugi dalam menterjemahkan gerak dan rasa kita dalam melalui rutin harian kita dengan hal-hal yang biasa, yang sifatnya hanya turun kerja, balik kerja.

Sebagai insan berfikir, wajar kita punya menyumbang sesuatu untuk kemanusiaan, untuk kehidupan yang lebih bererti, meninggalkan khazanah sama ada dalam bentuk bakti, buah fikiran dan perasaan yang tulus.

Impian anda dipapar dalam buku ini?

Inilah Jatuh Ke Laut, yang ada unsur lelucon penuh kelucuan dan sindiran sinis, amat menyayangi bahasa dari lidah ibundanya, menyayangi anak-anak yang membesar dengan segala keberhasilan didikan yang baik dan berbudi bahasa malahan kesedaran untuk mencipta bangsa karyawan yang boleh mencipta apa-apa sahaja untuk kebanggaan negara. Inilah impian saya yang tersalut dalam puisi sederhana Jatuh Ke Laut yang ditulis dalam bahasa yang amat mudah, tanpa terlalu banyak kata kunci dan gaya semantik.

Sejak bila saudara didedahkan dengan seni?

Saya telah dideahkan dengan karya seni yang baik oleh ayah saya, dengan pemahaman hal-hal budaya yang jelas dan padu diadun dengan rasa sedar untuk selalu dekat kepada hal-hal ritual, adapt dan agama.

Ayah selalu ingatkan saya selalu jadi anak yang rajin, menyintai ilmu walaupun kita tidak punya harta dan kekayaan lain. Saya percaya kepada pesan ini, ‘jika hati kita bersih dan kalimat yang kita lafaz dari lidah yang berlapis, hati kecil kita sentiasa suci dan murni’.

Jatuh Ke Laut khazanah saudara untuk bangsa?

Saya kira telah meninggalkan beberapa khazanah karya untuk bangsa saya, untuk masyarakat saya agar mereka menjadi insan yang baik, yang tahu menyintai dan menghargai pemikiran yang baik.

Jatuh Ke Laut, Seikhlas Rasa dan Caturangga dan beberapa buku lain yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tetap membicarakan hal yang sama, yang ideal, yang rasanya selalu orang bilang, tak mampu dipraktis oleh manusia yang sentiasa silap dan banyak dosa.

UTUSAN SARAWAK, 11 APRIL 2009

Bicara buku ahli Pekasa


DARI kiri Jais Sahok, Dr. Idris Boi, Mohd Faizal Jamil dan Datuk Salbiah Painah pada Majlis Bicara Buku anjuran Pekasa dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abang Haji Openg.

SEBANYAK lima judul buku yang dihasilkan oleh ahli Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa) dibincangkan pada Majlis Bicara Buku dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abang Haji Openg baru-baru ini.

Lima buku tersebut ialah Menyusur Jalan Kenangan yang dihasilkan oleh Datuk Salbiah Painah, Bujang Senang Legenda Sebuah Cinta oleh Dr. Idris Boi, dan Tirani oleh Hajah Bibi Sabariah.

Dua lagi buku ialah Pokok Besar di Hadapan Rumahku oleh Jais Sahok dan Anak Ruma Kadang oleh Mohd Faizal Jamil.

Antara lain tujuan penganjuran Bicara Buku itu ialah untuk berkongsi pengalaman penulisan novel bersama-sama pelajar. Seterusnya, satu usaha melaksanakan aktiviti Pekasa Masuk Sekolah.

Pada masa yang sama, untuk mengetengahkan buku-buku yang dihasilkan oleh ahli Pekasa sama ada diterbitkan oleh Pekasa, Dewan Bahasa dan Pustaka ataupun penerbitan luar.

UTUSAN SARAWAK, 11 APRIL 2009

DIARI SASTERA

BICARA BUKU DI SMK TAHO

PERSATUAN Karyawan Sarawak (Pekasa) dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abang Haji Openg akan mengadakan Majlis Bicara Buku di sekolah berkenaan pada 4 April 2009 (Sabtu) mulai jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari.

