Citra bangsa dalam sastera

PENGERTIAN bangsa di dunia Melayu Asia Tenggara memiliki berbagai-bagai makna denotatif dan konotatif. Selain pengertiannya sebagai negara bangsa, yang dibentuk sistem pemerintahan – rakyat dan kawasan – istilah bangsa juga digunakan untuk menyebutkan bangsa Melayu yang ada di Nusantara, juga hidup berdampingan dengan bangsa China, India dan lainnya.

"Kemudian sastera sebagai bahagian dari kebudayaan, tentu sahaja mengekspresikan gagasan mengenai bangsa tadi. Sementara, sastera di Nusantara akan menggambarkan sejauh mana konsep dan penerapan nilai kebangsaan itu," kata Muhammad Takari Jilin Syahrial dari Universiti Sumatera Utara.

Membentang kertas kerja "Citra Bangsa Dalam Sastera Nusantara" di Pertemuan Sasterawan Nusantara Ke-14 di Kedah Darul Aman, Muhammad Takari menjelaskan, istilah yang digunakan oleh rumpun Melayu di Nusantara untuk sastera dalam konteks kebangsaan juga berbaga-bagai – sastera Nusantara, sastera etnik, sastera kebangsaan dan sebagainya.

Menurutnya, citra bangsa dalam sastera Nusantara juga dijumpai dalam puisi tradisional Melayu yang disebut pantun.

"Pantun adalah manifestasi pemikiran manusia Melayu silam, kerana pantun sebagai karya sastera lahir dari pemikiran yang amat jernih dan signifikan. Pantun menjelmakan pemikiran yang amat arif dan bijaksana, yang lahir dari pengamatan mata yang peka dan rinci."
Salah satu citra bangsa dalam pantun Nusantara.

Kalau pergi ke Tanjungpura,
Bawakan kami seekor ikan,
Kalau ingin muliakan bangsa,
Tradisi dijaga adat diamalkan.

Kalau meletus Gunung Sibayak,
Kota Medan menjadi abu,
Pekik merdeka kita bersorak,
Penjajah pergi menangis pilu.

"Dalam sastera Nusantara, citra bangsa yang negatif iaitu adanya intrik permusuhan dalam pemerintahan atau antara elit penguasa Melayu tercermin dalam karya sastera tradisional."

Katanya, Nusantara adalah kawasan yang terbentang antara dua benua, iaitu Asia dan Australia, serta Laut Pasifik dan Laut Hindi. Istilah Nusantara julung kali digunakan oleh Patih Gajah Mada daripada Kerajaan Majapahit pada abad pertengahan, iaitu tercetusnya Sumpah Palapa – tidak makan buah palapa sebelum seluruh Nusantara berada di bawah kekuasaan Majapahit.

"Menerusi sumpah ini akhirnya rantau Nusantara sampai ke daratan Indochina dapat dikuasai oleh Majapahit. Sementara itu, sebelumnya telah bertapak dengan gemilang Kerajaan Sriwijaya dengan wilayah yang lebih kurang sama, dengan wilayah Majapahit. Ibu kotanya di Palembang Sumatera."
(Stail Seni Budaya, Akhbar Utusan Sarawak, 16 Julai 2007)

Pertemuan Sasterawan perkaya kebudayaan Nusantara

SEMINAR Kesusasteraan Nusantara di Kuala Lumpur yang berlangsung pada April 1973 adalah perintis kepada satu era baru dalam tradisi pertemuan para sasterawan dan budayawan dari negara- negara wilayah Nusantara.

Menurut Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Tan Sri Profesor Emeritus Dr. Ismail Hussein, apabila cadangan mengadakan pertemuan seperti itu diusulkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, ia adalah didasari oleh kesederan selepas berlakunya penyatuan ejaan Malaysia-Indonesia pada Ogos 1972.

"… bahawa kemestian penyatuan isi bahasa itu sendiri perlu dilaksanakan agar lebih kukuh kesusasteraan dan kebudayaan kita," katanya.

Terlaksananya ejaan bersama Malaysia-Indonesia itu, tidak syak lagi merupakan satu kejayaan yang penting dalam usaha untuk menyatukan semula Bahasa Melayu di Nusantara. Kejayaan ini juga dengan sendirinya telah mengangkat kedudukan Bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa terpenting di Asia Tenggara.

Namun, penyatuan ejaan semata-mata tidak membawa sebarang makna sekiranya bidang penulisan dan karya yang terhasil dari bahasa yang sama itu tidak dapat dikembangkan selari dengan perkembangan zaman.

Pada titik inilah jelas terlihat peri pentingnya peranan kesusasteraan dan di bahu penulis serta sasterawan terpikul amanah untuk meningkatkan darjat kesusasteraan. Sememangnya sasterawan adalah penggerak utama ke arah perkembangan Bahasa Melayu di Nusantara.

Oleh yang dmeikian, amatlah wajar dikumpulkan golongan ini untuk berbicara, berdiskusi dan menyelamu permasalahan yang wujud demi meningkatkan martabat kesusasteraan. Hasilnya, terciptalah sejarah apabila Singapura merintis laluan pertama selaku tuan rumah Pertemuan Sasterawan Nusantara pada 24 hingga 26 Disember 1977.

Penyataan-penyataan yang lahir daripada pertemuan itu telah menjadi panduan untuk mengadakan pertemuan-pertemuan seterusnya. Antara lain, sedar akan adanya ikatan dan hubungan sejarah rumpun bangsa dan kebudayaan yang berabad lamanya terjalin antara masyarakat di Nusantara.

Kesedaran tentang keperluan memperteguhkan kembali ikatan dan hubungan tersebut kepada satu bentuk baru untuk kepentingan kebudayaan Nusantara dan kesedaran tentang keinginan yang sama antara penulis dan hak mereka untuk mewakili masyarakat membangkitkan persoalan kemanusiaan dan keadilan sejagat.

Sebagai budayawan dan sasterawan, persoalan untuk menentukan corak perubahan masyarakat perlu terus difikirkan sebagaimana kehebatan saintis, ahli eknomi dan ahli politik melakukannya.

