BBSN membina negara bangsa

oleh RADIN AZHAR AHMAD

Pohon buluh kayu meranti,
Akarnya sasa batangnya lurus,
Patah tumbuh hilang berganti,
Perjuangan bahasa lanjutkan terus.

UMUMNYA, Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) diselenggarakan untuk mempersegar semangat kecintaan masyarakat terhadap bahasa Melayu. Juga untuk memperkukuh kembali keyakinan terhadap keupayaan dan potensi bahasa kebangsaan sebagai bahasa sosial dan perpaduan, serta bahasa ilmu dan pengucapan budaya tinggi.

BBSN yang merupakan pengisian, penjiwaan dan penghayatan Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan ini digerakkan dengan empat objektfi utama iaitu pertama, memantapkan, memperkukuh dan menyerlahkan jati diri dan citra bangsa Malaysia menerusi bahasa dan sastera kebangsaan.

Kedua, mempersegar kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa Melayu; ketiga, mengeratkan dan memperkukuh perpaduan bangsa menerusi kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan; dan keempat, menyerlahkan fungsi serta peranan bahasa dan sastera kebangsaan sebagai salah satu tonggak pembinaan tamadun bangsa dan negara.

Menurut Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dato’ Dr. Firdaus Haji Abdullah, BBSN adalah kemuncak kegiatan DBP setiap tahun untuk memperkasa bahasa dan sastera kebangsaan.

DBP katanya, telah terlibat dalam gerekan tersebut sejak zaman Allahyarham Tun Syed Nasir pada 1960-an yang terkenal dengan Gerakan Minggu Bahasa Kebangsaan.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Penangguhan BBSN Peringkat Kebangsaan di salah hotel terkemuka di Kuching, baru-baru ini yang dilakukan oleh Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.

Sepanjang hampir 40 tahun yang lalu, gerakan ini diteruskan dengan menggunakan berbagai–bagai panggilan; Minggu Bahasa Kebangsaan, Bulan Bahasa Kebangsaan, Gerakan Cintailah Bahasa Kita (1987-1996), Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (1996-2005) dan Minggu Sastera Negara (1987-1998).

Sejak 1999, gerakan ini diberi nama dan format baru, iaitu BBSN. Pada 2007 ini, BBSN mendapat status dan peranan baru sebagai satu program utama dalam teras pertama Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), iaitu Membina Negara Bangsa.

Dato’ Firdaus menjelaskan, untuk menjayakan BBSN 2007, satu sinergi dan satu bentuk kerjasama yang istimewa telah terjalin antara DBP dengan Kerajaan Negeri Sarawak, dengan merujuk kepada Majlis Penangguhan BBSN 2007 oleh Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.

Juga perlancaran Hari Semarak Bahasa di Stadium Bandaraya Kuching Selatan yang oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dato’ Hon Choon Kim yang dipancarkan serentak ke sekolah-sekolah di seluruh negara.

Katanya, peranan membina ‘Negara Bangsa’ dalam konteks PIPP sebenarnya adalah kelanjutan daripada peranan dan tanggungjawab DBP semenjak kelahirannya setengah abad yang lalu, iaitu menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan dan membina jati diri bangsa.

"Malah lebih dari itu, DBP dan kita (masyarakat) juga bertanggungjawab untuk memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu pengetahuan, berupaya menyahut tantangan dan tuntutan dunia moden hari ini.

"Memandang jauh ke hadapan, kira mahu bahasa Melayu berupaya menjadi bahasa pengucapan budaya tinggi dan berupaya pula mengungkapkan dan membincangkan konsep-konsep terkini yang abstark, di samping berupaya menghasilkan karya sastera yang bernilai tinggi.

"Semua ini kita lakukan dengan kesedaran dan rasa tanggungjawab untuk memberi pengisian dan penjiwaan terhadap peruntukan 152 Perlembagaan Persekutuan yang memaktubkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara kita yang merdeka dan berdaulat.

