Sebelum Zohor penuh humor

RADIN AZHAR AHMAD

PEMENTASAN Teater Berkala anjuran Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Sarawak kembali. Satu berita yang begitu dinanti-nantikan oleh khalayak teater Sarawak, khususnya sekitar bandar raya Kuching. Untuk itu, pada 15 Mac ini, gabungan artis lama dan baru melalui Kumpulan Sanggar Teater Akar akan membuka gelanggang pementasan dengan mementaskan ‘Sebelum Zohor’.

Satu tajuk dengan penuh keagamaan, tetapi memaparkan banyak unsur humor dalam setiap gerak-geri lakonan. Menurut Pengarahnya, Ali Mohamad, drama pentas yang diadaptasikan daripada skrip ‘Kasanova’ karya Kalam Hamidi ini dari awal pementasan hingga akhir akan memaparkan latar belakang padang pasir.

“Walaupun berlatarbelakangkan padang pasir, namun drama pentas ini begitu dekat dengan kehidupan di sekeliling kita. Suasana ini diolah sesuai dengan kehidupan kita. Banyak konflik yang wujud.

“Teater ini tidak mengetengahkan kesan khas dan sebagainya. Sebaliknya, abang melihat teater ini sebagai drama pentas yang lebih berbentuk hiburan. Jadi, audiens yang hadir nanti pasti akan terhibur dengan gerak lakon di atas pentas kelak,” katanya.

Sehubungan itu, Ali mengharapkan setiap ahli produksi melaksanakan tugas (mementaskan teater) Sebelum Zohor dengan niat yang murni, dan tidak mengambil kesempatan untuk menonjolkan diri.

“Ini bukan sahaja kepada ahli produksi teater ini. Sebaliknya kepada mereka yang terlibat dalam dunia teater. Teater adalah bidang yang kita minati dan dilaksanakan secara sukarela. Apabila kita suka, maka kita akan rela melakukannya.”

Ali mengharapkan kerjasama yang sebaik mungkin daripada penggiat teater agar menjayakan Pementasan Teater Berkala dengan sempurna. “Berjayanya pementasan bukan kerana hero, sebaliknya adalah disebabkan kerjasama semua.”

Sebelum Zohor akan dipentaskan di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, 15 Mac ini, jam 8.00 malam. Semua penggemar teater dijemput hadir. Kemasukan adalah percuma.

Melihat kepada sinopsi, cerita rekaan ini berbentuk komedi yang mengisahkan seorang guru agama yang fanatik. Mempunyai seorang anak bernama Zulkifli yang mendapat pendidikan di Sekolah agama di Mesir. Zulkifli baru sebulan bekerja sebagai Ustaz di salah sebuah sekolah agama di bandar raya Kuching.

Pun demikian, kerana minat dan berbakat, Zulkifli telah melibatkan diri dalam kumpulan teater dan terpilih sebagai pelakon utama dalam teater berjudul Kasanova.

Ketika gambar Zulkifli tersiar dalam akhbar dan majalah untuk publisiti, dia menggemparkan penduduk kampungnya terutama keluarganya dan keluarga tunangnya.

Untuk mengatasi masalah iaitu bagi mengelakkan Zulkifli jatuh hati kepada heroin teater yang bernama Siti Norbaya seperti tersiar dalam akhbar, maka keluarga kedua-dua belah pihak bersetuju memanggil Zulkifli pulang segera. Alasan yang diketengahkan ialah ayahnya “meninggal dunia” melalui panggilan telefon daripada ibunya sendiri, Mak Busu.

Apabila Zulkifli pulang, mereka merancang menangkap dan memaksa dia dinikahkan dengan tunangnya, Siti Maryam.

Namun rancangan “kawin tangkap” itu digagalkan oleh sahabat karib Zulkifli bernama Lebai Kidam. Dia terlebih dahulu menghubungi Zulkifli tanpa pengetahuan ayah dan ibunya.

Ketika Zulkifli pulang dengan Siti Borbaya semua terperanjat besar. Lebih-lebih lagi Zulkifli mengisytiharkan “Siti Norbaya” itu isterinya dan meminta Siti Maryam dimadukan. Majlis menjadi gempar. Siti Maryam dan keluarganya lari meninggalkan majlis. Ayah Zulkifli diserang sakit jantung lalu meninggal dunia.

Pelakon drama pentas ini ialah Ali Mohamad, Wezan Saili, Sarina Ibrahim, Dayang Rejemah.

(Utusan Sarawak, 13 Mac 2008)

Peraduan Menulis Esei Bahasa

BERSEMPENA sambutan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak akan menganjurkan Peraduan Menulis Esei Bahasa bermula sekarang hingga 1 Ogos depan.

Pemangku Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Jiso Rutan berkata, peraudn tersebut bermatlamat untuk mencungkil dan menggalakkan perkembangan bakat penulisan, khususnya yang berbentuk ilmiah dalam kalangan penulis tempatan.

Menurutnya, matlamat kedua ialah untuk memberi kesedaran dan menanamkan semangat tentang kepentingan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, bahasa intelektual dan bahasa perpaduan.

Ketiga katanya, untuk memperkayakan khazanah ilmu khususnya yang berkaitan isu-isu bahasa dalam bahasa kebangsaan di negeri ini.

Sementara, matlamat keempat ialah untuk memupuk dan mengembangkan upaya kreativiti dan daya fikir kritis penulis dalam mengupas isu-isu bahasa.

Esei katanya, adalah penulisan dalam bentuk prosa yang biasanya ringkas, mengenai sesuatu tajuk.

“Pada umumnya, esei dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu esei formal dan tidak formal. Semua lisan yang disebut esei dapat dikenal melalui bentuknya yang ringkas dan mengenai satu tajuk tertentu sahaja.