Sekiranya dilihat, kemajuan manusia diukur berdasarkan penyelidikan, statistik dan graf kemajuan sebaliknya sastera dan budaya menggunakan daya intelek, seni dan rohani dengan mengahasilkan karya bermutu bagi mengimbangi kemajuan material.

Justeru, Pertemuan Sasterawan Nusantara tidak hanya membangkitkan kekuatan dan keazaman baru, malah tindakan bersama dapat dirancang bagi memperkayakan kebudayaan Nusantara.
(Stail Seni Budaya, Utusan Sarawak, 9 Ogos 2007)

Mengangkat rumpun Melayu Nusantara


Sambungan minggu lepas


"DALAM memperjuangkan bangsa rumpun Melayu: Brunei Darussalam, Malaysia dan Indonesia saling bersepakatan dan mempengaruhi antara satu negara dengan negara yang lain," kata Hajah Rasiah Haji Tuah dari Dewan Bahasa dan Pustaka Negara Brunei Darussalam.

Mengetengahkan makalah berjudul "Kedudukan Sastera Melayu di Brunei Darussalam: Situasi Mutakhir", Hajah Rasiah menjelaskan, jalinan erat menegakkan kdaulatan bangsa telah menghasilkan kekukuhan perpaduan bangsa dan bahasa.

"Kekukuhan bahasa akan lebih terbentuk dengan pembelajaran dan pengajaran sastera dan akhirnya akan membuahkan bahawa bahasa adalah alat pengucapan kebudayaan sementara kesusasteraan adalah pengucapan masyarakat."

Menurutnya, Brunei seperti juga Malaysia dan Indonesia, peradaban manusia melalui sastera digambarkan dalam citra penulisan sasterawan yang pada keseluruhannya mempunyai lingkungan temanya berkisar tentang kehidupan sosio-budaya masyarakat setempat.

"Pencerna minda dan luahan rasa bersumberkan peradaban manusia sejagat." Kebenaran penggarapan aspek-aspek itu dapat difokuskan kepada persooalan berikut, iaitu "Bagaimanakah sasterawan berjaya mencapai ke arah kedudukan perkembangan sastera Melayu ke tahap mutakhir?" dan "Sejauh manakah kebolehan penulisan sasterawan dapat menjalinkan elemen-elemen budaya atau peradaban manusia ke dalam karya-karya mereka?"

"… kini jelas terjawab dengan penghayatan Muslim Burmat menampilkan kisah yang tersirat dalam novel Makna Sebenar Sebuah Ladang dan kewibawaan beliau sebagai tokoh karyawan sastera di Brunei. Dan, bersesuaian diperkatakan bahawa kredibiliti sasterawan Muslim Burmat dalam berkarya seranding dengan kredibiliti sasterawan serantau dan antarabangsa."

Sementara itu, Mohamad Daud Mohamad dengan judul makalah "Citra Bangsa dalam Sastera Nusantara" pula menjelaskan, meninjau citra bangsa dalam sastera Nusantara ialah suatu persoalan yang sangat kompletif kerana ia dapat ditafsir daripada pelbagai sudut dan aspek.

Justeru itu katanya, dalam mengamati citra atau gambaran atau imej sesuatu bangsa dalam karya kreatif-imajinatif akan menimbulkan pelbagai tanggapan positif dan negatif kerana imej individu manusia yang ditranformasikan ke dalam genre sastera bukan totaliti bangsa yang berkenaan, tetapi mewakili segolongan tertentu sahaja.

"Genre sastera Melayu dalam pertautan humaniora atau sosialis nusantara atau bumintara (istilah Sultan Takdir Akisjahbana) yangberteraskan bahasa Melayu sudah lama diperbincangkan pada sarjana sastera.

"Namun, disebabkan fenomena geografi dan geopolitik yang dipecahbelahkan oleh kolonilisme lampau menyebabkan pertautan yang satu rumpun menjadi renggang.

"Walaupun demikian, sejajar dengan geobudaya dan relativisme budaya yang berakarkan bahasa Melayu, maka sastera Melayu yang mengidentifikasikan jiwa ‘kemelayuan’ terus dapat hidup di beberapa wilayah Melayu seperti Selatan Thailand, Singapura, Brunei, Malaysia dan Indonesia."

Citra bangsa Nusantara jelasnya, akan terus terlukis dan kekal dalam genre sastera Nusantara selagi para pengarang masih sensitif dan memiliki harga diri serta berani mengungkap fenomena yang wujud dalam masyarakatnya melalui bahasa yang mudah difahami dan dekat dengan diri masyarakatnya, serta tidak mudah tunduk dengan desakan atau ideologi politik praktis.

Pemakalah dari Lhokseumawe, Indonesia, iaitu Hasbullah Ismail pula memberitahu peserta bahawa pada pertengahan abad ke-20, dapat dilihat keadaan pendidikan yang berbentuk sastera di Aceh.

"Di desa masih banyak kita dengar hikayat dalam bahasa Aceh, pantun dan Seulaweut (lagu yang berunsur nasihat) dalam bahasa daerah.

"Tetapi, pada akhir abad ke-20, terutama dalam masyarakat kota, hal tersebut hampir tidak ada. Menjadi persoalan, adakah ini pengaruh teknologi yang semakin canggih atau akibat budaya luar melanda golongan muda? Atau, masyarakat sudah hilang minat?"

Lagu-lagu terkini jelasnya, secara dasarnya bagus tetapi dengan ketiadaan penelitian dan kritikan, kebanyakannya tidak mempunyai ‘ruh’ sehingga kurang bermakna.

"… hal ini kerana, dalam beberapa forum dan artikel bahkan hasil penelitian terhadap sastera baik di Nanggroe Aceh, atau di Sumatera Utara dan di tempat lain, keadaan sastera sedang mengalami ‘kesakitan’ dan murung.

"Hal ini disebabkan kekurangan peneliti atau sasterawan yang mempunyai karisma untuk menggali dan mengkaji sastera itu sendiri. Juga, kurangnya kritikan yang dapat membangkitkan semangat seniman."

Perkara tersebut jelasnya, didedahkan oleh Hasan Sadli melalui tesisnya. "Beliau mengatakan bahawa di Sumatera Utara, Aceh dan Riau, tingkat penciptaan karya sastera lebih produktif jika dibandingkan dengan kritikan serta penelitian. Apatah lagi kritikan terhadap karya sastera moden."

