HPPS menyokong akhbar berbahasa Melayu di Sarawak

LIMA karya genre puisi, cerpen dan esei oleh penulis Sarawak yang pernah tersiar di akhbar Utusan Sarawak sepanjang 2006 dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak baru-baru ini berjaya menerima Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak (HPPS) 2006. Karya tersebut pernah tersiar di ruangan kelolaan DBP Cawangan Sarawak – Yang Indah Itu Bahasa (YIIB) dan Wadah Bahasa.

Sekali gus, perkongsian tersebut serta pewujudan HPPS seperti kata Ketua Unit Pengembangan Sastera DBP Cawangan Sarawak, Hazami Jahari, bukan setakat membina, melahir dan mengangkat martabat penulis kreatif di negeri ini, bahkan lebih jauh daripada itu secara tidak langsung menyokong akhbar berbahasa Melayu di Sarawak.

"Sejak 1991, karya yang dipilih untuk menerima hadiah penghargaan ini kebanyakannya tersiar dalam Utusan Sarawak dan Utusan Borneo, dua akhbar berbahasa Melayu ini menjadi sumber utama penulis Sarawak untuk menyiarkan karya mereka.

"Dengan ruang yang disediakan oleh kedua-dua akhbar ini, karya-karya penulis Sarawak dapat dibaca hampir setiap minggu. Perkongsian bestari antara kedua-dua akhbar ini sebagai penyedia ruang penyaiaran karya dan HPPS sebagai penyedia hadiah galakan setiap rujung tahun, secara tidak disedari berlangsung genap 15 tahun."

Perkongsian itu jelasnya dalam diam mengangkat sastera kebangsaan di Sarawal ke tahap yang tersendiri. "Tanpa kita sedari perkongsian ini telah melahirkan ramai penulis muda berbakat dan pada masa yang sama keutuhan akhbar berbahasa Melayu juga terus dapat dipertingkatkan."

Jelas Hazami, bagi penulis, HPPS adalah satu penghargaan yang menjadi perangsang kepada mereka untuk terus menulis, memandangkan sebelum ini, karya yang mereka hasilkan yang tersiar di akhbar dan majalah tidak dinilai apatah lagi diberikan penghargaan rasmi.

Peraduan penulisan kreatif yang dianjurkan oleh DBP bersifar berkala dan bergilir mengikut genre tertentu. Bagaimanapun, HPPS menampilkan kehadiran yang berbeza dengan mengambil kira semua karya penulis Sarawak yang tersiar sepanjang tahun.

"Kesan lain yang dirasakan dangat memberi kesan kepada perkembangan sastera kebangsaan di Sarawak ialah ai menjadi medan melahirkan ramai penulis muda berbakat besar. Kehadiran mereka memeriahkan pentas sastera di Sarawak dengan masing-masing membawa personaliti tersendiri.

"Kehadiran mereka sebagai pelapis kepada penulis mapan sedia ada, malah ramai penulis muda ini yang masih aktif hingga sekarang. Di samping melahirkan penulis muda berbakat, HPPS juga mengaktifkan kembali beberapa penulis mapan Sarawak yang sebahagiannya agak jarang muncul di pentas sastera.

"Lebih daripada itu, sejak kewujudan HPPSN pada 1991, ramai penulis mapan Sarawak yang terus rancak berkarya. Mereka bagaikan disirami semangat baru yang menyegarkan kembali dunia kreatif mereka selama ini." – A.A. RADIN
Disiarkan di Utusan Sarawak, Khamis, 13 September 2007

1 comment:

Saiee Driss said...

Bagi saya HPPS adalah setara dengan Hadiah sastera Perdana, peringkat negeri. HPPS adalah skim anugerah sastera negeri Sarawak yang hakiki dan ditadbnir serta dinilai mengikut disiplin sastera sebenar, bebanding dengan Anugerah Sastera Negeri Sarawak yang tidak bertuan dan dipengaruhi oleh pertimbangan politik.