"Sewajarnya kita semua menyedari tugas dan tanggungjawab kita untuk pengisian dan penjiwaan terhadap peruntukan 152 ini supaya ‘kata-kata keramat’ dalam perlembagaan yang luhur itu tidak menjadi kata-kata kosong yang akan menjadi kata-kata cemuhan dan bahan ketawa mereka yang ingin memperlekeh bahasa kebangsaan kita yang sewajarnya disanjung dan dihormati."

Katanya, jika beberapa tahun sebelum ini, bahasa kebangsaan menghadapi ketidakpastian akibat pudarnya keazaman politik, namun sejak akhir-akhir ini, keazaman politik telah dipersegar dan dicergaskan semula.

Keazaman itu jelasnya, ditegaskan oleh Menteri Pelajaran, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam perutusan Hari Semarak Bahasa bahawa kerajaan tetap mempunyai kesungguhan dan komitmen untuk memperkukuh dan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

"Menteri Pelajaran menegaskan bahawa pucuk pimpinan negara tidak pernah menafikan kepentingan bahasa Melayu, walaupun sesetengah pihak membuat tohmahan. Kementerian Pelajaran tetap berazam untuk meningkatkan usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, di samping menyemarakkan penggunaan bahasa ini dalam ranah yang lain bagi memperkasakan kedudukannya," ujarnya.
(Utusan Sarawak, 22 November 2007)

cuma minta pandangan

kepada nenda, ayahanda, bonda, kekanda, adinda sekalian yang ada di segenap dunia, di sini cucunda, anakanda, adinda memukul gong besi tiada bertuan minta pandangan untuk tujuan siaran.

Tajuk: Blog sebagai media baru untuk berkarya

BALADA RAUDHAH, ANAK YANG MULIA

Pharo Abdul Hakim

Kujenguk Raudhah di akhir Ramadan
di rumah anak yatim
padaku Raudhah menghulur salam
"terima kasih pak cik yang mulia
melawat kami yang tidak punya keluarga"

Pada Raudhah kuhulur bantuan
semoga syawalmu turut gemilang
mintalah padaku hadiah kedamaian
baju kebaya merah jingga
dan kasut berjenama popular

Raudhah memelukku sambil berkata
" Raudhah punya permintaan
tinggi nilainya tak terucap lidahku
takut nanti tak bisa ditunai
tentu hati terluka lagi"

Pada Raudhah aku berjanji
menunaikan setiap mimpi
aku tak mahu melihat
Raudhah bersyawal kesedihan

"Pada pak cik kumohon restu
ingin kupanggil pakcik sebagai abahku
syawalku tentu bermakna
berhari raya bersama keluarga"

"Kupinta izin pakcik yang mulia
Raudhah berpotret bersama keluarga
pada teman boleh kutunjukkan
Raudhah punya keluarga bahagia"

Kelopak mataku tidak berupaya
menahan alir air mata
hatiku luluh menahan luka
madah Raudhah menikam jiwa
ketika pulang aku hilang upaya
menahan sendu melanda
teringat Raudhah anak mulia
madahnya mendera jiwa.

10 Oktober 2007

(Utusan Sarawak, 15 November 2007)

Masa depan, jati diri sastera Malaysia

oleh RADIN AZHAR AHMAD

GLOBALISASI telah banyak diperkatakan, tetapi wajah glaobalisasi itu tidak dapat dirincikan dengan sempurna. Pelbagai perubahan telah berlaku dalam sejarah peradaban manusia, tetapi ciri-ciri penerusan budaya lama terus diamalkan. Hal ini yang terus kekal sebagai jati diri setiap masyarakat.

Negara-negara bangsa moden di Asia Tenggara muncul kesan penjajahan barat dan mengambil bentuknya sekarang lepas Perang Dunia Kedua. Malaysia sebagai negara bangsa muncul dengan wajahnya sekarang pada 1963 dengan mengambil bentuk persekutuan.