Buku yang dibincangkan adalah karya Datuk Hajah Salbiah Painah, Jais Saho, Idris Boi dan Faizal Jamil. Semua dijemput hadir.

PELANCARAN BUKU JATUH KE LAUT

Buku karya Taufik Firdausi akan dilancarkan pada 4 April 2009 (Sabtu) jam 2.30 petang oleh kerabat Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) di Tingkat Atas Prima Pesona, Lot 23, Pusat Komersial Lee Lkng, Batu 4, Jalan Matang, Kuching.

WACANA PEMIKIRAN PENULIS KENYALANG

UNIT Pembangunan Karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa) akan mengadakan Wacana Pemikiran Penulis Kenyalang pada 14 April 2009 (Selasa), jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari di Hotel Dormani, Kuching.

Wacana kali ini bertemakan "idealisme dan Keterbukaan dalam Gagasan" dan panel wacana ialah Haji Mohd. Taufek, Jong Chian Lai, Hazami Jahari dan Saiee Driss.

JUALAN MURAH BUKU DAWAMA

Syarikat Buku Dawama Sdn Bhd sedang mengadakan Jualan Murah buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), bertempat di Kedai Buku Dawama di Bangunan DBP.

Diskuan sehingga 80 peratus dan harga buku serendah RM0.50. Jualan Murah ini bermula 27 Mac lalu hingga 11 April, mulai jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Ditutup pada hari Ahad.

Kehalusan santun, jati diri Melayu Sarawak

KETINGGIAN akal budi dan kehalusan santun diukur melalui pertuturan dan perilaku yang diserlahkan oleh sesebua masyarakat.

Kebijaksanaan masyarakat pula diwarnai dengan ketajaman pemikiran dalam melatari nilai dan budaya yang diwarisi.

Daripada analisis didapati bahawa unsur kesantunan menonjolkan keperibadian dan jati diri orang Melayu Sarawak, kata Hamidah Abdul Wahab, Wan Robiah Meor Osman dan Rosnah Mutafa dalam kertas kerja Kesantunan Dalam Budaya Melayu Sarawak.

“Masyarakat ini memperlihatkan kehalusan bicara serta tingkah laku dalam kelangsungan interaksi sosial yang menunjukkan keharmonian dan keutuhan pegangan warisan.

“Di samping menyerlahkan ketinggian akal budi, kehalusan santun serta ketajaman pemikiran dalam komunikasi sosial harian yang jelas memperlihatkan ketinggian peradaban bangsa,” kata mereka.

Masyarakat Melayu Sarawak jelas mereka kaya dengan adat-istiadat yang ditenun dengan unsur-unsur kesopanan dan kesantunan.

Dapat ditelah dalam pelbagai aspek kehidupan termasuklah menerusi perlakuan dan penggunaan bahasa seperti kata ganti nama diri, kata sapaan dan rujukan hormat selain pantun, kiasan dan budaya rakyat seperti lagu dan cerita.

Penekanan unsur kesantunan dalam kehidupan amat penting agar terlahir insane yang berpekerti mulia, tahu adatbudaya, berakhlak dan mempunyai keperibadian Melayu.

“Seperti juga kaum lain, orang Melayu Sarawak sememangnya memiliki adapt resam yang membentuk perlakuan dalam norma sosial.

“Sejak dari kanak-kanak, masyaraka=t ini terdidik dengan amalan kesantunan berbahasa, dari segi verbal.

“Dalam konteks ini, manifestasi kesantunan terserlah menerusi pertuturan seharian dan perlakuan yang dianggap sebagai peraturan bersama yang dikongsi oleh setiap ahli masyarakat.”

Kesantunan kata mereka merupakan elemen yang mencorak hubungan sesama individu yang terlibat dalam sesuatu proses komunikasi.

Daripada penelitian yang dijalankan terhadap data dan pemerhatian, didapati bahawa unsur kesantunan terserlah melalui beberapa medium, termasuklah menerusi kata ganti nama diri, kata panggilan atau kata sapaan, penggunaan bahas ahalus atau eufemisme, serta cara masyarakat berperi laku.

Berdasarkan temu bual bersama informan yang terlibat, didapati terdapat dua bentuk penggunaan kata ganti nama diri tunggal dalam dialek Melayu Sarawak.