Dato’ Wan Shamsuddin Mohd Yusof dengan makalah "Satu Pembicaraan Khusus Sekitar Fungsi Prosa dan Puisi Tradisional" pula berkata, cerita lisan berbentuk prosa merupakan sebahgain daripada sastera tradisional atau sastera rakyat di samping sastera bertulis yang berkembang sesudah masyarakat Melayu mengenali tulisan.

Ia berperanan sebagai hiburan di samping mengandungi pengajaran dan pengetahuan seperti yang terdapat dalam cerita asal-usul, cerita mergastua, cerita lucu atau jenaka, serta pelbagai metos dan lagenda.

Cerita asal-usul katanya, dianggap paling tertua lahir di kalangan masyarakat silam yang mengisahkan antara lain asal-usul nama sesuatu tempat atau negeri. "Salah satu cerita jenis ini yang agak popular ialah memiliki bentuk bersambung atau berantai seperti juga dengan sastera berbingkai yang berkembang di negara Timur Tengah – arab dan Parsi."

"Sehingga ke zaman moden, walaupun masyarakat sudah mengalami pelbagai perubahan dan pembaharuan, namun semangat cintakan tanah air terus berkekalan. Semangat persaudaraan bagi masyarakat serantau dan serumpun di Nusantara katanya, tetap terus subur."

Mohd. Pitchay Gani Mohd Abd Aziz dari ASAS ’50, Singapura pula menjelaskan, usaha membina manusia ke arah kecemerlangan dan intelektual tinggi dalam pelbagai bidang merupakan satu keperluan dalam order dunia baru.

Kini, penulis tidak lagi mampu mencapai kegemilangan masa lampau dengan hanya dikenali sebagai penulis, sebaliknya, penulis perlu mempunyai ilmu penyelidikan, pentadbiran, penerbitan dan ilmu yang tinggi yang menjana kreativiti dan pemikiran kritis.

"Ciri-ciri tersebut sangat diperlukan dalam sebuah negara seperti Singapura memandangkan sastera bukanlah satu bidang yang sensasi tetapi memerlukan banyak usaha untuk dibangunkan.

"Apatah lagi persuratan Melayu merupakan persuratan minoriti di Singapura. Kemasukan orang asing yang semakin ketara dengan sasaran enam juta penduduk oleh pemerintah Singapura akan mengecutkan lagi persuratan Melayu Singapura.

"Perkara ini dipantulkan dengan sebaik-baiknya oleh Asas ’50 pada alaf baru ini. Maka, rekonstruksi Asas ’50 digerakkan demi mendepani keadaan yang dianggarkan akan berlaku. Dalam konteks peradaban multibudaya, Asas ’50 berusaha untuk memastikan bahawa kewujudan persuratan Melayu diterima, dihormati dan diizinkan penjanannya."

Dalam usaha memanfaatkan budaya pluralistik Singapura, Asas ’50 mengenalpasti ragam dan rentak budaya tersebut lalu mereka semula citra mahawangsa agar selaras dengan keperluan dan perkembangan aliran nasional yang secara tidak langsung mengukuhkan lagi kedudukan dan masa depan persuratan Melayu Singapura.

(Stail Seni Budaya, Utusan Sarawak, 9 Ogos 2007)

Mengangkat rumpun Melayu Nusantara


RADIN AZHAR AHMAD

PERTEMUAN Sasterawan Nusantara Ke-14 yang bertemakan "Citra Mahawangsa dalam Sastera Nusantara" yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kedah sempena 50 tahun kemerdekaan Malaysia berjaya menghimpunkan 300 peserta dari Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, Thailand dan Sri Lanka. Pertemuan selama tiga hari itu turut diselenggarakan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Majlis Kebudayaan Negeri Kedah, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI). Dan, diselaraskan pula oleh Majlis Sasterawan Nusantara.

Keseluruhannya, pertemuan tersebut lebih menjurus kepada perbincangan tentang bahasa Melayu, peranan negara rumpun Melayu diseleraskan oleh Majlis Sasterawan Nusantara, selain mengadakan lawatan sekitar negeri Kedah. Beberapa kertas kerja turut dibentangkan. Dato’ Dr. Siti Hawa Salleh yang menyampakan ucap tama pada malam perasmian membincangkan ‘Tradisi Mahawangsa di Nusantara: Putera-Putera Emas Negeri Kedah Darul Aman’.

Katanya, "Dalam suasana meriah menyambut ulang tahun ke-50 Malaysia mencapai kemerdekaan, ingatan kita mestilah juga ditumpukan kepada sumbangan beberapa Putera Emas yang berasal dari Kedah. Berfikir secara insan yang lemah, tertanyalah di dalam hati. Bukankah Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj itu adinda Sultan Badlishah? Bukankah Tun Dr. Mahathir Mohamad berasal dari Kedah? Senarainya terlalu panjang tetapi itulah makna ‘Tradisi Mahawangsa di Nusantara’ dan itulah sumbangan Kedah kepada penerusan ‘Tradisi Bangsa Agung’."

Seterusnya, beliau menjelaskan, kerajaan Melayu lama mencatat perjalanan sejarahnya sendiri dalam masa yang panjang, mengamalkan sistem pentadbiran, perhubungan dan pertahanan dengan caranya sendiri. Hampir setiap kerajaan Melayu lama ini mempunyai catatan sejarahnya yang ditulis dengan tujuan meninggalkan maklumat tersebut kepada generasi terkemudian, memaklumkan kepada mereka apa yang telah dialami oleh nenek moyang mereka seperti yang terbentang dalam Sulalat al-Salatin yang disempurnakan oleh Tun Seri Lanang pada 1612.

"Daripada hasil penulisan sejarah tradisional yang sekarang diisytihar sebagai perbendaharaan Nusantara bertaraf klasik, dapat disimpulkan bahawa penulisan karya-karya ini adalah tugasan khas pujangga istana yang amat faham dan sedar akan tanggungjawabnya." Jviddy AD Daery dari Jakarta, Indonesia pula mengetengahkan ‘Gajah Mada" Sang Pahlawan Agung Nusantara – Dalam Telaah Sastera Nusantara’. Jelasnya, ketika penjajah Belanda merampas dan membakar Istana Puri Cakranegara di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat, Indonesia pada 1894, ditemui Kitab Deswarnana (kemudiannya dikenali sebagai Kitab Negarakertagama) dalam harta rampasan. Kitab ini karya Empu Prapanca, iaitu nama samaran Dang Acarya Nadendra, salah seorang pendeta Buddha dari Istana Majapahit.