Dalam memperkukuh jati diri negara bangsa, nasionalisme amat pentingm, kata Prof Madya Dr Mohd Isa Othman menjelaskan ‘Globalisasi: Cabaran, Jati Diri dan Masa Deoan Sastera’ pada Pertemuan Sasterawan Nusantara baru-baru ini.

Sastera Melayu katanya sejak zaman penjajahan memainkan peranan penting sebagai medium menyebarkan pemikiran batu dan meniupkan semangat di kalangan masyarakat terdidik.

Pengarang-pengarang Melayu rata-ratanya bukan dari kelas bangasawan lebih memberi tumpuan kepada kalangan rakyat bawahan dan menggunakan bahasa Melayu.

Katanya, Virginia Matheson Hooke menggolongkan kelompok ini sebagai ‘nasionalisme budaya’, tetapi turut merujuk kelompok ini sebagai etnonasionalisme.

Pengarang-pengaran Melayu jelasnya perlukan jati diri sebagai pengesahan diri, pengenalpastian diri dan menguatkan keyakinan diri sebagai orang Melayu.

Mohd Isa menjelaskan, bagi membangun dan membangkitkan semangat nasionalisme ini, pengarang Melayu telah menggilap kembali retorik lama dan mencipta retorik baru dalam membina kasih sayang, persaudaraan, pengorbanan dan lain-lain berhubung cinta-etnik.

"Jelaslah, nasionalisme anti penjajahan bermula dengan domain dalaman yang mengandungi tanda-tanda identiti budaya yang penting seperti bahasa dan agama.

"Semangat ini perlu dimantapkan oleh domain dari luar yang berkaitan ekonomi, tatanegara, sains dan teknologi," katanya.

Acuan bangsa yang lain ujarnya, turut membentuk jati diri kepengarangan, termasuk dasar bahasa, agama, budaya, ekonomi dan sebagainya.

"Contohnya, jika dasar sastera kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu mula diketepikan, maka wajah sastera Melayu masa depan mungkin akan berundur ke khalayak tradisinya.

"Hal ini juga akan terjadi jika bahasa Melayu tidak lagi menjadi bahasa ilmu atau mata pelajaran kesusasteraan Melayu sudah terpinggir atau dipinggirkan," tambahnya.

Citra jati diri masa depan juga katanya, akan terus bergantung kepada individu pengarang. Karya sastera secara berterusan terpaksa mengiktiraf jati diri individu pengarang.

Katanya, "Dalam hal ini, Hashim Ismail menganggap, mereka (pengarang) mengarang dan terus mengarang sehingga jati diri itu tidak lagi dibentuk-bentuk, tetapi tanpa disedari jati diri itu sendiri yang muncul menjadi jati diri mereka yang dapat pula dilihat dan dinilai oleh orang lain tentang keaslian rohani dan jasmani jati diri tersebut."

Sepanjang pengalaman sejarah manusia, ujarnya, proses perbubahan terus berlaku. Biarpun begitu, kerangka asas yang menjadi jati diri setiap bangsa terus dipertahankan.

"Pengarang yang menjadi salah seorang ahli masyarakatnya terus berada dalam acuan tersebut, bahkan merekalah pemegang amanah rohani dan jasmani jati diri bangsanya," jelasnya.

(Utusan Sarawak, 15 November 2007)

130 pelajar SMK Tebakang sertai bengkel penulisan

oleh ARDI SAAIT

SERAMAI 130 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebakang, Serian baru-baru ini menghadiri Bengkel Penulisan Cerpen dan Puisi di sekolah berkenaan.

Bengkel tersebut yang merupakan anjuran Panitia Bahasa Melayu sekolah tersebut terbuka kepada pelajar yang telah tamat peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Fasilitator yang membimbing bengkel cerpen ialah Dahiri Saini, sementara Awang Kelana Awang Hassan mengendalikan bengkel puisi. Kedua-dua mereka merupakan Ahli Jawatankuasa Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA).