“Dalam konteks mesra atau sopan, masyarakat cenderung menggunakan kata ‘kamek’ untuk merujuk diri sendiri, iaitu menyamai penggunaan ‘saya’ dalam bahasa Melayu standard.

“Kata ganti ini digunakan apabila berkomunikasi dengan individu yang lebih muda, sebaya, atau lebih berusia daripada penutur, dalam situasi berbahasa sehari-hari.”

Namun penggunaan bentuk yang kedua iaitu ‘aku’ dilihat sebagai bentuk yang agak kasar dalam konteks ibu bapa generasi kedua dengan anak-anak mereka.

Manakala dalam komunikasi antara generasi pertama dan kedua, penggunaan ‘aku’ dianggap mesra dan tidak kasar.

Menurut informan, kata ‘aku’ biasa digunakan semasa berkomunikasi dengan kawan-kawan rapat dan saudara terdekat seperti abang, kakak atau adik, namun penggunaan tersebut tidak diizinkan kepada anak-anaknya kerana dianggap kasar.

Dalam masyarakat Melayu Sarawak, penggunaan unsur santun misalnya dapat dilihat melalui ungkapan “mupok lok” yang bermaksud seseorang meminta diri untuk beredar dari tempat tersebut.

“Selain itu, terdapat juga konsep meminta maaf sebelum bertanyakan sesuatu atau memulakan bicara, misalnya “Mintak map dengan kitak, kamek tok nak nanyak…”.

Konsep ini tidak merujuk permohonan maaf yang sebenarnya, yang dibuat atas dasar memohon kemafaan daripada seseorang kerana melakukan kesalahan, tetapi lebih terdorong kerana rasa hormat dan rendah diri.

Eufemisme bagi menyamarkan kata-kata kasar pula dapat dilihat melalui kata-kata ‘simpan’ yang merujuk kepada kematian.

Penggunaan ini biasanya merujuk kematian bayi atau kanak-kanak yang masih kecil.

Bagi individu dewasa yang meninggal dunia pula, masyarakat memanggilnya dengan panggilan ‘orang ninggal’, misalnya ‘urang ninggal Ali’.

Dalam hal ini, kata urang ninggal itu menyamai kata Allahyarham atau Allahyarhamah. Kata ini digunakan untuk orang Islam sahaja.

UTUSAN SARAWAK, 4 APRIL 2009

Pendefinisian semula jati diri Melayu Sarawak

SAIEE Driss melalui makalah Pendefinisian Semula Jati Diri Melayu Sarawak Dalam Pembinaan Bangsa Malaysia ada mengatakan, “Mungkin ada yang sudah putus asa untuk mengupas soal jati diri dan ciri-ciri Melayu, tetapi mereka tidak boleh bosan untuk memikirkan jawapan kepada soalan-soalan yang dikemukakan.”

Menurutnya, masalah jati diri walaupun bukan sesuatu yang mudah dan lumrah dibincangkan secara terbuka, tetapi sama sekali tidak boleh didiamkan dan diketepikan dengan harapan ia boleh lenyap begitu sahaja.

“Kalau soalan itu lenyap, istilah Melayu Sarawak tidak lagi perlu wujud dan orang Melayu Sarawak akan mengaku mereka sebagai bangsa Malaysia,” katanya membentangkan kertas kerja.

Berkata demikian pada Seminar Budaya Melayu Sarawak Ke-5, Saiee menjelaskan, perlu ditinjau semula jati diri Melayu Sarawak dalam pembinaan bangsa Malaysia pada peringkat ini kerana cukup banyak perubahan demografi, sosioekonomi dan sosiopolitik telah berlaku.

“Suasana baru mengubah kedudukan elemen-elemen kaum dan ras di negara ini sehingga menuntut penentuan dan pendefinisian semula agar dapat dipastikan batas dan hak masing-masing demi mengelakkan kecelaruan tentang hak dan batas kuasa.”

Jati diri kata Saiee ialah asli, murni, tulen dan tidak bercampur – membawa maksud identiti yang memisahkan suatu peribadi dengan peribadi yang lain.

Katanya, jati diri merujuk kepada ciri-ciri sejati yang dimiliki oleh seseorang bukan sahaja yang terlibat secara lahiriah, termasuk nilai-nilai yang menjadi pegangannya.

“Dalam konteks jati diri dan ciri-ciri Melayu Sarawak wajar sekali ditakrifkan semula dalam konteks usaha pembinaan sebuah bangsa Malaysia yang akan menghuni negara ini pada masa depan.

“Apakah jati diri Melayu Sarawak kini kukuh dan mantap untuk peranan pentingnya iaitu menjadi perekat utama dalam pembinaan bangsa itu?”

Saiee turut mengatakan bahawa, mungkin wajar bagi memulakan proses mencari jawapan kepada sebarang kekusutan dan kecelaruan dalam menetapkan jati diri Melayu dalam konteks pembangunan bangsa Malaysia.

Ke arah itu, Daru Dr. Haji Adi Badiozaman Tuah dalam menggubalkan tata kerja untuk Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak yang diterajuinya menegaskan enam rukun kelangsungan ummah iaitu:

i. Kesehalaan Tuju
ii. Keserasian Rasa
iii. Keharmonian Suara
iv. Kesepakatan Aspirasi
v. Kesatuan Agenda
vi. Kesepaduan Tindakan

“Baginya, untuk memulihkan kesegaran dalam jati diri Melayu/Islam Sarawak dalam konteks semasa orang Melayu sendiri harus menggembleng tenaga mencari satu tujuan.

“Dengan itu mereka menserasikan perasaan dan dan citra supaya dilihat sebagai tenaga atau kekuatan.

“Dalam berhadapan dengan situasi dan cabaran yang datang mereka harus sanggup mengharmonikan suara dan tuntutan dengan mengutamakan hak ramai daripada hak perseorangan.

“Sebarang perselisihan di kalangan golongan yang memang sudah kecil itu hanya akan menjadi suara dan tuntutan serpihan kecil yang semakin tidak diambil berat,” tambahnya.

Orang Melayu menurut Saiee harus sepakat dalam aspirasi dan cita-cita dengan mengutamakan cita-cita kesleuruhan kaum mereka berbanding dengan kepentingan peribadi dan kelompok kecil.

Dengan itu, jelasnya, mereka juga harus menyusun agenda agar setiap pelaksanaan item agenda membawa kea rah kejayaan mereka seluruhnya bukan kelompok atau individu tertentu sahaja.

“Akhir sekali mereka harus melaras dan menyepadukan tindakan agar kesemua tindakan membawa semakin dekat ke destinasi dan punca kejayaan bukan yang stau menyaingi dan menggagalkan yang lain seperti kisah ketam sebakul.

“Kita yang sudah menyedari hakikat kita minoriti yang sedang sedikit kebingungan tentang jati diri sebagai salah satu kaum yang menyumbang kepada pembinaan Bangsa Malaysia harus meneliti rukun kelangsungan itu dengan serius.”

UTUSAN SARAWAK, 4 APRIL 2009

Penglibatan wanita Melayu Sarawak dalam NGO

PADA Seminar Budaya Melayu Sarawak Ke-5 baru-baru ini, pembangunan dan perkembangan wanita Melayu Sarawak turut dibincangkan terutama melalui makalah, Memperkasakan Wanita Melayu Untuk Kemajuan Keluarga dan Pembangunan Masyarakat di Sarawak tulisan Aishah Edris.

Menurutnya, wanita Melayu turut terlibat dalam pelbagai program pembangunan wanita dan keluarga anjuran Biro Wanita Sarawak bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Kekuarga dan Masyarakat dengan kerjasama agensi-agensi negeri dan persekutuan, pertubuhan/NGO wanita dan pihak swasta.

“Di era ini, wanita Melayu turut menyumbangkan masa dan tenaga kepada aktiviti pertubuhan atau persatuan termasuk NGO.

“Melalui pembabitan dalam ini, wanita Melayu didedahkan kepada ilmu, kemahiran dan pengalaman yang amat berguna untuk pembangunan diri, keluarga dan komuniti.”

Jelasnya, galakan harus diberi kepada usaha untuk membangunkan kapasiti pemimpin yang dapat membawa persatuan mereka ke era perubahan.

Harus sentiasa memastikan bahawa program dan aktiviti yang dilaksanakan adalah relevan kepada cita rasa, aspirasi dan kehendak wanita semasa.

Di peringkat masyarakat, ujarnya, penyertaan wanita Melayu harus dipertingkatkan dalam institusi politik dan kepimpinan temparan.

Pelantikan Ketua Masyarakat atau Ketua Kaum tidak seharusnya dimonopolikan oleh golongan lelaki sahaja tetapi peluang dan ruang harus juga dibuka kepada wanita Melayu yang layak dan menepati kriteria yang ditetapkan.

“Kekurangan pemimpin wanita di akar umbi menyebabkan isu-isu berkaitan dengan wainta dan keluarga dan remaja tidak didengar dengan jelas oleh pihak berkuasa,” tambahnya.

Menjadi pemimpin di peringkat akar umbi akan menambahkan pengalaman wanita khususnya dalam bidang kepimpinan dan pembuatan keputusan.

Dengan pendedahan dan pengalaman yang ditimba, wanita Melayu akan mempunyai peluang yang cerah untuk menceburi diri dalam bidang politik dan mungkin sebagai satu permulaan bergiat diri dalam bidang politik.

“…dan mungkin sebagai satu permulaan bergiat diri di peringkat cawangan.”

Oleh itu Aishah Edris menjelaskan, iklim yang kondusif harus dipupuk dari peringkat bawahan supaya ramai wanita Melayu tampil kehadapan untuk menjadi pemimpin di peringkat komuniti dan masyarakat.

Penambahan ahli wanita Melayu dalam pertubuhan politik katanya, akan menentukan kekuatan perwakilan wanita Melayu dalam pertubuhan politik di masa akan datang.

“Maka, pemimpin wanita Melayu yang berpengalaman dalam bidang politik pada hari ini harus gigih berusaha untuk menarik lebih ramai lagi generasi wanita muda untuk menjadi ahli dalam pertubuhan politik dan membimbing mereka sebagai bakal pemimpin di masa akan datang.

“Menambahkan keahlian wanita dalam pertubuhan politik akan mewujudkan ‘critical mass’ dan ini dilihat penting terutama dalam memperjuang atau mempertengahkan isu-isu yang berkepentingan kepada wanita.” – RADIN AZHAR AHMAD

UTUSAN SARAWAK, 4 APRIL 2009

Pemikiran Melayu, pencapaian dalam sains, teknologi

“BILA membincang tentang pemikiran Melayu, tokoh ilmuan, Profesor Diraja Ungku Aziz seringkali membicarakan tentang tragedi pemikiran Melayu,” kata Profesor Dr. Fatimah Abang daripada Universiti Malaysia Sarawak(Unimas) membentangkan kertas kerja Sains dan Teknologi dan Masyarakat Melayu: Suatu Perspektif pada Seminar Budaya Melayu Sarawak Ke-5 di Kompleks Pelancongan Sarawak, Kuching.

Dr. Fatimah menjelaskan, budaya Melayu yang tidak menggalakkan bertanya adalah tidak saintifik kerana pendekatan bertanya dan menyelidik merupakan dua elemen asas pemikiran berteraskan sains.

Menurutnya, pemikir zaman Yunani menyelsaikan masalah dengan bertanyakan soalan.

“Bersoal-jawab merupakan amalan mereka dalam menyelesaikan sesuatu kemusykilan. Malah, pemenang Hadiah Nobel Laureatte meraih kejayaan melalui penyelidikan yang dicetus oleh soalan-soalan asas dari minda inkuisitif terhadap sesuatu kejadian Ilahi.

“Tetapi untuk orang Melayu, budaya minda inkuiri ini tidak begitu berkembang. Sebahagian ini kemungkinan lahir dari budaya ‘tidak bertanya soalan’ atas sebab tanda hormat kepada orang yang lebih tua (yang tersemai dalam budaya Melayu.

“Di kalangan masyarakat Melayu tradisi, bertanya soalan dianggap biadap. Namun demikian, hari ini budaya ini tidak sekuat dulu. Ibu bapa generasi hari ini kebanyakannya terdiri daripada kalangan mereka yang berpelajaran. Walau bagaimanpun, tidak dinafikan masih terdapat keluarga tradisi yang masih mewaris budaya fikir tersebut,” katanya.

Ungku Aziz kata Fatimah menjelaskan, pemikiran Melayu hari ini sebahagiannya adalah sisa-sisa pengaruh penjajahan British.

Banyak terdapat bahan ilmiah membincangkan bagaimana British mengamalkan dasar yang mengongkong minda Melayu – sikap lebih kepada menerima dan mengguna, dan kurang bertanya dan menyiasat.

Selain minda terjajah, terdapat banyak faktor yang mempengaruhi perkembangan midan seperti buda fikir, faktor pemakanan dan pengaruh keluarha dan insan terdekat.

“Taraf pendidikan ibu, latar belakang keluarga dan sosio-ekonomi sedikit sebanyak memain peranan dalam mempengaruhi perkembangan seseorang insan. Sebagai insan paling rapat dengan anak, taraf pendidikan ibu boleh mempengaruhi minda dan seterusnya budaya fikir anak.

“Taraf pendidikan juga boleh dikaitkan dengan pemikiran tahap tinggi. Justeru, ibu yang berpendidikan tinggi secara langsung menerapkan pemikiran yang tinggi kepada anak.”

Mengenai pencapaian Melayu Sarawak dalam bidang sains dan teknologi, Dr. Fatimah menjelaskan, perkataan sains dan teknologi telah menjadi begitu sinonim dengan kemajuan sesuatu bangsa atau negara.

Pendek kata, sesuatu bangsa atau negara itudinilai sebagai maju dan makmur jika perkembangan sains dan teknologi itu pesat, kata.

“Sewajarnya begitu kerana sains mempunyai tanggungjawab sosial dan sentiasa saling berhubung dengan bidang-bidang kemanusiaan yang lain.

“Justeru itu, pengetahuan sains dan teknologi mampu membawa kesejahteraan hidup penduduk sesuatu negara dan membawa kepada kemakmuran eknomi sesebuah negara,” katanya.

Menurutnya, dalam konteks dunia global, Malaysia khususnya bangsa Melayu masih dianggap ketinggalan dalam bidang sains dan teknologi.

“Untuk mencapai kemajuan dalam bidang tersebut, pembudayaan sains dan teknologi harus berlaku,” katanya.

Dari kaca mata orang Melayu, mungkin sains dan teknologi masih dilihat sebagai perkara pinggiran dan hanya dikaitkan dengan anak-anak yang masuk ke sekolah atau ke institut pengajian tinggi sahaja.

Sehubungan itu, maka tidak hairan jika dikatakan orang Melayu jauh tertinggal dalam bidang sains dan teknologi.

“Tidak dinafikan bahawa terdapatnya Melayu Sarawak yang telah meraih kejayaan yang cemerlang sebagai doktor perubatan, jurutera dan saintis pelbagai bidang sains.

“Berasaskan pemikiran saya, dan hasil penelitian bahan-bahan rujukan ilmiah yang berkisar sekitar isu Melayu dari sudut sains dan teknologi, pendidikan, pemikiran dan sebagainya, pencapaian orang Melayu Sarawak dalam bidang sains dan teknologi boleh dikatakan masih kurang.”

Masalah itu katanya, harus ditangani dengan serius jika mahu matlamat dalam mengangkat martabat bangsa Melayu tercapai, perlu ditangani dari peringkat akar umbi – dalam sistem pendidikan bermula dari sekolah rendah lagi.

Usaha dalam menggalakkan pelajar Melayu menjurus kepada bidang sains dan teknologi ujarnya, harus dipupuk dan disemai dari awal lagi.

“Seterusnya, langkah memperbanyakkan bilangan ini diteruskan, dipantau dan dinilai pencapaiannya sehingga ke tahap graduan yang keluar dengan ijazah dalam bidang sains dan teknologi dan menjadi profesional negara,” katanya.

UTUSAN SARAWAK, 4 April 2009