"Itulah karya sastera pertama dan paling lengkap bercerita mengenai kejayaan Kerajaan Majapahit yang selama itu(hingga 1894), belum banyak diketahui secara mendalam. Cuma disebut sepintas lalu di berbagai prasasti batu bersurat, juga pada buku sastera kuno di dunia Melayu Nusantara seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Raja-raja Pasai dan Hikayat Banjar dan Kota Waringin.

"Negarakertagama’ digubah pada 1365, setahun setelah Gajah Mada mangkat. Naskhah ini 80 peratus menceritakan keagungan Kerajaan Majapahit Raya yang kekuasaannya dari Tanah Segenting Kra hingga hujung pulau Papua-Irian, bahkan ke Filipina. Dalam 80 peratus itu, banyak memuji dan melaporkan perjalanan Prabu Hayam Wuruk mengelilingi Jawa Timur dan Jawa Tengah.

"Ini kerana naskhah ini sebuah ‘Sastera Puja’ atau sastera persembahan kepada Baginda Hayam Wuruk, agar Sang Prapanca diangkat kembali menjadi pejabat tinggi agama Buddha di istana. Jadi, naskhah ini ditulis selepas Dang Acarca Nadendra dipecat dari jabatannya di Istana Majapahit, lalu melarikan diri ke desa sepi di Bali (kemungkinan di daerah Karang Asem, Bali). Di sinalah naskhah hebat ini ditulis."

Pemakalah dari Yakis, Thailand, Haji Mohd Suhaimi Ismail Awae yang membincangkan ‘Sastera dan Kebudayaan Dalam Pemodenan Bangsa’ berkata, "Apa yang perlu kita lakukan untuk pemodenan bangsa ialah; pertama, bangsa Melayu hendaklah menjadi bangsa pencipta kemajuan dengan acuannya tersendiri. Bidang yang penting untuk dimajukan ialah kekuatan manusia sebagai modal insna."

Kedua, katanya, wujudkan rangkaian kerjasama bangsa berbahasa Melayu di seluruh dunia untuk memantau hal-hal sastera dan kebudayaan sebagai langkah standardization dan uniti. Ketiga, mewujudkan majlis penyelidikan dan kegiatan penghasilan penerbitan ilmu atau ilmiah dalam bidang sastera dan budaya; dan keempat, para pemimpin seharusnya memimpin dialog budaya supaya kerap diadakan secara bergilir-gilir.

Dengan judul ‘Golongan Elit dan Sajak Islam di Negara Brunei Darussalam’, Profesor Madya Dr. Haji Hashim Haji Abd. Hamid pula menjelaskan, "Kita tidak dapat menafikan bahawa menteri mempunyai peranan dan iltizam dalam berdakwah melalui karya sastera kreatif, iaitu sajak. Malah ada antara mereka terutama Shukri Zain dan Adi Rumi menulis drama yang menonjolkan keagungan Islam, pahlawan Islam dan sejarah Islam yang bertapak dan berkembang di tanah air."

Katanya, kelahiran sajak Islam/dakwah yang ditulis oleh menteri adalah sesuatu yang patut dan wajar kerana mereka golongan agama yang mempunyai pengaruh atau dipercayai. Dan, penglibatan menteri dalam berdakwah melalui sajak menggambarkan bahawa gerakan dakwah yang terdahulu dan hingga kini bukan lagi diarahkan melalui jalur di peringkat massa atau golongan rakyat atau penyair biasa.

"Malah, golongan elit juga memainkan peranan yang penting untuk sama-sama menangani, menyebarkan dan mengukuhkan Islam sebagai agama rasmi di Negara Brunei Darussalam khasnya dan dunia Melayu amnya."

Profesor Dr. Setya Yuwana Sudikan dari Dewan Kesenian Jawa Timur, Indonesia dengan judul ‘Menguak Kepahlawanan Syaikh Siti Jenar Dalam Trilogi Novel Syaikh Siti Jenar Agus Sunyoto’, berkata, "… jika kita sepakat dengan apa yang diungkapkan Rendra bahawa sasterawan merupakan agen kontemplasi kehidupan, maka trilogi Syaikh Siti Jenar sesungguhnya hasil kesedaran keagamaan penulisnya. Kesedaran kontemplasi itu sendiri meliputi kesedaran agama, agar, magik dan alam semesta."

"Sehingga trilogi itu juga mengandungi rahsia dan alam ghaib, kesucian agama, magik dan alam. Dalam konteks mutakhir, seniman dalam kesedaran kontemplasi, juga harus mengenal dimensi politik, sosial, ekonomi, dan kekuasaan. Semuanya diketengahkan dalam trilogi Syaikh Siti Jenar dengan naratif, simbolik, metafora, historik dan sufistikatif."


bersambung minggu depan

(Stail Seni Budaya, Utusan Sarawak, Khamis, 2 Ogos 2007)

Pengembangan bahasa dan persuratan Melayu antarabangsa

RADIN AZHAR AHMAD

PUSAT Pengajian Melayu yang pertama ditubuhakn di Leiden, Belanda pada 1876, dan sehingga kini pusat itu telah diiktiraf sebagai pusat utama bagi kajian budaya Melayu di peringkat antarabangsa.

Dato’ A. Aziz Deraman berkata, kemudian pada akhir 1992, kerajaan Malaysia memulakan langkah penubuhan Kursi Pengajian Melayu (Eropah) dengan ditempatkan seseorang yang bertaraf Profesor di Universiti Leiden.

Menurutnya, penubuhan Kursi itu bukan sahaja diharap akan mempertingkatkan kajian sastera Melayu di Eropah, bahkan turut mengembangkan bahasa, budaya Melayu dan promosi pengetahuan pelbagai bidang tentang Malaysia khasnya dan dunia Melayu atau rantau ini amnya.