Menurut Pengarah Program, Yakub Majeli, bengkel tersebut diadakan dengan tujuan untuk mendedahkan kepada pelajar tentang teknik penulisan cerpen dan puisi yang betul, berkesan dan bermutu.

"Selain itu, bengkel ini juga diadakan untuk memupuk minat dan apresiasi pelajar terhadap bidang sastera serta memperluaskan pengetahuan peserta dalam bidang kesusasteraan," katanya.

Semasa bengkel tersebut dilaksanakan, peserta dibahagiakn kepada beberapa kumpulan dan diberikan peluang untuk mempersembahkan karya dan potensi masing-masing sama ada dalam deklamasi sajak atau cerpen pada akhir bengkel.

(Utusan Sarawak, 15 November 2007)

Bunga Yang Menangis


Bunga yang Menangis

Judul : Bunga yang Menangis
Genre : Kumpulan Puisi
Karya : Ja’afar Haji Hamdan
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Pencetak: Dawama Sdn. Bhd.
http://www.dawama.com/
ISBN : 978-983-62-9694-8
Halaman : 175

"Pujian harus diberikan kepada Ja’afar Haji Hamdan atas kepekaannya mengilustrasikan aktiviti dan situasi benda hidup lain pada waktu malam seperti puisi ‘Bunga yang Menangis’ kerana jarang-jarang ada penyajak yang terpanggil untuk mengutarakan hal ini," kata Rahimah A. Hamid dalam Dewan Sastera terbitan September 2004.

Sementara itu, T. Alias Taib dalam majalah sama terbitan Julai 2000 pula menyatakan, "Puisi ‘Rumah Kaca’ karya Ja’afar Haji Hamdan merupakan sajak yang bersifat simbolik dan agak ambiguous"

Seterusnya, "Puisi ‘Rumah Abadi’ karya Ja’afar Haji Hamdan mengungkapkan pengalaman keagamaan, begitu erat hubungannya dengan Tuhan Maha Pencipta," kata Dharmawijaya dalam Dewan Sastera, terbitan Januari 2002.

Zurinah Hassan dalam Dewan Sastera, terbitan Jun 2003 pula mengungkapkan, "Sajak pendek ‘Bukan Rindu Biasa’ karya Ja’afar Haji Hamdan menggambarkan pantai yang menyimpan banyak cerita. Penyair menulis tentang kenangannya yang ternyata bahan kenangan yang menggimbaran."

Ini merupakan antara gambaran ringkas tentang ‘Bunga yang Menangis’ yang memuatkan 107 puisi karya Ja’afar Haji Hamdan sejak tahun 1997.

Ja’afar Haji Hamdan atau nama penanya Farmila Hamdi merupakan anak kelahiran Sri Aman dan dilahirkan pada 19 September 1969.

Bertugas sebagai Penolong Pegawai Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak. Berkelulusan Bacelor Komunikasi Korporat daripada Universiti Putra Malaysia.

Banyak menulis rencana, esei kritikan, puisi dan cerpen. Beliau pernah memenangi hadiah utama Peraduan Menulis Puisi anjuran PEMADAM (1994), Johan Pertandingan Menulis Sajak Warga DBP Cawangan Sarawak (1998), Hadiah Penulis Harapan Negeri Sarawak (1998/1999, 2000/2001, 20001/20002, 20003/2004).

Festival Muzik Asli 16-18 November 2007

FESTIVAL Muzik Asli Negeri Sarawak merupakan salah satu usaha Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sarawak untuk menyemarakkan kembali kegiatan seni muzik khususnya Gendang Melayu Sarawak yang semakin kurang mendapat tempat di hati masyarakat muda.

Festival berkenaan yang akan diadakan pada 16 hingga 18 November ini di Panggung Udara Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) adalah medan pertandingan kumpulan gendang Melayu yang terdapat di sekitar bandar raya Kuching dan Samarahan.

