Tokoh sastera Brunei Darussalam

DALAM memperjuangkan bangsa rumpun Melayu; Brunei Darussalam, Malaysia dan Indonesia saling bersepakatan dan mempengaruhi antara satu negara dengan negara yang lain.
Hajah Rasiah Haji Tuah dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei Darussalam berkata, jalinan erat menegakkan kedaulatan bangsa telah menghasilkan kekukuhan perpaduan bangsa dan bahasa.

Menurutnya, kekukuhan bahasa akan lebih terbentuk dengan pembelajaran dan pengajaran sastera dan akhirnya, akan membuahkan bahawa bahasa adalah alat pengucapan kebudayaan, sementara kesusasteraan adalah pengucapan masyarakat.

"Negara Brunei Darussalam seperti juga Malaysia dan Indonesia, peradaban manusia melalui sastera digambarkan dalam citra penulisan sasterawan yang pada keseluruhannya mempunyai lingkungan temanya berkisar tentang kehidupan sosio-budaya masyarakat setempat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam makalahnya, "Kedudukan Sastera Melayu Di Brunei Darussalam: Situasi Mutakhir" pada Pertemuan Sasterawan Nusantara di Kedah baru-baru ini.
Dalam makalahnya, Rasiah membincangkan tentang Sasterawan Agung Negara Brunei Darussalam, iaitu Dato Paduka Haji Muslim Haji Burut atau lebih dikenali dengan nama pena Muslim Burmat.

"Tidak diduga bahawa dengan kecenderungannya berkarya aktif dalam genre sastera dan penghayatan yang telus dalam menampilkan martabat manusia Brunei melalui karya sastera, telah membawa kepada Muslim Burmat sendiri.

"Saya percaya bahawa Muslim Burmat merupakan sasterawan yang mempunyai kebolehan menjalin elemen-elemen budaya atau peradaban manusia ke dalam penulisan yang dihasilkan," katanya.

Muslim Burmat jelasnya, mula berkecimpung dalam bidang penulisan kreatif sejak di bangku sekolah, dan merupakan penulis pertama mempunyai peluang untuk berkarya di media luar negara. Karya tersebut ditulis semasa masih bersekolah di sekitar 1961.

Bidang novel dan cerpen merupakan genre sastera yang sering diceburinya, dan karyanya pernah disiarkan dan diterbitkan melalui media elektronik dan media cetak seperti Radio Brunei, Bahana, Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, Dewan Bahasa, Bintang Harian, ASTERAWANI, Salam dan Suara Brunei.

Biro Kesusasteraan Borneo, Sarawak telah menerbitkan koleksi cerpen Muslim Burmat, antaranya pada 1964 – Debu Berterbangan dan empat cerpen pada 1967 – Puntung Dalam Gerimis, Gelas di Atas Meja, Manisku Sayang dan Jalinan.

"Atas kegigihan dan keprolifikan dalam menghasilkan karya genre sastera yang berkualiti, komitmen Muslim Burmat telah berjaya diangkat hingga ke peringkat antarabangsa sehingga layak untuk menerima beberapa anugerah – The South Asia Write (Thailand), Sastera Nusantara (Malaysia), Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (Kuala Lumpur) dan Tokoh Sastera Brunei Darussalam (Brunei)."

Katanya, mengambil kira kewibawaan Muslim Burmat dalam berkarya, ternyata persoalan kejayaan sasterawan berhubung pencapaian ke arah kedudukan perkembangan sastera Melayu di Brunei Darussalam, kini selayaknya telah mencapai ke tahap mutakhir.

Disiarkan di Utusan Sarawak, Khamis, 20 September 2007

1 comment:

Saiee Driss said...

Terima kasih atas maklumat di dalam entri ini.

Sebagai tambahan buku-buku yang anda sebut itu adalah buku kumpulan cerpen Melayu pertama di Sarawak.

Aneh, kerana kumpulan-kumpulan cerpen diterbitkan oleh Biro Kesusasteraan Borneo di Kuching hasil penulis Brunei.

Tapi itu hakikatnya.

Menurut Datuk Muslim semasa saya temui beliau tidak tahu cerpen-cerpennya hendak dibukukan ketika itu.

Hanya kebetulan beliau kenal salah seorang pegawai BLB ketika itu dan bercerita tentang cerpennya. Pegawai itu lalu meminta, dan beliau memberikannya.

Tahu-tahu sudah dibukukan.

Saya ada buku-bukunya dan Insya Allah saya akan ulas mengenainya.

Tahniah atas rencana ini.