"Usaha pengembangan bahasa dan sastera Melayu di dunia seharusnya terus dipertingkatkan, manakala pusat-pusat pengajian Melayu yang sedia ada terus diperkukuh melalui program kerjasama kebahasaan, kesusasteraan, penerbitan dan persuratan."

"Paling mutakhir 1995, Kursi Pengajian Melayu ditubuhkan di Universiti Victoria, Wellington, New Zealand. Jika ditubuhkan lagi Kursi-Kursi Pengajian Melayu di mana-mana negara lain yang strategik untuk Malaysia, tentu manfaatnya akan menjadi lebih besar kepada pengajian, pengembangan akademik dan penyelidikan tentang bahasa dan persuratan Melayu," katanya.

Bercakap pada Dialog Bahasa 2007 di Kuching baru-baru ini, Dato’ A. Aziz Deraman menjelaskan, kkerajaan Malaysia juga bersetuju dan mengumumkan penubuhan Kursi Pengajian Melayu di Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU), China. Seorang Profesor akan ditempatkan di sana pada pertengahan 2007.

"Kajian kesesuaian patut juga dibuat bagi meneruskan usaha yang sama di Korea Selatan, Jepun, Australia, Jerman, Perancis, United Kingdom, Rusia dan beberapa negara lain di Asia-Pasifik, Amerika dan Eropah.

"Banyak negara asing itu berminat. Mereka cuma harus akur dan mematuhi dasar atau prinsip-prinsip penubuhannya dengan dorongan, inisiatif dan menentukan sumber dana pembiayaannya secara bersama," katanya.

Katanya, Kursi Pengajian Melayu boleh menjadi pusat kecemerlangan akademik yang akan merangsangkan minat para pengkaji, sarjana, pakar dan cendekiawan yang berminat dalam bidang sosiologi, antropologi, bahasa dan sastera Melayu atau dunia Melayu secara keseluruhannya.

"Ada bukti-bukti menunjukkan bahawa melalui peranan Kursi ini seperti pengalaman di Leiden, kesedaran yang lebih meluas dan mendalam akan lebih terserlah di kalangan masyarakat antarabangsa tentang peri pentingnya serta besar manfaatnya menjalinkan dan melestarikan persefahaman budaya serta mengakrabkan antara dunia Melayu dengan rantau Eropah.

"Suasana dan aspirasi ketamadunan antara Melayu dengan dunia luar boleh pula mewujudkan hubungan yang lebih adil antara dunia Melayu dengan Barat. Senario ini akan turut mencetuskan iklim sosioekonomi dan sosiopolitik yang lebih kondusif. Pengembangan bahasa, sastera dan budaya Melayu ke peringkat antarabangsa akan lebih jelas arahnya."

Jelasnya, hasrat pengembangan persuratan Melayu terutama sasteranya tidak patut diniatkan sebagai usaha yang bertujuan ‘berlawan’ dengan perkembangan kesusasteraan Barat atau Inggeris sedunia atau menandingi hasil-hasil persuratan bangsa-bangsa yang sudah sedia mempunyai sejarah kegemilangan persuratan yang cukup lama itu.

Malaysia katanya, perlu mengatur usaha agar hasil-hasil persuratan pilihan terbaiknya itu dikenali, ditatapi dan dikaji oleh dunia luar. "Caranya tentu bukan sekadar melalui usaha-usaha satu dua agensi, apalagi kalau bertindak secara terpisah antara Malaysia dengan Indonesia atau Brunei, misalnya sewaktu menyertai acara tahunan Frankfurt Book Fair itu, perancangan strategik perlu ada."

Katanya, rangkaian kerja institusional antara negara memang sangat munasabah dan forum-forum kerjasama yang diwujudkan misalnya Majlis Bahasa Brunei Darussalam – Indonesia – Malaysia (MABBIM), Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) dan Forum Kerjasama Penerbitan Serantau (FOKEPS), Mesyuarat Kerjasama Kebahasaan dan Persuratan (MEKKAP) kawasan segi tiga Asia Tenggara, boleh menjadi wahana penyebaran bahan pengajian dan kajiann di institusi-institusi asing.

"Malahan, apakah mustahil suatu waktu terdekat, dicetuskan Renaisans Kesusasteraan Melayu atau Malay Literature Renaissance? Tidakkah diyakini bahawa kesusasteraan Melayu yang berlatarbelakangkan tradisi, budaya dan leluhur Melayu yang jitu dan unggul itu dapat dibangkitkan, kemudian diperkembangkan menjadi salah satu daripada World Literature yang berbobot dalam abad ke-21 ini."

"Usaha mempertingkatkan kajian dan pengajian sastera Melayu melalui program penyelidikan dan pengukuhan kesusasteraan Melayu tradisional dan moden hendaklah sentiasa dilakukan. Usaha-usaha memperkenalkan kesusasteraan Melayu di peringkat serantau dan antarabangsa telah dipergiatkan atau disokong oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui beberapa seminar, pertemuan, dialog, persidangan penulis, pengucapan puisi, di samping program sastera atau Minggu Sastera Melayu dalam kajian di luar negara.

"Kerjasama rapat DBP dengan gerakan sastera dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), terutama Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) mesti ditingkatkan lagi. Agensi seperti DBP memerlukan prasarana organisasi rakyat yang tidak bercorak rasmi bagi merakyatkan program kebahasaan dan kesusasteraanya. Makanya, sebagai badan ilmu, DBP mesti meneruskan tradisi perjuangan rakyat yang melahirkan dirinya ke dunia selain menjadi badan yang mendukungi fungsi kerajaan semata-mata. Untuk itu, agensi rasmi sepertinya dan pertubuhan perlu berbimbing tangan membina jaringan baru yang diperluaskan dan kerjasama kerantauan dieratkan."

Jelasnya, penterjemahan lebih banyak karya agung dalam bahasa Melayu dan karya-karya pilihan yang dihasilkan oleh pengarang dan sasterawan tersohor dari dunia berbahasa Melayu ke bahasa-bahasa utama dunia wajar diberikan perhatian serius, bukan sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’.

"Dunia Melayu ada mengimpikan Hadiah Nobel dalam abad ke-21 , maka usaha penterjemahan karya sastera berbahasa Melayu harus diberikan keutamaan tinggi. Cabarannya sangat besar kerana kita harus bersaing merebut pasaran di dunia antarabangsa.

"Karya-karya yang akan diterjemahkan itu bukan sahaja karya yang luar biasa, tetapi mutu penterjemahannya yang baik sekali. Promosinya lebih sistematik damn agresif, termasuk usaha memperluas sebaran karya, diperkenalkan dan dikaji di pelbagai pusat pengajian Melayu antarabangsa yang sedia ada itu."

Promosi perluasan kesusasteraan Melayu tambahnya, boleh didorong sama oleh mereka yang diberikan penghargaan dan pengiktirafan kesarjanaan masing-masing. Penghargaan kepada tokoh-tokoh pengkaji, sarjana dan sasterawan oleh Malaysia misalnya melalui skim Karyawan Tamu DBP, Mualim Tamu Perpustakaan Negara Malaysia atau oleh mana-mana institusi pengajian tinggi itu tidak boleh sama sekali dihentikan.

DBP pernah menawarkan kepada tokoh-tokoh sasterawan, pengkaji dan sarjana dari India, Singapura, Rusia, Perancis, United Kingdom, Korea, Azerbaijan, Uzbekistan, Amerika Syarikat, Indonesia dengan dilantik mereka sebagai Karyawan Tamu atau diberikan geran bagi penyelidikan.

"Mereka diberikan kesempatan untuk membuat penyelidikan dan penulisan dalam bentuk memoir, autobiografi dan kajian. Setidak-tidaknya mereka juga akan ikut memainkan peranan untuk merangsangkan pengembangan kajian atau pengajian sastera Melayu di dunia," katanya.
(Stail Seni Budaya, Utusan Sarawak, Khamis, 26 Julai 2007)

Kerjasama jadikan BM bahasa terbilang


USAHA mengekal dan memelihara kedaulatan Bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa kebangsaan perlu dilaksanakan dengan serta-merta dan bersungguh-sungguh oleh semua pihak.


Ahli Parlimen Petra Jaya, Haji Fadillah Haji Yusof berkata, semua pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan perlu memberi kerjasama dalam usaha memelihara dan menjadikan BM sebagai bahasa yang terbilang di rantau ini.


Menurutnya, untuk itu, jalinan hubungan yang akrab perlu diwujudkan antara budayawan dan penggubal dasar kerajaan bagi menjamin setiap sasar yang digubal tidak menjejaskan aspek bahasa dan budaya.


"Melalui hubungan ini, pihak budayawan boleh menyediakan panduan bagi merangka dasar dan strategi pelaksanaan berkaitan bahasa budaya kepada pihak penggubal dasar," katanya yang juga Penaung Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA).


Justeru, beliau merancang perjumpaan pada Sesi Parliman antara Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan ahli-ahli Kelab Penyokong Kerajaan.


"Dari langkah mula ini kita harap dapat mencorakkan langkah lebih besar dalam usaha kita memartabatkan bahasa dan budaya," katanya berucap merasmikan Dialog Bahasa 2007 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak.


Dialog anjuran GAPENA melalui PEKASA dan dengan kerjasama DBP Cawangan Sarawak itu tanda keseriusan menyahut seruan DBP untuk bersama-sama memikirkan usaha memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia amnya dan di Sarawak khususnya.


Gabungan DBP Cawangan Sarawak sebagai agensi bertanggungjawab terhadap hal-hal kebahasaan, GAPENA sebagai pertubuhan bukan kerajaan yang bersifat nasional dan antarabangsa serta PEKASA sebagai pergerakan peringkat negeri dalam merealisasikan program ini.


Menjadi harapan program itu membuka horizon baru membina kecemerlangan usaha, memupuk kegemilangan bahasa Melayu dan menjadikan bahasa Melayu cukup terbilang dalam arus pembangunan negara.


Objektif dialog bahasa itu ialah pertama, membincang dan merumus isu bahasa dan sastera tentang perkembangan bahasa dan sastera di Sarawak khususnya dan di Malaysia amnya. Kedua, menghimpunkan para sarjana dan karyawan, serta mendapatkan input terhadap isu semasa tentang perkembangan semasa bahasa dan sastera.


Ketiga, menimbulkan kesedaran di kalangan masyarakat tentang persoalan-persoalan semasa dalam bidang bahasa khususnya memantapkan fahaman tentang tugas, peranan dan tanggungjawab bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.


Keempat, memperkukuhkan usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan sebagai wahana pembinaan modal insan dan seterusnya menghasilkan resolusi atau gagasan bersama tentang hasrat memperkasakan bahasa Melayu.


Dialog ini juga adalah satu kegiatan bersempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-50 selain sebagai salah satu program di bawah Pasca Kongres Bahasa VII. Selain itu, ia sebagai program perintis ke arah membincangkan isu kebahasaan dan disempenakan dengan sambutan Bulan Bahasa dan Sastera Peringkat Negeri Sarawak 2007.


Ketua Satu GAPENA, Tan Sri Profesor Emeritus Dato’ Pendeta Dr. Haji Ismail Hussein dal;am sesi dialog menjelaskan, perjuangan budayawan perlu diberi perhatian oleh kerajaan kerana ini salah satu faktor penting untuk merencana masa depan negara.


Beliau melahirkan kebimbangan kerana sekarang ini sudah wujud fenomena peminggiran budaya serta bahasa, malah peminggiran kalangan budayawan sendiri. Sekiranya ini terus berlaku, beliau secara tegas melahirkan rasa pesimis terhadap masa depan Malaysia.


Mengenai usaha menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat negara ini, Ismail berkata, GAPENA tiada masalah tentang hal itu malah sanggup membantu generasi hari ini menguasai bahasa global itu.


"Bahasa Inggeris memang penting untuk anak-anak yang bakal menguasai dunia tetapi dalam masa yang sama bahasa Melayu harus dimartabatkan setinggi-tingginya." – RADIN AZHAR AHMAD


(Disiarkan di akhbar Utusan Sarawak, Khamis, 19 Julai 2007)

Pemerkasaan BM perlu daya juang, komitmen politik

RADIN AZHAR AHMAD

SEBAGAI salah panel Dialog Bahasa 2007, Dato’ A. Aziz Deraman menjelaskan, "Bahasa adalah asas pembinaan tamadun bangsa dengan kesedaran tanpa diketepikan keperluan umat Melayu dan bangsa Malaysia menguasai bahasa-bahasa utama dunia yang lain. Tumpuan perancangan strategik memerlukan tumpaun pemerkasaan ke peringkat antarabangsa dengan suatu daya juang dan komitmen politik ke arah merealisasikan Bahasa Melayu (BM) berperanan bagi maksud luar negara."

Membincangkan tajuk ‘Permasalahan Bahasa dan Persuratan Melayu’, A. Aziz Deraman berkata, gerakan ke arah menjadikan BM sebagai satu bahasa komunikasi Asia Tenggara; sebagai salah satu bahasa perdagangan rantau; salah satu bahasa komunikasi atau bahasa perdagangan Asia Timur; BM menjadi salah satu bahasa sidang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan terus diperkembang sebagai bahasa pengajian tamadun Melayu di institusi pengajian asing di luar negara seharusnya tidka dilihat sebelah mata.

"Pada hemat penulis, abad ke-21 bagi Dunia Melayu haruslah dijadikan abad gerakan bersama mengangkatkan peradaban serantau dengan keutamaan meletakkan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa penting dunia. Untuk memastikan kejayaannya, maka beberapa tindakan positif yang sudah atau yang sedang diambil atau akan diambil hendaklah diberikan tunjangan langsung oleh kerajaan dan dengan kerjasama yang kukuh oleh pelbagai pihak."

Perancangan baru katanya, perlu meneliti beberapa aspek. Antaranya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sebagai badan induk utama pembina dan pengembang bahasa Melayu, melihat smula keterabaian beberapa program bahasa dan sastera di peringkat antarabangsa yang sudah sedia berjalan rancak itu dengan suntikan komitmen dan memikulnya dengan penuh tanggungjawab.

Selain itu, penyediaan forum yang sedia ada seperti MABBIM, MABM, MASTERA, FOKEPS, MEKKAP mulai kaku dan rangkaian kerjasama institusi tidak dimanfaatkan. Kini kelihatan hendaklahkan diaktifkan semula bagi memudahkan perundingan dan penyelarasan aktiviti kebahasaan dan persuratan di peringkat rantau dan antarabangsa.

"Juga, meneruskan sokongan moral, bantuan kerjasama kepada mana-mana institusi yang bersedia membuka pusat-pusat bahasa Melayu/pengajian Melayu di luar negara seperti kewujudan Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU), Beijing, dan membantu mengukuhkan program BM dan kajian tentang tamadun berbahasa Melayu di Eropah, Rusia, Amerika dan Asia-Oceania.

"Mendorongkan usaha menambahkan jumlah Kursi Pengajian Melayu mengikuti kesesuaian negara atau bekerjasama mendirikan Jabatan Pengajian Melayu/Program berbahasa Melayu di luar negara. Serta, merangka pewujudan pusat sumber bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu dan kelas bahasa Melayu (umum) di Kedutaan-kedutaan Malaysia di luar negara."

Jelasnya, penelitian juga perlu dengan menyediakan program peminjaman tenaga pakar bahasa/sastera, pertukaran oensyarah, sarjana, pengajar, pelajar dan petugas bahasa dan pengajian Melayu antara negara.

Mengada dan meneruskan program penggalakan yang berupa aktiviti sosio-budaya seperti pertandingan debat, pidato, forum, pertandingan menulis karya kreatif dan esei serta program dan hadiah lawatan sambil belajar/kerja, ujarnya.

"Mengadakan kerjasama peningkatan ilmu, kepakaran dan keterampilan berbahasa Melayu dalam semua bidang dengan IPT di dalam dan luar negara. Menyediakan atau berusaha mendapatkan sokongan dan sumber dana atau sumber-sumber lain dari syarikat-syarikat multinasional Malaysia untuk menjayakan program kebahasaan bagi negara yang kurang mampu.

"Menyebarkan bahan-bahan terbitan dalam bahasa Melayu mengenai dunia dan pemikiran Melayu juga bahan kesusasteraan yang relevan (bercetak dan elektronik). Berunding dan menempa jalan untuk bekerjasama dengan pihak-pihak kementerian yang berkaitan (di dalam Malaysia), kedutaan-kedutaan luar, persatuan dan majlis di peringkat ASEAN dan antarabangsa bagi mengenegahkan penggunaan BM."

Selain itu, tambahnya, merangka serta melaksanakan pengisian tambahan aktiviti di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani, secara berperingkat-peringkat melalui kerjasama dengan institusi dann negara yang berkenaan.

(Disiarkan di akhbar Utusan Sarawa, Khamis, 19 Julai 2007)

Bengkel Bangsawan Sarawak 2007


DENGAN tujuan untuk mengetengahkan dan memperkenalkan teater bangsawan kepada kalangan pelajar, Bahagian Kebudayaan Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KSPU) baru-baru ini menganjurkan bengkel Bangsawan Sarawak 2007.

Bengkel seminggu yang diadakan di Biro Wanita, Jalan Sultan Tengah itu disertai pelajar yang rata-ratanya pelajar sekolah rendah. Dan, bengkel tersebut dikendalikan oleh Abby Noor dan Ahmad Beduwi.

Setelah tamat bengkel, peserta dikehendaki pula mengadakan persembahan pada Majlis Penutupan Bengkel dan Persembahan Bangsawan Sarawak.
Menteri Menteri Alam Sekitar, Dr. Abang Haji Abdul Rauf Abang Haji Zen menutup bengkel berkenaan.

Walaupun dalam tempoh yang singkat, peserta telah menunjukkan minat yang mendalam dalam teater dan bangsawan serta berkeupayaan untuk mempelajari pengetahuan tentang teater.

Yang pasti, ia merupakan pendedahan awal untuk menarik minat generasi kanak-kanak terhadap teater di negeri ini.

(Disiarkan di akhbar Utusan Sarawak, Khamis, 12 Julai 2007)

BM sebagai bahasa tamadun rantau ini

"HAL yang sangat menarik tentang sejarah tamadun atau peradaban rantau ini ialah peranan Bahasa Melayu (BM) dalam proses pembentukan tamadun itu, padahal BM bukanlah bahasa ibunda atau bahasa pertama puluhan kumpulan etnik di rantau ini," kata Datuk Dr. Haji Hassan Ahmad dalam Siri Bicara Bahasa berjudul ‘Bahasa Melayu Sebagai Teras Peradaban Malaysia’ terbitan bersama Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Linguistik Malaysia.