Festival tiga hari itu bermula pada pukul 4.00 petang hingga 10.30 malam.

Di samping pertandingan Gendang Melayu Sarawak, pihak penganjur juga mengadakan kesenian yang melibatkan penyertaan kumpulan etnik-etnik utama di negeri ini.

Empat objketif yang didasarkan ialah pertama, menanam dan memupuk minat khasnya golongan muda agar meminati seni muzik asli.

Kedua, menyediakan ruang dan peluang kepada persembahan kumpulan muzik asli yang masih bergerak aktif di sekitar bandar raya Kuching.

Ketiga, memupuk integrasi dan keakraban interaksi di kalangan masyarakat melalui bidang muzik asli dan keempat, sebagai kaedah pemuliharaan bidang muzik asli/etnik di negeri ini.
(Disiarkan pada 8 November 2007 di Stail Seni Budaya, Utusan Sarawak)

Menyingkap pembangunan pemikiran penulis Sarawak

RADIN AZHAR AHMAD

"NILAI dan idealisme adalah ciri kemapanan penulis dan penulisan. Kerja menulis bermatlamat menjana kemajuan kepada masyarakat. Mesej yang dikemukakan adalah mesej yang mendidik dan membina pola berfikir yang menyukai kemajuan. Inilah kecenderungan yang memperkukuh perjuangan para penulis Sarawak dalam tempoh 15 tahun ini," kata Dr. Shahri Abdul Rahman.

Dengan makalah ‘Penyerlahan Nilai dan Idealisme: Menyingkap Pembangunan Pemikiran Penulis Sarawak’ pada Diskusi 15 Tahun Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak (HPPS) baru-baru ini, Shahri menjelaskan, kesemua itu merupakan suatu misi yang wajar diteruskan kerana di hadapan para penulis dan hadapan para cendekiawan Sarawak ialah 1001 persoalan tentang kemasyarakatan yang memerlukan penyelesaian.

"Dengan iltizam demikian, isu wadah dan kedudukan para penulis Sarawak dengan sendirinya bukan isu besar. Chomsky dan Herman yakin bahawa yang diangkat sebagai mutu dalam mana-mana hasil karya penulisan adalah berpunca daripada penyerlahan para penulis itu sendiri.

"Manakala kemampuan penyerlahan tersebut diperkukuhkan oleh dua ranah yang amat penting, iaitu nilai dan idealisme yang mereka pegang. Sama ada pegangan mereka berpaksikan kebenaran mutlak atau kebenaran yang diterima secara sosial, mencirikan nilai penulis dan penulisannya," ujarnya.

Menurutnya, menyorot hasil tulisan penulis Sarawak yang memenangi Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak sejak 2001 hingga 2006 yang merupakan kritikan terhadap beberapa karya tempatan dan kebangsaan, jelas bahawa faktor yang mendominasi pemikiran para penulis ialah penyerlahan nilai dan idealisme yang mereka pegang.

"Walaupun tidak ketara wujud semacam pergelutan nilai, namun mereka berhasil menyerlahkan tahap pembangunan pemikiran dan idealisme kepenulisan yang jelas," tambahnya.

Katanya, realiti baru segi pembangunan pemikiran di Sarawak ialah wujudnya berfikir yang mengaitkan pembangunan fizikal dengan pembangunan minda manusianya.

Hasil penulis Sarawak sepanjang 15 tahun ini jelasnya, cuba membawa realiti baru ini pada tonggak politik tanah air yang bertanggungjawab membawa paradigma tersebut, iaitu politik pembangunan Sarawak – secara atau tidak.

"Apabila menyorot kehidupan sesuatu kaum yang masih bergelumang dengan kepercayaan lama dengan kewajaran pembangunan yang sepatutnya mereka nikmat, mereka menunjukkan kesedaran dan kekesalan yang beralasan.