“Penulisan yang tergolong sebagai esei formal memperkembangkan persoalannya secara logik. Sementara, penulisan bersifat tidka formal dikaitkan dengan pendapat penulis secara beas, selalunya berdasarkan sentimen dan imaginasi sahaja,” katanya.

Peraduan ini terbuka kepada rakyat Malaysia yang bermastautin di Sarawak serta penduduk asal negeri ini yang beradai di luar negeri/negara.

Esei mestilah bergbentuk esei formal yang berkisar tentang isu dan perkembangan bahsa kebangsaan di Sarawak khasnya dan juga di Malaysia amnya.

Esei hendaklah sesuai untuk bacaan umum dan tidak menyentuh perkara-perkara yang boleh dianggap sensitif dan boleh menyinggung perasaan mana-mana kaum, kepercayaan dan budaya di negeri ini.

Esei sebaik-baiknya hendaklah bertaip jarak dua langkay dengan menggunakan bahasa Melayu dan panjangnya hendaklah tidak kurang daripada 4,000 patah perkataan atau 15 halaman kertas A4.

Setiap peserta boleh menghantar tidak lebih daripada dua esei. Esei yang dihantar untuk peraduan ini tidak akan dikembalikan.

Nama peserta jangan ditulis pada halaman esei tetapi hendaklah ditulis dalam borang penyertaan sahaja.

Penganjur berhak untuk menerbitkan atau menyiarkan penyertaan (esei) yang dipilih, dan dalam berbuat demikian, berhak penyuntingan atau pindaan yang difikirkan perlu ke atas esei berkenaan.

Esi yang telah dihantar menyertai peraduan ini tidak boleh dihantar kepada penerbit atau pihak lain tanpa mendapat persetujuan penganjur peraduan ini terlebih dahulu.

Esei hendaklah karya asli peserta, bukan diciplak daripada karya orang lain dan belum pernah disiarkan di mana-mana. Peserta mesti bersedia untuk memperakukan keaslian esei yang dihantar itu.

Semua penyertaan mesti dalam bentuk salinan pertama, bukan salinan foto atau salinan karbonnya.

Semua penyertaan yang menepati syarat peraduan ini akan dihakimi oleh panel hakim bebas yang akan dilantik oleh penganjur. Keputusan panel hakim adalah muktamad.

Pemenang pertama akan menerima RM2,500, kedua (RM2,000), ketiga (RM1,500), dan tiga penerima hadiah sagu hati masing-masing akan menerima RM350.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Haji Shantrol Abdullah atau Marriya Yusup di talian 082-444711.

(Utusan Sarawak, 13 Mac 2008)


Kota budaya, citra sejagat: Kota bernama Malaysia

Sambungan minggu lepas

“… jika kita lihat aspek sejarah di Malaysia pula, latar belakang masyarakat majmuk kita dipengaruhi oleh elemen-elemen penjajahan dan pengalaman keperitan hidup masyarakat Tanah Melayu menjadi asas pegangan dan perpaduan di Malaysia,” kata Mohd Azri Ibrahim.

Katanya, pengalaman dijajah oleh Portugis, Bugis, Jepun dan British telah mengajar untuk bangkit dan bersatu-padu menuntut kemerdekaan dan seterusnya berusaha memajukan negara Malaysia.

“Perjuangan menentang penjajah dan permuafakatan politik antara kaum di Tanah Melayu adalah kunci kejayaan masyarakat majmuk di Malaysia dalam membentuk sebuah negara yang maju dan nilai-nilai hidup serta budaya yang dikongsi bersama serta dapat diterima oleh nasyarakat luar.”

Menurutnya, tidak salah jika dikatakan negara bangsa di Malaysia masih belum wujud dan masih dalam proses pembinaan.

“Jika Wawasan 2020 menjadi kenyataan, maka Malaysia masih ada masa untuk menyaksikan kewujudan negara bangsa (negara maju yang didokong oleh penerimaan masyarakat majmuk dan amalan budaya yang pelbagai) di Malaysia.

“Namun dalam pembinaan ini, kita sudah lihat kejayaan-kejayaannya seperti dalam aspek politik. Malaysia adalah antara negara yang paling berjaya dalam mengamalkan permuafakatan politik.”

Aspek Budaya

Jika dilihat dalam aspek sosial dan budaya, pelbagai program yang berbentuk nasional telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan program-program ini mendapat sambutan yang menyeluruh daripada semua kaum dan lapisan masyarakat di Malaysia.

“… rumah terbuka yang menjadi amalan setiap perayaan di Malaysia; setiap perayaan yang berasaskan kaum sedia menerima kunjungan tetamu yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaan.

“Ini menunjukkan bahawa walaupun masyarakat Malaysia mempunyai pelbagai kaum dan kepercayaan, namun perasaan kecintaan terhadap Malaysai cukup mendalam,” jelasnya.

Daripada huraian itu, Mohd Azli Ibrahim menjelaskan, jelas bahawa negara Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum, budaya dan kepercayaan tetapi pada masa yang sama mempunyai banyak persamaan yang dapat dikongsi bersama oleh anggota masyarakat majmuk di negara ini.

“Penerimaan ini bermakna, nilai-nilai dan budaya hidup masyarakat di Malaysia telah dapat diterima oleh keseluruhan masyarakat di dunia; dalam semua aspek seperti politik, sejarah, budaya, sastera dan sebagainya.

“Oleh itu, aspek-aspek inilah yang menjadi asas kepada penyatuan masyarakat di Malaysia dan ditambah dengan membudayakan nilai-nilai dan cara hidup berdasarkan kepada kepelbagaian etnik di Malaysia.