Katanya, "Kita perhatikan bahawa sejak abad ke-7, BM digunakan sebagai bahasa yang utama atau dominan di pusat-pusat kerajaan, sebagai alat pengembang agama, terutama agama Islam, bahkan juga agama-agama lain di Indonesia, sebagai bahasa perdagangan dan bahasa kesusasteraan dan ilmu sejak zaman Kerajaan Melayu-Srivijaya di Palembang dan Jambi, sampailah ke abad ke-20."

Dalam abad ke-17 menurutnya, Aceh menjadi pusat perkembangan persuratan dan kegiatan ilmu berbahasa Melayu yang sangat gemilang. Tradisi ini bersambung dan kekal sampai ke zaman kuasa Eropah hinggalah kuasa Eropah itu meninggalkan Indonesia dalam tahun 1945 dan Semenanjung Tanah Melayu dalam tahun 1957.

"Dunia Barat, selama mereka berkuasa di rantau ini, tidak meninggalkan tamadun ilmu mereka dalam BM sebagaimana dilakukan oleh mubaligh dan pedagang Islam sebelum itu. Bahasa Inggeris dan Belanda memang telah memperkenalkan sistem pendidikan mereka di rantau ini tetapi ini tidak bererti mereka membawan tamadun ilmu kepada dunia berbahasa Melayu."

Pendidikan mereka jelasnya, dilancarkan melalui bahasa mereka, tidak melalui bahasa tempatan, terutama BM yang pada waktu itu mereka tahu sudah berkembang luas sebagai lingua franca, sebagai bahasa perdagangan, bahasa kerajaan, bahasa persuratan dan bahasa ilmu di rantau ini.

"Orang Eropah itu datang ke rantau kita atas nama Syarikat Hindia Timur masing-masing, semata-mata dengan tujuan untuk menguasai pelabuhan-pelabuhan perdagangan daripada kerajaan Melayu-Indonesia dari persisir Selat Melaka sampailah ke Pulau Jawa dan kepulauan Maluku di sebelh timur.

"… di samping untuk menubuhkan pemerintahan mereka sebagai strategi politik untuk mengawal dan memelihara kepentingan ekonomi dan perdagangan mereka. Bangsa Portugis mempunyai agenda yang lebih gasar: mereka datang utnuk memerangi Islam di rantau ini, kerana itulah bangsa Portugis tidak meninggalkan apa-apa ‘tamadun tinggi’ yang dapat dicontohi oleh penduduk rantau ini."

Oleh sebab itulah, BM dapat terus mengekalkan kuasanya di luar agenda Barat itu sebagai teras tamadun di seluruh rantau ini dalam zaman kuasa Inggeris dan Belanda. Lahir tamdun persuratan dan kegiatan intelektual dalam BM di Melaka (yang diwakili oleh Raja Ali Haji), di Patani, dan seterusnya sampai ke zaman Pujangga Baru di Indonesia dalam tahun 1920-an dan zaman Rashid Talu, Abdullah Sidek, Harun Aminurasyid, Syed Sheikh Al-Hadi, dan zaman Asas 50 di Singapura.

Sastera Inggeris dan kegiatan intelektual dalam bahasa Inggeris tidak wujud di rantau ini, jelas Datuk Dr. Haji Hassan Ahmad. Buku-buku ‘ilmu tinggi’ atau ‘ilmu moden’ barat dalam bidang sains dan sebagainya tidak ada diterjemahkan dalam BM dalam tahun-tahun sebelum Perang Dunia Kedua dan tahun-tahun 50-an.

"Bandingkan keadaan ini dengan keadaan dalam abad ke-17, misalnya: pada zaman itu oara pengarang Melayu di Aceh mempelajari ilmu dari dunia Islam di tanah Arab dan menterjemahkan karya-karya pemikir Islam yang agung seperti Iman Al-Ghazali dalam BM," tambahnya.
(Disiarkan di Utusan Sarawak, Khamis, 12 Julai 2007)

Puisi-puisi PHARO


KEMBALI KE TALANG-TALANG

Aku ingin kembali
bermalam di Talang-Talang
ketika bulan terang
biar kutemani penyu yang datang
membiak warisan alam
agar tenang hadir bertandang
agar malam bernyanyi girang

Aku ingin kembali
ke pulau seribu janji
ada wajah tinggal bersemi
untuk hiasi galeri seni
di sini aku pernah berjanji
pada langit pagi
akan kulukis hening mentari
yang hadir menghias langit kirmizi

Kembali ke Talang-Talang
ketika ombak kian garang
ketika malam tidak berbintang
dan penyu tidak datang
dan aku terasa malang

18 Januari 2006


SEHENING SAMUNSAM

Aku hadir berteman khuatir
menjenguk Samunsam
bicaranya bahasa kesal
bercerita tentang duka
tersimpan rahsia alam
resah rimba diperkosa
luka persada dinoda

Samunsam berwajah cangkaliwang
diracik haloba manusia
ditikam dendam saudara
dilingkari pawaka iri
membakar rimba janji
menguji dekri harmoni
terpaterikah lagi ikatan hati?

Aku hadir di batas bibirmu
menatap duka nusa
menangis wibawa
menanti depus pawana kuasa
lalu kulaungkan suara
kembalikan hening Samunsam
agar maruah kekal di hujung peta.

4 Jun 2007


MALUDAM DALAM DIAM

Dalam diam
ada malam diulam kelam
dalam payah
ada resah menyapa lelah
dalam sunyi
ada sepi mengulit mimpi
dalam diri
ada hati mengusik janji

Maludam diam
malam kelam
aku menunggu
Maludam dalam diam
membusa cinta pesisir
malam masih kelam

aku dalam keliru
memuja cinta musafir
janji sesepi mimpi

sungai mengalir biru
langit menebar awan kelabu
alam terus berzikir
insan kembali berfikir.

18 Januari 2006 – 4 Jun 2007


Disiarkan di Stail Utusan Sarawak, 5 Julai 2007