"Ini telah dibincangkan oleh Awang Azman dan Paul Nanggang apabila mereka mengulas Kelingkang, novel karya Douglas Jaga. Sorotan mereka merupakan cetusan kesedaran bahawa masyarakat yang terus membangun perlu rela menerima pembangunan. Dalam konteks di Sarawak ialah realiti baru untuk maju dan berjaya. Ini bertujuan memahat suatu idealisme dalam strategi jangka masa panjang pembangunan masyarakat."

Idealisme itu katanya, berpendekatan hukum semula jadi – sekiranya sesebuah masyarakat itu ingin maju seperti masyarakat lain, mereka perlu menerima realiti baru – berubah dalam segenap aspek kehidupan.

"Pemikiran dan amalan mereka perlu berubah sesuai dengan perkembangan semasa. Fahaman pembangunan kemasyarakatan membentuk jalur pemikiran menjurus terhadap jejak-jejak kemajuan demi kemajuan. Masyarakat berpaksikan tempocentrism ialah masyarakat yang sentiasa bersedia mengutamakan kemajuan mengikut zaman."

Jati diri sesebuah masyarakat tidak mungkin terhakis oleh pembangunan sekalipun mereka ghairah dan tempo-centric terhadap perubahan persekitaran, jelasnya.

Pengungkapan penulis Sarawak dalam karya mereka ujarnya, cenderung membawa idealisme ini dengan hasrat supaya pembangunan itu dapat dinikmati atas nilai-nilai yang sarwajagat sifatnya.

"Para penulis mendominasi gagasan dan pakatan kemajuan sebagai matlamat dan pendidikan adalah salah satu cara mencapai matlamat tersebut."

DR. Shahri Abdul Rahman menjelaskan, "Kecintaan terhadap alam semula jadi merupakan nilai sejagat yang dominan di kalangan penulis barat. Dalam konteks penulis Sarawak, nilai tersebut turut menjadi fokus beberapa hasil tulisan."

"Cuma yang memberi sedikit kelainan ialah isu yang mereka ketengahkan masih terikat dengan kejadian-kejadian yang bersifat pertentangan atau konflik – manusia dengan haiwan, manusia dengan manusia dan manusia dengan kepercayaan kuno. Isu demikian juga turut berkaitan dengan budaya dan amalan sesebuah masyarakat."

Persoalan mengenai nilai sejagat katanya, sebetulnya sudah menjadi isu wacana pemikiran untuk mengaitkannya dengan nilai kepercayaan dan keagamaan.

"Ini memudaratkan pertumbuhan pemikiran positif masyarakat apabila perdebatan disempitkan kepada ‘yang ramai itu benar dan yang sedikit itu salah’. Ini tidak memberi kewajaran dari segi pemikiran universal kerana nilai sejagat adalah merentasi batas agama, budaya dan kepercayaan sosial."

Menurutnya, kebaikan dan keindahan adalah nilai sejagat, yang dibincangkan oleh Hazami Jahari apabila memperkatakan sastera Islam di Malaysia.

Isu yang cuba dibangkitkan ialah pencirian dan indicator sastera Islam. "Pendekatan sastera Islam juga bertunjangkan kepada matlamat memajukan masyarakat yang dikira lebih syumul daripada pendekatan lain."

Katanya, persoalan nilai adalah pertimbangan yang sentiasa menyebabkan berlakunya pertembungan tradisi berfikir manusia dengan konteks yang sebenar.

Itu katanya, berpunca daripada banyaknya sekolah pemikiran sejak zaman renaissance hingga kini.

"Apabila berlaku pertembungan pemikiran, tradisional dan global, maka sudah pasti akan mencetuskan usaha mencari kebenaran yang mutlak.