“… dan ini diharapkan akan dapat menjadi pegangan setiap masyarakat di Malaysia tanpa mengira kaum bagi memastikan pembentukan negara bangsa dan kota Malaysia yang sempurna menjadi kenyataan.”

Pada masa yang sama katanya, peranan Malaysia dan masyarakat Malaysia juga dapat memainkan peranan yang penting di pentas global.

Ini kerana nilai-nilai dan budaya majmuk yang diamalkan di Malaysia boleh diterima pakai untuk masyarakat tempatan dan juga untuk masyarakat antarabangsa.

“… penerimaan ini boleh dianggap berbentuk sejagat tanpa mengira sempadan negara, bangsa, kepercayaan dan keturunan.

“Ini kerana yang lebih penting ialah budaya dan cara hidup masyarakat kota di Malaysia dapat menyumbang kepada kebaikan negara Malaysia dan negara-negara luar,” jelasnya.

(Utusan Sarawak, 6 Mac 2008)

DBP anjur pelbagai peraduan

DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak akan menganjurkan Peraduan Menulis/ Mengisahkan Semula Cerita Rakyat, Peraduan Menulis Esei Bahasa bersempena Bulan Bahasa dan Sastera Negara, Peraduan Menulis Sastera Kreatif Pelajar Sekolah Menengah 2008 kategori Cerpen, Peraduan Menulis Puisi 2008 serta Hadiah Penulisan dan Penerbitan Majalah Sekolah Menengah Negeri Sarawak 2007.

Pemangku Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Jiso Rutan berkata, Peraduan Menulis/ Mengisahkan Semula Cerita Rakyat diakan dengan tujuan untuk memperoleh bahan cerita dalam bentuk bertulis untuk tujuan penerbitan, sama ada dalam bentuk buku atau makalah.

“Di samping itu, ia sebagai usaha pendokumentasian dan usaha menanam dan memupuk semula minat serta penghayatan orang ramai terhadap warisan sastera rakyat yang terdapat dalam pelbagai masyarakat dan budaya di negeri ini.

“Serta untuk menggalakkan bakat dalam penulisan semula bahan-bahan sastera rakyat,” katanya pada sidang media di DBP Cawangan Sarawak, semalam.

Menurutnya, cerita rakyat yang dikehendaki katanya, merupakan cerita asal-usul meliputi cerita seperti cerita asal-usul tempat (nama tempat), kejadian, benda/objek, amalan budaya dan sebagainya.

Tarikh tutup penyertaan ialah pada 31 Disember 2008.

Peraduan Menulis Esei Bahasa bersempena Bulan Bahasa dan Sastera Negara katanya pula diadakan untuk mencungkil dan menggalakkan perkembangan bakat penulisan khususnya yang berbentuk ilmiah dalam kalangan penulis-penulis tempatan.

Kedua, untuk memberi kesedaran dan menanamkan semangat tentang kepentingan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, bahasa intelektual dan bahasa perpaduan.

Ketiga, untuk memperkayakan khazanah ilmu khususnya yang berkaitan isu-isu bahasa dalam bahasa kebangsaan di negeri ini.

Keempat, untuk memupuk dan mengembangkan upaya kerativiti dan daya fikir kritis penulis dalam mengupas isu-isu bahasa.

Tarikh tutup penyertaan ialah pada 1 Ogos 2008.

Peraduan Menulis Sastera Kreatif Pelajar Sekolah Menengah 2008 kategori Cerpen yang turut dianjurkan bertujuan untuk mencungkil dan memupuk bakat dalam bidang penulisan daripada kalangan pelajar dan penulis muda.

“Serta menggalakkan minat terhadap bidang penulisan kreatif khususnya, serta mendapatkan bahan atau karya yang bermutu untuk tujuan dokumentasi dan penerbitan.

“Penyertaan untuk peraduan ini terbuka kepada semua pelajar sekolah menengah di Sarawak. Tema adalah bebas, tetapi hendaklah sesuai untuk bacaan umum dan tidak menyentuh perkara-perkara yang boleh dianggap sensitif dan boleh menyinggung perasaan mana-mana kaum, kepercayaan dan budaya di negara ini.”

Tarikh tutup penyertaan ialah pada 30 Jun 2008

Peraduan Menulis Puisi 2008 yang juga tarikh tutup penyertaan pada 30 Jun 2008 dianjurkan dengan objektif untuk mendapatkan bahan yang bermutu daripada para penulis bagi tujuan dokumentasi dan penerbitan.

Seterusnya, mencungkil bakat dalam bidang penulisan puisi daripada kalangan penulis Sarawak, serta menggalakkan minat terhadap penulisan puisi dalam kalangan penulsi di negeri ini.

Sementara Hadiah Penulisan dan Penerbitan Majalah Sekolah Menengah Negeri Sarawak 2007 diwujudkan untuk mencungkil bakat penulisan di kalangan pelajar dalam bahasa Melayu, menggalakkan dan memupuk minat pelajar dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif.

Selain itu, menggalakkan usaha yang bersungguh-sungguh di kalangan pelajar dalam penerbitan majalah sekolah yang bermutu.

Juga untuk memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada usaha pemupukan minat dan bakat para pelajar yang berkebolehan menghasilkan karya-karya yang bermutu, yang juga sebahagian daripada khazanah sastera dan ilmu negara serta penghargaan dan pengiktirafan kepada usaha pihak sekolah menerbitkan majalah sekolah yang bermutu.

“Hanya majalah tahunan rasmi sekolah terbitan tahun semasa yang layak dipertimbangkan. Jika majalah berkenaan diterbitkan dalam lebih daripada satu bahasa (pengantar), salah satu bahasanya mestilah berbahasa Melayu, dan kandungan bahasa Melayunya mestilah sekurang-kurangnya 60 peratus.”

Tarikh tutup penyertaan ialah pada 2 April.

Borang boleh didapati di DPP Cawangan Sarawak atau muat turun melalui laman wed di alamat http://www.dbp.gov.my.

(Utusan Sarawak, 6 Mac 2008)

Teater Berkala 2008 kembali


RADIN AZHAR AHMAD

DALAM memperkasakan pembangunan bidang seni pentas, impak yang positif dapat dikesan kebelakangan ini apabila didapati bertambahnya bilangan kumpulan yang terlibat dan pertambahan individu baru dalam suatu produksi.

“Malah, program ini bukan saja mensasarkan kepada kumpulan yang profesional tetapi memberi peluang kepada kelompok amatur juga,” kata Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian Warisan Sarawak, Chua Tek Luwi.

Katanya, “Di samping itu, perkembangan yang positif dapat dikesan apabila semakin bertambah jumlah penonton yang hadir menyaksikan setiap persembahan.”

Menurutnya, itu petanda baik kepada penggerak seni budaya tanah air agar terus berkaya dan menambah koleksi sama ada dalam bentuk pengarahan, skrip dan pelakonnya.

“Daya cipta dan kreativiti yang tinggi harus dituntut dan diadunkan dalam bentuk persembahan agar bersesuaian dengan citarasa dan relevan pada akal fikiran mereka.”

Bidang teater di Sarawak katanya, masih jauh ketinggalan dari segi popularitinya jika dibandingkan dengan negeri di Semenanjung.

“Ini kerana dipengaruhi faktor sebaran maklumat yang terhad kepada masyarakat,” tambahnya.

Maka, dengan itu memperbanyakkan bilangan pementasan sepanjang tahun yang bermula dari tahun 2007.

Kemunculan Pementasan Teater Berkala 2008 jelasnya, akan menjadi satu ruang kepada kumpulan-kumpulan teater di negeri ini untuk terus bergerak aktif untuk persediaan Festival Teater Malaysia Peringkat Negeri yang diadakan secara dwi tahunan.

“Di samping itu, inilah pendekatan terbaik untuk masyarakat menonton dan seterusnya mengenali secara dekat jenis pementasan teater yang diadakan secara bulanan.

“Setiap kumpulan harus menanam tekad yang tinggi untuk mengangkat karya-karya mereka tidak mustahil suatu hari sampai setaraf dengan pementasan tahap Istana Budaya.”

Objektif pementasan teater berkala ialah,
i. Bidang teater diangkat untuk merakyatkan seni budaya bangsa Malaysia;
ii. Sebagai melahirkan pelapis penggerak teater generasi baru;
iii. Untuk menjalinkan kerjasama dan semangat muhibah antara ahli kumpulan;
iv. Menambahkan bilangan penglibatan penganjuran egensi kerajaan, badan berkanun, kerajaan tempatan dan pihak korporat; dan,
v. Mengangkat bidang teater sebagai elemen media hiburan, kritikan sosial, pembelajaran dan pembentukan disiplin.

Katanya, program itu merupakan program kesinambungan Pementasan Teater Berkala 2007.

“Semoga penglibatan kumpulan ini akan melahirkan lebih ramai bilangan penggiat teater yang berkebolehan dari ilmu pengarahan, penulisan, penulis nashkah skrip baru, lakonan dan penyediaan prop atau set.

“Sokongan daripada berbagai pihak amatlah diharapkan untuk memartabatkan perkembangan berterusan bidang teater di negeri ini,” katanya.

(Utusan Sarawak, 6 Mac 2008)

Kota budaya, citra sejagat: Kota bernama Malaysia

RADIN AZHAR AHMAD

KOTA yang dihuni oleh kepelbagaian kaum dan budaya sebenarnya adalah bangsa Malaysia yang hidup berteraskan kepada nilai-nilai kenegaraan dan kehidupan yang dikongsi bersama, kata Mohd Azri Ibrahim menjelaskan Kota Budaya, Citra Sejagat Masyarakat Majmuk Malaysia di Pentas Global.

“Ini bermakna, proses kehidupan masyarakat adalah berteraskan kepada peraturan dan undang-undang sebagai garis panduan kepada setiap rakyat Malaysia untuk menjalani kehidupan bernegara dan bermasyarakat. Juga, pada masa yang sama ditadbir oleh jentera pentadbiran negara yang diiktiraf dan terbukti berjaya.”

Di samping itu jelasnya, kejayaan kota (Malaysia) dan perkongsian budaya yang harmoni dapat memastikan penerimaan masyarakat antarabangsa terhadap nilai-nilai dan budaya yang dianggap sebagai citra sejagat dan cara hidup yang sempurna di Malaysia.

“… penulis ingin menegaskan dan menjelaskan bahawa penekanan ialah Malaysia yang dianggap sebagai kota mempunyai anggota masyarakat yang pelbagai kaum dan amalan budaya yang berbeza-beza.

“… tetapi, kehidupan kota di Malaysia adalah berada dalam keadaan yang membanggakan, baik di peringkat Malaysia. Juga dapat membantu ke arah mewujudkan sebuah kota dengan nilai dan amalan budaya yang dapat diterima pakai di peringkat global (penerimaan yang berbentuk sejagat).”

Menurutnya, matlamat negara ke arah pembinaan bangsa di Malaysia merupakan satu matlamat yang baik dan seharusnya mendapat sokongan daripada semua lapisan masyarakat.

Cabaran pertama dalam Wawasan 2020 katanya, jelas bermatlamatkan “mewujudkan sebuah negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang serupa dan dikongsi bersama.

“Ia mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, bekerjasama sepenuhnya, secara adil dan didokong oleh satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.”

Usaha kerajaan mewujudkan sebuah negara Malaysia yang maju di samping perkongsian nilai-nilai budaya kebangsaan harus dilihat dalam konteks pendekatan politik Malaysia, tambahnya.

“Ini bagi memastikan fahaman tentang matlamat ini lebih jelas dan langkah-langkah yang lebih pragmatik dapat diambil.

“Pendekatan etnik (masyarakat majmuk dan mempunyai pelbagai budaya) dilihat sebagai pendekatan yang popular dan relevan dengan iklim politik Malaysia.

“Sejarah pengkajian politik dan mayarakat Malaysia menunjukkan pendekatan ini masih dominan. Signigfikannya pendekatan ini telah mempengaruhi dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan dan isu-isu yang dibangkitkan dalam negara.”

Pendekatan etnik dalam politik Malaysia adalah perlu difahami bagi merealisasikan matlamat pembinaan negara bangsa yang didokong oleh keharmonian hidup rakyat yang berbilang bangsa, keturunan, budaya, agama dan sebagainya.

Kata Mohd Azri, “Ini kerana pemisahan kaum dan konflik dalam sesebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia harus dikurangkan atau dihapuskan. Sentimen primordial yang kuat dalam diri sesuatu kaum tidak harus melangkaui batas kepentingan negara.”

Pembinaan bangsa katanya, adalah satu proses jangka panjang dalam mewujudkan integrasi politik dan proses itu berlanjutan dari masa ke masa.

Tujuan pembinaan bangsa ini adalah untuk memastikan bangsa itu terus kekal dalam keadaan yang sepadu, sejahtera dan tenteram. Matlamat ini seharusnya dapat dikongsi bersama dalam bentuk kesetiaan dan rasa kecintaan terhadap bangsa Malaysia yang mendalam, katanya.

“Sesungguhnya senario yang dilalui oleh negara dan bangsa Malaysia dewasa ini adalah akibat daripada proses sejarah yang telah berlaku sehingga kini.

“Jika dilihat pada struktur politik negara, sekalipun sistem demokrasi berparlimen menjadi amalan negara, namun citra pemerintahan adalah berbeza dengan negara lain.

“Malaysia mempraktikkan pemilihan Yang Dipertuan Agong yang tidak berlaku di mana-mana negara lain. Begitu juga, Malaysia mempunyai perlembagaan yang dapat diterima oleh seluruh rakyat Malaysia dan menjunjung rukun negara iaitu Keluruhan Perlembagaan.”

Penerimaan rakyat Malaysia (bangsa Malaysia yang pelbagai kaum dan budaya) katanya, adalah positif, iaitu bangsa Malaysia menerima ketertiban perlembagaan (termasuk isi kandungannya) sebagai pegangan asas berbanding perasaan perkauman atau berteraskan identiti sesuatu kaum.

Aspek sastera tambahnya, turut membuktikan bahawa Malaysia adalah sebuah negara kota yang sangat menekankan aspek karya dalam penulisannya.

Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu telah memperkatakan beberapa konsep penting seperti daulat, tulah, derhaka, setia dan sebagainya.

“Konsep ini masih cukup kuat pegangannya dalam masyarakat Melayu terutamanya yang berkaitan dengan hubungan orang Melayu dengan raja dan pemerintah.

“Malah aspek budaya seperti budaya atau adat merisik, meminang, perkahwinan, berkhatam, dan sebagainya ada dalam karya tersebut.

“Malah nilai-nilai adat atau budaya yang berteraskan Islam ada juga dinyatakan dalam karya tersebut. Dengan ini jelas bahawa nilai budaya dan adat yang ditonjolkan dalam karya di atas adalah bersifat kemasyarakatan (tanpa mengira kaum dan agama) dan ternyata nilai-nilai budaya tersebut dapat ditonjolkan kepada masyarakat luar atau bersifat universal.”

Jika dilihat karya Senjakala, jelas bagaimana nilai kasih sayang seorang ayah terhadap anak dan seorang anak terhadap ayah adalah pada tahap yang cukup tinggi.

“Ini bermakna, budaya masyarakat adalah baik dan ia dapat diterima oleh semua masyarakat baik di Malaysia atau di peringkat sejagat. Oleh itu, nilai kasih sayang seharusnya sentiasa diserapkan di dalam diri seseorang warganegara baik terhadap dirinya sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.”

Jelasnya, antologi puisi Kota Asas Tamadun Bangsa dan Kota Kita Wajah Kita banyak memaparkan sebagaimana sebuah kota mempengaruhi kehidupan dan budaya sesebuah kota.

Nilai seperti kerakusan, kemelaratan, kemiskinan, kepayahan, kesombongan, kealpaan dan sebagainya banyak dipaparkan sebagai nilai yang bertentangan dengan budaya dan cara hidup masyarakat di Malaysia.

“Namun begitu, budaya dan nilai-nilai yang dianggap positif dan bersifat sejagat banyak juga dinyatakan dalam karya tersebut seperti kasih sayang, keberanian, keinsafan, ketabahan, kekeluargaan, keagamaan dan sebagainya.

“… ini jelas membuktikan bahawa budaya dan nilai-nilai hidup masyarakat kota atau masyarakat majmuk di Malaysia adalah baik dan boleh dijadikan contoh. Manakala yang tidak baik seharusnya menjadi ingatan kepada masyarakat kota.”

Bersambung

(Utusan Sarawak, 28 Februari 2008)

Karya sastera tebalkan integriti budaya

RADIN AZHAR AHMAD

KARYA sastera yang tertuang melalui bahasa apa-apa pun termasuk bahasa Melayu menjadi wadah integrasi budaya. Karya sastera adalah satu bentuk budaya karya berupa lisan mahupun tertulis yang berupa dongeng, novel, puisi, prosa dan sebagainya yang merupakan hasil sasterawan baik individu, kelompok atau tradisi turun-menurun.

“Di luar arus utama, tertulis yang kita sebut klasik di Indonesia, sebahagian besar cerita dan nyanyian rakyat masih hidup dan tinggal sebagai bentuk sastera lisan sampai kini,” kata Drs. Fl. Sudiran S.PD.

Menurutnya, banyak jenis sastera itu telah dirakam dalam tulisan selama puluhan tahun, tetapi sebahagian besar masih tergolong dalam karya tidak tertulis yang tersimpan dalam ingatan pencerita dan pembaca puisi profesional atau amatur yang hanya boleh dinikmati apabila mendengarnya.

“Tidak dilebih-lebihkan, jika dikatakan bahawa ribuan bahan sastera lisan epik dan lirik masih ada sebagai hasil budaya yang hidup terucap dalam bahasa yang ratusan jumlahnya di Indonesia, khususnya dalam kelompok masyarakat di pedalaman yang belum tertembus oleh lalu lintas moden.

“Sedangkan banyak masyarakat di deda dan kota kecil menentukan pola kehidupan di Indonesia. Sebanya, 80 peratus penduduk Indonesia tinggal di luar daerah kota. Kita dapat mengabaikan sastera lisan. Bagaimanapun, kita akan menyakini betapa pentingnya apabila kita melihatnya secara sempit dari sudut sastera ataupun lebih luas dari sudut kebudayaan.”

Sastera lisan katanya, dapat dipandang sebagai langkah pertama ke arah perkembangan sastera yang lebih dikenali oleh penghuni kota.

“Caranya, sastera lisan memandang orang, alam dan masyarakat. Kita temukan juga kesahajaan itu pada bentuk pengucapannya, seperti perulangan dinamik estetik dasar yang terkandung dalam bahasa.

“Daya tarik dan kesahajaannya adalah ciri yang mempesonakan dari sastera lisan yang harus diperhatikan dalam menilai sastera,” tambahnya.

Sastera lisan jelasnya, merupakan langkah pertama ke arah bentuk pengucapan sastera yang lebih arif.

Menurut sejarahnya, Drs. Fl. Sudiran S.PD menjelaskan, sastera lisan adalah sejenis sastera yang harus diketengahkan sebelum memasuki daerah khas saster, iaitu daerah sastera tertulis.

Katanya, “Indonesia mempunyai tradisi sastera tertulis yang lama, tetapi untuk memperoleh pengetahuan yang lengkap kesusasteraan pada umumnya sastera lisan harus dieprlakukan sebagai salah satu bahagian yang penting.”

Dilihat dari sudut kebudayaan katanya, sastera lisan adalah pengucapan yang langsung dan serta-merta dari jiwa rakyat biasa yang merupakan lapisan bawah masyarakat.

Kerana itu tambahnya, persamaan pada tema dan gaya dapat ditemukan antara sastera lisan yang berasal dari daerah yang berlainan.

“Dapat diduga bahawa kesamaan itu mungkin ada, tidak sahaja di dalam wilayah Indonesia, tetapi juga dalam lingkungan ASEAN.

“Perbandingan antara cerita rakyat, jenis-jenis puisi, teka-teki dan peribahasa yang ada dalam sastera lisan di negara-negara ASEAN tentu akan menghasilkan keterangan yang menarik mengenai kaitan budaya dan sastera bangsa kita,” ujarnya.

Kumpulan sastera lisan meliputi wilayah yang luas; dari sebelah barat Sumatera hingga bahagian paling timur Indonesia, iaitu Irian Jaya, dan dari selatan, Roti hingga daerha paling utara, Sulawesi, katanya.

“Di samping bertujuan untuk menunjukkan penyebaran sastera lisan di daerah yang luas, perkembangan sastera lisan di Indonesia sampai batas yang paling jauh diharapkan dapat memprlihatkan kaitan yang ada antara sastera lisan di negara ASEAN.

“Kaitan serta persamaan dengan sastera lisan yang berkembang di Malaysia, yang mempunyai dasar pemakaian bahasa yang sama dengan daerah berkebudayaan Melayu di Indonesia cukup jelas.

“Perbandingan antara sastera lisan di negara-negara ASEAN yang lain mungkin akan menimbulkan keinsafan yang sama, iaitu kita memiliki persamaan sekalipun kebudayaan kita berbeza,” jelasnya.

(Utusan Sarawak, 28 Februari 2008)





Modeniti lahirkan keteraturan sosial

RADIN AZHAR AHMAD

“JIKA kita meneliti pendapat yang dikemukakan oleh Lyotard, Derrida dan Foucault, kita dapat merasakan tanggapan dan sikap yang agak berbeda terhadap modernity dan grand narrative.”

Ini apa yang diperkatakan olah Dr. Kamaruddin M. Said menjelaskan Penyuburan Pembinaan Teori dan Kritikan Sastera Timur-Barat di Kalangan Khalayak Sastera tidak lama dahulu.

Katanya, “Lyotard menanggapi modeniti sebagai satu situasi yang telah melahirkan keteraturan sosial (social order) apabila masyarakat Barat berupaya melahirkan naratif aliran utama atau falsafah besar yang berteraskan rasionaliti yang terbika sejak zaman Pencerahan.”

Naratif aliran utama ini jelasnya, sebagai satu totaliti, terhasil dalam bentuk kelahiran perlembagaan, kapitalisme moden, faham demokrasi, dan orientasi nilai sepunya yang dibentuk oleh pelbagai institusi sosial.

“Tetapi Loytard tidak terlalu ‘menyalahkan’ atau melakukan sesuatu untuk menolak naratif aliran utama ini kerana beliau bukanlah seorang aktivis yang memusuhi naratif ini.

“Beliau hanya menyatakan bahawa kondisi pascamoden yang sedang muncul akan melahirkan pelbagai naratif kecil, yang mungkin tidak selari dengan naratif aliran utama, semata-mata kerana kondisi sosial, dan penghasilan serta penyebaran ilmu pengetahuan sedang mengalami perubahan,” katanya.

Derida katanya, memusatkan falsafah dan kegiatan ilmiahnya untuk mendekonstruksikan naratif aliran utama kerana beliau benci kepada logocentrism.

Derida ialah seorang aktivis yang memperkenalkan sikap serta tata cara untuk mencari dan mendedahkan kepincangan wacana sesebuah teks terhasil oleh logocentrism Barat.

“… dan Foucault lebih memusatkan perhatian kepada kelemahan discursive discourse yang juga terhasil oleh naratif aliran utama. Namun begitu, kelebihan Foucault ialah bahawa beliau telah menghasilkan wacananya sendiri mengenai ‘permasalahan” yang tidak diwacanakan oleh naratif aliran utama.”

“Permainan” pascamoden ini jelasnya, masih berterusan dan tidak pasti apakah kesudahannya.

Beberapa persoalan masih belum terjawab. Apakah kondisi pascamoden ini akan mengglobal sepenuhnya? Apakah modeniti benar-benar akan digantikan oleh pascamodentiti secara zero-sum? Apakah pascamoden akan dikalahkan oleh agenda pembinaan negara bangsa oleh kumpulan yang mempunyai kepentingan strategik?

Apakah naratif besar yang mempertahankan sistem nilai dan moral tertentu akan benar-benar dikalahkan oleh naratif pascamoden? Benarkah bahawa kesemua nararif moden itu bersifat diskursif? Apakah modentiti benar-benar menghalang komponen budaya “yang lain” daripada persembunyiannya?

“Pelbagai persoalan ini hanya dapat dijawab menerusi penyelidikan yang berterusan. Apa yang ingin saya katakan ialah bahawa dalam konteks masyarakat kecil, bekas tanah jajahan, dan sedang mengisi zaman kemerdekaannya dengan pelbagai strategi pembangunan dan pembinaan naratif kebangsaan seperti Malaysia, kondisi pascamoden yang lahir adalah begtu ekslusif, urban dan beriroentasikan pengalaman antarabangsa.”

Kondisi pascamoden masyarakat yang sedang mengindustri ini ujarnya, tidak mencetuskan satu bentuk keghairahan intelektual untuk mendekonstruksikan naratif aliran utamanya (yang tidak bersifat diskursif), tetapi lebih cenderung memberikan ilham baru kepada para pengarangnya untuk menghasilkan teks pascamoden sebagai satu bentukmainan intelektual.

“Mainan intelektual dan kepengarangan ini mendapat isinya daripada pengalaman ketika berada di luar negara, seperti yang diperlihatkan oleh Arena Wati dan Anwar Ridhwan,” tambahnya.

Pengertian pasamoden

Walaupun agak sukar untuk mentakrifkan dengan tepat apakah yang dimaksudkan pascamoden, sebenarnya terdapat enam maksud umum yang dikaitkan dengannya.

Pertama, pascamoden dikaitkan dengan satu kategori atau aliran seni yang mula muncul dalam bentuk kritikan dan perdebatan mengenai terbatasnya ruang lingkup modenisme dalam bidang arkitektur, dan kemudiannya menjangkit kepada bidang seni tampak dan kesusasteraan.

“Aliran seni pascamoden ini dianggap sebagai kelahiran baru dari segi bentuk dan genre yang mencampur-gaulkan pelbagai gaya daripada pelbagai budaya atau zaman. Oleh itu, seni pascamoden dikatakan bersifat leluasa dan bebas daripada ikatan kontekstualitinya,” kata Dr. Kamaruddin M. Said.

Kedua, pascamoden dikaitkan dengan penamatan satu era terdahulu, iaitu era moden, yang telah menghasilkan serta (hanya) mengiktiraf naratif aliran utama yang didakwa relevan pada tahap universal dan yang bermotifkan emansipasi manusia.

“Oleh itu, kelahiran pascamoden dianggap sebagai satu era baru yang meraikan penemuan atau penemuan semula natarif “lain” serta “kelainan” masing-masing yang selama ini telah terpinggir (atau dipinggirkan oleh naratif aliran utama moden).”

Ketiga, pascamoden dikaitkan dengan kelahiran “falsafah baru”, iaitu falsafah contra modernism yang di Perancis dalam dekad ketika golongan intelektual Perancis berhadapan dengan pelbagai kesan yang ditimbulkan oleh peperangan Algeria menentang kolonialisme Perancis (1945-1962), yang dianggap begitu bertenaga mengemukakan tafsiran alternatif terhadap pelbagai aspek kehidupan manusia dan masyarakat.

Keempat, pascamoden dikaitkan dengan kelahiran late capitalism (kapitalisme tahap terkini) yang ditandai oleh kemunculan masyarakat pascaindustri, kepesatan kinsumerisme, dan pertambahan kegiatan syarikat-syarikat multi dan transnasional.

Kelima, pascamoden dikaitkan dengan fenomena galobalisasi yang melahirkan ‘desa global’ dan ‘dunia tanpa sempadan’. Proses globalisasi dikatakan telah dan sedang melahirkan pelbagai budaya global, warga global, imej global, barangan dan perkhidmatan global dan sebagainya.

“Globalisasi yang berlaku serentak dengan terjadinya revolusi terhadap teknologi maklumat dan komunikasi dikatakan telah dan sedang merobah identiti bangsa, bahasa dan budaya, malah persempadanan negara bangsa.”

Keenam, pascamoden dikaitkan dengan ungkapan ‘selepas moden’, iaitu satu proses logik yang berlaku setelah segala hasrat modeniti tercapai.

“Barangkali pengetian keenam ini tidak banyak menimbulkan keleliruan berbanding dengan yang lima di atas.

“Walaupun pengertian pascamoden ini begitu luas, wacana utama yang lazimnya ditekankan oleh kebanyakan pengkaji ialah mengenai sikap penolakan falsafah pascamoden terhadap naratif aliran utama,” katanya.

Dr. Kamaruddin M. Said. menjelaskan, wacana berkaitan kondisi, teori dan mainan pascamoden telah berlangsung di Eropah dan Amerika Syarikat selama 30 tahun.

“Oleh kerana luasnya alam semestakeilmuan yang dicakupi oleh perkataan pascamoden ini, maka kewujudannya, pengaruh, kegunaan, malah kontroversi yang ditimbulkannya sentiasa diperdebatkan oleh para sarjana daripada pelbagai disiplin akademik.

“Wacana ini yang pada mulannya melibatkan pemikiran yang dicetuskan oleh para sarjana dan ahli Falsafah Perancis seperti Jean-Francois Lyotard, Jacques Derrida dan Michael Foucault, kemudiannya telah merebah hampir ke seluruh dunia, termasuklah di negara-negara sedang mengindustri.

“Oleh itu, amat perlu diperkatakan tentang perbedaan kondusi pascamoden Barat yang asli dengan kondisi pascamoden sekunder yang muncul dalam kehidupan masyarakat yang sedang mengindustri kerana kondisi moden dan pascamoden yang berbeda ini (malah perbedaan modeniti Barat dan modeniti Dunia Ketiga), setakat ini telah melahirkan reaksi, kreativiti dan mainan keilmuan yang berbeda-beda,” tambahnya.

(Utusan Sarawak, 21 Februari 2008)


20 sertai Bengkel Penulisan Skrip Drama Radio

PESERTA Bengkel Penulisan Skrip Drama Radio merakam gambar kenang-kenangan bersama-sama pengendali bengkel serta ahli jawatankuasa Pekasa.

LEBIH 20 peserta menyertai Bengkel Penulisan Skrip Drama Radio anjuran bersama Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak di Bilik Wacana, DBP Cawangan Sarawak pada 2 Februari lalu.

Bengkel sehari itu dilaksanakan dengan inisiatif awal bagi membina dan menghasilkan skrip drama radio bagi tujuan terbitna pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak.

Dua objektif bengkel ini ialah pertama, membina karyawan yang mampu menghasilkan skrip drama radio yang baik dan bermutu, dan objektif kedua ialah menampung keperluan dan memperbanyakkan manuskrip drama radio.

Bengkel tersebut dikendalikan oleh Hazami Jahari yang merupakan Ketua Unit Pengembangan Sastera DBP Cawangan Sarawak.

Pengendali kedua ialah Dahiri Saini yang merupakan pendatang baru dalam dunia penulisan skrip. Baru-baru ini memenangi hadiah ketiga Peraduan Menulis Skrip Drama Peringkat Kebangsaan. Selain itu, beliau turut menulis novel, cerpen dan puisi.

Sementara Hajah Latifah Haji Mohd. Shebli merupakan salah seorang penulis skrip drama radio yang cukup aktif dan berkaliber, di samping menulis cerpen dan pantun. Selain skrip drama radio, giat juga menghasilkan skrip drama pentas dan drama tv.

“Kita berasa bangga dengan penyertaan ini. Sememangnya kita mensasarkan ramai penyertaan. Tetapi, apa yang kita utamakan ialah hasil. Tidak mustahil, kesemua peserta ini akan serius menghasilkan skrip drama radio selepas ini,” kata Ketua 1 Pekasa, Ja’afar Haji Hamdan.

Katanya, lebih menarik skrip yang baik dan telah dimurnikan melalui bengkel ini serta diterima oleh pihak RTM Sarawak akan dibayar (setelah tersiar) sekitar RM360.00. Skrip hendaklah bersesuaian dengan penerbitan sekitar 30 minit.

(Utusan Sarawak, Khamis, 14 Fabruari 2008)

Majlis Tahlil oleh Pekasa

SETIAUSAHA 1 Pekasa, Hajah Bibi Sabariah (kiri) bersama-sama suami meraikan kehadiran ahli-ahli Pekasa, staf DBP Cawangan Sarawak serta penduduk Kampung Siol Kandis.

TAHUN lalu, dunia sastera di Sarawak kehilangan dua insan yang begitu banyak menyumbang dalam perkembangan sastera di negeri ini Allahyarham Haji Dahlan Haji Median dan Allahyarham Sarimah Alit telah kembali kerahmatullah.

Pemergian mereka berdua juga kehilangan besar bagi Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa). Bagi mengenang perjuangan mereka dalam dunia sastera, Pekasa baru-baru ini telah mengadakan Majlis Solat Berjemaah Maghrib dan Isyak serta Doa Tahlil.

Majlis yang disertai ahli Pekasa serta jemputan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak itu diadakan di kediaman Setiausaha 1 Pekasa, Hajah Bibi Sabariah Haji Abang Awet di Kampung Siol Kandis.

“Kita mengucapkan jutaan terima kasih kepada Hajah Bibi Sabariah serta suami, Haji Johari Haji Sebli kerana sudi membenarkan kediaman mereka untuk tujuan majlis ini,” kata Ketua 1 Pekasa, Ja’afar Haji Hamdan.