"Pertembungan demikian adalah membina dari segi jangka panjang. Apabila ia membina maka sudah pasti proses tersebut mendidik untuk mencapai kemajuan," tambahnya.
Disiarkan pada 27 September 2007 (Utusan Sarawak)

Tokoh sastera Brunei Darussalam

DALAM memperjuangkan bangsa rumpun Melayu; Brunei Darussalam, Malaysia dan Indonesia saling bersepakatan dan mempengaruhi antara satu negara dengan negara yang lain.
Hajah Rasiah Haji Tuah dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei Darussalam berkata, jalinan erat menegakkan kedaulatan bangsa telah menghasilkan kekukuhan perpaduan bangsa dan bahasa.

Menurutnya, kekukuhan bahasa akan lebih terbentuk dengan pembelajaran dan pengajaran sastera dan akhirnya, akan membuahkan bahawa bahasa adalah alat pengucapan kebudayaan, sementara kesusasteraan adalah pengucapan masyarakat.

"Negara Brunei Darussalam seperti juga Malaysia dan Indonesia, peradaban manusia melalui sastera digambarkan dalam citra penulisan sasterawan yang pada keseluruhannya mempunyai lingkungan temanya berkisar tentang kehidupan sosio-budaya masyarakat setempat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam makalahnya, "Kedudukan Sastera Melayu Di Brunei Darussalam: Situasi Mutakhir" pada Pertemuan Sasterawan Nusantara di Kedah baru-baru ini.
Dalam makalahnya, Rasiah membincangkan tentang Sasterawan Agung Negara Brunei Darussalam, iaitu Dato Paduka Haji Muslim Haji Burut atau lebih dikenali dengan nama pena Muslim Burmat.

"Tidak diduga bahawa dengan kecenderungannya berkarya aktif dalam genre sastera dan penghayatan yang telus dalam menampilkan martabat manusia Brunei melalui karya sastera, telah membawa kepada Muslim Burmat sendiri.

"Saya percaya bahawa Muslim Burmat merupakan sasterawan yang mempunyai kebolehan menjalin elemen-elemen budaya atau peradaban manusia ke dalam penulisan yang dihasilkan," katanya.

Muslim Burmat jelasnya, mula berkecimpung dalam bidang penulisan kreatif sejak di bangku sekolah, dan merupakan penulis pertama mempunyai peluang untuk berkarya di media luar negara. Karya tersebut ditulis semasa masih bersekolah di sekitar 1961.

Bidang novel dan cerpen merupakan genre sastera yang sering diceburinya, dan karyanya pernah disiarkan dan diterbitkan melalui media elektronik dan media cetak seperti Radio Brunei, Bahana, Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, Dewan Bahasa, Bintang Harian, ASTERAWANI, Salam dan Suara Brunei.

Biro Kesusasteraan Borneo, Sarawak telah menerbitkan koleksi cerpen Muslim Burmat, antaranya pada 1964 – Debu Berterbangan dan empat cerpen pada 1967 – Puntung Dalam Gerimis, Gelas di Atas Meja, Manisku Sayang dan Jalinan.

"Atas kegigihan dan keprolifikan dalam menghasilkan karya genre sastera yang berkualiti, komitmen Muslim Burmat telah berjaya diangkat hingga ke peringkat antarabangsa sehingga layak untuk menerima beberapa anugerah – The South Asia Write (Thailand), Sastera Nusantara (Malaysia), Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (Kuala Lumpur) dan Tokoh Sastera Brunei Darussalam (Brunei)."

Katanya, mengambil kira kewibawaan Muslim Burmat dalam berkarya, ternyata persoalan kejayaan sasterawan berhubung pencapaian ke arah kedudukan perkembangan sastera Melayu di Brunei Darussalam, kini selayaknya telah mencapai ke tahap mutakhir.

Disiarkan di Utusan Sarawak, Khamis, 20 September 2007

Pementasan Teater Berkala 2007

Kumpulan Teater Tarikh

Sanggar Creative Production 28 Oktober (Ahad)
Grup Teater Ngoncong 17 November 2007 (Sabtu)
Persatuan Kias Kasturi 8 Disember 2007 (Sabtu)

(Semua pementasan bermula pada jam 8.00 malam di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak)